04 November 2013
Pahang Juara Piala Malaysia 2013
Setelah 21 tahun menanti, Pahang akhirnya berjaya menamatkan kemarau trofi Piala Malaysia selama lebih dua dekad tersebut apabila mengejutkan juara bertahan, Kelantan 1-0 dalam aksi final edisi ke-87 di Stadium Shah Alam, pada malam 3 November, 2013..
Sekalung tahniah buat pemain import dari Argentina, Matias Conti yang muncul wira Tok Gajah, apabila jaringan tunggalnya pada minit ke-58 sudah cukup buat Pahang memahat sejarah merangkul kejuaraan ketiga dalam sejarah penganjuran Piala Malaysia selepas melakukannya (juara) pada tahun 1983 dan 1992.
Gol tunggal penyerang import Pahang, Matias Ruben Conti itu, sekali gus mengecewakan hasrat Kelantan mempertahankan trofi Piala Malaysia yang dijulang mereka musim 2012 yang lalu.
Permainan antara kedua-dua pasukan seperti kurang bernyawa pada babak pertama ekoran hujan lebat sebelum perlawanan bermula yang banyak merencatkan pergerakan bola.
Sorakan lebih 30,000 penyokong Sang Kijang dilihat bergemuruh seketika pada minit ke-22 namun jaringan Norfarhan Mohamed dibatalkan selepas terlebih dahulu berada dalam kedudukan ofsaid.
Keputusan kontroversi pengadil perlawanan, Nagor Amir Noor Mohamed yang tidak memberikan sepakan penalti selepas Dickson Nwakaeme dikasari Stewart pada minit ke-25 juga mengundang kemarahan pengendali Kelantan, Bojan Hodak.
Di hadapan 85,000 penonton yang membanjiri stadium, Conti akhirnya muncul wira Tok Gajah apabila bijak menanduk masuk gol kemenangan yang melepasi jangkauan Khairul Fahmi hasil hantaran pemain terbaik perlawanan, Azamuddin pada minit ke-58.
Kali terakhir Pahang menjuarai Piala Malaysia apabila mengecewakan Kedah 1-0 di pentas final.
Sumber: Kosmo, Utusan
PENYERANG utama Pahang, Matias Ruben Conti meraikan kejayaannya menjaringkan gol pertama, sekali gus menjadi gol kemenangan pasukannya pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam ini. Pahang mengalahkan Kelantan 1-0. [Utusan]
MATIAS Conti (kiri) dan Mohd. Azamuddin Akil (kanan) meraikan kemenangan pasukan Pahang selepas mengalahkan Kelantan 1-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam. [Utusan]
CONTI muncul wira Pahang selepas menjaringkan gol kemenangan pasukannya pada aksi final menentang Kelantan di Stadium Shah Alam.
PEMAIN-PEMAIN Pahang menjulang trofi Piala Malaysia selepas menewaskan Kelantan 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam.
Dollah rasa puas Pahang juara
Jelas jurulatih Tok Gajah, Dollah Salleh, pemain telah manfaatkan peluang dan menunjukkan kemampuan sebenar mereka dan kemenangan semalam bukanlah hanya nasib semata-mata.
"Ini adalah berkat kerja keras semua pemain," katanya yang pernah menjulang Piala Malaysia pada 1992 sebagai pemain dan itu adalah kali terakhir Pahang muncul juara sebelum menamatkan penantian, pada malam tersebut.
Sementara itu, jurulatih Kelantan, Bojan Hodak berkata, Pahang bijak menggunakan kesempatan selepas ketiadaan pertahanan import mereka, Obinna Nwaneri seterusnya menggagalkan peluang mereka mempertahankan Piala Malaysia.
"Ini adalah perlawanan terakhir saya, tetapi lebih bagus kalau kami menang tetapi apa boleh buat, saya memang tidak puas hati dengan kekalahan ini," katanya yang akan meninggalkan pasukan Kelantan musim depan.
Hodak berulang kali mengulangi bahawa kekalahan ini adalah disebabkan mereka bermain tanpa Nwaneri dan terlepas beberapa peluang untuk menjaringkan gol termasuk keadaan padang basah akibat hujan lebat sebelum perlawanan.
Sumber: Utusan
Wira Tok Gajah dapat RM30,000
Pada 27 November, 2013, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob mengumumkan ganjaran wang tunai RM30,000 setiap seorang kepada seluruh pemain, pegawai termasuk pasukan sokongan skuad Tok Gajah ekoran kejayaan mereka memenangi Piala Malaysia 2013.
Adnan berkata, ganjaran wang tunai tersebut begitu berbaloi dengan semangat dan pengorbanan Pahang sehingga menjuarai piala berprestij itu.
"Jika dilihat kepada usaha gigih mereka, usaha itu sebenarnya tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Jadi, pemberian RM30,000, ini sebagai penghargaan kerajaan negeri atas kejayaan gemilang itu," katanya.
"Kalau menang lagi (musim hadapan) mungkin kita akan gandakan atau beri tiga kali ganda daripada jumlah ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Makan Malam dan Ramah Mesra Bersama Pasukan Bola Sepak Pahang di Kuantan
Sumber: Utusan [28/11/2013]
Labels:
Sukan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan