30 Disember 2013

Sindiket Curi Data ATM Oleh Lelaki Warga Poland Terbongkar

Sindiket curi wang ATM
Lelaki warga Poland pasang alat pengimbas, kamera pengintip

Pengguna diingat lebih berwaspada

Pengguna mesin pengeluaran wang automatik (ATM) perlu berhati-hati kerana polis khuatir lebih banyak kemudahan itu dijadikan sasaran mencuri data selain daripada dua yang dikesan di Berjaya Times Square dan KLCC.

Ia kerana pemasangan peranti asing untuk mencuri data kad ATM di premis terbabit disedari pengadu yang mempunyai kemahiran dalam teknologi maklumat (IT) sedangkan tidak semua pengguna ada kebolehan itu.


Teliti mesin ATM

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abd Ghani, berkata pengguna perlu meneliti setiap mesin ATM yang mahu digunakan dan segera melaporkan kepada pihak berkenaan jika melihat peranti tertentu dipasang.

Pihaknya menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada semasa berurusan di ATM sekiranya melihat peralatan yang mencurigakan dan melaporkan kepada polis.

“Kegiatan itu berjaya dibongkar selepas pengadu yang mempunyai latar belakang IT menyedari kewujudan alatan yang pelik pada mesin ATM terbabit sebelum melaporkannya kepada polis.

“Namun bagi orang biasa yang tiada kepakaran dalam bidang IT atau tahu kewujudan kes penipuan dengan cara canggih itu, mereka adalah mangsa mudah,” katanya.

Izany berkata, polis sedang mendapatkan kerjasama dari bank bagi membolehkan siasatan dilakukan dengan lebih mendalam seterusnya membanteras kegiatan itu dari terus berleluasa.

Bank jarang laporkan

“Apa yang menjadi masalah ialah untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai kes-kes yang pernah berlaku kerana pihak bank jarang melaporkan kejadian seumpama itu kepada polis atas sebab-sebab tertentu.

“Ini kerana kebiasaannya, pelanggan yang menjadi mangsa penipuan akan merujuk perkara berkenaan kepada pihak bank dan tidak melaporkannya pada polis,” katanya.

Gesa mangsa lapor polis

Justeru itu, katanya polis meminta orang ramai yang pernah menjadi mangsa agar tampil membuat laporan polis agar siasatan dapat dijalankan.

“Buat masa ini kita belum menerima sebarang laporan polis mengenai kehilangan wang dari akaun menggunakan modus operandi ini,” katanya.



IZANY (tengah) menunjukkan alat pengimbas yang dirampas daripada seorang lelaki Poland.

Dalang curi wang ATM dicekup

Penahanan seorang lelaki warga Poland membongkar kegiatan sindiket mencuri wang dari mesin ATM yang menggunakan taktik licik sehingga langsung tidak disedari mangsa.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan ketika sedang menanggalkan alat pengimbas data dikenali sebagai skimming device yang diletakkan pada panel mesin ATM di pusat beli belah berkenaan hasil maklumat awam.

Warga Poland itu meletakkan alat pengimbas pada mesin pengeluaran wang automatik (ATM) untuk mencuri nombor pin dan nombor kad pelanggan bank. Kegiatan yang dilakukan sejak Januari 2013 lalu terbongkar apabila dia diberkas di pusat beli-belah Suria KLCC.

Difahamkan, alat pengimbas itu menyerupai yang tulen tetapi ia sukar ditekan. Kebiasaannya, pelanggan tidak perasan kewujudan alat tersebut dan tetap membuat urusan tanpa mengesyaki apa-apa.

Modus Operandi

Modus operandi sindiket ialah memasang alat pengimbas yang dilekatkan di ruang pengguna memasukkan kad ATM serta kamera pengintip yang menghala ke papan kekunci.

Alat pengimbas berkenaan membolehkan sindiket membaca maklumat dalam kad ATM pengguna ketika kad dimasukkan untuk pengeluaran wang sebelum kamera pengintip merakam pergerakan jari ketika mangsa memasukkan nombor PIN kad ATM mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abd. Ghany berkata, sindiket tersebut ialah mencuri data daripada pelanggan mesin ATM melalui alatan pengimbas tersebut sebelum membuat kad klon mereka dan mengeluarkan wang di dalam akaun mangsa di luar negara.

"Hasil pemerhatian kamera litar tertutup (CCTV), polis mendapati sindiket ini bergerak secara berkumpulan kerana terdapat dua lagi rakan suspek dirakam melakukan jenayah namun masih belum berjaya ditahan," katanya.

Izany berkata, susulan penahanan itu polis percaya dapat menyelesaikan kes penemuan peralatan sama di pusat beli belah Times Square, Jalan Imbi di sini yang dilaporkan pada 25 November 2013 lalu.

Katanya, sindiket terbabit dipercayai aktif sejak awal tahun ini dan ahli-ahli kumpulan terbabit yang terdiri daripada warga asing dilaporkan sering keluar masuk negara.

"Kes seumpama ini pernah dilaporkan beberapa tahun lalu namun kini mereka dilihat kembali aktif," katanya.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati alat pengimbas terbabit telah dibeli oleh ahli sindiket terbabit dengan harga RM8,000 seunit dan dibuat di negara ini.

Siasatan mendapati suspek pernah masuk ke negara ini beberapa kali dengan kali terakhir pada 9 Disember 2013 lalu dan rekod perjalanan sebelum itu menunjukkan suspek berada di Indonesia.

Katanya, suspek kini ditahan reman sehingga 6 Januari 2013 untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sumber: BHarian Artikel1BHarian Artikel2UtusanKosmo [2013/12/27]

0 comments: