11 April 2014

Jangan Cela Pendosa



KETIKA menjadi Panglima Islam di Syam, Abu Ubaidah bin al-Jarrah mengirim surat ke Madinah. melaporkan kepada Khalifah Umar perihal Dirar dan Abu Jandal yang telah meminum arak. Abu Ubaidah menjelaskan bahawa penyebab perilaku ini ialah pentafsiran berbeza berkenaan ayat Al-Quran.

Abu Ubaidah menulis: “Apabila kami tanyakan, mereka menjawab: Allah menawarkan pilihan, maka kami pilih. Sebab Allah berfirman yang bermaksud: Adakah kamu akan berhenti? (al-Maidah: 91), Allah tidak menyuruh kita berhenti."

Khalifah Umar segera mengumpulkan para sahabat Nabi SAW untuk membincangkan perkara ini. Mereka bersepakat bahawa tafsiran sebegini salah. Ayat tersebut bukan sebuah tawaran akan tetapi larangan. “Adakah kamu akan berhenti?" Bermakna: “Berhentilah!"


Semua ahli mesyuarat turut bersepakat bahawa peminum arak mesti disebat 80 kali. Jika mereka berdegil mempertahankan tafsiran sesat ini, mereka patut dibunuh.

Umar lalu menulis surat kepada Abu Ubaidah: “Hadirkan orang-orang itu lalu tanyakan hukum arak kepada mereka. Jika mereka menjawab halal, bunuhlah mereka. Jika mereka menjawab haram, maka sebatlah mereka."

Sejurus menerima surat tersebut, Abu Ubaidah segera melaksanakan perintah Umar. Orang-orang tersebut akhirnya mengaku salah dan bersedia menerima hukuman sebat.

Setelah peristiwa itu, para pelaku maksiat ini menyesali keterlanjuran mereka. Abu Jandal ialah orang yang paling teruk penyesalannya. Beliau menyangka Allah SWT tidak menerima taubatnya, bahkan berasa malu untuk berjumpa orang ramai.

Menulis surat

Abu Ubaidah kembali menulis surat kepada Umar. Kali ini beliau meminta Umar menasihati Abu Jandal agar tidak berlarutan dalam perasaan bersalah.

Umar menulis: “Daripada Umar kepada Abu Jandal. Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengampuni seseorang yang menyekutukan-Nya, namun mengampuni dosa selainnya bagi orang yang dikehendaki. Bertaubatlah, lalu angkat kepalamu, bergaullah dengan manusia dan jangan putus asa.

Sesungguhnya Allah telah berfirman: Katakanlah: wahai hamba-hamba-Ku yang telah terlanjur (melakukan dosa), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni semua dosa. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang."

Selain itu, Umar turut menulis satu surat yang ditujukan kepada masyarakat Islam di Syam: “Jagalah dirimu sendiri. Siapa yang melakukan perubahan (melakukan maksiat), maka ubahlah sikapmu kepadanya. Janganlah kalian mencela seseorang agar bala tidak menimpamu."

Kisah ini diriwayatkan oleh al-Hafiz Ibnu Kathir dalam kitab al-Bidayah wa al-Nihayah.

Jangan cela

Kisah ini mengandungi banyak pengajaran. Kandungan surat Umar kepada penduduk Syam adalah untuk mengingatkan mereka untuk tidak mencela, apatah lagi menghina pelaku maksiat yang telah bertaubat.

Kita sememangnya membenci maksiat. Namun itu tidak bermakna kita mesti membenci pelakunya. Apa lagi jika ia telah bertaubat dan menyesali dosa-dosanya. Mencela orang sebegini atas kesalahan silam yang pernah dilakukannya merupakan sikap yang tidak selari dengan agama Islam.

Masyarakat Islam ialah masyarakat yang saling membantu dalam kebaikan. Anggota masyarakat yang melakukan penyimpangan akan diberikan tindakan tegas, namun tidak menghina atau dipulaukan. Sebaliknya, ia diberikan kesempatan untuk memperbaiki diri dan membuka lembaran hidup baharu yang putih bersih.

Inilah masyarakat Islam yang dikehendaki oleh Umar bin al-Khattab. Beliau turut mengingatkan bahawa sikap membuka aib lama hanya akan menyuburkan penyimpangan, sekali gus mengundang bala kepada seluruh masyarakat.

Sumber: Utusan

0 comments: