28 Januari 2014

Bahaya Status Check-In Di Laman Sosial


HOBI menekan butang check-in telah menjadi trend dalam kalangan golongan muda masa kini.

SEBELUM keluar rumah, Keri McMullen dan Kurt Pendleton akan mengemas kini status Facebook masing-masing. Kedua-dua kawan baik itu ingin memberitahu rakan-rakan bahawa mereka akan menghadiri sebuah konsert berdekatan Louisville, Indiana, Amerika Syarikat (AS) pada pukul 8 malam.

McMullen dan Pendleton tinggal di New Albany, AS. Tindakan itu secara tidak langsung memberitahu orang lain bahawa mereka tiada di rumah.

Pada pukul 8.42 malam, dua orang perompak memecah masuk rumah mereka dengan mengopak pintu belakang menggunakan pemutar skru.

“Bagaimanapun, sebaik sahaja kami melihat rakaman kamera litar tertutup, saya dapat mengecam muka salah seorang lelaki yang memecah masuk rumah kami. Dia ialah kenalan Facebook yang ingin berkawan dengan saya sebelum ini,” kata McMullen seperti yang dilaporkan portal berita CBSNews.


Menurut McMullen, lelaki tersebut berada dalam senarai kenalan Facebooknya enam bulan sebelum insiden tersebut berlaku. Katanya, dia sebenarnya tidak pernah mengenali lelaki itu secara peribadi.

Biarpun sudah empat tahun berlalu, namun insiden itu cukup membuatkan mereka berasa serik untuk berkongsi maklumat berkaitan lokasi mereka berada. Situasi yang dilalui dua individu itu memberikan gambaran betapa bahayanya berkongsi maklumat lokasi diri dengan orang lain menerusi laman sosial seperti Facebook.

Aplikasi itu dikenali dengan gelaran check-in.

Lokasi diri seharusnya tidak dihebah-hebahkan khususnya menjelang sambutan Tahun Baru Cina yang akan menjelang tiba. Pada musim perayaan, orang ramai biasanya tiada di rumah kerana pulang ke kampung halaman masing-masing.

Malah, pihak polis awal-awal lagi sudah memberi amaran kepada orang ramai supaya mengelak daripada memuat naik status check-in dalam laman sosial sebagai langkah mencegah kejadian jenayah.


STATUS kemas kini lokasi di laman sosial boleh mengundang bahaya sekiranya terdapat individu yang berniat jahat.

Bagi Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah, Tan Sri Lee Lam Thye, hobi berkenaan perlu dielakkan.

“Tindakan memberitahu kedudukan lokasi boleh membahayakan keselamatan seseorang. Kalau mereka beritahu orang lain yang mereka tiada di rumah, ia akan membuka peluang kepada individu tidak bertangungjawab di luar sana untuk melakukan jenayah,” katanya.

Ujarnya, tidak semua maklumat diri perlu dikongsikan kepada umum. Apatah lagi kalau individu yang menjadi pengikut atau ‘rakan’ di laman sosial itu tidak begitu diketahui latar belakangnya atau sekadar dikenali atas dasar kawan kepada kawan.

“Penjenayah bermungkinan akan mengambil kesempatan atas tabiat kita yang tanpa sedar telah membahayakan keselamatan diri dan harta benda,” katanya.

Trend

Bagaimanapun, mengemas kini lokasi menerusi Facebook, Foursquare, Twitter dan Instagram sememangnya dianggap satu trend sekarang. Perkara itu diakui pensyarah di Jabatan Psikologi, Kolej Universiti HELP, Prof. Dr. Noran Fauziah Yaakub.

“Teknologi sekarang sudah bermacam-macam, tidak seperti dahulu. Jadi apabila aplikasi seperti check-in diwujudkan, semua orang akan ikut bagi menunjukkan yang mereka mengikut trend tersebut,” katanya.

Dari sudut positif, Noran Fauziah berpendapat check-in mampu mewujudkan interaksi dalam kalangan rakan-rakan.

“Ada orang suka berkongsi maklumat tetapi ada juga yang lebih sukakan privasi. Pada awalnya ia akan bermula positif, tapi lama-kelamaan ia boleh berakhir dengan ketagihan,” katanya lagi.

Ujar Noran Fauziah, ketagihan individu berkenaan dikaitkan dengan Teori Pembelajaran Sosial yang mana seseorang akan meniru tingkah laku individu lain.

Katanya, sebaik sahaja apa yang dikongsi itu mendapat maklum balas daripada pengguna lain, ia secara tidak langsung memberi gambaran bahawa tindakan tersebut disukai ramai.

“Ini dipanggil Teori Pengukuhan Tingkah Laku di mana ia membuatkan seseorang terus ingin berkongsi maklumat mengenai kedudukan mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, status atau kerjaya seseorang juga berperanan dalam menentukan risiko untuk menjadi mangsa jenayah.

“Sebagai contoh, golongan artis biasanya lebih dikenali. Jadi, jika dia check-in lokasi, orang ramai yang mengikuti laman sosialnya akan tahu di mana dia berada. Maka, risiko untuk si artis tadi terdedah kepada bahaya tentulah lebih tinggi,” terang beliau.

Begitupun, katanya, orang ramai harus sentiasa berwaspada apabila ingin melakukan sesuatu jika tidak mahu diri menjadi mangsa jenayah.

Oleh ZULHILMI JALIL
Sumber: Kosmo

0 comments: