14 Disember 2013

Ahmad Ammar Syahid Di Bumi Turki



KETENANGAN di bumi Turki pada hari itu sama seperti hari-hari yang sebelumnya. Penduduk setempat sibuk dengan rutin seharian manakala mereka yang memandu di kawasan berbukit di sekitar Istanbul begitu berhati-hati.

Namun, pada pagi dua hari sebelum sambutan Awal Muharram itu merupakan hari yang cukup istimewa kepada seorang anak muda kelahiran Kuala Lumpur, Ahmad Ammar Ahmad Azam, 20. Ia menjadi titik permulaan dalam hidupnya kerana bakal mengajar pelajar-pelajar baharu mengenai risalah An-Nur di sebuah madrasah.

Dia begitu berhati-hati menuruni bas yang dinaiki dari madrasahnya di Mobilyacilar sambil mendengar alunan muzik seruling Ney, instrumen yang menjadi kegemaran Jalaluddin Ar-Rumi. Jalaluddin atau lebih dikenali sebagai Rumi merupakan penyair tersohor dari Parsi yang banyak mempengaruhi penulisan dan budaya masyarakat Islam.


Ketika cuba melintas di satu persimpangan jalan, langkahnya terhenti. Tubuhnya seakan-akan hilang imbangan lalu dia terjatuh. Pada saat itu jugalah sebuah van ambulans yang datang dari belakang merempuh tubuhnya. Dia terkulai di tepi jalan, namun digagahkan juga berdiri meminta bantuan daripada pemandu van ambulans yang melanggarnya.

Namun, sudah tertulis di Luh Mahfuz, hayat siswa Universiti Marmara, Istanbul, Turki itu dipinjamkan sehingga 2 November 2013. Hari ini masuk sebulan pemergian anak keempat daripada lima beradik itu.

"Pelbagai versi yang saya dengar tentang kemalangan itu. Apa pun, Allah telah menyusun perjalanan hidup Ahmad Ammar. Memang sedih tetapi saya reda dengan ketentuan-Nya," luah ibu arwah Ahmad Ammar, Nur Azlina Abdul Aziz .

Kenangan manis

Menurut laporan bedah siasat, Ahmad Ammar mengalami kecederaan teruk pada organ dalaman yang mengakibatkan dua tulang rusuknya patah. Apa yang mengejutkan Nur Azlina ialah tiada kesan darah ditemui pada tubuh Ahmad Ammar.

Namun, kenangan bersama Ahmad Ammar, terus mekar di dalam hati Nur Azlina.

"Saya tidak pernah berasa kehilangan Ahmad Ammar kerana dia sentiasa bersama saya. Jika dahulu, dia berada jauh di negara orang tetapi kini dia seperti sentiasa berada di sisi saya, setiap masa," katanya.


Penghormatan tertinggi. Jenazah Ahmad Ammar disemadikan di tanah perkuburan sahabat Rasulullah SAW, Abu Ayub al-Ansari.

Kisah Ahmad Ammar tiba-tiba menjadi bualan di laman-laman sosial, sehinggakan pemergiannya diangkat setinggi pemimpin agung Islam dan ditempatkan bersama sahabat-sahabat nabi di Eyub Sultan, Turki. Di pinggir Konstantinople itu letaknya makam Saidina Abu Ayub al-Ansari iaitu sahabat rapat Rasulullah yang meninggal dunia ketika menyertai kempen perang jihad fisabillah tahun 674 Masihi.

"Anak saya seperti remaja-remaja lain, cuma beza Ahmad Ammar ialah akhlaknya. Ketika orang sibuk bertanya tentang keperibadian arwah, saya cuba ingat kembali, berapa kali saya meninggikan suara atau jika pernah terdetik perasaan marah kepadanya.

"Baru saya tersedar, tidak pernah sekali saya melakukan semua itu kepadanya. Dia anak yang mudah dijaga dan tidak pernah merungut," cerita Nur Azlina yang aktif dalam badan kebajikan amal.

Ibu kepada lima anak itu menambah, Ahmad Ammar seorang yang pendiam dan hanya bercakap apabila perlu saja sama ada bersama teman atau ahli keluarganya.

Sehinggakan kata Nur Azlina, guru sekolahnya pernah menelefon beliau semata-mata mahu memberitahu Ahmad Ammar tergelak di dalam kelas. Masa kecilnya, ujar Nur Azlina, dahi arwah sudah mempunyai garis-garis halus. Optimis wanita itu, anaknya mungkin berfikir tentang umat Islam di seluruh dunia.

Satu perkara yang mengagumkan tentang ibu bapa Ahmad Ammar ialah tiada riak kesedihan pada wajah mereka. Sebaliknya, terpancar ketabahan dan keredaan kedua-duanya baik kepada Nur Azlina dan suami, Ahmad Azam Abdul Rahman dalam setiap gerak geri dan butir bicara mereka. Sebagai ibu, bohonglah jika Nur Azlina tidak terkesan dengan pemergian Ahmad Ammar. Namun, beliau melihatnya dari sudut yang positif.

"Perasaan sedih itu bertukar syukur kerana peribadi dan sumbangan Ammar selama hayatnya membawa perubahan positif dalam dirinya," kata mantan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia itu.

Minat arwah dalam sejarah tamadun Islam dunia membawanya ke Turki untuk mendalami ilmu-ilmu Daulah Uthmaniyyah. Arwah terdorong daripada wawasan bapanya yang menjadikan Sultan Muhammad al-Fatih sebagai rujukan dalam hidup.

Percaturan Allah

Menurut Nur Azlina, beliau pernah bergurau dengan Ahmad Ammar dengan mengatakan Sultan Muhammad al-Fatih berjaya membina empayar Uthmaniyyah yang bertahan selama 600 tahun pada usia 21 tahun. Maka, Ahmad Ammar ada setahun lagi untuk menyumbang sesuatu kepada umat Islam.

Rupa-rupanya, pemergian arwah itulah yang memberi kesan mendalam kepada masyarakat Islam.


AHMAD AMMAR (dua dari kanan) merupakan pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia tahun 2010 di Maktab Tentera Diraja.

Sebagai bapa, Ahmad Azam menerima pemergian arwah anaknya sebagai satu percaturan yang telah ditetapkan Allah.

"Sebenarnya, saya sedang dalam pembinaan pejabat rasmi di Turki. Jarak antara Eyub Sultan dan pejabat itu hanya 10 minit perjalanan. Bolehlah saya melawatnya selalu di sana," katanya memasang impian.

Sementara itu, salah seorang sahabat karib arwah Ahmad Ammar, Muhammad Huzaifi Ali, 20, seboleh-bolehnya mahu memadamkan memori yang tercatat pada 2 November 2013 lalu.

Panggilan telefon dan mesej daripada rakan-rakan yang memaklumkan berita pemergian Ahmad Ammar merengut jantungnya.

'Adik dah meninggal'. Ayat pendek itu membuatkannya tergamam apatah lagi sahabatnya itu berkelana di perantauan untuk menimba ilmu.

"Kehilangan seorang rakan karib yang mesra dipanggil adik itu sangat terkesan di hati saya, namun saya bersyukur kerana arwah mendapat pengiktirafan tinggi daripada kerajaan Turki apabila jenazahnya dikebumikan di Eyub Sultan di Istanbul, Turki," katanya.

Memori singkat bersama arwah sewaktu sahabatnya itu pulang bercuti ke tanah air dua bulan lalu menerjah ke kotak fikiran Huzaifi. Dalam kesibukan memenuhi tugas sebagai seorang jurugambar, dia masih sempat bertemu Ahmad Ammar.

Arwah yang juga rakan sekolah ketika mereka menuntut di Sekolah Rendah Islam Al-Huda di Gombak, Selangor mencadangkan kepada Huzaifi supaya membuat satu sesi penggambaran korporat dengan menjadikan bapanya, Ahmad Azam sebagai model.

Catatan rakan karib

"Itu adalah pertemuan terakhir saya bersama arwah dan bapanya," ujar graduan Diploma Fotografi Universiti Teknologi Mara itu.

Antara pesanan arwah yang cukup berbekas di hati Huzaifi ialah supaya dia tidak terlalu bebas berkarya, sebaliknya memanfaatkannya kepada jalan dakwah.

Menerusi sebuah laman peminat di Facebook, Tribute Ahmad Ammar Ahmad Azam yang diwujudkan, terdapat satu catatan yang ditulis oleh seorang rakan karib arwah ketika menuntut di Universiti Marmara, Turki iaitu Muhammad Ahmad Zahid, 20.


RIBUAN rakyat Turki mengiringi jenazah Ahmad Ammar ke tanah perkuburan.

Anak muda ini merupakan individu yang bertanggungjawab mengalunkan surah al-Ikhlas sebanyak tiga kali ketika jenazah Ahmad Ammar diditurunkan ke liang lahad di tanah perkuburan Eyub Sultan, Istanbul.

Menerusi video berdurasi selama kira-kira 24 minit yang dimuat naik ke laman YouTube berjudul GPTD: Ahmad Ammar Dalam Kenangan (1993-2013), kelihatan seorang anak muda berkemeja T merah memegang mikrofon membaca surah tersebut.

Tindakannya itu hanya semata-mata mahu melaksanakan amanah arwah yang ketika hayatnya pernah secara berseloroh meminta Muhammad berbuat demikian jika sampai waktunya beliau menghadap Ilahi.

"Pada mulanya, beliau meminta saya mengaji pada majlis perkahwinannya pada masa akan datang. Selepas itu, arwah meminta saya mengaji, sekurang-kurangnya surah al-Ikhlas selepas dia meninggal dunia," katanya yang menggelar arwah dengan panggilan Abang Long.

Sumber: Kosmo

Dikebumi di Eyub Sultan

Istimewanya Ammar, apabila disemadikan di Perkuburan Eyub Sultan menghadap Laut Golden Horn, yang menempatkan lebih 60 jasad para sahabat nabi, auliya’, panglima Uthmaniyyah dan orang-orang kenamaan di Turki.

Kematiannya dikaitkan penghijrahan sahabat Nabi, Abu Ayyub al-Ansari dari Madinah ke Konstantinopel (Istanbul) yang akhirnya syahid di kota itu.

Begitulah juga dengan perjalanan hidup Ammar yang berhijrah dari Malaysia ke Istanbul, yang dikatakan syahid ketika dalam perjalanan untuk mengajar agama Tafsir Risalah An -Nur kepada pelajar baru dari Malaysia, Thailand dan Kemboja.

Berita arwah Ammar, rakyat Malaysia pertama dikebumikan di Eyub Sultan menjadikan negara dipandang tinggi dan sangat dihormati kerana masyarakat Turki menganggap orang luar yang disemadikan di situ, sudah pasti seseorang yang sangat istimewa.

Seorang pendakwah terkenal di Turki yang dikenali sebagai Omer Dongeloglu beri syarahan mengatakan bahawa Ammar adalah orang yang dimuliakan ALLAH dan dikira sebagai mati syahid. Pandangan itu turut sama dikongsi ulama lain di Turki.

Perkara itu membuatkan Ahmad Azam dan isterinya tertanya-tanya mengenai ‘kehebatan’ anaknya sehingga digelar sebegitu. Malah, jenazah Ammar juga kelihatan percikan peluh di dahi dan bawah kelopak mata ketika dikafankan – antara tanda kematian yang baik.

“Kami lihat wajah Ammar tenang, seolah-olah sedang tidur. Raut wajahnya kelihatan seperti tersenyum, sesuatu yang jarang kami lihat ketika hayatnya sebab mukanya sentiasa serius seakan-akan sedang memikirkan sesuatu,” katanya.

Persoalan itu akhirnya terjawab apabila rakannya memaklumkan kepada Ahmad Azam bahawa anaknya sudah menamatkan pengajian Tafsir al-Quran Risalah an-Nur, dalam tempoh lapan bulan.

“Saya sendiri tidak pernah tahu perkara ini. Tafsir ini, yang diasaskan Ustaz Bediuzzaman Said Nursi agak payah dan orang Turki sendiri ambil masa lama untuk tamatkan. Saya sendiri ada tafsir ini, tapi tak habis baca lagi.

“Disebabkan itu, ustaz kepada arwah Ammar ini menjalankan ujian terhadap Ammar dan dia telah lulus, sama mengikut kefahaman mereka. Akhirnya, ustaz mentauliahkan dia dan Ammar sudah boleh mengajar tafsir itu,” katanya

Ahmad Azam, yang juga bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) berkata, ketika kejadian Ammar dilanggar, ia merupakan hari pertama arwah mengajar pelajar baharu dari Malaysia, Thailand dan Kemboja.

“Takdir ALLAH, dalam perjalanan hendak mengajar Tafsir Risalah an-Nur, dia meninggal. Saya difahamkan, Ammar sudah melintas ketika itu, namun dia hilang imbangan, lalu terjatuh.

“Dalam beg yang dibawa Ammar waktu itu, dia memang hendak ajar tafsir tajuk pertama iaitu mengenai bab ikhlas sebab hanya sifat ini saja menjadikan semua amalan dapat pahala.

Di sinilah, baru saya nampak kenapa Ammar dimuliakan,” katanya. Ahmad Azam berkata, tiada kesan darah ditemui pada pakaian dipakai Ammar ketika kemalangan tersebut.

“Autopsi dijalankan untuk mengetahui punca kematian. Hasil pemeriksaan mendapati, tangan kiri dan dua tulang rusuk Ammar patah, serta kecederaan dalaman,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

0 comments: