27 Oktober 2013

Pengenalan Kepada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)


GST yang akan dilaksanakan pada April 2015 tidak akan dikenakan ke atas beberapa barangan makanan asas yang menjadi keperluan harian rakyat. - GAMBAR HIASAN

Pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan atau Goods and Services Tax (GST) menggambarkan bahawa kerajaan serius mahu memastikan pertumbuhan negara yang stabil untuk jangka panjang. “GST juga merupakan kaedah yang dapat mengurangkan cukai korporat serta cukai pendapatan individu

Di dalam pembentangan Bajet 2014, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyatakan Malaysia akan melaksanakan sistem GST mulai 1 April 2015 pada pada kadar enam peratus [Utusan : 25/10/2013]


Kepentingan cukai kepada kerajaan, rakyat

CUKAI merupakan satu instrumen ekonomi yang amat penting bagi sesebuah negara memperoleh hasil atau pendapatan. Hasil daripada cukai ini digunakan oleh kerajaan untuk mentadbir dan mengurus sesebuah negara dan juga bagi digunakan untuk perbelanjaan pembangunan.

Cukai yang dikutip dibelanjakan oleh kerajaan bagi tujuan keselamatan negara dan rakyat, pembangunan fizikal dan infrastruktur seperti jalan raya, hospital, sekolah serta pembangunan ekonomi dan sosial seperti perkhidmatan kesihatan, pendidikan, kebajikan rakyat dan banyak lagi.

Oleh itu kita perlu faham yang hasil cukai yang diperoleh kerajaan melalui kutipan terhadap rakyat, kemudiannya akan dapat dimanfaatkan dan dinikmati kembali oleh kita sebagai rakyat.

Cukai adalah suatu yang tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan kita, pentadbiran negara dan ekonomi.

Malah, jika kita melihat isu cukai ini dengan lebih mendalam, kita akan dapat melihat bahawa orang yang mendapat manfaat daripada cukai yang dikutip kerajaan ialah diri kita sendiri.

Secara ringkasnya, cukai ialah kunci kepada pentadbiran negara yang berkesan. Namun, sebelum kita boleh menerima cukai dengan hati yang terbuka, seseorang itu perlulah faham bagaimana dan kenapa cukai digunapakai di sesebuah negara.

Antara tanggungjawab kerajaan - yang memerlukan pendapatan dari cukai - ialah untuk membina sekolah sebagai tempat untuk mendidik kanak-kanak. Cuba kita bayangkan di manakah kita sekarang, jika kerajaan mengabaikan tanggungjawab ini?

Selain daripada itu, kerajaan juga memperuntukkan dana untuk menyediakan infrastruktur asas seperti membina jalan yang menghubungkan kampung, pekan dan bandar dengan kawasan sekitarnya, dan membolehkan aktiviti perdagangan berlaku antara kawasan-kawasan tersebut.

Kerajaan juga bertanggungjawab untuk membina kemudahan awam seperti pasar untuk memberi ruang kepada rakyat untuk berniaga dan menjalankan kegiatan ekonomi mereka.

Peniaga tempatan akan mendapat keuntungan apabila barangan import dikenakan cukai - ini kerana ia akan menggalakkan pengguna untuk memilih barangan tempatan yang lebih murah.

Ia adalah satu strategi perdagangan yang penting digunakan oleh negara-negara di seluruh dunia dalam menjaga kepentingan rakyat tempatan. Selain itu, cukai import itu boleh meningkatkan pendapatan sesebuah negara.

ARTIKEL SUMBANGAN JABATAN KASTAM DIRAJA MALAYSIA
Sumber: Utusan  [22/10/2013]

Cukai Langsung dan Tidak Langsung.

DI MALAYSIA, hampir 70 peratus hasil negara datangnya daripada hasil cukai. Cukai ini boleh dikelaskan kepada cukai langsung dan cukai tak langsung.

Cukai langsung merupakan cukai yang dibayar oleh rakyat secara terus kepada pihak kerajaan seperti cukai pendapatan yang diuruskan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Cukai pendapatan merupakan cukai yang dikenakan terhadap pendapatan yang diperolehi. Lebih banyak pendapatan yang diperoleh, lebih tinggi cukai pendapatan yang harus dibayar.

Manakala cukai tak langsung pula adalah cukai yang tidak di bayar terus atau langsung kepada pihak kerajaan.

Cukai tak langsung ini dibayar dalam bentuk pembelian barangan daripada sesebuah kedai atau entiti perniagaan yang kemudiannya mereka akan membayar cukai itu kepada kerajaan.

Contoh cukai tak langsung adalah seperti cukai perkhidmatan dan juga cukai jualan. Urusan cukai Perkhidmatan dan juga cukai jualan ini ditadbir oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Sebagai contoh, apabila kita menginap di sesebuah hotel atau makan di kedai-kedai tertentu, caj yang dikenakan akan tertera perkataan cukai perkhidmatan enam peratus.

Caj yang dibayar kepada hotel tersebut akan dibayar oleh hotel melalui cukai perkhidmatan kepada kerajaan.

Cukai jualan pula merupakan cukai yang dikenakan keatas pengilang yang mengilang barangan dan juga ke atas pengimport yang mengimport barangan.

Kebanyakan barangan yang dikenakan cukai jualan adalah pada kadar 10 peratus. Contoh barangan yang dikenakan cukai jualan adalah perabot, peti ais, televisyen, baju, kasut dan pelbagai lagi barangan lain.

Elemen cukai jualan ini telah diambil kira sebagai kos apabila para peniaga menetapkan harga jualan barangan tersebut. Kita perlu faham hampir kebanyakan barangan yang dibeli sekarang telah pun dikenakan cukai jualan.

Sistem cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang ada sekarang mempunyai banyak kelemahan dan kerajaan kehilangan banyak hasil disebabkan oleh kelemahan itu.

Sebagai satu langkah reformasi cukai dan bagi memastikan sistem percukaian yang lebih adil, telus dan efisien, pihak kerajaan telah menyatakan hasrat untuk memansuhkan cukai jualan dan cukai perkhidmatan dan menggantikannya dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau dalam bahasa Inggerisnya 'Goods and Services Tax' (GST).

Cukai barangan dan perkhidmatan telah diperkenalkan lebih daripada 160 buah negara di seluruh dunia dan telah terbukti berkesan di dalam konteks ekonomi moden.

Negara seperti Singapura, United Kingdom, Australia dan Thailand telah lama memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan dan Malaysia juga dijangka akan turut memperkenalkan cukai ini tidak lama lagi.

Dengan pengenalan cukai barang dan perkhidmatan ini, negara akan melangkah setapak lagi ke arah status negara maju dan rakyat akan berada dalam sistem percukaian yang lebih adil, telus dan efisien.

ARTIKEL SUMBANGAN JABATAN KASTAM DIRAJA MALAYSIA
Sumber: Utusan [23/10/2013}

Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan Telah Sedia Terlaksana

BERAPA kerap kita melihat resit selepas apa-apa pembelian. Terutama selepas kita berkunjung ke 7-Eleven terdekat dan membeli minuman atau menikmati burger di restoran makanan segera,

Adakah anda sedar bahawa terdapat cukai yang mungkin selama ini kurang disedari oleh anda sebagai pengguna setiap kali pembelian dibuat?

Adakah anda sedar yang anda telah hidup dengan membayar cukai ini sejak sekian lama dan adakah anda tahu berapakah cukai yang dikenakan pada setiap pembelian?

Tidak dinafikan, semua negara di dunia ini mengutip cukai untuk menjana dana atau hasil dan cukai perkhidmatan ialah salah satu contoh cukai yang dikutip.

Sebagai pengguna yang bijak, kita sepatutnya sedar tentang cukai yang dikenakan, kenapa dan mengapa dikenakan ke atas pembelian kita.

Pengguna ada hak untuk mengetahui jenis cukai yang dikenakan, kadarnya dan kenapa perlu membayar cukai tersebut.

Kita perlu memahami tanggungjawab kita sebagai pembayar cukai dan mengenali apakah barangan yang dikenakan cukai dan apakah barangan yang tidak dikenakan cukai supaya kita boleh membuat pilihan yang bijak semasa membeli.

Salah satu bentuk cukai ialah cukai jualan yang umumnya pada kadar 10 peratus yang dikenakan ke atas kebanyakan barangan yang jarang diketahui kerana telah dimasukkan ke dalam kos barangan yang kita beli, selain cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus.

Lebih menarik lagi apabila barangan ini melalui satu proses jual beli daripada pengilang, pemborong, peruncit dan kepada pengguna nilai cukai jualan ini akan bertambah disebabkan oleh faktor nisbah keuntungan oleh pihak di setiap peringkat berkenaan.

Akhirnya kita sebagai pengguna perlu membayar harga yang lebih untuk barangan tersebut.

Kedua-dua cukai jualan dan cukai perkhidmatan ini telah digunapakai sejak sekian lama dan tidak ramai yang ambil kisah tentangnya. Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang bakal dilaksanakan bukanlah satu bentuk cukai yang baharu, sebaliknya sebagai pengganti kepada bentuk cukai sedia ada.

Sistem cukai lama digantikan dengan GST dan bukan ditambah kepada sistem cukai sedia ada.

Untuk memahami GST dengan lebih mendalam anda boleh melayari laman sesawang pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia di www.gst.customs.gov.my

ARTIKEL SUMBANGAN JABATAN KASTAM DIRAJA MALAYSIA
Sumber: Utusan [24/10/2013]

Penyelesaian Terhadap Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan

KERAJAAN Malaysia telah memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk menggantikan cukai jualan (umumnya 10 peratus) dan cukai perkhidmatan (6 peratus).

Cukai perkhidmatan dikenakan pada kadar enam peratus di bawah Akta Cukai Perkhidmatan 1975. Cukai perkhidmatan yang dikutip oleh perniagaan akan dibayar kepada kerajaan setiap dua bulan.

Cukai perkhidmatan dikenakan ke atas beberapa jenis barangan dan perkhidmatan di Malaysia termasuk makanan, minuman dan barangan tembakau, perkhidmatan perubatan dan penyediaan tempat tinggal serta makanan oleh hospital swasta.

Cukai ini juga dikenakan ke atas perkhidmatan yang diberikan oleh akauntan, jurutera, arkitek agensi pengiklanan, firma jururunding dan pembekal khidmat pengurusan.

Selain itu, cukai ini turut dikenakan ke atas syarikat insurans, pusat servis dan pembaikan kenderaan, syarikat perkhidmatan telekomunikasi, agensi perkhidmatan pengawal keselamatan, kelab rekreasi, agen hartanah, operator perkhidmatan tempat letak kereta dan firma perkhidmatan penghantaran.

Walau bagaimanapun, perkhidmatan professional yang diberikan oleh satu syarikat kepada sebuah syarikat yang lain di bawah kumpulan syarikat yang sama dikecualikan daripada cukai perkhidmatan.

Perkhidmatan kurier atau penghantaran dari sebuah daerah di Malaysia ke keluar negara juga dikecualikan daripada cukai perkhidmatan.

Cukai jualan ialah cukai satu peringkat yang dikenakan semasa barang diimport masuk atau dikilangkan.

Pengilang yang mengeluarkan barangan yang layak dikenakan cukai perlu dilesenkan di bawah Akta Cukai Jualan 1972.

Cukai yang dikenakan ke atas barangan yang diimport masuk dinilai dan dibayar pada masa barangan tersebut melepasi kawalan kastam.

Cukai ke atas barangan yang dikilangkan di dalam Negara akan dikenakan semasa barang tersebut dijual, digunakan sendiri, dilupuskan, didermakan, dibekalkan secara percuma dan lain-lain.

Cukai jualan secara amnya ialah pada kadar 10 peratus.

Beberapa barangan makanan bukan asas dan bahan binaan dikenakan cukai pada kadar lima peratus, barangan am pada kadar 10 peratus, minuman keras pada kadar 20 peratus dan rokok pada kadar 25 peratus.

Terdapat beberapa pengecualian untuk beberapa jenis komoditi utama, makanan asas, bahan binaan asas, beberapa jenis peralatan pertanian dan mesin berat untuk kegunaan industri binaan. Beberapa barangan perlancongan dan sukan, buku, surat khabar dan bahan bacaan juga dikecualikan daripada dikenakan cukai jualan.

ARTIKEL SUMBANGAN JABATAN KASTAM DIRAJA MALAYSIA
Sumber: Utusan [25/10/2013]


Sumber: Utusan

Malaysia kritikal jika tidak laksana GST

Malaysia berada dalam zon kritikal sekiranya tidak melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kerana ia merupakan keperluan signifikan kerajaan, selain mempunyai kesan jangka panjang.

Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr. Zakariah Abdul Rashid berkata, GST mampu menyalurkan pendapatan kepada kerajaan selain berkeupayaan menstabilkan ekonomi.

Katanya, GST secara umumnya adalah lebih meringankan bebanan rakyat berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan di premis-premis premium dan premis perkhidmatan selama ini.

"Kebanyakan negara maju dan serantau telah lama melaksanakan sistem cukai ini dan Malaysia masih melaksanakan sistem cukai perkhidmatan (SST) yang sebenarnya jauh lebih tinggi kadar cukainya," katanya.

Sehingga kini, lebih 146 buah negara di seluruh dunia telah melaksanakan GST di negara masing-masing.

Negara-negara maju yang telah pun melaksanakan GST adalah United Kingdom, Jepun, Jerman, Sweden, Belanda, Denmark, Singapura dan banyak lagi.

Kadar GST tertinggi setakat ini adalah dari Denmark, Sweden dan Hungary dengan kadar 25 peratus.

Negara-negara jiran yang turut melaksanakan GST adalah Thailand, Singapura, Indonesia, Vietnam dan Filipina.

Sumber: Utusan [23/10/2013]

Pelaksanaan GST yakinkan pelabur asing

Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam sektor perniagaan dan perdagangan akan lebih meyakinkan pelabur luar untuk melabur berbanding cukai perkhidmatan dan jualan yang dilaksanakan ketika ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, GST juga mampu mengelakkan ketirisan kerana sistem pungutan cukai itu dilihat lebih berkesan termasuk memberi pertumbuhan positif terhadap pasaran saham.

"Ini bukan sistem baharu tetapi kaedahnya sahaja baharu. GST sudah dilaksanakan di 160 buah negara kecuali Malaysia, Brunei dan Myanmar. Pelaksanaan GST adalah mengikut standard dagangan antarabangsa dan negara kita akan diketawakan jika tidak melaksanakannya.

"Selama ini orang ramai membayar cukai berganda tetapi kerajaan tidak dapat mengutip hasil cukai tersebut. GST jauh lebih efisien kerana dapat menghalang peniaga mengelak daripada tidak membayar cukai," katanya.

Justeru katanya, dalam konteks dagangan melibatkan persaingan di peringkat antarabangsa, Malaysia tidak mahu ketinggalan dengan melaksanakan GST pada kadar enam peratus iaitu kadar yang paling rendah di Asia Tenggara.

Sumber: Utusan [26/10/2013]

Catatan:

Saya bukanlah pakar dalam hal percukaian. Saya sebenarnya (sebagaimana sebahagian besar rakyat Malaysia) dalam proses cuba untuk memahami GST dan juga dalam proses cuba menerima hakikat perlaksanaannya. Artikel di atas saya kongsikan agar kita sama-sama dapat memahaminya dan menerima hakikat perlaksanaannya kelak. 

Saya yakin untuk beberapa hari atau minggu atau juga bulan yang berikut ini rakyat Malaysia akan memperkatakan tentang GST walau di mana mereka berada. 

Perbincangan berkaitan dengan GST akan lebih hangat lagi diperkatakan sebaik ianya dilaksanakan. Walau apa pun masalahnya, harapan saya segala kemusykilan yang anda hadapi adalah lebih baik anda merujuk kepada yang pakar ...

1 comments:

ch000tz berkata...

hrmmmm macam² mende nak tax....kannnn hurmmmm >_<