15 April 2014
Status Facebook Gambaran Imej Diri
KOMUNIKASI maya melalui laman sosial seperti Facebook, twitter dan seumpamanya, membolehkan kita menjalinkan hubungan silaturahim, dalam kesibukan yang tidak memungkinkan kita bertemu muka selalu.
Jika kita ambil laman sosial Facebook sebagai contoh, kita dapati Facebook adalah ruang untuk menjalinkan silaturrahim, pada masa yang sama Facebook juga adalah tempat orang memutuskan silaturahim.
Facebook dijadikan tempat orang melepaskan geram, menunjukkan kemarahan, dan menyebarkan fitnah. Facebook menjadi saluran tempat orang membuat spekulasi atau kesimpulan terhadap sesuatu peristiwa, dengan menabaikan fakta. Facebook juga menjadi tempat orang 'seronok' menyebarkan berita palsu, tanpa memikirkan sensitiviti perasaan orang yang menjadi sasaran tulisannya di laman sosial itu.
Buruk atau baiknya Facebook kepada seseorang bergantung kepada cara seseorang itu memanfaatkan laman sosial itu. Setiap perkataan yang kita taip di Facebook menggambarkan imej diri dan keperibadian kita, (pengirim status atau penulis komen status).
Apabila kita menulis status yang negatif di Facebook, bermakna hal ini menggambarkan 'Dunia Dalaman' (jiwa/roh) kita negatif. Setiap kali kita menulis hal-hal yang negatif, emosi dan minda kita akan menjadi negatif, dan akhirnya melemahkan fizikal dan emosi. Ingatlah konsep 'Ada - Beri - Dapat.' Sebab 'Ada' jiwa negatif, maka kita boleh 'Beri' status/komen negatif dan akhirnya kita akan 'Dapat' kesan yang negatif.
Orang tidak suka dengan sikap kita, dan kita sendiri semakin lemah dan hilang keyakinan diri, kerana sentiasa bersembunyi di sebalik 'topeng'. Lazimnya orang yang menulis status dan memberikan komen negatif di Facebook, tidak menunjukkan identiti dirinya sebenar, seperti kata peribahasa Melayu, 'lontar batu sembunyi tangan.'
Gunakanlah Facebook sebagai ladang pahala, tujuan hidup untuk mendekatkan diri dengan Allah, berdakwah, belajar ilmu dan segala hal yang positif. Jaga perasaan orang. Sebagaimana kita tidak suka diri dan keluarga kita dicerca dan dihina, demikian juga orang lain, tidak suka diperlakukan sedemikian.
Bersembunyi
Adab bicara dalam Islam (dalam bentuk percakapan atau tulisan), adalah mencari perkataan yang menyeronokkan orang yang mendengar atau membacanya. Bahkan dalam Islam memanggil, nama orang pun ada adabnya, iaitu kita dianjurkan memanggil nama yang disukai oleh si pemilik nama itu. Rasulullah SAW juga menjaga adab berbicara, baginda tidak akan berkata-kata sebelum menguntumkan senyuman.
Oleh sebab itu jagalah adab berkomunikasi kita, jangan mengamalkan budaya 'kutuk mengutuk membawa bahagia'. Jika berasa susah hendak mengeluarkan perkataan yang baik-baik, bererti kurang kebaikan dalam jiwa kita, jom audit diri. Kasihan, orang yang jahat mulutnya dan jari-jarinya itu akan muflis di akhirat kerana di sana 'topeng' kita tidak berguna lagi.
Anggota badan kita menjadi saksi kita di mahkamah Allah atas semua perbuatan kita, termasuk jari kita yang menaip apa-apa sahaja di Facebook atau Twitter. Kita tidak lagi boleh bersembunyi sebagaimana kita menyembunyikan identiti kita di Facebook atau Twitter. Jom ambil tanggungjawab dan hanya sebarkan kasih sayang dan penghargaan sesama kita. Lihat kuasa Allah dan kasih sayang ada di mana-mana.
Apa-apa yang kita lakukan jaga tiga perkara. Pertama, tujuan (niat). Kita melakukan sesuatu itu kerana apa dan untuk siapa? Kalau niat kita baik, kerana Allah kita akan dapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Kedua, konsep. Mesti tahu konsep dan cara melakukan sesuatu. Dalam Facebook itu ada dua konsep, iaitu untuk membina atau meruntuhkan? Oleh sebab itu pilih konsep yang betul. Ketiga, fokus. Fokus kepada perkara negatif atau positif? Kita fokus reda Allah atau penghargaan manusia?
Semoga kita menjaga tujuh anggota badan yang akan menjadi saksi di Padang Mahsyar nanti, yakni mata, telinga, perut, kedua-dua tangan dan kedua-dua kaki, dengan menjaga tiga perkara tersebut sebelum melakukan sesuatu, khususnya di facebook.
Masyarakat akan menilai diri kita, berdasarkan apa yang kita kata, apa yang kita tulis, dan apa yang kita buat. Kebiasaannya orang yang menjadi mangsa tohmahan dan fitnah akan lebih mendapat simpati masyarakat. Yakinlah orang yang menjadi mangsa Facebook akan mendapat kasih sayang Allah, kerana orang yang dianiayai adalah antara orang yang mustajab doanya. Tidakkah kita takut dengan doa mereka?
Imej diri kita berdasarkan kepada tiga perkara yang menjadi kebiasaan hidup kita. Pertama, apa yang kita cakap kepada diri kita. Kedua, imej diri (daripada dalaman diri kita yang kita keluarkan) melalui luahan kata-kata dan tulisan kita. Ketiga, tindak balas terhadap sesuatu peristiwa. Jika imej diri negatif, tindakan kita juga akan turut negatif, demikianlah sebaliknya.
Orang yang positif, akan menerima sesuatu peristiwa itu secara positif, biarpun peristiwa yang dihadapinya itu negatif untuknya. Sebab ada empat perkara yang diperkatakan ulama tentang kekuatan imej diri ini.
Pertama, buat jahat kepada orang yang berbuat jahat dengan kita (dendam).
Kedua, buat jahat kepada orang yang buat baik kepada kita (kejam).
Ketiga, buat baik kepada orang yang buat baik kepada kita (fitrah).
Keempat, buat baik kepada orang yang jahat kepada kita (sunah), yakni orang beri kebencian kepada kita, dibalas dengan kasih sayang. Orang marah kepada kita, dihadapi dengan kesabaran.
Jom audit diri, kita berada dalam imej diri yang ke berapa? Orang yang memiliki imej diri yang keempat, (mengikut sunah Nabi), apabila berhadapan dengan situasi orang menulis hal negatif tentang diri kita di Facebook, kita maafkan mereka. Kita kasihan, kerana kelemahan jiwa dan kekurangan ilmu, menyebabkan mereka terjebak dengan dosa yang mereka lakukan dengan tangan mereka sendiri. Kita berdoa semoga Allah berikan hidayah kepadanya, supaya dia berubah ke arah positif.
Tujuan buka Facebook jika bukan untuk ilmu dan silaturahim alangkah sia-sia. Jika sibuk melihat kehidupan orang lain ini menunjukkan rendah mutu kehidupan kita. Jom cari ilmu untuk menyelesaikan masalah sendiri dan tidak meminta tolong orang membetulkan suasana hidup kita. Sedangkan kita tidak memperbaiki 'Dunia Dalaman' kita, iaitu fikiran emosi dan tindakan kita. "Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak".
Oleh: Prof. Muhaya
Sertai Fanpage: wwww.facebook.com/profdrmuhaya.
Sumber: Utusan
Tulisan cermin watak penulis
KEBELAKANGAN ini, kita selalu melihat media sosial seperti Facebook dan Twitter digunakan sebagai senjata untuk mengkritik atau menjatuhkan individu lain.
Ia bukan hanya dilakukan oleh individu biasa, tetapi turut berlaku dalam kalangan selebriti atau individu yang mempunyai pengaruh dalam masyarakat seperti ahli politik.
Golongan agama turut menerima nasib yang sama dengan terkena tempias serangan kata-kata kesat.
Bagaimanapun, penulis kata-kata sesat di laman sosial pada hakikatnya membuka aib mereka sendiri. Dalam bidang psikologi, personaliti manusia itu sendiri pada asasnya hanyalah 'topeng' sahaja. Seseorang boleh berperwatakan berbeza mengikut konteks dan situasi sesuatu keadaan.
Misalnya, seseorang itu boleh melakonkan watak seperti manusia budiman apabila berada dalam masyarakat. Tetapi mungkin sebenarnya berperwatakan seperti manusia lain dalam realiti kehidupan.
Dengan kewujudan pelbagai medium laman sosial pada hari ini, manusia adakalanya terlupa bahawa mereka sedang membuka aib mereka sendiri.
Ia terbukti apabila mereka menulis sesuatu yang tidak sesuai pada tempatnya menerusi laman Facebook atau Twitter. Perkara seperti itu juga sering dilakukan oleh mereka yang dikenali dalam masyarakat seperti seorang selebriti.
Batasan
Setiap individu seharusnya berhati-hati sebelum menulis sesuatu di laman sosial. Dalam diri manusia, terdapat dua istilah yang sangat penting menceritakan tentang diri kita sendiri iaitu private self dan public self.
Public self ialah keadaan yang memerlukan kita akur dan menurut norma satu-satu masyarakat. Misalnya, ketika menghadiri majlis perkahwinan, kita perlu memakai pakaian yang bersesuaian untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran.
Kita juga perlu berhati-hati ketika berbual bagi menjaga hati dan perasaan orang lain. Sebaliknya, apabila di rumah, kita mungkin kembali kepada private self yang menunjukkan keperibadian diri kita sebenar.
Ia bukanlah bermakna manusia merupakan seorang 'pelakon', sebaliknya merupakan realiti kehidupan kita sebagai manusia.
Bagaimanapun, adakalanya dalam menulis sesuatu sama ada di Facebook atau Twitter, kita mungkin terlupa bahawa kita sedang berada dalam lingkungan public self. Pada hakikatnya, mungkin penulis berada seorang diri dan menulis dari dalam bilik yang sunyi.
Malah lingkungan public self berlaku apabila kita menuliskan sesuatu sebenarnya menjadi lebih besar daripada apa yang kita jangkakan.
Ia mungkin akan dibaca oleh puluhan ribu orang lain dari pelbagai negara. Malah, ada dalam kalangan yang membacanya pula terdiri daripada mereka yang tidak mengenali private self kita yang sebenar.
Positif
Mereka mungkin tidak membaca apa yang kita tuliskan, sebaliknya sedang membaca watak kita yang sebenarnya. Walaupun mereka mungkin memberikan komen positif terhadap tulisan kita, tetapi dalam masa yang sama mereka juga sedang menilai keburukan kita.
Oleh itu, jangan sesekali membuka aib kita dengan menulis sesuatu yang mungkin akan memberikan implikasi yang buruk terhadap diri sendiri.
Walaupun kita mungkin berniat baik atau mungkin tidak mempunyai maksud untuk memburukkan orang lain, tetapi pada akhirnya setiap tulisan akan dibaca melalui pentafsiran manusia. Ia bergantung kepada sesiapa yang membacanya, dan bagaimana mereka mentafsirkan tulisan tersebut.
Pesanan orang tua kita, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar mungkin tidak selalunya relevan dalam konteks kehidupan masyarakat hari ini. Bagaimanapun, ia tetap relevan apabila kita mula mendaftar masuk laman Facebook atau Twitter dan berhajat untuk menuliskan sesuatu.
Kita mungkin tidak membuka aib orang lain, sebaliknya sedang membuka siapakah diri kita yang sebenarnya.
Kita boleh bercakap apa sahaja yang kita mahu di kedai kopi. Sebaliknya kita tidak boleh menulis apa sahaja di laman sosial. Ia hanya akan menceritakan siapa diri kita.
Sumber: Kosmo
Labels:
Motivasi
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan