24 Februari 2014

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) Dikaji Semula



Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Pendidikan akan mengkaji semula pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) secara menyeluruh ekoran terdapat pelbagai masalah yang dihadapi oleh guru dalam melaksanakan sistem tersebut.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, antara masalah itu ialah berhubung sambungan sistem capaian dan penggunaan alat merekodkan prestasi pencapaian yang tidak dapat dilaksanakan dengan baik.

"Sama ada PBS akan ditangguh atau diteruskan akan diputuskan dalam satu mesyuarat yang bakal diadakan dalam masa terdekat," katanya yang juga Menteri Pendidikan.


Muhyiddin berkata, capaian kepada sistem pengurusan dan pentaksiran berasaskan sekolah (SPPBS) telah ditangguhkan sejak akhir November 2013 bagi menyelesaikan isu-isu yang berbangkit.

"Kita fikir perlu dan sesuai untuk menangguhkan seketika sehingga sistem tersebut boleh beroperasi secara kemas dan lancar," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kementerian akan sentiasa memastikan apa sahaja sistem yang diperkenalkan dapat membantu meningkatkan pencapaian proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN
Sumber: Utusan [11/2/2014]

Elak masalah berulang

Langkah Kementerian Pendidikan untuk mengkaji semula pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) secara menyeluruh dianggap satu mekanisme terbaik dalam usaha menambah baik sistem pendidikan negara.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMMB), Datuk Mohamed Sabri Mohd. Arsad berkata, ini kerana, bagi membolehkan satu pembaharuan yang dilaksanakan dan memberi kesan maksimum, ia tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa satu kaedah yang efisien.

Katanya, kerajaan mengambil keputusan tepat apabila mengambil pendekatan mengkaji semula PBS memandangkan terdapat banyak rungutan tentang kelemahan sistem berkenaan.

“Kita sangat setuju dengan langkah ini memandangkan dua masalah yang ada dalam sistem ini iaitu pengisian kurang berkesan dan sistem pencapaian yang lemah perlu diatasi terlebih dahulu.

“Kementerian Pendidikan harus mengkaji kedua-dua perkara ini secara terperinci dan serentak agar apabila kita melaksanakan semula PBS ini tidak akan timbul perkara berbangkit dan menyebabkan sistem ini perlu dikaji lagi," katanya.

Mohamed Sabri turut mencadangkan agar kementerian memberi peluang kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang pakar dalam bidang tertentu bagi membantu golongan guru menilai murid melalui PBS.

Jelasnya, melalui kaedah itu, penilaian dapat dibuat dengan lebih tepat dan telus selain menjimatkan masa guru.

“Misalnya, jika untuk menilai prestasi sukan, penglibatan NGO sukan boleh dipertimbangkan untuk bantu guru menilai murid berkaitan, jadi penilaian dapat dibuat dengan lebih baik," katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Dr. Mohd. Ali Hassan berharap PBS tidak dimansuhkan, namun meminta kerajaan mempertimbang beberapa perkara dalam usaha menambah baik sistem itu.

“"Saya cadangkan PBS dilaksanakan secara berperingkat dan dimulakan dengan sekolah tertentu terlebih dahulu bagi membolehkan kita menilai keberkesanannya sekali gus mengelakkan keadaan yang berlaku sekarang."

"“Selain itu, kita juga mahu pelaksanaan PBS hanya mengambil tempat 60 peratus dalam sistem penilaian murid manakala selebihnya perlu diadakan peperiksaan yang bertaraf tinggi agar tidak ada keputusan dibuat berdasarkan satu kaedah sahaja dan lebih adil," katanya.

Oleh AIRUNNISA ALAUI
Sumber: Utusan [12/2/2014]

Kaji PBS secara menyeluruh

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia bagi membolehkan Kementerian Pendidikan mengenal pasti rumusan melaksanakan PBS secara lebih berkesan.

Sebelum ini guru mengadu mengenai kesukaran memasukkan maklumat ke dalam pangkalan data dan kita menangguhkan pelaksanaan aspek itu sehingga 1 April, tetapi proses PBS diteruskan.

Kita akan teliti perkara ini dan adakan mesyuarat selepas ini. Kalau fikir perlu dan sesuai, kita tangguhkan seketika sehingga sistem ini dilihat kemas serta boleh beroperasi secara lancar, kita akan putuskan (kemudian).

Sejak memperkenalkan PBS, kita terima pelbagai pandangan daripada guru yang meminta kerajaan teliti semasak-masaknya kaedah terbabit

PBS dilaksana berdasarkan empat komponen iaitu Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi).
Dengar pandangan guru

Rumusannya, kalau PBS hendak dilaksanakan, kita mesti pastikan segala yang diperlukan, sama ada dari segi sistem infrastruktur, latihan dan perkara lain benar-benar difahami dan dapat beroperasi secara cekap.

Itulah sebabnya saya memutuskan kita tangguh sementara aspek memasukkan maklumat berkaitan pelajar kerana sistem pelayan (server), selain rangkaian perhubungan dan penggunaan alat merekodkan prestasi serta pencapaian pelajar tak dapat dilaksana dengan baik.

Oleh Magendran Rajagopal dan Suhaila Shahrul Annuar
Sumber: BHarian [12/2/2014]

Sistem PBS ditambah baik

Terlebih dahulu sebelum itu, Kementerian Pendidikan sedang dalam peringkat pembaikan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan dijadual dapat beroperasi dengan lebih berkesan pada April 2014 ini.

Pengarah Lembaga Peperiksaan, Dr. Na'imah Ishak berkata, usaha meningkatkan keberkesanan sistem tersebut sedang giat dijalankan sejak beberapa bulan lalu bagi mengelakkannya menjadi bebanan kepada guru.

Menurutnya, beberapa kaedah termasuk mengganti sistem baharu dan membuat ujian keberkesanan sedang dijalankan sebelum sistem itu dapat berfungsi dengan lebih baik untuk memudahkan guru mengisi data murid.

''Memang sistem PBS menghadapi masalah dan kementerian sedang dalam usaha mengatasi kelemahan ini, ia sedang dalam peringkat pembaikan.

''Pembaikan sistem ini memerlukan sedikit masa lagi sebelum dapat digunakan sepenuhnya pada April kerana yang penting ia dapat membantu guru menjalankan tugas mereka dengan baik dan berkesan tanpa mendatangkan sebarang masalah selepas ini," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya Putrajaya, baru-baru ini.

Pelaporan ini diharap dapat memberi gambaran tentang potensi murid secara holistik dan maklumat tersebut dapat membantu murid membuat keputusan yang lebih tepat dalam pemilihan aliran pendidikan di peringkat menengah atas.

PBS merupakan transformasi sistem pendidikan negara yang sebelum ini berfokuskan peperiksaan diubah kepada sistem pentaksiran pendidikan yang lebih holistik namun didakwa membebankan guru ekoran sering tergendala menyebabkan data murid terpaksa dimasukkan pada lewat malam.

Selain itu, Na'imah berkata, berbanding PMR yang mana murid akan diuji pada akhir tingkatan 3 dengan peperiksaan pusat yang dikendalikan Lembaga Peperiksaan, penilaian PBS melalui empat komponen tersebut ditaksir mengikut pengetahuan, kefahaman, kemahiran dan nilai yang menjurus kepada profil, pencapaian, perkembangan serta penyertaan murid.

''Ibu bapa akan mengetahui tahap pencapaian anak mereka melalui pernyataan keputusan bagi empat komponen PBS yang mengandungi komponen akademik dan bukan akademik yang dikeluarkan pihak sekolah mengikut Band 1 hingga 6.

''Keputusan pernyataan Pentaksiran Pusat (PP) A hingga F iaitu Cemerlang atau belum mencapai tahap minimum masih dikeluarkan oleh pihak Lembaga Peperiksaan manakala Pentaksiran Sekolah, keputusan kokurikulum dan inventori murid dikeluarkan pihak sekolah," jelas Na'imah.

Katanya, beberapa penambahbaikan dilakukan dalam pelaporan PBS antaranya termasuklah semua mata pelajaran murid ditaksir menyeluruh dari tingkatan 1, 2 hingga 3 mengikut Band dan pelaporan dijana oleh sistem.

Penilaian melalui PBS itu merangkumi empat komponen iaitu Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

Menurutnya, konsep PBS menekankan pentaksiran bersifat holistik bertujuan membangunkan modal insan menyeluruh dengan memiliki ciri profil murid PBS, maklumat tentang kebolehan murid dikumpul lebih komprehensif melalui profil dan pencapaian murid.

Sumber: Utusan [3/2/2014]

PBS bentuk baru akan ringankan tugas guru

Sistem aplikasi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bentuk baru selepas melalui proses penambahbaikan akan meringankan beban dan tugas guru di sekolah, kata Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh.

Katanya, sistem itu sedang melalui proses kajian dan penambahbaikan yang dijangka selesai antara dua hingga tiga minggu lagi sebelum dapat dilaksanakan semula.

"Merujuk kepada respons yang kita terima, banyak yang menyatakan bahawa ia membebankan tugas guru selain ada isu-isu tentang teknologi maklumat (ICT) (dari segi) perhubungan dan capaian.

"Semua perkara ini sedang dilihat secara menyeluruh dan kajian yang dilakukan mengambil kira pendapat dan pandangan semua pihak," katanya

Sistem itu yang merupakan transformasi daripada berfokuskan peperiksaan kepada sistem pentaksiran pendidikan yang lebih holistik, didakwa membebankan guru ekoran sering tergendala menyebabkan data pelajar terpaksa dimasukkan pada lewat malam.

Idris berkata, PBS adalah satu sistem yang amat baik namun menghadapi kesulitan dari segi pelaksanaannya sahaja yang perlu ditambahbaik.

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian telah melaksanakan program pendidikan Ulul Albab di tiga buah sekolah menengah iaitu di Pahang, Kedah dan Kuala Lumpur pada tahun ini.

Katanya, sekolah-sekolah tersebut kini telah mengguna pakai model pembelajaran Ulul Albab yang mengintegrasikan pendidikan sedia ada iaitu sains tulen dengan program aliran agama termasuk tahfiz Al-Quran.

"Ini model yang digunakan di sekolah-sekolah Imtiaz di Terengganu sejak tahun 1999 dan dikembangkan di Maktab Rendah Sains Mara pada 2009 yang memberi fokus kepada pembangunan akademik dan rohani selain meningkatkan pemikiran aras tinggi para pelajar," katanya.

Katanya, kerajaan berharap dapat menerapkan model itu di sebuah sekolah di setiap negeri pada tahun hadapan bagi memberi peluang lebih ramai palajar mendapat manfaat daripada model itu.

Sumber: BERNAMA, BHarian [2014/02/20]

PBS tidak akan dimansuh, cuma ditangguh

Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) tidak akan dimansuhkan, sebaliknya cuma ditangguhkan sementara sehingga kajian menyeluruh mengenainya selesai dilakukan pada 1 April 2014.

Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pelaksanaan PBS perlu diteruskan kerana ia satu sistem yang baik dan mendokong kehendak ramai yang mahukan sistem berorientasikan peperiksaan dimansuhkan sebelum ini.

"Kita melaksanakan PBS sebab ia satu sistem yang baik. Kita buat kajian lebih dua tahun dengan mengambil kira pandangan lebih 55,000 rakyat Malaysia yang tidak mahu lagi sistem yang semata-mata berorientasikan peperiksaan.

"Kementerian Pendidikan bagaimanapun menangguhkan sementara PBS selepas mendengar rintihan guru. Isu yang timbul pada waktu ini cuma pelaksanaannya, bukan isu asas dan objektif sistem itu," katanya

Sumber: Kosmo [25/2/2014]

Teliti kesan bebanan guru

Guru-guru tidak perlu meneruskan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sehingga perkara itu diputuskan oleh Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yuso berkata, Kementerian Pendidikan mengambil serius mengenai isu pelaksanaan PBS yang dibangkitkan oleh guru-guru di samping pandangan tentang kesannya terhadap murid.

Berikut kenyataan penuh beliau;

* Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat memandang serius mengenai isu pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang dibangkitkan oleh guru-guru di samping pandangan akan kesannya kepada murid. PBS merupakan dasar yang melibatkan pentaksiran secara menyeluruh (holistik) terhadap pencapaian murid. Dalam hal pelaksanaannya, KPM sentiasa terbuka dan telus terhadap sebarang rungutan, komen, pandangan, kritikan daripada guru-guru dan masyarakat.

* Sehubungan dengan itu, selaras dengan arahan Menteri Pendidikan supaya KPM membuat kajian menyeluruh mengenai perlaksanaan PBS, pihak KPM telah mengambil inisiatif meneliti semula pelaksanaannya agar dapat mengurangkan bebanan tugas guru. Kajian dan penelitian ini difokuskan kepada rombakan terhadap perkara-perkara yang melibatkan kekerapan guru-guru memasukkan data-data berkaitan eviden dan pencapaian murid yang termasuk juga pengisian borang-borang perekodan prestasi murid yang boleh membebankan guru-guru.

* Di samping memastikan kajian dan penelitian tersebut dilaksana secara berkesan, KPM juga telah mengambil langkah-langkah segera bagi menanganinya seperti berikut;

l. Menangguhkan taklimat PBS di peringkat sekolah rendah dan menengah seluruh negara bermula pada 17 Februari 2014 bagi mengelakkan kekeliruan terhadap pelaksanaannya.

2. Mengadakan perbengkelan yang melibatkan guru-guru termasuk kesatuan-kesatuan guru dalam usaha penelitian dan kajian semula terhadap pelaksanaan PBS. Bengkel tersebut telah dilaksanakan pada awal dan pertengahan bulan Februari 2014 dan hasilnya akan dibentangkan semula kepada KPM dalam tempoh terdekat.

3. Menubuhkan Jawatankuasa Task Force PBS di peringkat KPM yang mengadakan mesyuarat setiap minggu bagi meneliti dan menilai perkembangan setiap tindakan terhadap penelitian PBS.

4. Mewujudkan War Room PBS di peringkat KPM untuk menangani isu-isu berbangkit berkaitan pelaksanaan PBS dengan segera dan berkesan termasuk membuat maklumbalas segera mengenainya dari semasa ke semasa; dan

5. usaha-usaha penambahbaikan terhadap capaian Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) juga sedang dilaksanakan di peringkat KPM bagi memastikan guru-guru boleh mengakses sistem tersebut secara lebih mudah dan berkesan.

* Kesemua tindakan tersebut diambil adalah bagi memastikan setiap elemen pelaksanaan PBS dapat memberikan taksiran secara holistik terhadap murid dan dalam masa yang sama dapat mengurangkan bebanan tugas guru yang melaksanakannya. KPM akan memaklumkan hasil penelitian dan kajian semula berkaitan hal ini termasuk tindakan selanjutnya terhadap pelaksanaan PBS setelah Menteri Pendidikan berpuas hati dengan penambahbaikan yang dicadangkan dengan mengambilkira dapatan kajian terbaru KPM, rungutan para guru dan pandangan masyarakat termasuk oleh Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM).

* Buat masa ini guru-guru tidak perlu meneruskan perlaksanaan PBS sehingga satu kenyataan mengenainya dibuat oleh KPM dalam masa yang terdekat.

Sumber: Utusan [23/2/2014]

Guru tidak perlu masukkan data secara dalam talian

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu , guru-guru tidak perlu lagi memasukkan data sistem Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) secara dalam talian selepas ini.

Sebaliknya beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, data sistem PBS itu hanya perlu disimpan sendiri oleh guru sebagai rekod dalam usaha kerajaan meringankan beban guru.

Sumber: Utusan [16032014]

0 comments: