02 Disember 2013

Washington Sebuah Bandar Raya Pembaca



TEKNOLOGI canggih pada hari ini telah menyediakan medium baharu untuk memudahkan pembaca menikmati bahan bacaan. Di Washington, lain pula ceritanya apabila penduduk-penduduknya masih mengekalkan cara lama dengan memperkenalkan perpustakaan mini (mini library).

Apa yang menarik, pintu masuk perpustakaan tersebut dipenuhi dengan kertas nota. Tiada kad risalah atau yuran lewat akan dikenakan. Perpustakaan tidak formal itu mengamalkan prinsip yang mudah untuk pembacanya iaitu hanya ambil dan kembalikan semula buku tersebut.

Pembaca juga boleh membawa pulang buku ke rumah atau menggantikan buku yang sudah dibaca dengan buku lain.


Kevin Sullivan telah merasmikan perpustakaan mini di rumahnya yang terletak di Bethesda iaitu sebuah pinggir bandar di utara Amerika Syarikat pada pertengahan bulan Mei 2013 lalu sempena sambutan Hari Ibu.

"Ia merupakan hadiah buat isteri saya yang seorang ulat buku," ujarnya.

Dia mengumpul kira-kira 30 buah buku setiap minggu di dalam kotak kayu yang diletakkan di atas peti surat berwarna merah di penghujung jalan masuk rumahnya.


ELINOR KOTCHEN dan anaknya melalui sebuah perpustakaan mini di kawasan kediamannya di Washington, Amerika Syarikat.

Singgah

Di atas bumbung kotak kayu tersebut terdapat petikan daripada Oscar Wilde, selaku penghormatan kepada warisan Sullivan kelahiran Ireland. Ia berbunyi: 'Kejutan itu agak dashyat, saya berharap ia akan berkekalan.'

Separuh daripada buku tersebut adalah untuk golongan kanak-kanak. Memandangkan Sullivan dan isterinya tinggal berhampiran kawasan sekolah, dia berpendapat, ibu bapa dan para pelajar boleh singgah sebentar di perpustakaan mini yang dibinanya untuk mendapatkan bahan bacaan.

Konsep tersebut julung-julung kalinya wujud di sebuah bandar kecil di Wisconsin pada tahun 2009. Seorang lelaki, Todd Bol yang kehilangan ibunya mencari jalan untuk mengingati mendiang ibunya yang juga seorang guru.


WASHINGTON bukan saja sebuah bandar metropolitan, bahkan penduduknya juga gemar membaca.

Dia telah membina sebuah replika kecil seperti rumah sekolah dan dipenuhi dengan pelbagai jenis buku yang ditinggalkan oleh ibu bapanya. Di atasnya terdapat penanda yang mempunyai tulisan, 'buku-buku percuma'.

Tidak lama kemudian, jiran-jirannya juga melakukan perkara yang sama di penghujung jalan masuk rumah mereka. Kini konsep yang sama wujud di Ukraine dan Pakistan.

Pada bulan Oktober lalu, Bol membina 20 buah perpustakaan kecil ditubuhkan di Ghana. Dia juga menyokong usaha sebuah kumpulan bantuan di India yang dikenali Ayuh Ke Sekolah yang berhasrat membina lebih banyak perpustakaan kecil untuk 3,500 buah sekolah.

"Daripada sebuah perpustakaan kecil, kini ia menjadi 15,000 perpustakaan pada awal tahun 2014 di 55 buah negara termasuklah di 50 negeri yang menganggarkan sebanyak 700 hingga 1,000 perpustakaan baharu sebulan," ujarnya.

Walaupun banyak perpustakaan kecil yang dibina kelihatan seperti rumah burung berbentuk seperti jam, robot dan teater, kesemuanya diilhamkan melalui imaginasi pemiliknya.

Bagi Phillip Vahab, dia membina perpustakaan mini di hadapan rumahnya kerana dia kekurangan bahan bacaan di kediamannya.

"Isteri saya lebih gemar membaca berbanding saya tetapi saya melakukan ini kerana ingin menjalinkan hubungan baik sesama jiran tetangga.

"Bandar ini seperti tidak dikenali seolah-olah bercakap dengan dinding," katanya.

Jiran-jirannya turut membantu Vahab menubuhkan sebuah perpustakaan pertama yang sempurna di Washington pada bulan Januari lalu. Dia juga membina bangku untuk orang ramai berehat sambil membaca atau berbual.

Gantung gunting

Hampir setiap hari terdapat satu buku baharu di sana, katanya penuh semangat. Dia merupakan seorang pakar ortodontik yang kini berumur 38 tahun.

Kebanyakan buku di perpustakaan mininya berkait rapat dengan dunia politik walaupun ada dalam kalangan jirannya yang menyumbangkan bahan bacaan berbentuk khazanah kesusasteraan.


SEPARUH daripada bahan bacaan yang terdapat di perpustakaan mini di rumah Sullivan untuk golongan kanak-kanak.

Dalam pada itu, di Winslow, Arizona, John Ford telah menggantungkan beberapa gunting di dalam perpustakaan itu bagi memudahkan pembaca mengambil tumbuhan herba yang ditanam di sekitarnya. Ia ekoran perpustakaan tersebut menawarkan banyak buku masakan.

Menyentuh tentang perpustakaan di Washington, berdekatan Zoo Negara, seorang remaja Australia, Erin Astarr, 19, mengambil beberapa buku untuk kanak-kanak asuhannya.

"Ia adalah satu peluang yang baik bagi masyarakat untuk bersama-sama berkongsi mendapatkan pendidikan," katanya.

Pegawai perpustakaan dalam sistem perpustakaan awam Washington, Ginnie Cooper berkata, dia lebih gembira melihat kotak buku yang baharu muncul di bandar raya itu.

"Berkongsi buku yang hebat dari perpustakaan awam atau perpustakaan kecil secara tidak langsung menjadikan Washington berkembang menjadi sebuah bandar pembaca," katanya. - AFP

Sumber: Kosmo

0 comments: