11 Mac 2014

Syarat Minima Untuk Tarik Minat Belia Cina Sertai PDRM


Pelatih kelihatan segak ketika menyertai Perbarisan Tamat Latihan Kadet Inspektor, di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

SAYA mengalu-alukan pengumuman terbaharu Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin mengenai inisiatif baharu yang membolehkan lebih ramai belia berbangsa Cina menyertai pasukan polis.

Beliau menyatakan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang berusaha mengambil 5,000 belia kaum Cina menyertai pasukan polis dan bersetuju untuk melonggarkan beberapa kriteria kelayakan seperti berikut:

1. Warganegara Malaysia (kaum Cina) berumur tidak melebihi 28 tahun pada tarikh tutup iklan.

2. Lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan mendapat kelulusan dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia (termasuk lulus ujian lisan) atau telah menduduki SPM mengikut sistem terbuka dengan mendapat kepujian di dalam dua mata pelajaran dan lulus Bahasa Malaysia serta lulus dalam tiga mata pelajaran lain dalam satu peperiksaan atau dua peperiksaan dalam tempoh tiga tahun berturut-turut.


3. Lulus ujian penglihatan bagi mata kiri dan kanan yang diuji berasingan dengan ketetapan V/6/9 menggunakan cermin mata atau kanta lekap.

Saya berharap kelonggaran syarat ini akan menggalakkan lebih ramai belia kaum Cina di negara ini menyertai pasukan polis.

Isu untuk mendapatkan lebih ramai belia berbangsa Cina menyertai pasukan keselamatan bukanlah sesuatu yang baharu.

Selama ini, beberapa usaha telah diambil untuk mendapatkan lebih ramai belia kaum Cina menyertai pasukan keselamatan tetapi tidak mendapat sambutan menggalakkan.

Saya berasa gembira melihat pihak PDRM tidak berputus-asa dan masih mencuba untuk mendapatkan lebih ramai belia Cina menyertai pasukan itu.

Ini telah menunjukkan bahawa pihak polis masih menghargai dan berterima kasih atas penglibatan kaum Cina dalam membantu pasukan polis menjaga undang-undang dan ketenteraman serta keselamatan masyarakat kita.

Pengambilan lebih ramai belia Cina ke dalam pasukan polis perlu disokong memandangkan penyertaan kaum Cina kini hanyalah kira-kira 1% hingga 2% daripada keseluruhan anggota polis walaupun kaum Cina meliputi 28% daripada 30 juta penduduk negara ini.

Sebagai sebuah negara berbilang kaum, adalah penting untuk kita mempunyai lebih ramai daripada kaum bukan Melayu dalam pasukan keselamatan.

Secara tidak langsung ini akan memudahkan kerja-kerja rondaan polis dan tugas-tugas lain di kawasan yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum.

Selain itu, dengan adanya lebih ramai anggota polis bukan Melayu lebih ramai anggota polis yang berbangsa Melayu dapat bercuti semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Haji.

Namun demikian, persoalannya mengapakah selama ini bilangan kaum Cina yang menyertai pasukan polis tidak menggalakkan?

Saya pernah membangkitkan soal sambu­tan yang kurang memuaskan dalam penyertaan polis kepada beberapa pemimpin masyarakat dan berdasarkan perbincangan dengan mereka, saya mendapat gambaran bahawa hal ini disebabkan oleh persepsi yang negatif terhadap pasukan polis.

Ramai menganggap polis adalah satu kerjaya yang berbahaya dengan gaji rendah dan peluang kenaikan pangkat yang tipis.

Kesemua ini adalah perkara persepsi. Persepsi berkemungkinan betul atau salah. Namun, persepsi perlu ditangani dan diperbetulkan jika ianya salah.

Berdasarkan faktor di atas, saya ingin mencadangkan kepada PDRM agar menguruskan isu persepsi secara baik dengan mengadakan program inovatif yang dapat menangani apa jua persepsi negatif orang ramai semasa mereka memilih polis sebagai kerjaya .

Satu strategi dan program perlu dilaksanakan bukan hanya untuk membetulkan persepsi yang salah tetapi juga menjadikan PDRM sebuah organisasi yang menarik untuk semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum menyertainya dan menjadikannya satu laluan kerjaya yang baik.

Saya amat berharap bahawa kelonggaran kriteria ini akan menggalakkan lebih ramai orang Cina menyertai pasukan polis dan memainkan peranan mereka sebagai rakyat Malaysia yang patriotik demi keamanan dan keselamatan negara.

Saya yakin bahawa dengan adanya peluang untuk berkhidmat bersama-sama kaum lain, rekrut yang baru ini akan berasa bangga untuk menunjukkan patriotisme mereka kepada negara.

Apa yang lebih penting adalah membolehkan semua rekrut polis tanpa mengira kaum lebih yakin dengan keadilan dalam peluang kerjaya yang bermula dengan usaha pengambilan, latihan, sehingga kenaikan pangkat pekerjaan berasaskan kepada profesionalisme.

Oleh: TAN SRI LEE LAM THYE
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).
Sumber: Utusan

PDRM turun kelayakan

Langkah yang diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menurunkan kelayakan bahasa negara kita, daripada peringkat kepujian kepada kelulusan sahaja, bagi menarik lebih ramai kaum Cina menyertai pasukan PDRM, khususnya dalam pengambilan permulaan anggota pangkat rendah, didapati berasas.

Salah satu daripadanya ialah rata-rata calon Cina yang pernah memohon, tidak mempunyai kepujian dalam Bahasa Melayu, selain tidak fasih dalamnya.

Keperluan PDRM mempunyai anggota Cina untuk menjadi perantara bagi melancarkan kerja kepolisan apabila berkaitan dengan masyarakat Cina, yang rata-ratanya tidak fasih berbahasa Melayu, mempunyai asas lain. Yang lain ialah keanggotaan kaum Cina hampir dua peratus dalam pasukan PDRM, bukan saja kecil malah ia tidak mencerminkan komposisi kaum Cina sekitar 30 peratus dalam demografi negara.

Meskipun asas ini semuanya mempunyai kebenaran, masalah kaum Cina tidak fasih bahasa Melayu, iaitu bahasa negara ini, tidak boleh selalunya diselesai dengan cara ini. Dalam hal ini, kaum Cina tidak pernah cuba mempelajarinya dengan lebih tekun.

Kalau adapun, ia bersifat instrumental, misalnya untuk memperolehi markah tinggi. Mereka juga tidak memperlihat sikap serius untuk memperoleh pengetahuan lebih baik terhadap bahasa Melayu untuk tujuan integratif. Ini penting untuk menjadikan mereka sebahagian komuniti bahasa Melayu.

Sebenarnya masalah bahasa ini tidak banyak dan boleh dikatakan langsung tidak dibincangkan oleh pemimpin Cina, walaupun ia adalah isu serius dihadapi kaum Cina dalam komunikasi rasmi dengan pihak kerajaan.

Malah ia cuba diatasi dalam sektor doktor dengan pesakit di hospital kerajaan, dengan komuniti Cina setempat mengambil inisiatif untuk mengajar bahasa Mandarin kepada kakitangan perubatan bukan Cina. Cara ini mungkin boleh diterima sebagai langkah penyelesaian jangka pendek.

Wajib kuasai bahasa Melayu

Untuk jangka panjang, kaum Cina bukan saja perlu, tetapi wajib menguasai bahasa Melayu pada tahap baik, yang melampaui bentuk jelik yang dikenali bahasa pasar. Selepas 57 tahun merdeka, perkara sebegini sepatutnya tidak berlaku lagi.

Malangnya ia bukan sahaja wujud, malah keadaannya bertambah buruk. Ini terbukti dengan bilangan kaum Cina, daripada golongan muda pula, yang boleh dikategorikan tidak boleh berbahasa Melayu langsung. Ini sesuatu yang boleh memalukan negara di mata dunia kerana ada warga negara yang masih tidak mengetahui bahasa negaranya.

Yang amat memalukan lagi sikap kaum Cina sendiri. Mereka tidak mengendahkan kewajipan untuk bersifat nasional sebagai warga negara, antaranya dengan mengetahui bahasa negara pada tahap yang baik.

Secara perbandingan, ini tidak berlaku pada kaum Cina di Indonesia dan Thailand. Sudah tiba masanya, kaum Cina bukan saja mempertimbang hal ini secara serius. Mereka juga perlu memperbaiki keadaan ini dengan mengambil langkah pertama, iaitu mula mengetahui untuk menyedari dan menginsafi nilai bahasa negara kepada bangsa dan negara.

Ini perlu dilakukan secara terancang oleh pemimpin Cina dari semua lapisan dan sektor, dengan bantuan pertubuhan persuratan Melayu, selain Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai ejen pengembangan bahasa Melayu.

Ini penting untuk kaum Cina sebagai warga negara Malaysia pada mata kaum lain di negara ini, dan lebih-lebih lagi oleh masyarakat luar, antaranya pelancong dalam lawatan singkat ke Malaysia, yang sempat memerhati bahawa rakyat Malaysia keturunan Cina, tidak boleh berbahasa negara mereka. Keadaan ini perlu ditangani dengan penuh keinsafan oleh kaum Cina.

Oleh: Teo Kok Seong
Profesor Linguistik di Universiti Kebangsaan Malaysia
Sumber: BHarian

0 comments: