11 Februari 2014

Albarengo Hanyut Di Lautan Lebih Setahun


NELAYAN ini ditemui dalam keadaan kusut-masai dan tidak terurus.

MAJURO, Kepulauan Marshall - Seorang nelayan El Salvador yang terkandas di laut bersyukur kepada Tuhan kerana dia masih hidup sejurus tiba dengan sebuah bot polis pada 3 Februari, 2014 setelah dia hanyut di atas bot lebih setahun.

Nelayan berusia 37 tahun itu, Jose Salvador Albarengo berkata, dia minum darah penyu dan menangkap ikan dan memakannya mentah- mentah serta burung dengan tangan kosong untuk terus hidup. Albarengo memberitahu dia juga meminum air kencingnya sendiri kerana ketiadaan air bersih.

Menariknya, cerita Alvarenga, dia belajar untuk berdiri tegak tanpa bergoyang di atas bot sehinggakan burung camar serta burung laut lain hinggap pada badannya yang disangkakan batang kayu. Dari situ dia mengambil peluang untuk menangkap burung-burung tersebut menggunakan tangannya.


Alvarenga memberitahu, apabila hari tidak hujan dan kehabisan sumber air bersih, dia terpaksa minum air kencing sendiri untuk mengelakkan daripada kehausan.

Albarango yang berasal dari El Salvador hanyut selama 14 bulan sebelum dia dijumpai terdampar oleh dua orang penduduk tempatan di sebuah pulau terumbu karang di Kepulauan Ebon Atoll dekat Kepulauan Marshall pada 30 Januari 2014. Dia dipercayai telah hanyut selama 16 bulan.


ALBARENGO dibantu seorang jururawat lelaki semasa dia tiba di Majuro.

Dua orang lelaki menemuinya selepas bot Albarengo sepanjang 7.3 meter terdampar di pulau tersebut yang merupakan sebahagian daripada Kepulauan Ebon Atoll. Dia kemudian dihantar ke sini dengan menaiki sebuah bot polis.

Ketika ditemui, wajahnya berjambang, bermisai dan badannya kurus. Dia yang mendakwa hanyut selepas enjin botnya rosak sebelum ditiup angin dan hilang arah kemudian dihantar ke sini dengan menaiki sebuah bot polis.

Albarengo memberitahu pihak berkuasa, dia keluar belayar untuk menangkap ikan jerung pada penghujung Disember 2012 dari Mexico yang terletak sekitar 10,000 kilometer dari sini.

Namun, dia dan seorang rakannya, Xiguel yang berusia antara 15 hingga 18 tahun telah dihanyutkan ombak selepas bot yang dinaikinya ditiup angin dan mereka kemudiannya sesat di lautan. Menurut Albarengo, rakan nelayannya itu telah meninggal dunia sebulan selepas dia menempuh pelayaran yang gentir itu dalam keadaan hanyut di lautan.

Menurut Alvarenga, remaja itu mungkin mati disebabkan tidak tahan menanggung keperitan di bawah cahaya matahari yang terik selain tidak biasa makan makanan mentah.

"Saya tiada pilihan melainkan membuang mayatnya ke laut. Sedih rasanya apabila terpaksa berbuat demikian," ceritanya sebak.

Dengan hanya berbekalkan sebilah pisau lipat dan sebuah kotak untuk berlindung daripada panas matahari, Alvarenga berusaha mengekalkan semangat untuk terus hidup.

"Saya tidak ingat hari dan tarikh kerana terlalu lama berada di laut. Saya hanya tahu, saya bakal berdepan dengan cabaran lain apabila matahari terbit pada keesokan harinya," ujarnya.

Alvarenga mengakui keperitan hidup di laut selama beberapa minggu tanpa sumber makanan dan minuman menyebabkan dia hampir hilang akal.

Dia yang tinggal di Tapachula dekat sempadan Mexico dengan Guatemala itu juga mengakui dia hampir membunuh diri.

"Setiap hari sama sahaja. Hanya saya, laut dan bot. Saya tidak dapat melihat apa-apa melainkan lautan yang terbentang luas di hadapan saya.

"Bagaimana saya mahu kekal waras dalam situasi sebegini? Saya mahu membunuh diri tetapi saya percaya tuhan akan melindungi dan menyelamatkan saya," katanya.

Cerita   hanyut  13 bulan diragui
Bot dinaiki Alvarenga yang hanyut di lautan kira-kira 13 bulan, ketika sampai di Kepulauan Marshall.

Seorang pembikin filem yang berpangkalan di sini, Jack Nieden- thal memberitahu agensi berita Reuters, Albarengo turun dari bot tersebut dengan mukanya dipenuhi janggut.

"Dia mengalami kesukaran untuk berjalan, kedua-dua kakinya amat kurus. Saya tidak bersedia untuk menganggap kisahnya itu sebagai satu penipuan," tambahya.

Seorang jururawat lelaki kemudian membantunya menuruni tangga bot tersebut sebelum membawanya ke hospital bagi menjalani rawatan.

"Dia sepatutnya keluar menangkap ikan selama sehari sahaja tetapi dihanyutkan ombak akibat tiupan angin utara," kata Duta Amerika Syarikat (AS) ke Kepulauan Marshall, Tom Armbruster.

Nelayan itu memberitahu Armbruster, dia berasal dari El Salvador tetapi telah menetap di Mexico selama 15 tahun. Armbruster menjadi penterjamah kerana nelayan tersebut hanya boleh berbahasa Sepanyol.

Nelayan itu tinggal di Tapachula dekat sempadan Mexico dengan Guatemala dan bekerja untuk syarikat Camoronera Dela Costa.

Albarengo berkata, dia mahu menghubungi keluarganya iaitu isteri dan seorang anak perempuannya di El Salvador. Namun begitu, dia tidak dapat mengingati nombor telefon rumahnya itu.

Edidor Marshall Islands Journal, Giff Johnson berkata, semasa ditemui dua orang penduduk, nelayan tersebut hanya memakai sepasang seluar dalam. Menurutnya, terdapat air di dalam bot gentian kaca yang dinaikinya itu.

Ketua Imigresen Kepulauan Marshall, Damien Jacklick berkata, pihak berkuasa akan berusaha untuk mendapatkan lebih banyak maklumat daripadanya. Namun, nelayan itu menyatakan, dia tidak dapat mengingati semua kejadian yang berlaku semasa botnya hanyut.

Menurutnya, Jabatan Luar kepulauan itu merancang untuk menghubungi beberapa pegawai di luar negara bagi membolehkan dia dihantar pulang.

Bot nelayan hanyut lebih setahun


GAMBAR menunjukkan bot yang dinaiki Albarengo yang terdampar di Kepulauan Ebon Atoll pada 30 Januari 2014.

Beberapa keping gambar menunjukkan sebuah bot yang dinaiki seorang nelayan, Jose Salvador Albarengo yang hanyut selama 14 bulan di lautan Pasifik rosak teruk dan berlumut, lapor akhbar Daily Mail pada 5 Februari, 2014.

Beberapa pegawai memberitahu, bot gentian kaca berkenaan sudah rosak dan dipenuhi teritip serta lumut sekali gus menunjukkan ia berada di dalam air laut untuk jangka masa yang lama.

Turut berada di atas bot berkenaan sebuah kotak berwarna biru yang digunakan Albarengo, 37, untuk berlindung dari panas matahari tetapi tiada peralatan menangkap ikan ditemui. Botnya sepanjang 7.3 meter tersebut hanyut sejauh 12,874 kilometer dari Mexico.

Sumber: Kosmo Artikel1, Kosmo Artikel2, Kosmo Artikel3

1 comments:

Unknown berkata...

tak dapat bayangkan apa perasaannya kalau saya dihanyutkan ombak macam pak cik ni..ngeri apabila difikirkan...