25 November 2013

Cuti Mingguan Johor Hari Jumaat dan Sabtu



Cuti hujung minggu di Johor akan ditukar kepada hari Jumaat dan Sabtu mulai 1 Januari 2014 depan, titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Baginda bertitah, hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan keberkatan hari itu hendaklah diambil peluang oleh umat Islam untuk memperbanyakkan amalan yang dituntut dan disunatkan.

“Pada masa kini, kita dapat perhatikan golongan lelaki terkejar-kejar ke masjid untuk solat Jumaat pada waktu rehat yang singkat. Waktu khutbah pula sering dijadikan sebagai waktu berehat dan tidur.


“Selepas selesai solat Jumaat pula, mereka bergegas bangun meninggalkan masjid sehingga ada yang tidak sempat menunggu imam selesai membaca doa. Kita sedia maklum, di Malaysia ini masih ada beberapa negeri yang mengamalkan cuti pada hari Jumaat malah Johor juga sudah mengamalkannya sebelum ini.

"Oleh yang demikian setelah meneliti banyak pandangan, saya telah membuat keputusan muktamad supaya hari cuti mingguan bagi negeri Johor ditukar kepada hari Jumaat dan Sabtu bermula 1 Jan 2014," titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian dalam majlis Doa Kesyukuran, Majlis Teriman, Majlis Menghadap Takzim dan Majlis Darjah dan Pingat sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda ke-55 di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar pada 23 November, 2013.

Johor pernah menjadikan Jumaat Sabtu sebagai cuti mingguan sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan. Bagaimanapun cuti itu ditukar kepada Sabtu dan Ahad bermula 1994 ketika Johor diterajui Menteri Besar yang kini merupakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selepas 19 tahun mengamalkan cuti mingguan pada Sabtu Ahad, bermula tahun depan, cuti berkenaan kembali semula kepada Jumaat Sabtu. Antara negeri yang mewartakan cuti hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu ialah Kelantan, Terengganu dan Kedah.

"Negeri Johor merupakan sebuah negeri yang paling awal mengiktiraf agama Islam sebagai agama rasmi negeri dan sejarah juga telah menunjukkan bahawa pengembangan agama Islam di negeri ini menjadi contoh kepada negara lain," titah baginda.

Oleh yang demikian, baginda menyeru semua umat Islam di negeri ini supaya menjadikan nilai-nilai murni dan sifat terpuji orang Islam sebagai gaya hidup seharian.

Baginda turut menyarankan Majlis Agama Islam Johor supaya menyediakan pusat sumber ilmu agama secara dalam talian sebagai pusat rujukan kepada semua umat Islam bagi membolehkan masyarakat mendapat maklumat yang tepat hanya daripada satu sumber yang boleh dipercayai.

Pusat itu juga boleh dijadikan medium untuk masyarakat mengutarakan segala keraguan dan persoalan agar mereka boleh mendapat jawapan serta nasihat mengikut landasan agama Islam dan selari dengan fatwa yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Johor.

Tiada halangan tukar cuti mingguan

Kerajaan Johor tidak mempunyai masalah dengan Kerajaan Pusat untuk melaksana cuti mingguan pada hari Jumaat dan Sabtu bermula 1 Januari 2014 kerana kuasa menentukannya tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pertukaran cuti mingguan itu bukan satu masalah kerana negeri ini pernah melaksana cuti pada Khamis dan Jumaat sebelum ini, cuma kali ini diubah kepada Jumaat dan Sabtu.

"Bagi pihak swasta terpulang kepada mereka sama ada mahu mengikut kerajaan negeri untuk bercuti pada Jumaat dan Sabtu atau kekal Sabtu dan Ahad. Kerajaan bagi peluang kepada swasta untuk memilih cuti mingguan mereka.

"Sekolah pula mungkin kena ikut cuti pada Jumaat dan Sabtu. Bagi sekolah swasta pula terpulang kepada mereka untuk membuat pilihan untuk ikut atau tidak," katanya.

Mohamed Khaled berkata, perubahan cuti mingguan itu tidak akan memberi kesan besar kepada kegiatan sosial, ekonomi atau pentadbiran di negeri ini kerana ketika ini sistem teknologi masa kini dijangka dapat mengatasi sebarang masalah yang timbul.

Selain itu, katanya, secara tidak langsung akan memberi peluang kepada mereka yang bekerja dengan pihak swasta iaitu cuti mingguannya pada Sabtu dan Ahad untuk berurusan dengan agensi atau jabatan terbabit pada hari berkenaan.

"Seperti yang Tuanku titahkan, sebab utama perubahan cuti mingguan adalah untuk beri dan tingkatkan peluang kepada rakyat khususnya umat Islam supaya tidak ada masalah dari segi mengerjakan solat Jumaat selain dapat pahala lebih pada hari itu," katanya.

Sementara itu, Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Shamsudin berkata, perubahan tersebut amat baik terutamanya bagi umat Islam untuk mengimarahkan kemuliaan malam dan hari Jumaat selain dapat meninggikan syiar Islam di negeri ini.

Beliau berkata, pengumuman berkenaan amat ditunggu-tunggu kerana sudah disebutkan dalam al- Quran bahawa hari besar bagi penganut Islam ialah Jumaat manakala Yahudi pula jatuh pada Sabtu manakala Kristian pada Ahad.

Sumber: Utusan Artikel1Utusan Artikel2 dan BHarian

0 comments: