SEMASA krisis penutupan operasi kerajaan AS baru-baru ini, antara agensi yang teruk terjejas ialah perkhidmatan pos negara itu, US Postal Service. Walaupun krisis itu sudah berakhir, kesannya masih berpanjangan ke hari ini.
Secara umumnya, zon penghantaran seseorang posmen menyerupai amalan di Malaysia. Seorang posmen ditugaskan di sesebuah zon perumahan, bagi memudahkan mereka kenal alamat dan selok-belok alamat rumah yang dituju. Mungkin ada sekumpulan posmen yang bergilir-gilir mengikut shif.
Di Amerika Syarikat, ada sedikit perbezaan. Seorang posmen akan ditugaskan secara tetap di sesuatu zon perumahan, selama mana dia masih bertugas. Keadaan ini menyebabkan seseorang posmen begitu dikenali di sesuatu kawasan kejiranan.
Beberapa minggu yang lalu, seorang posmen di Detroit, Michigan, AS menjadi perhatian. Semasa menghantar surat dengan berjalan kaki, Darrian Crutcher terserempak dengan rumah yang sedang terbakar, dengan pemiliknya berada di dalam. Crutcher bergegas mendapatkan getah paip air, masuk ke rumah dan memadamkan api sehingga bomba tiba.
Seorang anggota bomba yang ditemubual stesen televisyen memuji kecekapan Crutcher memadamkan api tersebut, malah memintanya untuk menyertai perkhidmatan bomba. Yang menariknya kisah tersebut, Crutcher setelah selesai membantu memadamkan api, kembali meneruskan kerjanya menghantar surat.
Dijejaki kemudiannya oleh stesen televisyen, Crutcher menolak pujian mengatakan dia seorang hero. ''Ia hanyalah satu rahmat untuk saya berada di tempat tersebut tepat pada masanya," ujarnya.
Selain isu ancaman terhadap masa hadapan perkhidmatan pos yang kekurangan dana, posmen juga terpaksa menghadapi bahaya semasa menjalankan tugas iaitu serangan anjing. Menurut laporan, sebanyak 33 kes serangan anjing dilaporkan terjadi ke atas posmen di Detroit tahun lalu. Los Angeles mencatat kes serangan tertinggi iaitu 69 kes.
Kisah posmen berhati mulia tidak khusus kepada Crutcher. Awal bulan yang lalu di North Carolina, seorang posmen melakukan inisiatif sendiri untuk memeriksa seorang lelaki yang tidak menunggunya di pintu. Setiap bulan, Michael Wheeley akan menghantar bungkusan ubat kepada lelaki tersebut.
Dalam pemeriksaan tersebut, Wheeley menemui lelaki itu yang baharu sahaja terkena angin ahmar, berbaring di dalam rumah dan tidak boleh bergerak. Penjaganya telah berhenti dan lelaki itu telah tidak makan atau mengambil ubatnya selama tiga hari.
Sama seperti Crutcher, jawapan yang diberi oleh Wheely: ''Saya tidak berhak menerima pujian atau apa-apa... Saya sekadar melaksanakan tugas saya''.
Walaupun terpaksa menempuh pelbagai halangan dalam menjalankan tugas namun hakikatnya ramai posmen yang berhati mulia dan jujur dalam menunaikan tanggungjawab kepada masyarakat. - Gambar hiasan
Pada Januari lalu, seorang posmen di Ohio mendapati tuan rumah yang lazimnya menyapanya di pintu tidak muncul dan tiada kesan tapak kaki dalam salji. Jason Jones menghubungi polis untuk memeriksa rumah. Polis kemudiannya menemui lelaki berusia 91 tahun itu dalam keadaan pitam, kelaparan dan keletihan.
Seorang lagi posmen, Kathy Stratton turut membuat penyelamatan serupa tahun lalu, setelah mendapati pemilik rumah yang mesra tidak memungut surat yang dihantarnya. Kathy menghubungi polis, yang menemui lelaki itu terbaring di atas lantai akibat angin ahmar selama dua hari.
Kisah posmen yang paling istimewa membabitkan seorang lagi posmen di Detroit iaitu John Dick yang menerima anugerah Humanitarian of the Year daripada National Association of Letter Carriers. Dick menjalin persahabatan dengan seorang pelanggan dan memenuhi permintaan terakhirnya sebelum meninggal dunia tahun 2012 lepas.
Menurut akhbar Royal Oak Tribune, Dick dan Gregg Glowacz menjadi rapat berikutan minat mereka terhadap motosikal. Selepas Glowacz menjalani pembedahan dan terkena dua serangan angin ahmar, dia tidak lagi boleh bergerak.
Dick kerap mengunjunginya di hospital, menghantar surat kepadanya. Apabila keadaan kesihatan Glowacz semakin teruk, dia hilang keupayaan untuk bercakap dan akhirnya menyampaikan hasrat supaya alat sokongan hayatnya dihentikan. Namun semasa hari-hari terakhirnya,
Dick membawa Glowacz menunggang motosikal. Kedua-duanya kemudian, ditemani anggota keluarga dan sahabat-handai meraikan Glowacz dalam parti keraian. Isteri mendiang Glowacz turut hadir pada majlis penganugerahan Dick tersebut.
Saya tidak pasti sama ada kita di Malaysia ada hubungan seumpamanya dengan posmen. Mungkin kerana setiap kali posmen menghantar surat, kita tiada di rumah. Bila pulang dari tempat kerja, surat ada di dalam peti surat. Satu-satunya peluang bercakap dengan posmen ialah kalau surat itu perlu ditandatangani. Itu pun jawab soalan yang asas. Jarang sekali berborak lebih. Kita faham posmen banyak lagi surat hendak dihantar.
Saya tahu ada kalangan pembaca yang akan mengingati kes-kes posmen menyorok atau membuang surat. Mengapa orang itu memilih untuk bekerja menjadi posmen tetapi malas menghantar surat, adalah suatu soalan yang berputar-putar di kepala. Tetapi anggaplah kes itu sebagai kes terpencil. Kes seumpamanya turut terjadi di luar negara.
Dalam era Internet hari ini, kemunculan posmen tidak lagi sesuatu yang sangat ditunggu-tunggu. Bukan hendak merendahkan tugas posmen. Realitinya surat-menyurat berbentuk nyata (berbentuk lembaran kertas) hari ini tidak lagi wujud secara meluas di kalangan orang ramai melainkan surat menyurat berbentuk rasmi.
Generasi hari ini lebih selesa berutus e-mel, malah dalam perutusan surat rasmi sekali pun, ramai yang memilih kaedah e-mel. Mungkin ada yang masih suka menggunakan faksimili tetapi sama seperti kertas surat, kaedah ini dianggap 'ketinggalan zaman'.
Sebaliknya, kebanyakan warkah yang dihantar oleh posmen hari ini adalah berupa bil-bil, penyata bank, surat peguam, iklan-iklan dan paling lemah lutut dibuatnya, surat saman AES.
Namun, walau apa pun surat yang dihantar oleh posmen hari ini, fungsi mereka masih relevan dan tidak mungkin dihapuskan. Tidak selagi konsep tanpa kertas masih sesuatu yang sukar diamalkan di Malaysia.
Oleh Johardy Ibrahim
Sumber: Utusan [27102013]
0 comments:
Catat Ulasan