24 November 2013

Muzium Kamera George Town ~ Garis Masa 200 Tahun Kamera



PELUANG berkunjung ke Muzium Kamera yang terletak di George Town, Pulau Pinang memberikan perspektif yang berbeza mengenai dunia kamera.

Rasa teruja untuk melihat sendiri bentuk dan rekaan kamera yang digunakan pada 200 tahun lalu membuak-buak apatah lagi ia muzium kamera pertama di Asia Tenggara.

Pencapaian tersebut membolehkan muzium ini mencatat nama dalam Malaysia Book of Records pada 23 Julai 2013 lalu. Muzium berharga RM1 juta ini dirasmikan pada 31 Ogos 2013 lalu.


Salah seorang Pengarah Muzium Kamera iaitu Najieb Ariff Nazir Ariff, 35, berkata muzium itu merupakan ilham bersama enam orang rakannya yang lain iaitu Tony Chng, 34; Chris Cheah, 33; Venus Khor, 28; Lance Ooi, 27; Paul Lee, 27 dan Adrian Soh, 26. Kesemua mereka merupakan jurugambar profesional dan pencinta seni fotografi.

"Idea untuk membuka muzium kamera ini tercetus pada awal tahun 2012 apabila Chng dan Ooi bertemu seorang rakan mereka yang juga pengumpul kamera vintaj pada sebuah majlis makan malam di Terengganu. Chng dan Oii tertarik dengan kamera lama jenis Rolleiflex yang digunakan rakan mereka itu untuk merakam gambar pada majlis tersebut.


MUZIUM Kamera yang dibuka pada 31 Ogos lalu ini bernilai hampir RM1 juta.

Vintaj

"Ketika itu, mereka secara berseloroh memberitahu alangkah bagusnya jika mereka dapat mengumpul kesemua koleksi kamera lama itu," ujar Najieb.

Najieb memberitahu, kamera vintaj dipilih kerana ia sukar diperoleh sekarang.

"Kebanyakan orang kini memiliki telefon bimbit yang dilengkapi kemudahan kamera. Mereka juga boleh memuat naik gambar yang diinginkan pada bila-bila masa dan di mana jua. Tetapi jangan lupa, 20 tahun lalu kita masih menggunakan filem untuk menghasilkan gambar.

"Pengalaman mengendalikan kamera lama ini juga sangat mencabar. Bayangkan kerja untuk menghasilkan sekeping gambar juga memakan masa yang lebih lama berbanding kamera digital.

"Jadi, Muzium Kamera ingin membawa kembali kenangan fotografi serta mendidik anak-anak muda mengenai asal usul kamera.

"Kami memilih Pulau Pinang sebagai lokasi muzium ini disebabkan kebanyakan daripada kami berasal dari negeri ini. Secara tidak langsung, kami mahu menyumbang kepada industri pelancongan negeri menerusi muzium ini," tambahnya.


HAMPIR 70 peratus kamera lama di muzium ini masih berfungsi dengan baik.

Muzium dua tingkat seluas 371 meter persegi ini menempatkan pameran fotografi dan kedai menjual barangan cenderamata serta kafe di tingkat bawah manakala galeri pameran yang menempatkan lebih 300 kamera vintaj di tingkat atas.

Melangkah masuk ke pekarangan muzium ini, pengunjung dihidangkan dengan pameran fotografi karya jurugambar dokumentari, Maggie Steber serta beberapa replika kamera lama.

Penulis dibawa ke tingkat atas yang menempatkan kamera vintaj, bilik pinhole, bilik obskura dan bilik gelap oleh seorang kakitangan muzium yang bertindak sebagai pemandu pelancong, Mohd. Azzeem Mohd. Naim, 22.

Sebelum memasuki ruang pameran utama, penulis terlebih dulu diterangkan tentang konsep keseluruhan ruang di tingkat atas menggunakan peta. Di sini, pengunjung dapat merasai pengalaman fotografi dengan cara yang berbeza.

Di bilik obskura, pengunjung boleh mengendalikan kamera pertama di dunia, iaitu kamera obskura.

Kamera ini membenarkan cahaya masuk melalui lubang kecil dan menghasilkan imej songsang yang kemudiannya diunjurkan dari cermin bersudut ke panel kaca pada peranti, di mana kertas boleh diletakkan di atasnya supaya imej dapat dikesan.


BILIK gelap ini hampir 100 peratus sama dengan bilik gelap fotografi yang sebenar.

Koleksi unik

Kamera merupakan sejenis alat optik yang merekodkan imej yang boleh disimpan secara langsung dan dihantar ke lokasi lain. Ia diterjemahkan melalui paparan gambar atau imej bergerak seperti video dan filem.

Istilah kamera berasal daripada perkataan Latin, obscura yang bermaksud bilik gelap.

"Pengunjung turut berpeluang mengendalikan kamera antik yang sebenar serta menghayati sejarah kamera sejak abad ke-19 hingga abad ke-21," beritahu Najieb.

Koleksi kamera perisik dan kamera untuk senapang ciptaan Jepun yang digunakan semasa Perang Dunia Kedua pula menghiasi sebuah bilik unik di muzium ini.

Penulis seterusnya dibawa ke replika bilik gelap yang juga bilik untuk memproses gambar bagi mendidik pengunjung tentang cara gambar filem dihasilkan.

"Terdapat dua bahagian di bilik gelap ini iaitu kawasan kering dan basah tetapi kami tidak menggunakan bahan kimia sebenar untuk memproses gambar disebabkan ia agak bahaya untuk kanak-kanak.

"Replika bilik gelap ini hampir sama dengan keadaan bilik gelap yang sebenar," beritahu Najieb.

Sebahagian daripada koleksi kamera di muzium ini diperoleh dari lebih 20 negara termasuk Jepun, Rusia, China, Jerman, India dan Amerika Syarikat (AS). Ia dibeli secara online melalui laman web eBay.

"Di Malaysia, kami memperoleh koleksi kamera daripada pengumpul kamera lama dan kedai barangan antik di sekitar Terengganu dan Perak," ujarnya sambil memberitahu, penggunaan slogan Bring Back the Time menjadi tema kepada muzium itu.


SEJARAH penciptaan kamera diterjemahkan melalui garis masa di muzium ini.

Tambahnya, antara jenis kamera yang terdapat di muzium itu ialah SLR, kamera polaroid, kamera obskura, kamera pengintip, kamera refleks lensa berkembar, kamera, kamera plat basah dan kamera lipat.

"Kami juga ada mempamerkan koleksi kamera untuk kanak-kanak yang berbentuk karakter kartun Bugs Bunny, Barbie dan Spiderman yang dibawa dari Amerika Syarikat.

"Pengunjung dikenakan bayaran masuk sebanyak RM20 bagi dewasa dan RM10 bagi pelajar dan warga emas manakala percuma bagi kanak-kanak bawah 12 tahun," jelasnya yang mempunyai lapan orang kakitangan.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang melihat peralatan lain yang digunakan bersama kamera seperti tripod buatan AS.

"Kamera yang digunakan pada tahun 1800 sangat berat dan panjang. Kadangkala sesi bergambar memerlukan masa sekitar empat hingga lapan jam bagi sekeping gambar.

"Tripod ini digunakan bagi memastikan gambar yang diambil tidak kabur atau bergegar," tambahnya sambil memberitahu hampir 70 peratus kamera lama yang terdapat di muzium itu masih berfungsi.

Jelasnya, pihaknya juga ada menjual cenderamata yang berasaskan kamera seperti mug bermotifkan lensa kamera, pelekat magnet dan baju-T yang dijual pada harga antara RM5.90 hingga RM200.

Sumber: Kosmo

0 comments: