12 April 2014

Keindahan Kembang 'Sakura' Malaysia



Dalam tempoh lebih kurang dua minggu yang lalu bermula seawal hujung bulan Mac 2014, di tempat-tempat tertentu didapati muncul satu suasana sebagaimana yang kita sering lihat di kaca televisyen yag memaparkan suasana musim bunga di negara empat musim.

Bunga sakura yang mekar berkembang di mana sebahagian kecilnya pula jatuh berguguran mencantikkan lagi suasana pandangan.

Jangan disangka hanya di Korea, kita dapat menikmati keindahan bunga sakura setiap kali April menjelma kerana penduduk Malaysia terutama di bandar raya Alor Setar juga berpeluang berbuat demikian.

Difahamkan bahawa pokok bunga sakura ini banyak di tanam di Pulau Pinang dan Kedah. Malah, kepada mereka yang berkunjung ke Kedah ketika ini dapat merasai keindahan rimbunan pokok bunga yang mendapat julukan sakura Malaysia ini menghiasi kebanyakan jalan utara bandar raya ini.


Kehadiran bunga sakura atau nama saintifiknya Tabebuia Rosea itu menarik perhatian pengguna jalan raya termasuk pelancong untuk bergambar di bawah rimbunan pokok tersebut.

‘Musim bunga’ yang melanda bandar-bandar itu lantas menjadi fenomena di Facebook dan Instagram apabila ramai memuat naik gambar pemandangan indah itu ke laman sosial berkenaan.

Tidak dinafikan musim kemarau yang terlalu panjang mencecah 3 bulan sebelum ini membuatkan pokok tersebut mengeluarkan bunga berwarna putih dan merah jambu yang banyak berbanding tahun sebelum ini, sekali gus menjadikan musim bunga di Kedah tahun 2014 ini lebih mekar.


Deretan pokok sakura berbunga putih dan merah jambu memukau pandangan di Lebuh Raya Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Bunga Sakura Mekar Di Kedah

Memiliki kecantikan yang eksotik, itulah yang membuatkan pihak berkuasa tempatan, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menanam Tabebuia Rosea di lokasi jalan-jalan utama bandar raya ini.

Menurut Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mat Noh Ahmad, terdapat lebih 100 pokok bunga sakura ditanam di sekitar bandar raya ini termasuklah di Jalan Gangsa, Kuala Kedah, Langgar dan Anak Bukit dekat sini.

"Musim bunga sakura ini biasanya pada Mac dan April, namun tahun 2014 ini lebih menjadi kerana musim kemarau yang panjang selama tiga bulan sebelum ini dan kemudian disusuli pula hujan yang lebat, sebab itulah tahun ini bunganya lebih banyak.

"MBAS juga telah berbincang dengan UPEN (Unit Perancang Ekonomi Negeri) untuk menambah bilangan pokok ini di Taman Jubli Emas, Jalan Suka Menanti yang kini telah ditanam dengan 60 batang pokok bunga sakura," katanya.

Mat Noh memberitahu, langkah tersebut diambil bertujuan menjadikan taman rekreasi tersebut sebagai lokasi pelancongan terutama pada musim bunga sakura seperti di Jepun dan Korea.

Kedah berpotensi mewujudkan taman Sakura, seperti di Akasaka Palace Garden di Tokyo, atau Washington Monument yang dipenuhi pokok Cherry Blossoms, menarik ribuan pengunjung setiap kali bunganya mekar.

Setiap kali musim bunga, berduyun pelancong berkunjung. Kedah boleh menjadi perintis wujudkan taman Sakura Malaysia dengan adanya taman khas, seperti di Bangalore sinonim dengan ros, Belanda (Tulip), China (Cherry Blossoms) dan Jepun (Sakura).


Dalam bahasa saintifiknya pokok ‘sakura’ berkenaan digelar Tabebuia Rosea.

Bunga Sakura Di Putrajaya

Di Putrajaya, pokok-pokok besar yang mengeluarkan banyak bunga berwarna-warni turut mewujudkan fenomena seperti musim bunga di bandar raya dalam taman itu.

Timbalan Pengarah Bahagian Seni Taman Jabatan Landskap dan Taman Perbadanan Putrajaya, Haslinda Khalid memberitahu, fenomena musim bunga di Putrajaya biasanya berlaku selama empat bulan iaitu antara Mac hingga Jun.

Katanya, pada waktu itu antara pokok yang aktif mengeluarkan bunga termasuklah daripada jenis sakura tecomadan golden shower atau pokok janda kaya.

“Musim panas menyebabkan pokok-pokok tersebut mengalami tekanan hingga mengaktifkan hormonnya yang membolehkan ia mengeluarkan banyak bunga,” jelasnya.

Asal Pokok Tecoma

Menurut Jabatan Pertanian Malaysia, pokok Tecoma mudah ditemui di lokasi asalnya iaitu dari Mexico hingga ke bahagian utara benua Amerika Selatan.

Ia tumbuh pada ketinggian 1,200 meter (m) dari paras laut dengan suhu purata antara 20°C hingga 30°C selain memerlukan hujan tahunan melebihi 500 milimeter setahun.


BENTUK kanopi pohon Tecoma yang rendang dan merimbun sesuai dijadikan tanaman hiasan di tepi jalan.

Keistimewaan Tabebuia

Di Malaysia, pokok Tabebuia yang juga terkenal dengan nama ‘pokok kertas tisu’ kerana kelopak bunganya yang lembut banyak ditanam sebagai tanaman landskap taman.

Bentuk kanopinya yang rendang dan merimbun sesuai dijadikan sebagai pokok teduhan. Warna bunganya yang menarik juga menjadikan tanaman ini sering ditanam sebagai tanaman hiasan baik di tepi jalan mahupun di dalam kawasan bandar.

Karakter pokok tersebut yang bersaiz sederhana besar iaitu sekitar 15 meter hingga 20 meter tinggi dengan bentuk silara bertingkat-tingkat menjadikannya pilihan arkitek landskap sebagai tanaman pinggiran jalan dan pokok hiasan taman.

Ia ditanam di kebanyakan negara tropika sebagai pokok hiasan dan membiak melalui biji benih dan boleh dibiakkan melalui keratan batang atau ranting.

Terdapat lebih 50 spesis Tabebuia yang dibezakan melalui warna dan bentuk bunganya. Pokok daripada spesis ini mengeluarkan bunga berwarna putih, kuning, perak, merah dan merah jambu.

Ia juga berperanan sebagai penghalang angin untuk persekitaran dan kediaman selain berupaya menyerap bunyi kerana tekstur kelopak bunga yang lembut.



Pokok Tabebuia ini dikenali dengan nama seperti pokok tecoma, pink poui, rosy trumpet tree, pink tecoma atau ‘pokok kertas tisu’ dan pokok cherry blossom Pulau Pinang merupakan tumbuhan asli dari Mexico hingga ke bahagian utara benua Amerika Selatan. Pokok Tecoma berkembang hanya dalam tempoh beberapa minggu sahaja. Bunga dari Pokok Tecoma ini kebiasaannya akan berkembang selepas pokok Angsana.

Pokok tersebut juga dikenali sebagai pokok cherry blossom Pulau Pinang kerana bunganya yang sangat lebat seolah-olah bunga sakura Jepun yang mekar pada musim bunga.

Pokok yang diberi gelaran Sakura ini memerlukan musim kering yang ketara sebelum mengeluarkan bunganya yang lebat. Antara keistimewaan pokok ini ialah ia mempunyai aktiviti seperti antibakteria dan antimalaria, selain sesuai dijadikan halangan angin, pokok hiasan di jalan raya dan perumahan.

Penduduk turut mendakwa apabila pokok itu mengeluarkan bunga yang lebat, selepas kemarau panjang, ia petanda bermulanya musim hujan.



Apa Kata Mereka

Seorang kakitangan kerajaan, Maizatul Miza Mohd. Disa, 31, berkata, bunga yang dihasilkan pokok Tabebuia sememangnya memukau pandangan sesiapa sahaja yang melalui kawasan yang ditanam pokok tersebut.

"Memang teringin untuk ke Korea, namun apabila ada di Alor Setar pun sudah ada bunga sakura, keinginan itu seolah-olah telah direalisasikan," ujarnya.

Maizatul Miza berkata, dia juga seringkali terlihat orang ramai memberhentikan kenderaan di bahu jalan untuk bergambar di bawah pokok tersebut.



Bagi seorang peniaga, Ku Noor Faizah Ku Mustafa, 27, berkata, sebelum ini mungkin orang ramai tidak menyedari kehadiran pokok tersebut tetapi apabila tiba musim bunga keunikan bunga sakura terus menyerlah.

"Kelebihan yang ada pada bunga sakura bukan sahaja terletak pada keunikan warnanya sahaja malahan lebih cantik apabila kita dapat lihat bunganya berguguran.

"Pihak berkuasa tempatan perlulah tanam lebih banyak pokok bunga Sakura kerana rimbunan bunganya yang cantik dan apabila gugur di atas jalan raya menjadi bagaikan hamparan permaidani," katanya.


Seorang penduduk mengutip bunga pokok Tecoma yang gugur di atas ruang pejalan kaki di Lebuh Raya Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

Diolah dari Artikel Berikut:
1. Artikel Oleh SHAHNI FARHANA MAT SAHIR, Sumber: Utusan [08042014]
2. Artikel Oleh ROSLINDA HASHIM, Sumber: Sinar Harian [06042014]
3. Artikel Oleh NOR IDAYU BOSRO, Sumber: Kosmo [13042014]

Catatan:
Di saat artikel ini disiarkan musim bunga sakura Malaysia berkembang sudah hampir berakhir. Pada pengamatan saya pokok tersebut menghasilkan kembang yang banyak dalam tempoh seminggu sahaja.

1 comments:

faizal berkata...

Subhanallah. Sungguh indah dan unik alam ciptaanNya. Semuanya ada di Malaysia!