10 Februari 2014

Latih Anak Kecil Urus Diri Ke Tandas



JIKA situasi ini sedang melanda diri anda, pasti naluri keibuan sedikit gusar lebih-lebih lagi apabila melihat anak rakan-rakan lain yang sebaya sudah pandai menguruskan diri ketika hendak membuang air kecil atau besar.

Keadaan anak-anak kecil yang masih mengenakan lampin pakai buang atau bergantung kepada ibu bapa untuk 'urusan' ke tandas pada usia di mana mereka sepatutnya sudah boleh melakukan sendiri, bukan setakat menggusarkan malah turut memberi kesan kepada perkembangan dan psikologi kanak-kanak tersebut.

Pensyarah di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Mariani Mohd. Nor berkata, seeloknya kanak-kanak apabila mencecah usia dua tahun ke atas sudah boleh dilatih dan didedahkan dengan cara-cara menguruskan diri kerana ketika itu mereka sudah faham serta mengenali bahagian anggota badan masing-masing.


“Biasanya kanak-kanak seusia ini cuma tidak tahu cara-cara membuang air kecil atau besar di tandas dan melakukan sendiri proses membasuhnya dengan cara yang betul kerana selama ini bergantung pada lampin pakai buang atau diurus oleh ibu dari mula sehingga akhir.

“Untuk melatih melakukan sendiri, pada peringkat awal ibu bapa boleh mendedahkan mereka dengan cara membuang air besar dengan mencangkung atau duduk.

“Kemudian pendedahan menggunakan tangan yang betul untuk membasuh najis mereka. Latihan yang berterusan akan membantu mereka berjaya dalam usaha ini," jelasnya.

Tambah Dr. Mariani lagi, bagi membuatkan proses latihan lebih berkesan, seeloknya ibu bapa melakukan demonstrasi terlebih dahulu agar anak-anak kecil mudah untuk mempelajari dan mengikut.

“Langkah pertama, ibu atau bapa bersama-sama anak tersebut tunjuk sendiri cara hendak duduk untuk membuang air besar atau kecil.

“Praktikkan cara tersebut kepada mereka apabila mereka mengadu untuk membuang air. Ajar juga mereka untuk mengepam tandas setelah selesai.

“Seterusnya, apabila mereka sudah diyakini dapat mempelajari proses tersebut, ibu atau bapa masih perlu memantau dengan mengikut mereka ke tandas bersama-sama tetapi proses mencuci tersebut biar mereka yang lakukan sendiri.

"Bantu mereka jika anda mendapati keadaan tidak terkawal," jelasnya.

Dr. Mariani menambah, proses tersebut seeloknya dilakukan berterusan sehingga sebulan sama ada dipantau oleh ibu bapa atau mendapat bantuan daripada pembantu rumah.

“Apabila kanak-kanak didapati sudah pandai menguruskan sendiri proses tersebut, seterusnya anda hanya perlu memantau anak-anak dari jauh tanpa menggunakan bantuan fizikal.

“Teruskan memantau mereka dalam tempoh ini tanpa menggunakan fizikal tetapi berikan arahan dan perhatian apabila mereka memerlukan bantuan," katanya.

Sumber: Utusan

0 comments: