07 Disember 2013

Kadar Purata Tarif Elektrik Naik 4.99 Sen Mulai 1 Januari 2014



Kali terakhir tarif elektrik negara dinaikkan ialah pada Jun 2011, dengan kenaikan 7.12 peratus iaitu 33.54 sen/kwj.

Kadar purata tarif elektrik di Semenanjung akan dinaikkan sebanyak sebanyak 14.89 peratus atau 4.99 sen/kwj kepada 38.53 sen/kwj berbanding 33.54 sen/kwj kadar purata semasa.

Bagi Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, kadar purata tarif elektrik akan dinaikkan sebanyak 5.00 sen/kwj (peningkatan sebanyak 16.9 peratus) kepada 34.52 sen/kwj berbanding 29.52 sen/kwj kadar semasa.

Kerajaan akan terus memberi subsidi sebanyak 16.2 sen/kwj kepada pengguna domestik dalam lingkungan penggunaan 0-200 kwj/sebulan. Kerajaan juga akan memberi subsidi sebanyak 14.1 sen/kwj kepada pengguna domestik dalam lingkungan 201-300kwj/sebulan.


Sebagaimana yang dilaksanakan di Semenanjung, Kerajaan akan terus memberi subsidi sebanyak 33.09 sen/kwj kepada pengguna domestik dalam lingkungan penggunaan 0-200kwj/sebulan di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Kerajaan juga akan memberi subsidi ini kepada pengguna domestik dalam lingkungan 201-300kwj/sebulan, sebanyak 30.04 sen/kwj.

Kerajaan akan terus membantu dengan memberikan rebat kepada pengguna yang bil elektriknya berjumlah RM20 dan ke bawah sehingga 31 Disember 2014.

Untuk melindungi kebajikan pengguna terutamanya golongan berpendapatan rendah, tiada kenaikan tarif elektrik akan dialami oleh 70.67 peratus atau 4.56 juta pengguna daripada keseluruhan 6.45 juta pengguna domestik di Semenanjung dan 62 peratus atau 260,000 pengguna daripada 418,000 pengguna domestik di Sabah dan WP Labuan yang menggunakan elektrik pada kadar 300kwj dan ke bawah.

Kali terakhir tarif elektrik negara dinaikkan adalah pada Jun 2011 dengan kenaikan sebanyak 7.12 peratus iaitu kepada 33.54 sen/kWj.

Kenaikan tarif itu didorong empat faktor iaitu kesan penyelarasan harga gas domestik (0.51 sen/kWj), kesan penetapan harga gas asli cecair (3.41 sen/kWj), kesan penyelarasan harga arang batu (0.17 sen/kWj) dan semakan tarif Tenaga Nasional Berhad (TNB) (0.9 sen/kWj).

Sumber: BHarianKosmo

Kenaikan tarif elektrik masih belum cukup 

Kenaikan tarif elektrik baharu berkuat kuasa 1 Januari 2014, masih tidak mencukupi untuk menampung kos dan perbelanjaan Tenaga Nasional Bhd (TNB), kata Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Datuk Ir. Ahmad Fauzi Hasan.

"TNB masih perlu meminjam untuk bangunkan infrastruktur berikutan infrastruktur sedia ada di Semenanjung Malaysia sudah berusia, dengan sistem pembekalan atau penghantaran baharu perlu dibangunkan dari selatan ke Lembah Klang, yang memerlukan perbelanjaan berbilion-bilion ringgit.

"Begitu juga loji jana kuasa baharu perlu dibina dan ini membabitkan banyak sumber kewangan untuk 20 tahun akan datang, terutama semakin banyak loji jana kuasa yang ditamatkan operasi akibat tamat tempoh," katanya.

Beliau berkata, TNB membelanjakan sekitar RM6 bilion hingga RM7 bilion setiap tahun untuk perbelanjaan modal dan penyenggaraan infrastruktur, berbanding keuntungan direkodkan tahun ini sebanyak RM4.6 bilion.

Menurut Ahmad, sebagai agensi kawal selia, Suruhanjaya Tenaga akan memantau secara teliti kecekapan operasi dan setiap perbelanjaan TNB mulai tahun hadapan.

"Setiap bulan, TNB perlu melaporkan kepada Suruhanjaya Tenaga berhubung prestasi kualiti perkhidmatan, kos-kos yang terbabit. Tahun depan pula, Suruhanjaya Tenaga akan lebih rapi memantau kos-kos yang dibiayai oleh TNB untuk membekalkan elektrik.

"Kita akan pastikan hanya kos-kos yang efisien atau cekap sahaja yang boleh dimasukkan ke dalam tarif. Kos-kos yang tidak efisien, tidak dibenarkan masuk ke dalam tarif," katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd. (TNB), Datuk Seri Azman Mohd. berkata, tarif elektrik baharu itu merupakan sebahagian daripada program rasionalisasi subsidi kerajaan untuk mengukuhkan fiskal dan ia perlu untuk kebaikan jangka panjang ekonomi negara.

Sumber: Utusan

Mekanisme tarif elektrik

Malaysia dijangka memperkenalkan mekanisme tarif elektrik baharu dengan memperkenalkan sistem waktu puncak dan bukan puncak ke atas pengguna kediaman.

Perbincangan mengenainya sedang dilakukan oleh syarikat utiliti, Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dan Suruhanjaya Tenaga.

Ketua Pegawai Eksekutif MyPower Corporation (MyPower), Datuk Abdul Razak Abdul Majid berkata, kajian itu akan mengambil sedikit masa dan tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

"Kaedah ini telah diguna pakai di peringkat industri komersial.

"Kajian menyeluruh akan dilakukan bagi memperkenalkannya kepada pengguna akhir," katanya.

Sistem waktu puncak dan bukan puncak merupakan mekanisme tarif elektrik yang mana kadar caj elektrik berbeza mengikut waktu tertentu.

Sebagai contoh, kadar caj elektrik yang dikenakan pada waktu malam adalah lebih murah berbanding waktu siang.

Mekanisme ini dianggap sebagai alternatif kepada pengguna untuk mengurangkan bayaran bulanan elektrik apabila lebih banyak menggunakan tenaga elektrik pada bukan waktu puncak.

Beberapa negara maju di Eropah serta Australia telah mengguna pakai kaedah tersebut.

Ketika ini, mekanisme caj elektrik yang dikenakan kepada pengguna kediaman di Malaysia adalah berdasarkan blok kepenggunaan kilowatt.

Sumber: Utusan

Kenaikan tarif elektrik tampung kos penjanaan

Kenaikan tarif elektrik tampung kos penjanaan
Kenaikan harga gas bersubsidi dan harga LNG mendorong peningkatan kos penjanaan TNB
TNB biaya kos operasi tinggi seiring peningkatan harga bahan api

Tenaga Nasional Bhd (TNB) berkata, kenaikan tarif elektrik berkuat kuasa pada 1 Januari ini perlu dilakukan bagi menampung kenaikan kos penjanaan susulan peningkatan harga bahan api global.

Ia juga untuk memenuhi pelaburan dalam infrastruktur bekalan elektrik bagi memastikan bekalan elektrik yang berdaya harap dan berterusan dapat dibekalkan kepada pelanggan, selain untuk menampung perubahan kos operasi pada masa akan datang.

Syarikat utiliti itu berkata, kos bagi bekalan gas bersubsidi meningkat daripada RM13.70/ bagi sejuta metrik unit thermal British (mmBTU) kepada RM15.20 mmBTU.

Harga pasaran bagi gas asli cecair (LNG) pula kini berada pada paras RM41.68/mmBTU sementara arang batu pada AS$87.50 (RM280.7) satu tan, katanya dalam kenyataan menjelaskan rasional kenaikan tarif elektrik sebanyak 4.99 sen/kWj yang diumumkan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili di Kuala Lumpur semalam.

TNB berkata, daripada kenaikan tarif elektrik sebanyak 4.99 sen/kWj itu, sebanyak 78.60 peratus daripadanya adalah bagi menampung kenaikan harga gas bersubsidi dan harga LNG, manakala 3.4 peratus lagi adalah bagi arang batu.

Biayai pelaburan

“Baki 18 peratus (atau 0.9 sen perkilowatt sejam (sen/kWj) pula adalah bagi membiayai peningkatan dalam kos operasi serta pelaburan yang diperlukan untuk membangunkan serta membaik pulih infrastruktur industri bekalan elektrik agar bekalan tenaga elektrik yang mampan dan berdaya harap dapat dikekalkan,” katanya.

Syarikat utiliti itu menjelaskan, ia berdepan dengan lima komponen kos utama dalam menjana, menghantar dan mengagihkan elektrik kepada pengguna akhir.

Katanya, komponen berkenaan ialah kos bahan api seperti arang batu, gas dan lain-lain jenis bahan api yang digunakan oleh stesen jana kuasa; kos pembelian tenaga elektrik daripada Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) dan penjana stesen jana kuasa TNB; kos penyelenggaraan dan operasi; kos pembelian peralatan; dan perbelanjaan modal untuk membina dan membaik pulih projek infrastruktur seperti rangkaian pengagihan dan penghantaran, sub-stesen, pusat kawalan dan loji jana kuasa.

Tarif kekal sejak Jun 2006

Kumpulan itu, katanya melabur kira-kira RM3.5 bilion sehingga RM4 bilion setiap tahun untuk bekalan dan sistem peningkatan baru pada rangkaian pengedarannya.

Ia berkata, TNB juga melabur antara RM2 bilion hingga RM2.5 bilion setiap tahun khusus bagi meningkatkan lagi rangkaian penghantaran dan pembangunan bekalan.

Kali terakhir kerajaan menyemak tarif elektrik ialah pada Jun 2011 apabila ia dinaikkan 2.23 sen/kwj atau 7.12 peratus kepada paras semasa iaitu 33.54 sen/kwj daripada 31.31 sen/kWj.

Kenaikan itu dibuat setelah tarif elektrik tidak berubah sejak Jun 2006 dan sebagai sebahagian daripada proses rasionalisasi subsidi di tengah-tengah peningkatan harga LNG bagi sektor tenaga.

Sumber: BHarian

0 comments: