14 April 2014

Akta Kanak-Kanak 2001 ~ Lindungi Kanak-Kanak


Kanak-kanak merupakan insan yang perlu diberi perhatian khas dan dilindungi

IBU bapa adalah orang pertama dan utama yang diharap untuk melindungi anak-anak mereka. Kasih sayang ibu bapa tiada sempadannya dan secara fitrahnya, ibu bapa sanggup berkorban apa sahaja untuk melindungi anak-anak mereka. Ibu bapa juga tidak akan mencederakan anaknya atau menganiaya anak-anak mereka.

Ibu bapa adalah aukawalun atau pelindung kepada anak-anak. Sebagai pelindung mereka mempunyai tanggungjawab melindungi anak-anak bukan saja daripada sesuatu yang merbahaya tetapi memastikan anak-anak selamat daripada gangguan emosi.

Akta Kanak-kanak 2001 sangat mesra kanak-kanak. Akta ini dalam mukadimahnya mengiktiraf:

(i) Bahawa seseorang kanak-kanak bukan sahaja merupakan suatu bahagian penting masyarakat tetapi juga merupakan kunci kehidupan, pembangunan dan kemakmuran masyarakat itu.


(ii) Bahawa seseorang kanak-kanak, oleh sebab ketidakmatangannya daripada segi fizikal, mental dan emosinya, memerlukan perlindungan, pemeliharaan dan bantuan khas, selepas kelahiran, untuk membolehkannya turut serta dalam dan menyumbang secara positif ke arah membentuk suatu masyarakat Malaysia madani yang unggul.

(iii) Bahawa tiap-tiap kanak-kanak berhak untuk mendapatkan perlindungan dan bantuan dalam segala hal keadaan tanpa mengira apa-apa jenis perbezaan, seperti ras, warna kulit, jantina, bahasa, agama, asal usul atau kecacatan fizikal, mental atau emosi atau apa-apa status lain;

(iv) Bahawa keluarga merupakan kumpulan asas dalam masyarakat yang menyediakan suasana semula jadi bagi pembesaran, penyaraan dan kebajikan semua anggotanya, khususnya kanak-kanak, supaya mereka boleh membesar dalam suasana aman, bahagia, kasih sayang dan persefahaman untuk memperoleh keyakinan penuh, maruah dan nilai diri seseorang manusia;

(v) Peranan dan tanggungjawab keluarga dalam masyarakat, supaya mereka diberi bantuan yang perlu untuk membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab mereka sepenuhnya sebagai sumber pemeliharaan, penyaraan, pemulihan dan perkembangan kanak-kanak dalam masyarakat

Jika dilihat kepada preamble (mukadimah) akta ini, ia jelas satu akta yang menyeluruh atau holistik yang melihat kanak-kanak sebagai insan yang perlu diberi perhatian khas dan dilindungi. Kita tahu kanak-kanak bukan saja perlu dilindungi daripada didera, dianiaya dan diabai, mereka juga perlu dilindungi daripada terdedah kepada stigma dan fitnah.

Berapa ramai orang yang tahu bahawa adalah menjadi satu kesalahan jika seseorang dalam membuat laporan terhadap sesuatu kes melibatkan kana-kanak, menamakan kanak-kanak tersebut atau menunjukkan gambarnya atau menunjukkan ahli keluarganya yang menyebabkan orang akan tahu identiti kanak-kanak tersebut.

Ini dapat dilihat dalam seksyen 15 yang berbunyi:

(1) Walau apapun mana-mana undang-undang bertulis yang berlawanan, apa-apa laporan media massa mengenai:-

(a) Apa-apa langkah yang diambil terhadap seseorang kanak-kanak yang terlibat atau berupa sebagai terlibat dalam apa-apa perbuatan atau peninggalan jenayah, sama ada langkah-langkah itu pada peringkat sebelum perbicaraan, perbicaraan atau selepas perbicaraan;

(b) Mana-mana kanak-kanak yang berkenaan dengannya jagaan diambil di bawah Bahagian V;

(c) Mana-mana kanak-kanak yang berkenaan dengannya mana-mana kesalahan yang dinyatakan dalam Jadual Pertama telah atau disyaki telah dilakukan; atau

(d) Mana-mana prosiding di bawah Bahagian VI,tidak boleh mendedahkan nama, alamat atau institusi pendidikan, atau memasukkan apa-apa butir yang direncanakan untuk membolehkan dikenal pasti mana-mana kanak-kanak yang terlibat sedemikian sama ada sebagai orang yang terhadapnya atau yang berkenaan dengannya tindakan sedang diambil atau sebagai seorang saksi dalam tindakan itu.

(2) Gambar:-

(a) Mana-mana kanak-kanak yang terlibat dalam mana-mana perkara yang disebut dalam subseksyen (1); atau

(b) Mana-mana orang, tempat atau benda lain yang mungkin membolehkan dikenal pasti mana-mana kanak-kanak yang terlibat sedemikian, tidak boleh disiarkan dalam apa-apa akhbar atau majalah atau disampaikan melalui apa-apa perantara elektronik.

(3) Mahkamah Bagi Kanak-Kanak, dalam apa-apa kes:-

(a) Boleh, jika Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu berpuas hati bahawa adalah demi kepentingan keadilan untuk berbuat demikian; dan

(b) Hendaklah, dalam hal sesuatu permohonan oleh atau dengan kebenaran Pelindung, mengetepikan kehendak seksyen ini setakat yang difikirkan suai manfaat oleh Mahkamah.

(4) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) atau (2) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

(5) Bagi maksud seksyen ini, “menyampaikan" termasuklah menyiarkan melalui radio atau televisyen.

Seksyen 15 jelas menunjukkan bahawa kanak-kanak yang dianiaya, yang hendak dijadikan anak angkat atau penjagaannya direbutkan, menjadi saksi, yang melakukan jenayah atau ahli keluarganya didakwa melakukan jenayah tidak boleh dikenali secara terbuka.

Radio, televisyen, surat khabar atau media massa atas talian atau kertas semua dilarang mengambil gambar kanak-kanak tersebut. Mereka perlu dilindungi kerana mereka adalah mangsa. Mana-mana orang yang melanggar peruntukan seksyen 15 boleh dikenakan denda tidak melebih RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun.

Namun jika diamati, tiada satu kes pun yang pernah kita lihat akhbar, televisyen atau radio didakwa menyiarkan nama atau gambar kanak-kanak yang terlibat seperti di atas. Dari semasa ke semasa, akhbar dan televisyen “tersiar gambar kanak-kanak atau keluarganya yang mana identiti kanak-kanak tersebut boleh dikenali.

Dalam kes penderaan kanak-kanak yang dilakukan oleh ibu bapa atau penjaganya, maka sebenarnya identiti ibu atau bapa atau penjaga tidak boleh disiarkan kerana ia boleh membawa kepada identiti kanak-kanak tersebut.

Bayangkan dalam kes sumbang mahram di mana seorang bapa merogol anak perempuannya sendiri, di mana bapa itu didakwa dan namanya disiarkan. Tentulah jiran tetangga atau sahabat handai yang mengenali keluarga itu mengetahui mangsa dan masa depan mangsa sangat kelam jika umum mengetahui zaman silamnya.

Kanak-kanak yang dirogol atau dicabul bukan sahaja mengalami trauma tetapi mengalami stigma, walaupun ia hanya seorang mangsa yang tidak pernah meminta untuk dirogol oleh ayahnya. Sama juga dengan seorang anak yang didera oleh ibu bapanya.

Apabila ia diselamatkan dan ibu bapa akan didakwa, sudah tentu ia mengalami gangguan emosi kerana dia adalah penyebab ibu bapanya dipenjarakan.

Sumber: Utusan

0 comments: