Nuff Atas

16 November 2013

EBB ~ Perbankan Untuk Komuniti



SUASANA di sekitar Kampung Bukit Cheraka yang terletak di mukim Jeram, Kuala Selangor pada pagi itu tampak tenang.

Sesekali kelihatan beberapa motosikal yang dinaiki penduduk berlegar di jalan raya. Ia diselang-seli dengan kehadiran beberapa jentera pengangkut buah kelapa sawit yang muncul dari ladang-ladang berhampiran kampung itu.

Aminuddin Sarman, 52, asyik memerhatikannya dari satu sudut kedai runcit miliknya yang terletak di bahu jalan raya itu. Fikirannya terasa lapang, lagipun dia menggemari suasana desa seperti itu, jauh daripada hiruk-pikuk kota yang menyesakkan fikiran.


Lamunannya terhenti apabila melihat sebuah kenderaan tiba-tiba memasuki pekarangan kedai runcit yang diusahakan bersama isterinya, Zamnah Sharif, 51, selepas bersara daripada pasukan polis trafik kira-kira tujuh tahun lalu.

Seorang lelaki muncul di hadapannya sambil menggenggam beberapa helai kertas di tangan.

"Nak bayar bil ke? Jika begitu, kena ke kaunter di sebelah sana untuk buat pembayaran," katanya sambil menunjukkan sebuah bilik khas tertera imej 'pokok duit', logo rasmi Bank Simpanan Nasional (BSN).

Bagi Aminuddin, itulah rutin hariannya sejak dilantik sebagai ejen bank berdaftar (EBB), perkhidmatan yang diperkenalkan BSN sejak Januari tahun lalu, bertujuan memberi akses perbankan berkualiti kepada masyarakat di kawasan yang mempunyai akses perbankan terhad.


KEDAI runcit milik Aminuddin (dua dari kiri) kini menjadi tumpuan penduduk sekitar mendapatkan transaksi perbankan asas yang ditawarkan BSN.

Pusat sehenti

Jika sebelum ini, kedai runcit itu menjadi tumpuan penduduk sekitar untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian, kini ia menjadi pusat sehenti BSN yang menawarkan pelbagai transaksi perbankan asas seperti penyimpanan dan pengeluaran tunai, pemindahan dana dan pembayaran bil.

Bercerita mengenainya, Aminuddin berkata, ketika perkhidmatan EBB mula diperkenalkan di kampung itu, sambutan yang diterima daripada penduduk agak dingin.

Jelasnya, selain ramai tidak memahami konsep EBB, yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Perbankan Tanpa Cawangan BSN, mereka juga sudah terbiasa berurusan di cawangan BSN di Jeram, terletak kira-kira lapan kilometer dari kampung itu.

"Saya akui, pada peringkat awal dulu ramai yang kabur, tidak kurang juga meragui konsep yang dilaksanakan. Tidak hairanlah, dalam tempoh dua bulan pertama, transaksi yang dilakukan tidak sampai dua muka surat, itupun terdiri daripada rakan-rakan rapat dan jiran tetangga sahaja.

"Bagaimanapun, semuanya berubah selepas kakitangan BSN mula turun padang dan mengadakan kempen dan sesi penerangan kepada penduduk. Sejak itu jumlah pelanggan saya meningkat mendadak dengan purata 70 transaksi sehari," katanya yang merupakan anak jati kampung itu.

Jelas Aminuddin, disebabkan komited untuk memberi perkhidmatan terbaik, mendorong dia mengeluarkan modal sendiri membina sebuah kaunter khas bersebelahan kedai runcitnya bagi tujuan tersebut.

"Ia tidak termaktub dalam perjanjian sebagai ejen, namun saya lakukan secara sukarela bagi memberi keselesaan kepada para pelanggan. Sekurang-kurangnya mereka mempunyai pilihan untuk melakukan transaksi di dalam kedai atau di kaunter yang dikhaskan," ujarnya.

Kata Aminuddin, sebagai ejen, dia menawarkan perkhidmatan perbankan itu mengikut waktu operasi perniagaan yang dijalankannya bermula dari pukul 8 pagi hingga 10 malam termasuk pada hujung minggu atau cuti umum.


KAUNTER khas ini dibina Aminuddin bersebelahan kedai runcitnya demi keselesaan pelanggan.

Kelebihan Perkhidmatan EBB

Sementara itu, Naib Presiden Kanan BSN, Azaddin Ngah Tasir berkata, BSN merupakan institusi perbankan pertama yang menggunakan perkhidmatan seumpama itu di Malaysia.

Bermula dengan hanya 200 ejen ketika ia dilancarkan pada Januari 2012, sehingga September tahun ini terdapat 4,697 EBB di seluruh negara.

Katanya, konsep sedemikian sebenarnya sudah lama dilaksanakan di beberapa negara seperti Brazil, Colombia, India, Filipina dan Peru.

"EBB merupakan sebahagian daripada perkhidmatan perbankan ejen yang diperkenalkan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mendekatkan pelanggan kepada perkhidmatan kewangan di kawasan yang tiada kemudahan perbankan.

"BSN mengambil tanggungjawab itu sebagai sebuah bank komuniti. Di samping itu, perkhidmatan ini juga memberikan kelebihan kepada kami untuk mendekati pelanggan-pelanggan, khususnya di luar bandar tanpa perlu membuka cawangan baharu yang melibatkan kos yang tinggi," katanya.

Azaddin yang juga Ketua Jabatan Perniagaan Komuniti BSN berkata, biarpun tanpa cawangan, orang ramai masih boleh mendapatkan perkhidmatan BSN untuk tujuan simpanan, pengeluaran, pembayaran bil, pembelian simpanan Sijil Simpanan Premium (SSP), pembelian tanpa tunai dan tambah nilai prabayar.

"EBB mampu menjimatkan kos dan masa kerana setiap ejen beroperasi di kawasan sekitar kediaman penduduk di samping waktu beroperasi yang fleksibel serta lebih panjang berbanding di bank.

"Apa yang lebih penting, pelanggan tidak dikenakan sebarang caj ketika membuat setiap transaksi," jelasnya.

Syarat-syarat ejen

Ujarnya lagi, terdapat beberapa syarat yang ditetapkan untuk menjadi ejen. Antaranya, mempunyai rekod kewangan kukuh, mempunyai perniagaan sendiri, mempunyai akaun BSN di bawah entiti perniagaan serta lokasi premis melebihi lingkungan lima kilometer dari cawangan BSN terdekat.

Kata beliau, selepas menjalani beberapa sesi kursus dan latihan, setiap EBB akan diberikan alat terminal Point Of Sale (POS) yang boleh digunakan untuk membuat pengesahan butiran peribadi pelanggan sama ada melalui kad pengenalan, cap jari dan kad mesin pengeluar wang automatik.


BIARPUN terletak di kawasan bandar, Swee Mei mampu mengendalikan antara 150 hingga 160 transaksi sehari.

"Ia berfungsi secara dalam talian dan masa nyata yang dihubungkan dengan sistem utama BSN menggunakan perkhidmatan radio paket umum (GPRS). Pengunaan sistem ini membolehkan kami memantau sebarang transaksi yang dilakukan di samping memastikan alat terminal POS ini tidak dibawa keluar dari kawasan premis.

"Pada masa sama, proses transaksi yang dilaksanakan juga memerlukan kehadiran pelanggan untuk mengesahkan nombor pengenalan peribadi dan cap jari, sekali gus mengurangkan risiko penipuan," jelasnya.

Menurut Azaddin, sehingga Oktober tahun 2013 ini sebanyak 9.5 juta transaksi yang melibatkan nilai melebihi RM842 juta telah direkodkan di seluruh negara.

"Lebih 80 peratus transaksi melibatkan bayaran bil utiliti manakala selebihnya simpanan, pengeluaran, SSP, belian tanpa tunai dan tambah nilai prabayar.

Sementara itu, seorang EBB BSN di Taman Sri Rampai, Setapak, Kuala Lumpur, Choy Swee Mei, 43, berkata, biarpun premisnya dikelilingi pelbagai kemudahan seperti bank, pejabat pos, stesen minyak dan sebagainya, namun dia tidak berhadapan masalah untuk mendapatkan pelanggan.

Mengusahakan kedai fotografi bersama suaminya, Raymond Chow, 48, sejak 23 tahun lalu, Swee Mei memberitahu, dia tertarik untuk menjadi ejen sejak April tahun 2012 lalu kerana mahu mempelbagaikan cabang perniagaan sedia ada.

"Sebelum ini kami hanya menawarkan khidmat fotografi, fotostat, membuat kunci, menjual kad dan tambah nilai prabayar. Sebagai ejen, kami berpeluang menawarkan perkhidmatan perbankan kepada pelanggan dan masyarakat setempat.

"Apa yang lebih penting, bagi setiap transaksi, ejen akan mendapat komisen tertentu yang mampu menjana pendapatan tambahan dalam perniagaan," katanya.

Ia termasuk promosi dari mulut ke mulut serta mengedarkan risalah di kenderaan dan penduduk-penduduk di sekitar taman perumahan berhampiran.

Sumber: Kosmo

0 comments: