29 Disember 2013

Mati Selepas Bekerja 30 Jam Tanpa Tidur


MITA sanggup bersengkang mata di pejabat dengan mengambil minuman tenaga bagi menyiapkan kerjanya.

WANITA berkaca mata ini bukanlah seorang figura yang terkenal. Namun, bagi si pemilik nama Pradnya Paramita dari Jakarta, Indonesia ini, kematiannya pada Ahad lalu menjadi topik bualan hangat di laman-laman sosial.

Berita kematiannya mendapat perhatian umum apabila dia didakwa sebagai seorang yang sanggup tidak tidur demi menyiapkan tugasan kerjanya.

Dakwaan tersebut dikuatkan lagi menerusi mesej yang dikemas kini sendiri oleh Paramita di akaun Twitter miliknya pada Sabtu minggu lalu.


Status tersebut merupakan mesej terakhirnya sebelum dia yang lebih dikenali dengan nama Mita Diran dalam kalangan rakan laman sosial itu disahkan mati hari keesokannya.

"30 hours of working and still going strooong (30 jam bekerja dan masih bertahan)," tulis Mita menerusi akaun Twitternya, @mitdoq.

Mita yang merupakan seorang penulis iklan di syarikat agensi pengiklanan Y&R (Young & Rubicam Asia) dipercayai tidak tidur selama 30 jam.

Malah, sebelum ini juga, Mita dipercayai banyak memperuntukkan masa sehariannya di pejabat bagi menyiapkan kerja.

Perkara itu dapat dilihat menerusi status di akaun Twitter miliknya pada bulan lalu.

"Alright, one full week of going home past 2am from the office. Ladies and gentlemen, I believe we just broke a record (Selama seminggu pulang ke rumah selepas pukul 2 pagi dari pejabat. Saya percaya saya baru mencipta rekod)," tulisnya.

Jantung terhenti

Sebelum berita mengenai kematiannya tersebar meluas, bapanya, Yani Syahrial memberitahu anak perempuannya itu pengsan dan dikejarkan ke Hospital Pusat Pertamina (RSPP).

"Hi everyone, since last night and until now my daughter who is a copywriter in Y&R in coma in RSPP. Chances not very good. She collapsed after continuous working overtime for (since) 3 days (ago until) last night. Working over the limit. I have not slept since then (Hai semua, sejak malam tadi sehingga sekarang, anak perempuan saya yang merupakan seorang penulis iklan di Y&R tidak sedarkan diri di RSPP. Peluang tidak begitu baik. Dia pengsan selepas kerja lebih masa berterusan selama tiga hari. Kerja melebihi had. Saya tidak tidur sejak insiden itu)," tulis Syahrial menerusi akaun laman sosialnya, Path.

Malah di laman Twitter rakannya juga ada menyebut bahawa gadis berambut pendek itu akan mengambil minuman tambah tenaga, Kratingdaeng setiap kali kerja lebih masa.

Kratingdaeng merupakan minuman bertenaga Thailand yang lebih dikenali di negara ini sebagai Red Bull.

Syahrial turut mengakui anaknya itu memang suka mengambil minuman tenaga bagi membolehkan dia terus berjaga.

"Pada zaman belajar di universiti dulu, dia juga suka mengambil minuman bertenaga bagi membolehkan dia terus berjaga menyiapkan tugasan," ujar bapanya, seperti yang dilaporkan portal berita South China Morning Post.

Punca utama kematiannya dikenal pasti disebabkan oleh kegagalan jantungnya berfungsi yang dikaitkan dengan pengambilan minuman bertenaga dan kafein secara berlebihan.

Kematian Mita turut mendapat perhatian daripada syarikatnya apabila pihak Y&R Group Indonesia memberikan cuti umum kepada seluruh warga kerjanya bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Mita.

Mita yang telah bekerja di syarikat tersebut lebih setahun yang lalu dikebumikan di Tanah Perkuburan Jeruk Purut pada pukul 10 pagi, Isnin lalu.

Seret ke mahkamah

Sementara itu, menurut laporan portal berita, Bangkok Post, seorang ahli suruhanjaya di Dewan Rakyat, Djamal Aziz memberitahu kes tersebut berkemungkinan dibawa ke mahkamah jika terbukti Mita dipaksa bekerja melebihi 30 jam berturut-turut.

"Syarikat bukanlah tempat makam. Ianya merupakan tempat seseorang bekerja dan berkhidmat untuk syarikat," katanya.

Sementara itu, Ketua Penjenamaan dan Pengiklanan di Persatuan Syarikat Pengiklanan Indonesia, Handoko Hendroyono, juga menyatakan hasrat untuk mengarahkan wakil syarikat Y&R memberi keterangan.

"Kita perlu dapatkan penjelasan sama ada majikannya mengetahui atau tidak pekerjanya bekerja selama 30 jam," katanya.

Mita memulakan kerjayanya dalam pengiklanan pada tahun 2009 sebagai penulis iklan untuk agensi pengiklanan di Malaysia, Cipta Reka Nara sebelum pindah ke Jakarta, Indonesia pada bulan Mei tahun lalu.

Sementara itu, dalam kes yang hampir sama di London pada bulan lalu, seorang pelatih bank di London, Moritz Erhardt ditemui mati di bilik air di rumahnya di London selepas dipercayai bekerja tanpa henti selama 72 jam.

Bagaimanapun, kematian dia disahkan disebabkan oleh serangan sawan yang dipercayai tercetus akibat kepenatan melampau.

Sumber: Kosmo

P/S: Demikianlah ketentuan Allah.

0 comments: