Nuff Atas

18 Mac 2014

Mengubah Persepsi Rawatan Bekam

Terapi Bekam

KAEDAH rawatan bekam, yang wujud sejak zaman purba Greek ribuan tahun, semakin diyakini terutama di negara-negara Islam sebagai kaedah perubatan yang dikatakan dapat membantu menyembuhkan penyakit terutama yang kronik.
 
Bekam adalah kaedah membuang toksin dengan mengeluarkan darah kotor dari permukaan kulit sepertimana yang diamalkan Rasulullah S.A.W. dan para sahabat.
 
Diperkuatkan dengan beberapa hadis sahih yang menjelaskan mengenai rawatan bekam, ia dikatakan sebagai kaedah yang boleh membantu mengubati segala penyakit.
 
Di Malaysia, walaupun rawatan bekam semakin meluas terutama di pusat-pusat rawatan bekam dan pusat rawatan kecantikan, namun masih terdapat kebimbangan dalam kalangan masyarakat untuk mengamalkannya.


Keadaan ini timbul berikutan terdapat kekeliruan daripada andaian-andaian negatif antaranya perempuan tidak perlu berbekam kerana akan mempercepatkan proses menopaus, berbekam akan menyebabkan darah bertambah kurang, ketagihan untuk berterusan melakukan bekam selain tidak yakin kaedah itu mampu menyembuhkan penyakit terutama penyakit-penyakit kronik.
 
KEKELIRUAN PERUBATAN BEKAM
 
Kegagalan menjelaskan secara saintifik rawatan bekam dan kebaikannya mungkin antara punca wujudnya andaian-andaian itu.
 
Pengusaha dan pakar rawatan bekam, Pusat Homeopati, Refleksiologi dan Bekam Al-Jawad, Dr(homeopati) Ibrahim Burhanuddin berkata seseorang pengamal rawatan perubatan bekam harus mempunyai ilmu bukan sahaja ilmu bekam tetapi ilmu-ilmu berkaitan dengannya seperti psikologi dan saraf.
 
Beliau, yang telah berpengalaman lebih 17 tahun dalam rawatan bekam berkata, masyarakat hari ini yang berpendidikan tinggi dan terbuka, mahu mengetahui secara saintifik satu-satu rawatan itu sebelum bersetuju untuk melakukannya.
 
"Ramai pengusaha yang kurang mahir, jadi apabila ditanya apa tujuan bekam, macam mana fungsi setiap rawatan itu kepada anggota badan, mereka gagal menjelaskannya.
 
"Ini menyebabkan masyarakat tidak faham dan ia antara kekangan mengapa rawatan bekam sukar untuk pergi lebih jauh sepertimana bidang perubatan akupuntur yang mendapat pengiktirafan dunia," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
 
Berkongsi pengalamannya sendiri, beliau berkata segalanya bermula pada tahun 1991 setelah mencuba rawatan bekam bagi mengubati penyakit gastrik dan paru-paru berair yang dialami sejak sekian lama.
 
Setelah mencuba pelbagai ubat, masih gagal merawat penyakit yang dihidapi hingga beliau mencuba rawatan bekam dan kemudian pulih daripada penyakit itu.
 
"Dari situlah saya mengkaji dan belajar kaedah rawatan bekam daripada beberapa orang guru termasuk seorang guru bekam dari Korea. Saya kaji bagaimana bekam boleh menyembuhkan penyakit dan bagaimana ia menjadi perubatan terbaik sepertimana yang dinyatakan dalam hadis Nabi," katanya, yang turut mendapat ijazah kedoktoran dalam bidang homeopati dari Universiti Sumatera Utara, Indonesia.
 


TOKSIN PUNCA PENYAKIT?
 
Daripada kajian-kajian perubatan, penyakit yang singgah dalam tubuh individu itu berpunca daripada toksin. Ia diumpamakan seperti sampah yang menyebabkan tiga pembuluh darah iaitu alteri, vena dan kapilari menjadi sempit dan lemah hingga tidak mampu menjalankan tugasnya dengan sempurna.
 
Ketiga-tiga pembuluh darah ini jika disambungkan akan menjadi sepanjang 96 kilometer, menurut Ibrahim.
 
Ia perlu dibersihkan bagi membolehkan ia mengalir dengan lancar.  

Jelas beliau, apabila darah tidak dapat mengalir dengan sempurna, ia tidak dapat menghantar oksigen dan pemakanan yang diperlukan ke seluruh organ-organ tubuh.
 
"Apabila semakin banyak toksin dalam badan, oksigen akan bertambah kurang. Ini menyebabkan orang yang sakit akan bertambah-tambah sakit sekiranya sel-sel dalam badan tidak mendapat nutrien dan oksigen yang cukup," katanya.
 
Apa yang membezakan setiap pesakit ialah tempat-tempat toksin itu berkumpul hingga menyebabkan pelbagai penyakit datang seperti gout, kencing manis, jantung, darah tinggi dan buah pinggang.
 
Jika toksin banyak berkumpul di kepala, sakit kepala mudah datang, akan cepat mengantuk, tumpuan akan hilang, susah untuk tidur dan pelupa hingga menyebabkan darah tinggi dan akhirnya strok, katanya.
 
"Contohnya, gula dalam darah yang normal bacaannya 4 hingga 6, jika lebih daripada itu seperti bacaan 8 hingga 10 yang lebih itulah toksin. Begitu juga dengan kolestrol dalam badan.
 
"Cara untuk membuang toksin ini dengan cara membuang darah kotor yang terkumpul. Semakin banyak darah kotor yang dibuang semakin lancar dan bersih darah yang tinggal dan penghantaran oksigen dan pemakanan dalam tubuh akan berjalan lancar," katanya.
 
PUNCA TOKSIN
 
Ramai yang menyatakan toksin dalam badan diperoleh melalui pemakanan dan minuman. Ia mungkin satu daripada puncanya. Namun punca sebenar toksin terkumpul dalam tubuh kerana terganggunya sistem buah pinggang dan hati yang bertindak sebagai penapis terbaik di dunia.
 
Buah pinggang yang sihat bekerja sebagai penapis darah daripada segala kekotoran yang akan dikeluarkan melalui air kencing, manakala hati pula bertindak sebagai penapis bahan-bahan kimia yang masuk ke dalam tubuh badan.
 
Apabila seseorang itu mengalami penyakit kronik, fungsi hati dan buah pinggang yang akan terganggu terlebih dahulu.
 
"Tidak akan berlakunya penyakit kronik kepada diri individu sebelum menurunnya fungsi kedua-dua organ ini. Selama buah pinggang dan hati seseorang itu sihat, dia akan sihat", katanya.
 
Cara perubatan dan penyembuhannya ialah dengan menyihatkan kedua-duanya kerana selagi organ utama ini tidak sihat, penyakit kronik yang dihadapi tidak akan sembuh.
 
"Bukan nama penyakit itu yang harus dihilangkan kerana penyakit kencing manis, sampai mati tidak akan hilang. Begitu juga jantung dan darah tinggi.
 
"Yang penting orang itu yang harus disihatkan. Apabila orang itu diubati, penyakit itu akan hilang. Caranya dengan mengesan mana punca datangnya sakit itu," katanya.
 
BEKAM UNTUK PESAKIT KRONIK
 
Ada yang menyatakan bahawa pesakit kronik seperti kencing manis tidak boleh menjalani rawatan bekam kerana dibimbangi akan menyebabkan luka sukar untuk disembuhkan.
 
Ibrahim berkata pendapat itu tidak benar, kerana beliau sendiri telah merawat pesakit kencing manis kronik melalui bekam dan pesakit telah menunjukkan kesan yang positif melalui kaedah itu.
 
Katanya, seseorang pesakit kencing manis sukar sembuh pada luka yang terdapat di kakinya kerana kandungan gula dalam darah telah menyumbat pembuluh darah hingga menyebabkan kaki menjadi kebas, saraf tidak dapat berfungsi kerana darah tidak dapat dihantar ke kawasan itu.
 
Yang akan menyembuhkan luka itu ialah antibodi yang terdapat didalam darah bersih dan apabila pengaliran darah telah tersumbat, ia tidak dapat sampai ke tempat yang luka.
 
"Perlu dikeluarkan toksin itu dan secara perlahan-lahan darah bersih akan mengalir ke kawasan luka, yang akan menjadi antibodi terbaik berbanding antibiotik untuk menyembuhkannya.
 
"Dengan berbekam akan membuka laluan-laluan darah tersebut jika dilakukan dengan betul," katanya.
 
Untuk pesakit kronik, bekam harus dilakukan secara teratur melalui konsultasi yang betul bagi menyembuhkannya. Ia berbeza bagi setiap individu.

Manakala bagi yang tidak mempunyai penyakit kronik digalakkan melakukan rawatan bekam sekurang-kurangnya tiga bulan sekali bagi membuang darah kotor untuk melancarkan pengaliran darah bersih.
 
Beliau, yang turut membuka dua cawangan pusat perubatan Al-Jawad di Pekan Baru dan Batam, Indonesia melihat rawatan bekam boleh disebarluas di seluruh dunia sekiranya dilakukan secara profesional.
 
"Kecenderungan untuk kembali kepada rawatan Islam itu telah ada. Cuma apa yang perlu dilakukan oleh mereka yang terlibat dalam rawatan perubatan bekam ini ialah menambah ilmu agar mereka diberi kepercayaan dengan ilmu dan kemahiran
yang ada," katanya.

Oleh Kurniawati Kamarudin
Sumber: Bernama, Sinar Harian [14 Mac 2014]

Buang toksin dalam badan


Rawatan bekam pada titik untuk penyakit kronik dilakukan ke atas pesakit yang bertujuan membetulkan organ dalaman utama.

EDRI (bukan nama sebenar) baru sahaja memasuki usia 30-an. Sungguhpun begitu pemuda ini kerap mengadu sakit kepala, pening dan mengantuk pada waktu tengah hari.

Akibatnya dia tidak boleh berfikir dan hanya mahu berbaring. Sudah kerap kali dia berulang-alik ke klinik dan hospital untuk membuat pemeriksaan, namun doktor memberitahu keadaannya normal.

Tidak puas hati dengan jawapan itu, dia memberanikan diri untuk mencuba sejenis rawatan alternatif yang agak popular dalam kalangan masyarakat Melayu iaitu rawatan bekam.

Pemeriksaan pengamal perubatan bekam mendapati bahagian bawah kepalanya bermasalah kerana perjalanan darah di bahagian tersebut tidak lancar.

Bekam adalah kaedah rawatan membuang toksin atau darah kotor yang merupakan punca segala penyakit dan dikeluarkan dari dalam tubuh melalui permukaan kulit dengan menggunakan alat bekam.

Tetapi masih ramai yang tidak berani mencuba rawatan berkenaan kerana beranggapan bekam adalah satu kaedah rawatan sangat ngeri dan menyakitkan apatah lagi ketika melihat titisan darah mengalir keluar daripada tubuh badan.

Lantaran itu, pengamal Pusat Pengubatan Hemeopathy Al-Jawad, Ibrahim Burhanuddin cuba memperbetulkan stigma negatif masyarakat terhadap rawatan bekam.

Menurut Ibrahim, bekam adalah kaedah perubatan alternatif terbaik untuk segala jenis penyakit dan keberkesanan kaedah ini sudah terbukti dalam Islam dan dikategorikan sebagai sunnah Nabi Muhammad SAW.

"Bekam adalah rawatan terbaik kerana ia menetapkan dua titik utama yang perlu dirawat iaitu titik untuk penyakit kronik dan titik untuk penyakit tidak kronik.

"Rawatan bekam pada titik untuk penyakit kronik dilakukan ke atas pesakit yang bertujuan untuk membetulkan organ dalaman utama iaitu hati dan buah pinggang yang terganggu akibat pengumpulan toksin dalam badan," katanya.

Beliau berkata, rawatan bekam untuk pesakit yang menghidap kencing manis, sakit jantung dan gout perlu bermula pada titik di hati dan buah pinggang.

Kata Ibrahim lagi, segala penyakit kronik yang menganggu kesihatan manusia berpunca daripada darah kotor (bertoksin) yang mengalir dalam tubuh dan apa yang membezakan antara jenis penyakit dengan penyakit yang lain adalah di bahagian tubuh yang mana toksin itu berkumpul.

"Dua organ ini perlu dipulihkan kerana kedua-duanya berfungsi untuk membersihkan tubuh daripada kotoran. Buah pinggang adalah penapis terbaik kepada darah dan jika ia dapat berfungsi dengan baik maka semua kotoran atau toksin yang terdapat dalam darah berhasil dikeluarkan melalui air kencing.

"Hati pula bertindak untuk menyerap segala jenis bahan kimia beracun daripada makanan dan pengambilan ubat-ubatan, jadi apabila hati seseorang itu gagal memainkan peranannya maka toksin beracun akan terlepas ke dalam aliran darah ," ujarnya.

Ibrahim turut menegaskan rawatan bekam sangat berkesan kerana tidak memasukkan sebarang ubat-ubatan yang boleh menghasilkan toksin dalam tubuh badan, sebaliknya, rawatan bekam bersifat membuang toksin melalui titisan darah kotor.

"Untuk mengenal pasti darah yang keluar daripada tubuh badan itu bertoksin atau tidak adalah dengan melihat daripada warna darah, dan kepekatannya.

"Darah yang bersih dan terhindar daripada toksin adalah berwarna merah terang, dan cair manakala darah bertoksin biasanya berwarna merah kehitaman dan pekat," katanya.

Bekam dan kencing manis

Ramai penghidap kencing manis enggan menjalani rawatan bekam kerana menyangka bekam akan melukakan bahagian tubuh dan menyebabkan luka berkenaan lambat sembuh.

Bagaimanapun, Ibrahim memberitahu ramai pesakit kencing manis yang menjalani rawatan bekam di pusat perubatannya pulih daripada penyakit itu.

"Kencing manis terjadi disebabkan wujudnya lebihan gula (toksin) dalam badan. Gula memang diperlukan tubuh tapi hanya sekadar normal jika berlebihan ianya akan bertukar menjadi toksin.

"Awalnya gula itu berada di dalam aliran darah kemudian ia akan mengalir ke seluruh tubuh dan turun ke kaki kerana prinsip darah seperti air ia pergi ke tempat rendah.

"Maka sebab itu gula (toksin) berkenaan akan menyumbat pembuluh darah di bahagian kaki sebab itu ramai pesakit kencing manis yang kritikal perlu dipotong kakinya," katanya.

Tambah beliau, biasanya apabila pembuluh darah di bahagian kaki telah tersumbat, ia akan memberi kesan seperti pesakit mengalami rasa kebas akibat fungsi saraf di bahagian berkenaan telah terganggu.

"Sebab itu, kita patut buat bekam kerana bekam mengeluarkan darah yang bertoksin.

"Ramai pesakit kencing manis yang datang ke sini dalam keadaan kritikal dan ada doktor yang ingin memotong kakinya tetapi selepas dia menjalani rawatan ini secara konsisten masalah tersebut semakin berkurang, dan luka pada kakinya sudah mulai sembuh," katanya.

Bekam Ruqyah pulihkan penyakit metafizik

Ramai yang tidak tahu, gangguan mahkluk halus boleh dirawat melalui kaedah bekam.

Ibrahim berkata, pesakit yang mengalami gangguan makhluk halus, dan sihir boleh diubati melalui rawatan bekam.

"Pesakit yang mengalami gangguan makhluk halus akan dibekam dan bacaan ruqyah akan turut dibacakan semasa rawatan.

"Insya-Allah syaitan dan iblis yang bersarang di dalam tubuh pesakit akan dikeluarkan melalui darah kotor," katanya.

Justeru, bagi mereka yang ingin mendapatkan rawatan bekam atau mengikuti kursus bekam daripada perawat yang bertauliah boleh berkunjung ke Pusat Pengobatan Homeopathy Al-Jawad di Lot 819-8, Kampung Melaka, Batu 9, Selangor.

Oleh NORAZLINA ISMAIL
Sumber: Utusan

1 comments:

Harith Iskandar berkata...

sy br sekali buat bekam...tingin jgak nk buat lg sekali