30 Januari 2014

Fenomena Ikan Terdampar Di Pesisir Pantai


SEEKOR anak ikan paus sirip sepanjang 12 meter yang masih hidup dijumpai terdampar di kawasan Pantai Kampung Kuala Tatau, Bintulu, Sarawak

SEJAK kebelakangan ini, fenomena hidupan laut terdampar di sekitar kawasan pantai peranginan sering terpampang di dada-dada. Bagi segelintir pihak, kejadian itu dilihat sebagai satu 'bahasa' alam yang mengatakan akan berlaku suatu bencana tidak lama lagi.

Pada Disember 2013, negara telah dikejutkan dengan rakaman video yang tersebar luas di laman YouTube. Rakaman selama dua minit 15 saat itu memaparkan ribuan ikan tamban melompat-lompat naik ke darat seperti ketakutan.

Kejadian pelik di pesisir pantai Kampung Tambisan, Lahad Datu, Sabah pada 24 Disember 2013, kira-kira pukul 8 pagi itu telah mengubah warna landskap pantai kepada putih. Ia juga mencetuskan keresahan dalam kalangan penduduk kampung yang mendakwa bencana tsunami mungkin berlaku.


Keadaan dilihat bertambah buruk dengan perairan Sabah yang sememangnya terdedah dengan kemungkinan berlakunya bencana alam seperti tsunami. Namun begitu, pelbagai langkah awal telah diambil bagi mengelakkan kejadian itu berlaku, termasuk pemasangan tiga boya amaran tsunami di luar garis pinggir laut Malaysia.

Boya yang berperanan untuk memantau dan mengesan ancaman tsunami itu dipasang di Pulau Rondo, Pulau Layang-Layang dan Pulau Sipadan, Sabah merupakan antara komponen utama Sistem Amaran Awal Tsunami


IKAN paus ini mati terdampar di pantai selatan Bantul, Yogyakarta, Indonesia pada tahun 2012.

Kebangsaan (SAATNM). Sistem amaran yang dipasang kerajaan sebagai sistem amaran awal berikutan tragedi tsunami pada 26 Disember 2004 di Lautan Hindi yang melibatkan negara-negara seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Myanmar, Maldives, Somalia, India dan Sri Lanka itu bertujuan memberi maklumat kepada pihak berkuasa meteorologi tentang gempa bumi yang berlaku di wilayah berhampiran Malaysia.

Menafikan

Bagaimanapun, Jabatan Meteorologi Sabah menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya fenomena pelik di pantai Kampung Tambisan, Lahad Datu itu sebagai petanda tsunami bakal berlaku.

Fenomena itu mencetuskan pesta ikan dalam kalangan penduduk setempat yang mengambil kesempatan mengaut rezeki tambahan untuk dibawa pulang.

Difahamkan ikan tamban amat popular dalam kalangan penduduk sekitar dan nelayan. Terdapat juga sebahagian besar ikan tersebut dijual di sekitar daerah tersebut pada harga antara RM3 hingga RM15 sekilogram.

Selang empat hari selepas kejadian tersebut, dalam satu laporan akhbar tempatan, berlaku penemuan bangkai hidupan laut bersaiz gergasi di kawasan peranginan Pasir Panjang yang terletak di Kampung Santubong, Sarawak.

Bangkai hidupan laut yang masih tidak diketahui spesiesnya itu mempunyai panjang lebih empat meter ditemui oleh pekerja resort di sana, Mohd. Hamzah Man pada pukul 7 pagi.

Difahamkan, bangkai hidupan laut itu yang hampir mereput itu telah dipukul ombak kuat ke tepi pantai.

Dalam pada itu, baru-baru ini juga digemparkan dengan penemuan seekor anak ikan paus yang masih hidup yang mempunyai panjang kira-kira 12 meter terdampar di Pantai Kampung Kuala Tatau, Bintulu, Sarawak.

Kehadiran ikan paus yang dipercayai jenis paus sirip itu disedari oleh penduduk yang tinggal berdekatan pantai berkenaan. Apa yang menyedihkan, ketika mamalia ini ditemui orang awam, beberapa bahagian kulitnya didapati menggelembung akibat terdedah dengan sinaran matahari dan terdapat kesan luka di badannya.


PENDUDUK tempatan berkumpul berdekatan dengan ikan paus yang ditemui di Kuala Penyu, Sabah dalam usaha membebaskannya semula ke pantai.

Petanda

Pengarah Institut Akuakultur Tropika, Universiti Malaysia Terengganu, Prof. Emeritus Dr. Mohd. Azmi Ambak menolak dakwaan fenomena ikan terdampar di pantai yang berlaku baru-baru ini sebagai satu petanda berlakunya bencana alam.

"Kejadian pelik ini berlaku akibat pemakanan tanpa had organisma dalam air, plankton, yang merupakan sumber penting makanan bagi hidupan akuatik termasuk ikan tamban.

"Pengambilan tanpa had itu memberikan kesan toksin dalam organ hidupan laut tersebut semasa proses penapisan makanan. Ini secara tidak langsung telah mengganggu deria ikan tersebut dan menyebabkan mereka naik ke darat," jelasnya.

Mengulas lanjut, Mohd. Azmi berkata, air pasang besar atau alunan ombak memberi kesan terhadap haiwan tersebut.

"Ia juga menyebabkan mamalia laut ini hilang panduan arah di laut dan terdampar di pantai. Apabila keadaan ini berlaku, haiwan tersebut sukar untuk kembali ke laut dan berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan," ujarnya.

Sumber: Kosmo

0 comments: