18 April 2014
Sunnah Guna Sutrah Ketika Solat
BETAPA penting kedudukan ibadah solat dalam Islam. Orang yang melaksanakan solat dengan sebaik-baiknya akan memperoleh pahala yang besar, keutamaan dan kemuliaan.
Ganjaran pahala solat berbeza-beza bergantung pada kadar dekat atau jauhnya seseorang daripada cara pelaksanaan solat Nabi SAW. Ini sebagaimana sabda Nabi SAW, “Solatlah kalian seperti mana kalian melihat aku solat.” (Sahih. Bukhari dan Ahmad).
Juga sabda Baginda SAW dalam hadis yang lain, “Sesungguhnya seorang hamba mengerjakan solat diwajibkan kepadanya, ada yang hanya mendapat ganjaran satu per sepuluhnya, ada dapat satu persembilannya, satu perlapan, satu pertujuh, satu perenam, satu perlima, satu perempat, satu pertiga, juga ada yang mendapat ganjaran setengahnya.” (Sahih. Abu Daud)
Kita tidak mungkin dapat laksanakan ibadah solat dengan benar kecuali kita mempelajari tatacara ibadah solat Nabi secara terperinci berdasarkan himpunan hadis-hadis sahih. Dengan demikian kita berharap moga-moga solat kita dapat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar serta memperoleh ganjaran pahala daripada solat itu.
Perintah menghadap sutrah
Sabda Nabi SAW, “Janganlah engkau solat kecuali menghadap sutrah.” (Sahih. Riwayat Ibnu Khuzaimah)
Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda, “Jika seseorang daripada kalian melakukan solat menghadap sutrah, maka hendaklah dia dekat kepadanya, jangan sampai syaitan membatalkan solatnya. (Sahih. Abu Dawud)
Sutrah adalah benda yang dijadikan penghadang atau penghalang seperti tembok, tiang, kerusi, dinding atau sebagainya di hadapan orang yang hendak solat. Seseorang mesti memastikan adanya penghadang di hadapan apabila dia berdiri untuk solat. Ada beberapa perkara penting yang dibicarakan tentang sutrah.
Di antaranya;
1. Jarak antara sutrah dan tempat sujud lebih kurang cukup untuk dilalui oleh seekor anak kambing. Maknanya jarak orang yang solat dengan sutrah adalah dekat. Ini disebutkan dalam hadis dari Sahl bin Sa’ad Al-Sa’idi ra, dia berkata: “Jarak antara tempat sujud Rasulullah SAW dengan dinding kira-kira cukup untuk dilewati seekor anak kambing.” (Bukhari dan Muslim).
Disebutkan hadis tentang perintah untuk mendekat ke arah sutrah.” Lalu beliau membawakan hadis di mana Nabi SAW bersabda, “Janganlah engkau solat tanpa memasang sutrah.
Dan janganlah engkau membiarkan seseorang melintas di hadapanmu (ketika solat). Jika dia melintas maka cegahlah, kerana sesungguhnya bersamanya ada syaitan.” (Sahih. Riwayat Ibnu Khuzaimah)
Baginda SAW juga bersabda, “Apabila salah seorang di antara kalian solat dengan memasang sutrah di depannya, hendaklah dia mendekat ke arahnya, sehingga syaitan tidak dapat memutuskan solatnya.” (Sahih. Riwayat Abu Daud)
Yang dimaksudkan dengan ‘sehingga syaitan tidak dapat memutuskan solatnya’ adalah agar syaitan tidak berkesempatan singgah dan hadir dalam solatnya dan menanamkan perasaan waswas serta mempengaruhi solatnya. Dapat diambil faedah bahawa sutrah akan menghalang pengaruh syaitan terhadap seseorang yang sedang solat.
2. Sutrah bukan diukur dari sudut lebarnya, tetapi dari sudut tinggi. Ini berdalilkan hadis Riwayat Bukhari dan Muslim, “Apabila Baginda solat di padang pasir dan tidak ada suatu pun yang boleh dijadikan sutrah, Baginda memacakkan tombak di hadapannya. Lalu Baginda solat menghadap tombak tersebut dan para sahabat bermakmum di belakang Baginda.”
Apabila Nabi pacakkan satu tombak, ini menunjukkan bahawa sutrah adalah benda yang tinggi, tidak disyaratkan lebar dan besar. Adapun hadis di mana Nabi menggariskan satu garisan dan menjadikannya sutrah, sehingga kebanyakan masjid membuat garisan antaranya untuk dijadikan sutrah, namun sebenarnya hadis itu adalah hadis dha’if jiddan (hadis yang lemah bersangatan dan tidak boleh diterima).
Hal ini dibahaskan oleh Imam Al-Syaukani di dalam Nailul Authar, juga Ibnu Hajar Al-Atsqalani dalam Bulughul Maram.
Adapun dari sudut ketinggian; sutrah hendaklah setinggi pelana unta, melebihi sehasta. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW, “Apabila salah seorang kalian (ketika hendak solat) telah meletakkan sutrah di depannya setinggi pelana tunggangan maka solatlah, dan dia tidak perlu menghiraukan siapa pun yang melintas di belakangnya.” (Riwayat Muslim)
3. Sutrah boleh terdiri daripada banyak benda. Manusia juga boleh menjadi sutrah kalau dia duduk diam. Selain dari itu benda-benda seperti beg, kerusi, dinding dan hal-hal seumpama dengannya boleh dijadikan sutrah selama mana memenuhi syarat ketinggian.
Bagaimanapun, Nabi paling suka menjadikan dinding sebagai sutrah. Harus diingat bahawa sutrah mesti ada di hadapan orang yang solat.
Kelebihan guna sutrah
1. Sunnah dan perintah Nabi SAW.
2. Sutrah memastikan ruang dan tempat untuk kita solat, tidak diganggu oleh orang lain. Nabi SAW bersabda, “Seandainya orang yang lalu di depan orang yang solat mengetahui besarnya dosa yang ditanggungnya, nescaya ia akan memilih berhenti selama 40, itu lebih baik baginya dari lalu di depan orang yang solat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Maksud 40 itu tidak dijelaskan di dalam hadis. Perawi hadis ini tidak mengetahui apakah yang dimaksudkan adalah 40 hari, 40 bulan, atau 40 tahun. Dalam Musnad Al-Bazzar mengatakan 40 tahun.
Imam Al-Syaukani dalam Nailul Authar membahaskan bahawa yang diertikan dengan 40 itu menggambarkan betapa besarnya dosa. Ini menunjukkan bahawa perintah menggunakan sutrah ini bukan perkara main-main atau suka-suka.
Apabila sutrah beralih
Apabila seseorang itu solat dengan menghadap sutrah, dan kemudian sutrahnya lari. Contohnya dia solat di belakang orang dan orang itu kemudian bangkit dan pergi ke tempat lain.
Kalau jarak orang yang solat dengan dinding di depannya dekat, dia boleh berjalan ke depan mendekati dinding di depan.
Dalilnya adalah hadis sahih Riwayat Al-Hakim di mana pernah ada seekor anak kambing hendak lalu di hadapan Nabi ketika Nabi sedang solat, Baginda merapatkan dada dan perut Baginda sehingga menempel ke dinding. Ini menunjukkan Nabi tidak membenarkan kambing itu lalu di antara Baginda dan sutrah.
Ini menunjukkan keharusan apabila kita solat dan sutrah itu lari, kita hendaklah mendekatkan diri kita dengan sutrah. Namun jika sutrah itu hilang atau diambil atau dialihkan dari depan kita, kita boleh dekatkan diri kita ke arah sutrah yang lain.
Lalu depan orang solat guna sutrah
Sabda Nabi dalam hadis Abu Sa’id Al-Khudri, “Apabila seorang di antara kamu solat dengan memasang sutrah yang membatasinya daripada manusia, lalu ada seseorang yang ingin lalu di hadapannya, maka hendaklah dia menghalangnya. Bila dia enggan, bunuhlah dia kerana sesungguhnya dia adalah syaitan.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
Maksud bunuh dalam hadis ini bukan bererti ambil pisau kemudian kita menikamnya sampai mati. Maksudnya adalah berusaha bersungguh-sungguh melawannya, dan ini menggambarkan betapa besarnya hukum ini.
Dari sini dapat kita fahami sutrah adalah perkara sangat penting. Apabila ada sutrah, orang faham itu adalah kawasan solat dan mereka tidak boleh lalu di kawasan itu. Tetapi apabila tidak ada sutrah, orang tidak tahu dan lalu-lalang di hadapan orang sedang solat sedangkan ia adalah dosa yang besar.
Oleh: PENASIHAT EKSEKUTIF ILMUWAN MALAYSIA (ILMU )
Sumber: Sinar Harian
Labels:
Indahnya Islam
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 comments:
nice info =D
Catat Ulasan