12 Februari 2014

Mercy Malaysia Bantu Mangsa Bencana



MUSIBAH yang melanda kebanyakan negara di seluruh dunia bagaikan satu mimpi. Gempa bumi, tsunami, banjir, letusan gunung berapi, kebakaran liar, kekangan bekalan air bersih, tanah runtuh dan banyak lagi seolah-olah berlaku tanpa henti di kebanyakan negara.

Dek berlakunya segala bencana ini, banyak penduduk yang dilanda kesusahan. Ada yang sakit, kelaparan, tiada penginapan dan kehilangan harta benda. Semua mangsa mengharapkan belas ihsan daripada semua orang. Tak kira dalam bentuk bantuan apa pun, mangsa ini menerimanya dengan hati terbuka.

Bagi meringankan beban mangsa, Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia), menyalurkan bantuan kepada mereka yang ditimpa bencana dari segala aspek. Sesungguhnya ia bagaikan satu keajaiban buat mangsa musibah.


Sehingga kini, banyak negara yang dibantu Mercy Malaysia seperti Kosovo, Acheh, Sri Lanka, Afghanistan, Bangladesh, Vietnam, Cambodia, Iraq, India, Turkey dan Yemen.

Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata, Mercy Malaysia merupakan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang memberi tumpuan kepada bantuan perubatan di kawasan yang dilanda bencana.

Menurutnya, ratusan sukarelawan akan turun padang untuk ke setiap lokasi yang ditimpa masalah. Beberapa aspek bantuan seperti sektor kesihatan, kebersihan air, pengurangan risiko bencana dan pengurangan sektor diberi tumpuan.

"Sukarelawan kita terdiri daripada pelbagai profesion seperti doktor, jururawat, doktor pakar, guru, peguam, arkitek, pensyarah dan jurutera. Kepakaran mereka banyak membantu perjalanan misi bantuan kemanusiaan Mercy Malaysia berjalan lancar.

"Mereka membantu dan berjuang tanpa harapkan sebarang imbuhan. Hanya niat untuk membantu sesama manusia itulah yang membuatkan sukarelawan ini sanggup menghabiskan masa dan wang ringgit masing-masing," katanya ketika ditemui oleh wartawan Sinar Harian di pejabatnya di Kompleks Dayabumi, Kuala Lumpur.


Dr Ahmad Faizal (kanan) melakukan pemeriksaan kesihatan seorang bayi ketika menyertai salah satu misi kemanusiaan di sebuah negara dilanda musibah.

Hanya saiz kecil

"Mercy Malaysia hanyalah sebuah badan bantuan yang bersaiz kecil sahaja. Walau kecil, kita sudah berjaya bekerjasama dengan pelbagai organisasi yang lebih besar dan bertaraf dunia. Kami pernah bekerjasama dengan Persatuan Doktor-doktor Perubatan Asia (AMDA), sebuah pertubuhan bukan keuntungan antarabangsa ketika misi di Acheh sebelum ini.

"Kita beruntung kerana banyak pertubuhan antarabangsa sudi bekerjasama dan ini adalah satu penghormatan buat Mercy," katanya gembira.

Dr Ahmad Faizal berkata, sukarelawan yang menyertai misi Mercy Malaysia bukanlah terdiri daripada mereka yang berpengalaman sahaja sebaliknya ada yang masih baharu dan melahirkan minat untuk turut berjuang.

"Setiap misi kita akan hantar sukarelawan baharu dan lama. Tujuannya untuk menyeimbangkan misi tersebut. Yang lama boleh berkongsi ilmu dengan yang baharu dan sukarelawan baharu perlu menerima pembelajaran dengan sebaik mungkin," ujarnya.

Di sebalik tabir MERCY

Semuanya bermula pada 1999, di tengah-tengah perang membara di Kosova di mana beribu-ribu nyawa hilang dan penderitaan adalah meluas. Pakar Sakit Puan Obstetrik Malaysia, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood berusaha menawarkan perkhidmatan secara sukarela. Beliau bersama rakan tampil memberi bantuan dalam segenap aspek.

Pulangnya ke tanah air, mereka melahirkan idea untuk mewujudkan sebuah organisasi kemanusiaan. Wujudnya Mercy Malaysia dek gagasan dan idea yang dikemukakan itu. Mercy Malaysia dilancarkan pada 2001 dan organisasi tersebut berkembang dengan pasukan dihantar ke zon yang dilanda bencana dan program dilaksanakan di pelbagai negara dan dalam bencana yang berbeza.

Sebagai pertubuhan didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan, Mercy Malaysia mempunyai lebih daripada 500 ahli dan disokong kira-kira puluhan ribu sukarelawan berdaftar setakat ini.

Bercerita penglibatan Dr Ahmad Faizal dalam Mercy Malaysia, katanya, Januari 2003 dia mula menjadi sukarelawan bagi misi banjir di Sri Lanka. Waktu itu, dia hanya sukarelawan biasa. Beberapa negara yang dilanda gempa bumi, krisis kemanusiaan, tsunami dan banyak lagi telah dijelajah beliau atas nama misi kemanusiaan.

Beliau benar-benar ikhlas membantu. Oleh kerana keikhlasan dan keprihatinan tersebut, sewajarnyalah beliau dilantik sebagai Pengerusi bagi Mercy Malaysia.

Sumber: Sinar Harian

0 comments: