19 April 2014
Memelihara Kesucian Ayat-Ayat Al-Quran
Umat Islam perlu menjaga kemuliaan ayat-ayat suci al-Quran seperti tidak mencetaknya pada kad undang perkahwinan atau pakaian.
APABILA berbicara mengenai pemeliharaan ayat-ayat suci al-Quran, antara perkara paling mudah untuk mengingatkan betapa pentingnya pelaksanaan itu kepada umat Islam adalah dengan berbalik kepada Rukun Iman yang ketiga, iaitu beriman kepada kitab-kitab Allah.
Sejak di bangku sekolah rendah lagi anak-anak telah dididik mengenai betapa tingginya nilai kalamullah ini. Antara yang sering dipesan adalah meletakkannya di tempat yang tinggi, dipegang dalam keadaan suci dan rajin mengalunkannya.
Bagaimanapun, segelintir umat Islam pada hari ini dilihat leka dan tidak mengambil berat mengenai kemuliaan kalimah Allah apabila sewenang-wenangnya mencetaknya seperti pada kad perkahwinan.
Kesal
Turut meluahkan rasa kesal ialah Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut.
Menurutnya, kalimah suci Allah tidak sepatutnya berada pada bahan cetakan selain daripada mushaf dan bahan bacaan agama.
"Umat Islam disarankan supaya tidak mencetak kalimah Allah, walaupun pada kad undangan perkahwinan. Kaedah pembuka kata boleh diubah seperti meletakkan pantun yang melambangkan adat budaya orang Melayu.
"Ia bagi mengelakkan penghinaan terhadap kalimah Allah berlaku apabila kad-kad ini dibuangkan ke dalam tong sampah atau diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya," jelasnya.
PELBAGAI jenis barang perhiasan rumah dengan kalimah Allah diterima oleh pusat pelupusan percetakan Saufi.
Dalam pada itu, Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid berkata, umat Islam perlu lebih berhati-hati dalam penggunaan aplikasi mengandungi ayat-ayat suci al-Quran.
Ujarnya, antara hal yang perlu dipandang serius adalah penggunaan deringan atau aplikasi yang mengalunkan ayat-ayat suci Allah.
"Pada era ini, pelbagai aplikasi pada telefon mudah alih telah dibuat bagi memudahkan orang ramai, termasuklah aplikasi bacaan al-Quran dan masuk waktu solat.
"Individu yang menggunakan aplikasi ini harus lebih berhati-hati kerana kita tidak mahu alunan azan kedengaran ketika berada di dalam tandas. Jika berlaku, ia bermakna kita telah menghina kalimah Allah. Seelok-eloknya, telefon diletakkan dalam mod senyap apabila masuk ke dalam tandas," ujarnya yang turut kecewa dengan penggunaan kalimah Allah dan Muhammad pada pakaian sukan.
Berhati-hati
Tambahnya, selain memelihara kesucian kalimah, umat Islam perlu lebih berhati-hati dalam membeli barang-barang perhiasan mengandungi ayat-ayat suci al-Quran.
"Ini kerana terdapat orang bukan Islam menjual barang perhiasan mempunyai kalimah Allah seperti bingkai dan jam dengan seni khat, sedangkan mereka tidak tahu cara mengendalikan barang-barang mengandungi ayat suci al-Quran.
UMAT Islam harus berhati-hati dalam menggunakan aplikasi yang mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran.
"Tindakan tersebut sekali gus dianggap menghina agama Islam dan kita tidak sepatutnya menyokong dengan membeli barang perhiasan tersebut daripada mereka," jelasnya.
Menurutnya lagi, perkara tersebut juga dipantau oleh pihak Kementerian Dalam Negeri Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran dan beberapa rampasan turut dilaksanakan.
Mengulas lanjut, pemilik pusat pelupusan percetakan Saufi, Rahmat Mahdan, 57, berkata, kebanyakan bahan perhiasan diterimanya merupakan hasil jualan daripada warga asing dari Pakistan dan India.
Dia yang telah membuka pusat pelupusan mushaf sejak 2007 memberitahu, barang-barang dijual oleh mereka bukan Islam seperti bingkai surah turut mempunyai kesalahan penulisan.
"Beberapa bingkai surah yang kami terima mengandungi kesilapan susunan ayat dan tanda baris yang hilang. Mereka yang menghantarnya ke pusat pelupusan ini memberitahu kebanyakan bingkai tersebut dibeli daripada penjual Pakistan dan India.
"Terdapat juga bingkai perhiasan yang dijual oleh umat Islam, tetapi barang-barang itu dibawa masuk daripada negara-negara luar," katanya.
Beberapa barang perhiasan seperti kaca, cakera video digital dan bingkai surah digantungkan pada dinding kedainya untuk dijadikan contoh kesilapan penulisan kalimah Allah kepada orang ramai.
Oleh -NUR DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA.
Sumber: Kosmo
SEJAK di bangku sekolah rendah anak-anak telah dididik untuk menjaga kemuliaan ayat-ayat suci al-Quran.
Akta Percetakan Teks al-Quran bakal dipinda
Kementerian Dalam Negeri akan meminda Akta Percetakan Teks al-Quran 1986 tahun ini bagi menguatkuasakan undang-undang terhadap pihak yang menyalahgunakan ayat suci tersebut bagi tujuan tertentu.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, antara pindaan tersebut termasuk menyalahgunakan ayat suci al-Quran dengan dipamerkan di kedai-kedai sebagai azimat bagi melariskan perniagaan.
Beliau berkata, tindakan mempamer ayat al-Quran di tempat yang tidak sewajarnya dan menyalahgunakan maksudnya dikhuatiri boleh menyelewengkan akidah.
Kita putuskan perkara ini perlu dimasukkan dalam pindaan yang akan dibentangkan di Parlimen nanti kerana banyak ayat al-Quran digunakan sebagai azimat dan dipamerkan di kedai-kedai untuk tujuan melariskan jualan, perkara ini jika tidak ditangani dikhuatiri boleh menyelewengkan akidah.
Namun, sebelum dibentang di Dewan Rakyat kita akan mengikut beberapa prosedur terlebih dahulu iaitu dengan mengadakan perbincangan bersama semua Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana hal ehwal berkaitan agama terletak di bawah negeri," katanya.
Menurut Ahmad Zahid, selepas itu perbincangan mengenai pindaan terhadap akta tersebut akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-raja Melayu untuk mendapat perkenan sebelum dibawa ke Parlimen.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut membincangkan isu hadis terutama berkaitan masalah penyalahgunaan hadis, menangani hadis palsu serta salah tafsiran terhadap makna hadis.
Beliau berkata, sebelum ini akta tersebut hanya memberi tumpuan terhadap soal penerbitan dan percetakan al-Quran sahaja dan selepas dikuatkuasakan isu penyalahgunaan terhadap hadis juga akan diberi perhatian serius.
Menerusi pindaan ini hukuman dari segi denda juga akan dinaikkan iaitu tidak melebihi RM50,000 dan penjara tidak lebih lima tahun bagi setiap kesalahan berbanding hukuman sebelum ini yang hanya mengenakan denda sebanyak RM1,000 atau RM500 dan penjara sehari atau tidak lebih 10 hari," katanya.
Sementara itu, Harussani berkata, tindakan meletakkan ayat suci al-Quran di tempat yang tidak sepatutnya merupakan satu penghinaan bukan sahaja terhadap kitab suci tersebut malah agama Islam juga.
Sekiranya ayat al-Quran seperti Ayat Seribu Dinar diletakkan di tempat tidak baik seperti kedai yang kotor ini merupakan satu penghinaan kepada agama, malah ayat ini juga bukan untuk azimat tetapi maksudnya orang yang bertakwa akan diberikan rezeki yang murah.
Ayat al-Quran bukan untuk tujuan azimat atau perhiasan tetapi perlu dijadikan panduan sekiranya hendak digunakan mestilah di tempat yang betul dan bukan di tempat tidak sepatutnya," katanya merujuk kepada ayat nombor dua dan tiga surah At-Talaq yang bermaksud:
"Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberikannya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu."
Dalam masa sama, Harussani berkata, beliau juga berharap pada masa akan datang kajian turut diambil untuk meminda akta tersebut supaya ayat al-Quran tidak digunakan untuk membangkitkan pergaduhan sesama umat Islam.
Sumber: Utusan [15042014]
Labels:
Indahnya Islam
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan