OPERASI mencari dan menyelamat terpaksa dihentikan pihak berkuasa Indonesia setelah gagal menemui bangkai pesawat Boeing 737-400 Adam Air yang hilang pada 2007.
Negara dihebohkan dengan kisah pesawat Malaysian Airlines (MAS) MH370 hilang di perairan Laut China Selatan pada awal pagi Sabtu 8 Mac, 2014. Kehilangan MH370 sungguh pelik. Ghaib begitu sahaja tanpa membuat sebarang panggilan kecemasan.
Bagaimanapun janganlah kita lupa untuk terus memanjatkan doa memohon pertongan Allah agar kesemua penumpang dan anak kapal MH370 tersebut berada dalam keadaan selamat.
Jika diimbas kembali, ini bukan kali pertama kes seperti ini berlaku. Pesawat hilang daripada pengawasan radar pernah berlaku pada pesawat Air France di Lautan Atlantik pada 1 Jun 2009 dan Adam Air di Laut Sulawesi pada 1 Januari 2007.
Daripada kedua-dua kes ini, penemuan kotak hitam adalah penting untuk mengetahui secara tepat apa sebenarnya berlaku kepada pesawat yang mengalami kemalangan tidak kira cepat ditemui ataupun mengambil masa hingga bertahun kerana ketahanannya membolehkan ia masih boleh dibaca.
Pesawat Adam Air Hilang Di Selat Majane
Pada 1 Januari 2007, pesawat tambang murah Adam Air KI574 jenis Boeing 737-400 yang membawa 102 penumpang dan anak kapal dari Bandung ke Manado secara tiba-tiba hilang dari radar tanpa membuat sebarang panggilan kecemasan, dipercayai telah terhempas di Selat Majene, perairan Laut Sulawesi.
Pada awalnya pelbagai spekulasi timbul antaranya pesawat itu melanggar gunung setinggi 8,000 kaki di Rangon, Sulawesi Barat. Namun cebisan bangkai pesawat ditemui nelayan selepas sepuluh hari nahas berlaku.
Kira-kira sebulan selepas itu, operasi mencari dan menyelamat dihentikan berikutan tiada sebarang petunjuk serpihan bangkai pesawat dan tragedi itu kemudiannya telah dilupakan oleh rakyat republik itu.
Bagaimanapun, tujuh bulan selepas itu, dua kotak hitam pesawat yang merakamkan data penerbangan dan perbualan juruterbang dalam kokpit berjaya ditemui. Tetapi bangkai lengkap Adam Air sehingga ke hari ini tidak ditemui.
Setelah sembilan bulan analisis dibuat oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Indonesia (KNKT) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) Amerika Syarikat (AS), ia merumuskan juruterbang telah memutuskan butang pengendalian penerbangan secara automatik dengan tidak sengaja ketika cuba membaiki kerosakan pada peralatan navigasi Sistem Rujukan Inersia (IRS).
Tanpa pengendalian secara automatik itu, pesawat itu hilang kawalan dan juruterbang gagal untuk mengendalikan pesawat Boeing 737-400 itu sehingga menyebabkan pesawat mengiring ke kanan dan menjunam ke dalam laut.
Pesawat Air France hilang di Laut Atlantik
Pesawat Airbus A330 Air France.
Sebuah pesawat pesawat Air France AF447 jenis Airbus A330-203 yang membawa 216 penumpang dan 12 krew, dipercayai terhempas pada 1 Jun 2009 semasa melalui kawasan ribut di Lautan Atlantik selepas berlepas dari Rio de Janeiro, Brazil menuju ke Lapangan Terbang Paris-Charles de Gaulle di Perancis.
Pesawat berlepas pada jam 7.03 petang waktu tempatan pada 31 Mei 2009 menuju ke Lapangan Terbang Paris yang memakan masa 11 jam penerbangan. Ia hilang dari radar Brazil di Lautan Atlantik tidak lama selepas menghantar pesanan rutin pada jam 1.33 pagi, 1 Jun 2009. Jet itu hilang di laluan antara Amerika Selatan dan Afrika, di kawasan yang dikenali kerap dilanda ribut tropika.
Nahas tersebut berlaku selepas tiga jam 45 minit berlepas menyebabkan 228 orang di dalamnya terbunuh. Lapan kanak-kanak termasuk seorang bayi, adalah antara 228 orang yang berada dalam pesawat Airbus A330 Air France tersebut.
Sebelum hilang daripada radar, pesawat Air France AF447 telah menyalurkan mesej automatik mengenai kedudukan pesawat dan pelbagai masalah teknikal menerusi Sistem Laporan dan Penerimaan Komunikasi Pesawat (ACARS) selama tiga minit.
Mesej berkenaan telah membolehkan pasukan SAR mengesan posisi akhir pesawat iaitu 1,100 kilometer (km) dari timur laut Brazil.
Selepas radar Brazil gagal mengesan pesawat malang berkenaan,Tentera Udara Brazil mula menjalankan operasi mencari dan menyelamat di Kepulauan Fernando de Noronha.
Kapal terbang peninjau Perancis juga dihantar bagi mengesan pesawat berkenaan.Jurucakap Tentera Udara Brazil kolonel Henry Munhoz memberitahu TV Brazil bahawa radar telah mengesan kapal terbang itu di pulau Cape Verde .
Pada 6 Jun 2009, cebisan rangka kapal terbang dan dua mayat ditemui di Lautan Atlantik, 680 km di timur laut Kepulauan Fernando de Noronha di utara Brazil. Pada 27 Jun 2007 pencarian mayat dan serpihan pesawat ditamatkan, dengan keseluruhannya 51 mayat ditemui.
Walaupun mempunyai banyak petunjuk dan dengan bantuan kelengkapan paling canggih, operasi SAR hanya berjaya mengesan serpihan pesawat pada hari ketiga, mayat pertama ditemui pada hari kelima dan kotak hitam pesawat tersebut pula hanya ditemui dua tahun kemudian.
Anggota Tentera Laut Brazil mengutip rangka pesawat Air France AF447 yang ditemui di Lautan Atlantik kira-kira 1,200 kilometer ke timur laut Recife pada 8 Jun 2009
Berikut adalah kronologi kerja-kerja SAR ke atas pesawat Air France tersebut:
HARI KETIGA: Teka-teki tentang nasib penumpang terjawab apabila serpihan berikutnya yang ditemui termasuk kerusi disahkan daripada pesawat malang tersebut. Penemuan itu melenyapkan sebarang harapan untuk menemui mangsa yang selamat.
HARI KELIMA: Dua mayat ditemui bersama serpihan kerusi, beg sandang yang mengandungi sebuah komputer dan beg kulit.
HARI KETUJUH: Sebahagian daripada ekor pesawat ditemui.
HARI KELAPAN: Operasi SAR mencapai kemuncaknya dengan jumlah anggota SAR seramai 1,100 orang, 15 kapal terbang dan puluhan kapal telah digunakan.
HARI KESEMBILAN: Sebuah kapal selam nuklear Perancis, Emeraude tiba di kawasan nahas bagi membantu mencari kotak hitam pesawat. Usaha tersebut bagaimanapun gagal.
HARI KE-13: Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) turut menghantar dua kapal yang mempunyai alat pendengar audio dan sonar yang berkeupayaan untuk menjejaki sebarang benda di dalam laut yang mengeluarkan isyarat khususnya kotak hitam. Usaha berkenaan juga gagal.
HARI KE-15: Sebanyak 50 mayat berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat Brazil, Perancis, Sepanyol dan AS yang menjalankan pencarian meliputi kawasan seluas 19,000 km persegi.
HARI KE-25: Pasukan tentera Brazil mengumumkan telah menamatkan operasi SAR dengan jumlah yang ditemui kekal 50 mayat dan 640 serpihan pesawat.
Misi berkenaan ditamatkan setelah semua aset yang digunakan termasuk kapal terbang, kapal tentera laut, kapal selam, kapal hidrografi dengan peralatan kenderaan kawalan jauh dalam air (ROV), pesawat Sistem Amaran Awal dan Pemerintah (AWACS) gagal menemui serpihan baharu dan kotak hitam.
HARI KE-30: Selepas tempoh 30 hari, kotak hitam tidak lagi mengeluarkan isyarat bagi memudahkan pasukan pencari menemuinya.
Kegagalan untuk menemuinya kerana ia dipercayai telah tenggelam ke dalam rabung yang sangat dalam dengan anggaran kira-kira 4,700 meter.
DUA BULAN SELEPAS NAHAS: Kapal penyelidikan Perancis, The Pourquoi Pas melakukan pencarian pada awal Ogos 2009 dengan bantuan dua kapal selam mini dan keupayaan menyelam sehingga 6,000 meter serta peralatan sonar. Misi berkenaan gagal.
SETAHUN SELEPAS NAHAS: Tiga kenderaan dalam air berautonomi (AUV) yang mempunyai kebolehan khusus untuk pemetaan dasar laut dalam sehingga 6,000 meter telah digunakan. AUV berkenaan dikendalikan oleh Institut Oseanografi Woods Hole (WHOI) dan Institut Waitt, AS.
Pencarian dilakukan selama 30 hari di kawasan seluas 4,000 km dengan keadaan dasar laut yang bergunung-ganang. Pasukan berkenaan tidak menemui apa-apa. Perbelanjaan yang dikeluarkan juga adalah cukup besar.
DUA TAHUN SELEPAS NAHAS: Sebuah kapal cari gali minyak, Alucia dan tiga AUV milik WHOI telah digunakan dalam pencarian pada 25 Mac 2011. Kotak hitam dan lain-lain serpihan pesawat yang terdampar di dasar lautan akhirnya telah ditemui setelah lima hari pencarian.
Antara serpihan yang ditemui pada kedalaman antara 3,800 hingga 4,000 meter adalah badan pesawat, enjin, sayap, gear pendaratan dan kotak hitam. Sebanyak 104 rangka mayat telah ditemui menjadikan keseluruhan 154 mayat. Hanya 74 mayat gagal ditemui.
Kotak hitam itu ditemui dalam keadaan baik dan datanya masih boleh dibaca namun mengambil masa berbulan-bulan untuk dianalisa.
Hasil penemuan itu telah membolehkan Biro Penyiasatan dan Analisis Perancis (BEA) mengeluarkan laporan siasatan lengkap bertarikh Julai 2012. Laporan berkenaan menyebut kristal ais telah menyekat peralatan mengukur kelajuan sehingga menyebabkan sistem pemanduan automatik tidak berfungsi.
Kegagalan juruterbang bertindak dengan pantas dan betul untuk mengambil alih pemanduan pesawat secara manual menyebabkan pesawat terhempas di laut dengan kelajuan 280 km sejam dan berkecai.
Sumber: Utusan [06022009], Kosmo [26/3/2008] Tranungkite, Utusan [10032014], Utusan [14032014], Utusan [Artikel Oleh NIZAM YATIM, 15/3/2014], Sinar Harian [24/3/2014]
Pesawat sewa Tentera Udara Uruguay
Pesawat sewa Tentera Udara Uruguay yang membawa 45 penumpang dan anak kapal, termasuk pasukan ragbi dari Montevideo yang terhempas di Banjaran Andes dalam keadaan cuaca buruk pada 13 Oktober 1972, hanya ditemui selepas 72 hari. [Sumber: BHarian].
'DOA UNTUK MH370'
0 comments:
Catat Ulasan