29 Januari 2014

Petua Semasa Sesi Temu Duga Mohon Kerja



Dengan pasaran kerja yang semakin sengit persaingannya, semakin sukar untuk menerima pelawaan temu duga kerja. Bila berada di hadapan 'bakal majikan', tentunya anda tidak mahu merosakkan prospek kerjaya dengan jawapan yang tidak bernas.

Secara teknikalnya, ujian lisan ialah komponen paling penting dalam sesi temu duga tanpa mengira apa jenis kerja sekali pun. Mungkin memohon kerja sebagai pengawal keselamatan tidak menekankan ujian bertulis, sebaliknya pemohon mestilah rakyat Malaysia tulen. Memohon kerja di sekolah persendirian, mungkin tidak akan ditanya lagi soal pemakaian tudung. Memohon kerja menjadi Ahli Lembaga Pengarah pasti ditanya "awak sebulu atau tidak dengan pengerusi".

Ujian bertulis hanya mewakili 30 peratus, mungkin. Peratusan besar adalah pada ujian lisan. Ini kerana semasa temu duga lisan inilah anda akan diuji pengetahuan tentang kemahiran yang anda uar-uarkan dalam surat resume dan berdasarkan sijil pendidikan. Soalan seterusnya adalah bagaimana kemahiran anda boleh digunakan bagi menambah nilai pada syarikat.


Pasti ada soalan peribadi. "Sudah kahwin? Kalau belum, bila hendak kahwin?". Bunyi macam tidak relevan. Tetapi ada majikan bersikap stereotaip. Mereka menganggap pemohon perempuan misalnya, bila sudah berkahwin tentunya akan hamil dan beranak. "Ini bermakna dua bulan kapal berlabuh. Syarikat kena cari pengganti sementara dan ini menambah kos". Itu tanggapan majikan stereotaip. Maka soalan tersebut tidak semestinya bermaksud penemuduga hendak mengurat pemohon kerja.

Sesi lisan itu juga memberi peluang kepada bakal majikan untuk menilai keterampilan, perwatakan dan personaliti pemohon kerja. Cara menjawab - apakah lancar, bernas atau asyik menyimpang daripada soalan. Bahasa badan diperhatikan dengan teliti. Jika pemohon kerja was-was atau gugup, bakal majikan boleh membacanya. Itu masih boleh ditolak ansur.

Apakah perkara-perkara yang harus dielak oleh pemohon kerja semasa ditemu duga?

1 Datang lewat

Apa pun alasan sama ada kesesakan lalu lintas, kereta rosak, tiada tempat meletak kereta, sesat, ada perhimpunan haram dan sebagainya tidak akan diterima. Hendak seribu daya, bukan seribu dalih. Bakal majikan tidak akan menerima anda yang berpotensi datang lewat kerja dengan alasan lewat yang anda beri semasa temu duga.

2 Tidak membuat persediaan

Ini adalah antara 'kesilapan besar' pemohon kerja. Tertinggal sijil asal. Terlupa bawa kad pengenalan. Apabila ditanya apa yang diketahui tentang syarikat yang dipohon kerja, tergagap-gagap. Bukan lupa tapi keliru sebab dah hantar resume kepada 54 syarikat. Topik isu semasa pun tidak pasti. Tidak pernah peduli berita.

3 Menjawab ikut sedap mulut, bukan akal

Bila ditanya apa yang mendorong memohon kerja? "Mak saya kata pejabat ini dekat dengan stesen LRT''. Lagi kurang pandai ialah "kerja ini sesuai untuk saya kumpul pengalaman sementara saya jumpa kerja yang saya idam-idamkan".

4 Bercakap macam 'sudah jadi kawan'

Protokol atau tatasusila antara penemu duga dengan pemohon hendaklah dipelihara setiap masa. Jangan cuba menukar mereka menjadi 'sahabat' iaitu buat lawak spontan atau 'mengena' mereka. Nak mengampu sekali pun, bukan semasa temu duga.

5 Berbicara tentang agama

Melainkan memang memohon kerja di pejabat agama, elok jangan sentuh hal ini. Tambah-tambah lagi jika bakal majikan berlainan agama. Jangan komen, jangan sindir, jangan buat apa-apa pernyataan. Senyum. Itu sahaja. Kalau tidak dibenar bertudung, ucap terima kasih dan tinggalkan mereka.

6 Mengulas topik yang disukai oleh bakal majikan

Memang bagus jika anda dapat 'tangkap' minat bakal majikan dengan minat serupa. Selain melihat aspek pengetahuan, mereka juga boleh menilai kepetahan anda. Misalnya bola sepak. Tetapi kenal pasti kelab yang disokongnya.

7 Bertanya soal gaji

Bukan tidak boleh tetapi kurang sesuai. Lazimnya sesi temu duga bukan tempat berbicara atau berunding soal gaji, sebab ada berpuluh-puluh orang lagi sedang menunggu giliran di luar sana. Lainlah jika bakal majikan yang cari anda secara khusus.

8 Menjawab telefon, SMS

Telefon berdering atau bergegar. Anda potong sesi temu duga dan kata "maaf, saya kena jawab panggilan". Pada saat dan tika itu, bakal majikan anda sudah ada ketetapan "maaf, saya kena tolak anda".

9Mempertikai peraturan bakal majikan

Ada syarikat menetapkan pemakaian baju seragam pada hari tertentu. Ada juga batik. Atas dasar 'membazir', anda mahu pertikai kewajaran peraturan itu. Ini memang tindakan kamikaze.

10 Mengutuk majikan lama

Walau apa pun yang berlaku di tempat kerja lama anda, itu semua masuk fail arkib. Tidak perlu didedahkan kepada bakal majikan baharu. Bila anda mengutuk, memperlekeh majikan lama, sekali gus memberi gambaran kepada majikan baharu bahawa dia pun berpotensi dikutuk sedemikian oleh anda.

Lagipun, bakal majikan akan menghubungi majikan lama anda untuk rujukan. Tidak profesional jika anda 'bakar jambatan' dengan majikan lama. Setidak-tidaknya, hormati sahabat handai yang masih bekerja di syarikat lama yang pernah juga menjadi tempat anda cari makan dulu.

Oleh Johardy Ibrahim
Sumber: Utusan

0 comments: