13 Disember 2013

Islam Dan Neurosains



NEUROSAINS merupakan cabang ilmu yang berkaitan sistem saraf atau sistem neuron dalam kehidupan seharian. Sejak kebelakangan ini, pengetahuan itu cuba dikupas menerusi pelbagai istilah seperti kuasa minda, gelombang otak, penyakit mental dan sebagainya.

Lalu topik ini secara langsung telah menyebabkan para saintis Barat hari ini meletakkan neurosains sebagai keutamaan dengan Amerika Syarikat baru-baru ini melancarkan satu program yang dinamakan sebagai Brain Initiative (Brain Research Through Advancing Innovative Neurotechnologies) atau dikenali sebagai Projek Peta Aktiviti Otak sebagai landasan kajian ilmu berkenaan.

Bagaimanapun jika dilihat daripada perspektif Barat, kaedah neurosains dilihat sebagai proses sains biasa. Sedangkan menurut ajaran terkandung dalam agama Islam, neurosains mempunyai garapan roh, akal dan wahyu.


Menurut Pensyarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (Casis) Universiti Teknologi Malaysia, Prof. Madya Dr. Wan Suhaimi Wan Abdullah, dalam konteks ilmu jiwa atau psikologi, soal itu bukan merupakan suatu yang baru kerana ia wujud bersama kewujudan manusia di muka bumi ini.

Maka dengan sebab itu jelas beliau, ilmu itu merujuk kepada usaha manusia untuk memahami hakikat dirinya dan perkara demikian bermakna ia wujud seawal kejadian insan lagi seperti mana berlaku kepada Nabi Adam a.s semenjak baginda dicipta dan dipersiapkan sebelum diutuskan di muka bumi ini.

Tetapi terang Wan Suhaimi walaupun hakikat roh itu merupakan suatu rahsia Allah SWT, namun pengetahuannya yang mencakupi tentang hakikat insan diajar kepada para nabi dengan kadar diperlukan demi penerusan hidup selain bertujuan bermujahadah kepadanya.

"Pemerhatian awal ini menunjukkan bahawa kenyataan tentang jiwa dalam al-Quran dinyatakan dalam bentuk umum dan bukannya dalam konteks tertentu, ini bermaksud hakikatnya insan itu adalah sama untuk pelbagai era, begitu juga tahap capaian tentangnya dan kaedah."

"Untuk memahami hakikat insan, apa terpapar dalam al-Quran dan hadis cukup untuk dijadikan pedoman dalam usaha memahami hakikat insan. Dengan kata lain, pengkajian tentang jiwa dalam Islam sememangnya dipandu oleh wahyu dalam era mana sekalipun sebagai satu ketetapan pengetahuan berkenaan,"€ ujar Wan Suhaimi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kertas kerja bertajuk, 'Neurosains dan Hakikat Sains Dalam Islam: Penghujahan Ibnu Sina, al-Ghazali dan al-Baghdadi Tentang Kerohanian Jiwa Insan' dalam persidangan meja bulat Islam dan Neurosains anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di ibu negara, baru-baru ini.

Seminar sehari itu diadakan bertujuan untuk merumuskan pendirian umat Islam dalam meninjaui ilmu neurosains serta kaitannya menurut pandangan agama itu.

Wan Suhaimi berkata, hal ini berbeza denga tradisi Barat dalam kajian mereka tentang jiwa, khususnya falsafah Yunani kerana mengatakan suatu usaha akliah tidak terpandu apabila tafsiran tokoh-tokoh pemikiran itu berubah di antara kecenderungan melihat jiwa sebagai material terpisah daripada spiritual.

Ahli akademi itu menerangkan bahawa ketika kurun pertengahan konsep neurosains yang meliputi akal dan sains dipisahkan sehinggakan mereka cenderung menafikan aspek rohani dan lebih selesa memperkatakan aspek lahiriah semata-mata.

Hakikat neurosains dalam Islam 

Namun menurut pandangan Islam, penggunaan istilah seperti akal, ruh, nafs (jiwa) dan sebagainya merupakan salah satu perkaitan ilmu neurosains.

Sehubungan itu, Wan Suhaimi berkata kejadian insan yang digambarkan dalam al-Quran yang mengiktirafkan bahawa manusia dicipta dan diwujudkan hasil kombinasi harmoni di antara unsur fizikal serta spritual, akhirnya melahirkan kejadian baharu selain tidak boleh dipisahkan dalam konteks spiritual atau fizikal semata-mata.

Beliau menyimpulkan bahawa perjalanan kewujudan insan tidak akan terhenti di dunia, namun akan berakhir di destinasi akhirat kerana segalanya diperhitungkan di hadapan Allah.

Hakikat kedua adalah penciptaan insan bertujuan demi melaksanakan ibadah kepada Allah, sudah pastinya dengan hakikat kejadian insan dan diri iaitu merangkumi fizikal (perbuatan) dan spiritual kerana kesan amalan dipastikan melalui kedua-dua perkara berkenaan.

"Insan dalam Islam juga dikaitkan dengan ilmu kerana kewibawaanya untuk mencapai ilmu adalah suatu keistimewaan berbanding makhluk ciptaan Allah lain. Malah pembangunan ilmu dan keperibadian insan adalah berkait rapat antara satu sama lain, dengan kata lain neurosains tidak boleh terpisah antara akal dan jiwa.

"Perbezaan seterusnya adalah konsep insan dalam Islam adalah suatu komprehensif kerana ia tidak hanya menumpukan kepada pencapaian data dan fakta semata-mata bahakan turut menekankan kebenaran sebalik data tersebut. Hal ini bermakna, pembangunan ilmu dalam Islam tidak bergantung kepada deria luaran atau dalaman, tetapi menjangkaui kedua-duanya," jelas Wan Suhaimi.

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
Sumber: Utusan

0 comments: