Nuff Atas

25 November 2013

Terapi Berkuda Bantu Anak Istimewa



Kaedah urutan saraf, rawatan refleksologi dan berenang memang terkenal sebagai antara alternatif yang menjadi pilihan ramai ibu bapa untuk anak istimewa.

Begitu juga dengan kaedah aromaterapi, yang menggunakan urutan berasaskan haruman bunga-bungaan serta akuaterapi menggunakan medium air yang mengajar anak istimewa ini berenang serta terapi muzik.

Namun tidak ramai yang menyedari bahawa Hippoterapi ataupun pergerakan haiwan terutama kuda juga boleh dijadikan terapi yang sangat berkesan dan terbukti mampu meningkatkan kesihatan fizikal golongan Orang Kurang Upaya (OKU).


Bagi memberi peluang kepada kira-kira 600 OKU di Terengganu mendapatkan rawatan alternatif ini, Persatuan Menunggang Bagi Orang Kurang Upaya Malaysia (RDA) memperluaskan operasinya di negeri ini secara rasmi mulai awal bulan ini.

TERENGGANU EQUESTRIAN RESORT JADI TUMPUAN

Bertempat di Terengganu Equestrian Resort (TER) di Kuala Ibai, program terapi menggunakan kuda ini diharap dapat dimanfaatkan oleh keluarga golongan OKU di seluruh Terengganu.

RDA yang didaftarkan pada 1994 sebagai pertubuhan amal bertujuan menyediakan peluang kepada golongan istimewa iaitu kanak-kanak dan dewasa menjalankan aktiviti menunggang kuda sebagai satu daripada kaedah terapi.

RDA Terengganu adalah cawangan ke-10 di Malaysia dan sehingga kini terapi berkuda terbukti berjaya memberi banyak kesan positif kepada OKU.

KEBERKESANAN TERAPI KUDA

Pengerusi RDA Terengganu, Datuk Hamzah Muhammad berkata terapi itu membolehkan kanak-kanak istimewa yang menunggang kuda mengawal postur, reaksi dan koordinasi yang memberi manfaat daripada segi psikologi, pertuturan dan bahasa mereka.

"Ada kanak-kanak yang sebelum ini tidak mahu berkomunikasi walaupun dengan ibu bapa sendiri, namun selepas menjalani terapi menjadi lebih peramah dan ceria dan saya yakin lebih banyak testimoni kebaikan terapi secara berkuda ini akan kita ketahui selepas ini," katanya pada majlis perasmian itu yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Dengan mengguna gerakan irama tiga dimensi hasil pergerakan kuda, OKU yang duduk di atas pelana secara semulajadi akan belajar dan bertindak balas terhadap setiap gerakan kuda itu.

Walaupun kaedah ini mungkin agak asing bagi masyarakat di negeri ini tetapi ia adalah rawatan terbaik bagi membantu golongan berkenaan mempertingkatkan kecergasan.

Malah di China terapi berkuda berjaya mengurangkan ketagihan remaja terhadap gajet telekomunikasi yang melalaikan.

Sehingga kini rawatan terapi kuda terbukti berkesan kepada mereka yang mengalami kecacatan fizikal, mental dan emosi seperti cerebral palsy, Sindrom Down dan Rett, gangguan neuro-otot, masalah pembelajaran, psikologi dan autisme.

Sejak dimulakan pada 2012, kira-kira 100 kanak-kanak OKU dari sekolah pendidikan khas dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang menyertainya telah menunjukkan peningkatan daripada segi pergerakan fizikal, keyakinan, emosi dan pertuturan.



CABARAN TERAPI KUDA

Ahmad, yang teruja dengan penubuhan RDA di Terengganu, bagaimanapun mahu semua pihak memberi komitmen bagi memastikan kesemua 600 OKU di negeri ini menerima manfaatnya secara berperingkat.

"Saya dimaklumkan, kos untuk membeli kuda ini sangat mahal... namun kerajaan negeri sedia memberi bantuan yang diperlukan RDA Terengganu, asalkan ia berfaedah untuk OKU.

"Saya sangat berharap agar jabatan dan agensi kerajaan serta syarikat swasta di negeri ini sudi bekerjasama dengan RDA Terengganu sama ada dengan memberi sumbangan dalam bentuk kewangan atau tenaga sukarelawan," katanya.

Setiap sesi terapi bagi seorang OKU mengambil masa kira-kira 15 hingga 30 minit dan seramai tiga sukarelawan diperlukan untuk menemani OKU berkenaan. Ini antara cabaran yang dihadapi RDA Terengganu, iaitu kekurangan sukarelawan.

Sehingga kini terdapat kira-kira 3,000 OKU yang ditempatkan di kelas pendidikan khas di 90 buah sekolah rendah dan 50 buah sekolah menengah di seluruh Terengganu.

Ahmad berkata komitmen tinggi daripada ibu bapa juga diperlukan kerana setiap sesi latihan perlu dipatuhi jadualnya untuk melihat perkembangan positif anak mereka.

"Apabila terpilih menyertainya, saya mahu semua yang terlibat memberi komitmen dan berdisiplin agar matlamat program terapi berkuda ini berjaya.


Rawatan terapi kuda di Terengganu Equestrian Resort, Kuala Ibai, Terengganu

TERAPI SECARA PERCUMA

Pengerusi RDA Malaysia, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman pula berkata persatuan ini adalah organisasi yang diwujudkan bukan berlandaskan keuntungan tetapi lebih kepada kerja sukarela menyediakan terapi menerusi kaedah menunggang kuda.

"Mungkin selama ini, ramai yang beranggapan aktiviti berkuda bersifat eksklusif kepada golongan berada sahaja, namun bagi terapi ini kami menyediakannya secara percuma.

"Alhamdulillah, bagi RDA Terengganu, sebuah syarikat korporat iaitu Excellent Far East Development Berhad telah memberi tajaan sebanyak RM50,000 dan kita harap tajaan ini akan diteruskan," katanya.

Beliau juga berharap lebih ramai sukarelawan menyokong program ini di samping lebih banyak syarikat swasta dan korporat menaja terapi kuda agar ia terus dinikmati oleh ramai OKU di Terengganu.

Oleh Kamaliza Kamaruddin
Sumber: BERNAMA

1 comments:

Aishah Jahirah berkata...

first time dengar sal terapi kuda utk OKU...memang sponsor kena ada sbb costly jugak tu...:)