02 Disember 2013

Kapal Persiaran Freedom Ship ~ Bandar Terapung’ Pertama Di Dunia


Kapal persiaran Freedom Ship yang dilengkapi pusat beli-belah, galeri kesenian, taman akuarium dan lapangan terbang persendirian, bakal mendapat jolokan ‘bandar terapung’.

FLORIDA: Orang kaya tidak lama lagi boleh menghabiskan hidup dengan belayar mengelilingi dunia jika impian sebuah firma di sini menjadi kenyataan. Kebiasaannya, kapal persiaran mewah hanya belayar ke sesetengah destinasi yang ditetapkan untuk membawa pelancong.

Namun, keadaan itu mungkin sedikit berlainan apabila para pelancong kini bakal belayar ke seluruh dunia dengan hanya menaiki satu kapal persiaran sahaja.

Freedom Ship atau Kapal Kebebasan bakal merealisasikan impian para pelancong yang menginginkan percutian serba lengkap dan mewah.


Pelbagai Kemudahan

Selain menjadi satu-satunya kapal persiaran yang akan belayar ke serata dunia, Kapal Kebebasan juga mendapat jolokan ‘bandar terapung’ pertama di dunia.

Kapal ‘Freedom Ship’ yang bernilai AS$10 bilion (RM32 bilion) menawarkan kepada 40,000 pengguna umpama rumah di tengah lautan yang lengkap dengan hospital, sekolah, pusat beli-belah, tempat meletak kereta, galeri kesenian, taman akuarium dan lapangan terbang persendirian.

Pengarah dan juga Naib Presiden syarikat perkapalan Freedom Ship International, Roger M Gooch berkata, kapal itu menjadi kapal persiaran terbesar yang akan dibina.

Kos Pembinaan

“Syarikat kami menganggarkan dana sebanyak AS$6 bilion (RM19.2 bilion) diperlukan untuk membina kapal tersebut.

“Sejak enam bulan lalu, syarikat semakin yakin dengan projek tersebut dan kami berharap dana sebanyak AS$1 bilion (RM3.2 bilion) dapat diperolehi bagi memulakan kerja-kerja pembinaan," katanya.

Setinggi 25 tingkat dan 1.6 kilometer panjang - empat kali ganda lebih panjang dari Queen Mary II - kapal Freedom Ship mempunyai berat 2.7 juta tan.

Kapal yang boleh memuatkan kira-kira 50,000 penumpang dalam satu-satu masa itu akan dijana dengan tenaga solar serta kuasa ombak.

Pelayaran

Gooch juga menyatakan bahawa Kapal Kebebasan itu akan menghabiskan kira-kira 70 peratus masanya belayar ke bandar-bandar utama di seluruh dunia dan selebihnya belayar di antara negara termasuk Afrika, Australia, Eropah, Asia Barat, Amerika Utara dan Amerika Selatan.

Ia akan mengelilingi dunia sekali setiap dua tahun, berlabuh di bandaraya utama untuk membolehkan penghuninya menikmati destinasi terkemuka dunia atau sekadar melepaskan ‘mabuk laut’.

Freedom Ship akan belayar dari pantai timur Amerika Syarikat pada Jun dan merentas Atlantik untuk ke Eropah.

Sampai di sana bertepatan dengan musim panas, ia akan berlabuh sekitar pantai utara Scotland hingga Scandinavia dan memasuki Selat Inggeris sebelum menuju ke Selat Gibraltar dan memasuki Mediterranean.

Krismas akan dihabiskan di pantai utara Afrika diikuti dengan pesta di Cape Town, Afrika Selatan pada Januari.

Kapal terbabit kemudian akan menuju ke Australia yang berada di penghujung musim panas sebelum menjelajah Asia dan merentas Pasifik untuk ke pantai barat Amerika pada September.

Memasuki tempoh terakhir tahun keduanya, penghuninya akan dibawa ke seluruh Amerika, menuju ke Patagonia dan Tierra del Fuego sebelum kembali semula ke tempat asalnya menerusi ibu negara seperti Buenos Aires dan Rio de Janeiro dan memulakan pelayaran sekali lagi.

Terbang bila-bila masa 

Bagi penduduk yang rindukan kehidupan di darat, mereka boleh terbang dari dan ke Freedom Ship melalui lapangan terbang di dek atas.

Kapal terbabit menawarkan ruang untuk 30,000 pengunjung setiap hari dan 10,000 tetamu untuk semalaman, selain 20,000 anak kapal.

Pengarah dan naib presiden Freedom Ship International, Roger M Gooch berkata beliau gembira mengumumkan selepas tertangguh kerana krisis ekonomi, bandaraya laut itu akhirnya muncul semula.

Sumber: BHarian, Utusan [2013/12/01]

0 comments: