07 Disember 2013

Kepelbagaian Taman Di Putrajaya


BURUNG Botak Padi ini merupakan antara spesies yang bersarang pada dahan-dahan pokok di Wetland Upper Bisa.

PERASAAN Pamella Lim, 27, amat teruja apabila melihat sekawan burung berterbangan di sekitar kawasan Wetland Upper Bisa, Presint 16, Putrajaya. Matanya fokus memerhatikan pergerakan burung-burung itu.

Apabila burung-burung itu hinggap pada dahan sebatang pokok di sebuah pulau buatan di tasik Putrajaya, dia ternyata terkejut apabila melihat spesies burung lain yang turut mendiami kawasan tersebut.

“Kehidupan burung-burung ini seumpama di habitat asalnya. Ia berterbangan dan hinggap di satu kawasan yang jarang diketahui umum. Dari belakang kawasan kejiranan Presint 16 ini, saya dapat melihat dengan jelas habitat mereka di situ,” ujar pegawai di sebuah syarikat swasta itu.


Dia dan rakan-rakannya yang mewakili syarikatnya sewaktu mengadakan lawatan di Putrajaya bersama Perbadanan Putrajaya (PPj) tidak menyangka terdapat kawasan pemerhati burung di situ.

Walaupun bukan seorang pemerhati burung, dia berpendapat Wetland Upper Bisa merupakan salah satu tarikan pelancongan yang wajib dikunjungi pengunjung di Putrajaya.

Wetland Upper Bisa merupakan kawasan terbaik untuk aktiviti pemerhatian burung. Bagi mereka yang menggemari subjek burung dalam karya fotografi, pengunjung boleh mengambil gambar dari pelbagai sudut dari seberang pulau buatan itu.

Walaupun dikelilingi bangunan kerajaan dan komersial seperti pusat beli-belah Alamanda dan Hotel Everly, pulau buatan itu merupakan kawasan terbaik untuk pembiakan burung spesies bangau dan pucung yang boleh hidup di tepi kawasan berair.

Selain itu, Bahagian Alam Sekitar, Tasik dan Wetland, PPj, telah merekodkan lebih 50 spesies burung yang dijumpai di kawasan tersebut.

Antara spesies burung yang dikenal pasti mendiami kawasan itu ialah pucung seriap, pucung serandau, bangau kendi, bangau kecil, pucung kuak dan botak padi.


NURUL Hidayat mengambil gambar rakan-rakannya berlatarbelakangkan kehijauan alam flora di Taman Saujana Hijau.

Musim pembiakan

Penolong Pengarah Kanan, Unit Pengurusan Ekologi, Bahagian Alam Sekitar, Tasik dan Wetland PPj, Normaliza Noordin memberitahu, dari Jun hingga Disember setiap tahun merupakan musim pembiakan bagi burung spesies air di pulau buatan itu termasuk burung yang bermigrasi dari luar negara.

Menurutnya, faktor utama burung-burung dari luar negara membuat habitat di Wetland Upper Bisa kerana ekosistem di kawasan tersebut sesuai untuk pembiakan.

“Pulau buatan itu merupakan kawasan kegemaran bagi spesies burung air untuk membuat sarang dan bertelur. Dengan persekitaran pulau yang sedikit jauh dari kawasan daratan, burung-burung selamat daripada ancaman pemangsa dan gangguan orang ramai.

“Pengunjung dapat melihat burung botak padi secara jelas. Spesies itu disenaraikan sebagai spesies terancam secara global oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Antarabangsa (IUCN) dan telah menjadikan kawasan tersebut sebagai habitat sejak empat tahun lalu,” ujarnya.

Tambahnya, burung-burung yang sedang bersarang di pulau buatan itu aktif sepanjang hari. Kebanyakan burung spesies air akan berehat di kawasan cetek sekeliling Wetland Upper Bisa.

Putrajaya diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan ketiga selepas Kuala Lumpur dan Labuan. Dengan keluasan empat hektar, jarak Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu kira-kira 25 kilometer dari Kuala Lumpur.

Putrajaya merupakan destinasi pelancongan yang paling hampir bagi warga ibu kota untuk meluangkan masa bersama keluarga atau rakan-rakan.

Sesuai dengan slogan Bandar Di Dalam Taman, Putrajaya kini mempunyai 12 buah taman yang menjadi tumpuan pelancong.

Antara taman tersebut ialah Taman Saujana Hijau di Presint 11. Taman ini merupakan sebuah kawasan yang sesuai bagi mereka yang gemarkan tumbuhan jenis gimnosperma tropika dan subtropika. Kawasan taman yang berbukit memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat panorama keseluruhan Putrajaya dengan lebih jelas.


LALUAN pejalan kaki memudahkan pengunjung menikmati kehijauan alam di Taman Saujana Hijau.

Suasana Eropah

Taman tersebut juga terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Saujana Utara, Saujana Tengah dan Saujana Selatan dalam kawasan seluas 47 hektar.

Pengunjung Taman Saujana Hijau, Nurul Hidayat Ismail, 25, memberitahu, tiga konsep dalam taman Saujana Tengah iaitu Bustan Inggeris, Bustan Oriental dan Bustan Eropah merupakan antara tarikan unik di taman tersebut.

“Suasana di Bustan Eropah dan Inggeris seperti seolah-olah berada di luar negara. Pemandangan seperti ini jarang dapat dilihat di Malaysia. Saya membawa rakan-rakan yang baru menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara untuk mengadakan sesi fotografi konvokesyen berlatarbelakangkan di kawasan tersebut.

“Saya juga sering berkunjung ke sini untuk bersantai dan beriadah bersama keluarga dan rakan-rakan. Wakaf-wakaf di sekitar taman sudah tentu menjadi pilihan untuk pengunjung beristirehat setelah penat mendaki kawasan berbukit,” ujarnya yang berasal dari Bangi, Selangor.

Taman Saujana Hijau menyediakan pelbagai kemudahan awam seperti laluan pejalan kaki, pelantar pemandangan, tempat teduhan, prasarana dan pusat pelawat bagi memenuhi keperluan pengunjung di situ.

Pengunjung berpeluang melihat pelbagai jenis bunga yang ditanam di setiap bahagian bagi membangkitkan mood seperti berada di luar negara.

Taman itu juga berpotensi untuk menarik para pelancong dari dalam dan luar negara yang berminat dengan keunikan seleksi hidupan flora dari seluruh dunia di negara ini.

Selain itu, laluan pejalan kaki juga merupakan trek yang sesuai bagi mereka yang ingin berjoging dan beriadah. Namun, laluan yang berbukit ternyata mencabar ketahanan fizikal pengunjung.

Bagi mereka yang berminat dengan tumbuhan unik, Black Boy atau nama saintifiknya, Macrozamia Moorei merupakan pokok yang harus anda lihat di taman itu.

Pokok yang berasal dari Queensland dan Carnarvon Range, Australia itu kebiasaannya ditanam di kawasan berbukit rendah, kering dan jurang berbatu. Namun, dua batang pokok berdaun melengkung yang boleh mencecah ketinggian sehingga lapan meter itu hidup subur di Taman Saujana Hijau.

Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
Sumber: Kosmo

0 comments: