11 Oktober 2013

Tawaf



TAWAF merupakan salah satu daripada amalan-amalan haji dan umrah yang terpenting. Jika ia tidak dilakukan, haji dan umrah tidak sah. Selain mengetahui perkara-perkara yang melibatkan syarat-syarat dan sunat-sunat tawaf, bakal jemaah haji juga perlu mengetahui pelbagai isu melibatkan tawaf yang sering dirujuk kepada guru-guru pembimbing di Tanah Suci. Antara isu-isu tersebut adalah:

* Melakukan tawaf qudum bagi jemaah yang melakukan haji ifrad atau qiran adalah sunat. Mereka diharuskan melakukan tawaf qudum selama mana mereka masih belum lagi berwukuf. Selepas melakukan tawaf qudum, diharuskan bagi mereka melakukan saie haji. Jika tawaf qudum tidak dilakukan sehinggalah mereka berwukuf, saie haji tersebut wajib dilakukan selepas mereka melakukan tawaf haji (ifadah).


* Sah tawaf bagi jemaah yang uzur dengan menaiki kereta sorong dengan mengikuti syarat-syarat tawaf. Begitu juga sah tawaf bagi yang menyorong kereta sorong tersebut dalam masa yang sama.

* Terdapat jemaah yang tawaf secara bersorong tertidur semasa tawaf. Berhubung dengan wuduk jemaah ini, ia dikira tidak batal jika ia tidur dalam keadaan tetap papan punggung. Bagi bilangan tawaf pula, orang yang menyorong disyorkan memaklumkan kepada jemaah yang disorongnya itu setiap kali sampai ke kawasan penamat tawaf. Ini adalah untuk memastikan dia meyakini tawafnya cukup tujuh pusingan walaupun semasa dalam perjalanan menuju ke tempat tamat pusingan tawaf dia dalam keadaan tertidur.

* Bagi jemaah yang berulang alik antara penginapannya dengan Masjid Haram Mekah, mereka mempunyai pilihan, sama ada melakukan solat tahiyyatul masjid atau tawaf tahiyyatul bait ketika masuk ke dalamnya. Jika dia mahu melakukan tawaf tahiyyatul bait, afdalnya dia berbuat demikian. Sekiranya dia melakukan solat sunat tawaf selepas itu, dia turut mendapat pahala sunat solat tahiyyatul masjid. Jika dia tidak mahu melakukan tawaf tahiyyatul bait, lakukanlah solat sunat tahiyyatul masjid.

* Kadang-kadang ketika melakukan tawaf, muazzin menyeru untuk ditunaikan solat jenazah. Dalam masalah ini, adalah afdal jemaah meneruskan tawaf jika tawafnya itu tawaf wajib. Jika tawafnya itu tawaf sunat, adalah afdal dia turut sama menunaikan solat jenazah.

* Jemaah yang tidak dapat menyempurnakan tawaf sunat dengan sebab kedatangan haid, sakit atau lupa tidak wajib melengkapkan pusingan tawaf dan boleh pulang ke tanah air tanpa terikat dengan apa-apa hukum kerana ia adalah tawaf sunat.

* Sebelum jemaah keluar dari Tanah Haram Mekah selepas selesai kerja-kerja haji, wajib mereka melakukan tawaf wada' melainkan bagi orang-orang yang dikecualikan seperti wanita yang sedang berhaid. Tawaf wada' ini dilakukan setelah semua urusan sudah diselesaikan.


Pemandangan dari udara Masjidil Haram di Mekah. Jemaah haji menunaikan tawaf rukun mengelilingi kaabah sebanyak tujuh pusingan.

Waktu melakukan tawaf wada' adalah:

i- Hari Jumaat (bagi bas yang akan bertolak antara pukul 2 hingga 3 petang). Uruf selepas tawaf wada' ialah 4-5 jam. Contohnya, jadual bertolak keluar dari Mekah pada pukul 2 atau 3 petang, maka jemaah dibolehkan melakukan tawaf wada' pada pukul 10 pagi.

ii- Hari Sabtu hingga Khamis dan Jumaat (bagi bas yang bertolak selain waktu di atas). Uruf selepas tawaf wada' ialah 2-3 jam. Contohnya, jadual bertolak keluar dari Mekah pada pukul 6 petang, maka jemaah dibolehkan melakukan tawaf wada' pukul 3 petang.

Sebaik sahaja melakukan tawaf wada', jemaah terus meninggalkan Mekah kecuali jika ada hajat-hajat yang tertentu.

Antara hajat-hajat yang boleh dilakukan selepas tawaf wada' adalah:

A. Sejurus selepas tawaf wada':

* Menunaikan solat sunat tawaf dan berdoa selepasnya.
* Berdoa di Multazam.

* Minum air zamzam dan berdoa.
* Mengucup Hajarul Aswad jika berkesempatan dan suasana mengizinkan.

* Menunaikan solat jika bilal telah melaungkan iqamat, atau bilal sedang melaungkan azan sedangkan ia telah berusaha untuk keluar setelah melaksanakan tawaf wada' tetapi tidak sempat juga keluar dari Masjidil Haram dan kawasan sekitarnya yang bersambung saf kerana kesesakan yang amat ketara lalu iqamat dilaungkan.

B. Selepas tawaf (di maktab/penginapan)

* Makan dan minum sekadar keperluan dalam bilik penginapan di hotel (maktab).
* Buang air besar/kecil dalam tandas bilik penginapan.

* Mandi dan menukar pakaian.
* Mengambil beg atau barang yang diletakkan/ditinggalkan dalam bilik penginapan

* Mencari isteri, saudara, waris, rakan yang hilang
* Mengangkat barang-barang yang hendak dibawa bersama.

* Melawat isteri, saudara, waris, rakan yang sakit di hospital/klinik/maktab (bagi kes kecemasan dan hajat)
* Sebarang urusan yang berkaitan dengan perjalanan sama ada ke Jeddah atau Madinah seperti membeli makanan atau minuman untuk kegunaan dalam perjalanan dan sebagainya.

* Menunggu kenderaan yang lewat tiba kerana kesesakan dan sebagainya.
* Mengambil gambar dan bersedekah dalam tempoh menunggu bas.

Oleh DR. JAMALLUDDIN HASHIM
Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air, Lembaga Tabung Haji
Sumber: Utusan

0 comments: