Nuff Atas

01 Mei 2014

Batuk Waktu Pagi Dan Malam Tanda Asma


Kanak-kanak yang menghidap asma perlu perhatian lebih.

PERASAAN anda seringkali terganggu kerana anak yang berusia dua tahun sering mengalami batuk yang berpanjangan pada waktu pagi.

Kemudian, apabila malam menjelma batuknya datang kembali, tambahan jika keadaan cuaca sedikit dingin dan sejuk batuknya semakin menjadi-jadi.

Jika seringkali berhadapan dengan situasi ini, berwaspada dan ambil tindakan segera untuk membawa anak berjumpa dengan doktor. Simptom-simptom awal yang ditunjukkan itu, besar kemungkinan anak menghidap penyakit asma.


Menurut Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatologi, Pusat Perubatan Sime Darby ParkCity Sdn. Bhd., Dr. Salehuddin Samsudin, asma adalah penyakit kronik yang berlaku akibat keradangan disebabkan saluran pada paru-paru membengkak dan sempit.

"Asma terjadi apabila saluran pernafasan menjadi semakin sempit dan diselaputi oleh lendir-lendir. Situasi ini menyebabkan berlaku sesak nafas dan semput.

"Penyempitan pada saluran pernafasan kanak-kanak penghidap asma boleh berlaku secara tiba-tiba dan berulang kali, menyebabkan kanak-kanak tersebut menghadapi kesukaran untuk bernafas," katanya.



Menurut Dr. Salehuddin, asma merupakan penyakit kronik yang menyerang kanak-kanak berumur setahun ke bawah sehingga mencapai umur peringkat dewasa.

Kajian juga menunjukkan sebanyak 10 hingga 20 peratus kanak-kanak yang masih bersekolah diserang penyakit tersebut.

Begitupun beliau menambah, ia adalah penyakit yang susah dikenalpasti pada kanak-kanak yang berumur kurang dari dua hingga tiga tahun berikutan simptom yang seakan dengan penyakit lain.

Ini kerana, dalam lingkungan umur sebegini kanak-kanak tersebut mudah terdedah dengan penyakit seperti jangkitan bakteria dan kuman pada paru-paru.

"Berlainan pula dengan individu yang mencapai umur dewasa, kekerapan diserang asma semakin berkurang berikutan paru-paru yang semakin membesar.

"Keadaan ini membantu mengatasi masalah kesempitan saluran pernafasan agar menjadi lebih baik lancar," katanya.

Menurut Dr. Salehuddin lagi, penyakit asma kerap dikaitkan dengan faktor genetik dan persekitaran. Mereka yang dilahirkan dengan sejarah yang mempunyai masalah asma lebih berisiko mendapat penyakit ini.

Potensi mereka menghidap asma juga lebih tinggi jika keluarga mempunyai masalah kesihatan seperti alahan dan ekzema.

"Persekitaran yang menyebabkan mereka selalu terdedah dengan asap rokok, debu, keadaan cuaca sejuk, alahan dengan debunga dan jangkitan kuman pada paru-paru, akan meningkatkan kadar diserang asma.

"Seeloknya apabila mengetahui anak menghidap asma elakkan mereka daripada berhadapan dengan keadaan ini yang boleh meningkatkan potensi diserang penyakit tersebut," katanya lagi.

Ujar Dr. Salehuddin lagi, secara jelasnya penyakit asma menyebabkan kanak-kanak akan mengalami batuk berterusan, nafas berbunyi dan semput. Biasanya batuk yang dialami kanak-kanak itu adalah basah dan berkahak.

"Bagaimanapun, terdapat sebahagian daripada kanak-kanak yang tidak mempunyai tanda-tanda tersebut. Ini akan menyukarkan diagnosis dan kebanyakan kanak-kanak ini akan mengalami batuk berterusan yang tidak baik walaupun sudah makan pelbagai jenis ubat.

"Sekiranya ada juga simptom alahan seperti ruam, resdung atau selesema awal pagi, ia lebih meninggikan lagi kemungkinan asma atau lelah.

"Kanak-kanak yang mempunyai masalah asma senang mengalami jangkitan kuman pada paru-parunya.

"Kanak-kanak yang mempunyai berat badan berlebihan dan selalu mengeluh penat dan semput jika melakukan aktiviti luar seperti bersukan juga berpotensi menghidap asma," katanya.

Ujarnya lagi, kanak-kanak yang diserang asma akan terjejas corak kehidupan mereka dan perlu melalui kesan jangka masa panjang.

Apabila kanak-kanak ini selalu mengalami sesak nafas mereka akan kerap dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. Keadaan ini akan mengganggu dan membantutkan proses pembelajaran mereka.

"Sekiranya sejak kecil mereka sudah menghidap asma, keadaan ini mengganggu proses tumbesaran dan fungsi paru-paru kerana tidak dapat membesar dengan sempurna.

"Apabila pesakit ini meningkat usia tahap kecergasan dan stamina badan akan berkurangan menyebabkan mereka mudah terdedah kepada penyakit berkaitan paru-paru di usia tua," katanya.

Dr. Salehuddin berkata, tiada rawatan khusus yang digunakan untuk memulihkan penyakit asma, tetapi boleh diatasi dengan menggunakan kaedah rawatan yang bersesuaian.

"Kita boleh atasi sebahagian daripada simptom asma, tetapi untuk mengubatinya agar kembali normal dan penyakit tidak berulang agak susah kerana penyakit asma berkaitan dengan genetik. Begitupun, faktor persekitaran boleh dielakkan, di samping menggunakan rawatan yang bersesuaian.

"Antara rawatan yang boleh digunakan adalah melalui ubat yang dimakan atau menggunakan pam oksigen. Malah kebanyak pesakit asma akan pulih dengan sendiri apabila mereka besar atau mencapai peringkat remaja.

"Ada dua kategori ubat ketika memberi rawatan kepada kanak-kanak menghidap asma iaitu ubat-ubatan yang mencegah kanak-kanak daripada serangan asma dan ubat-ubatan yang mengurangkan simptom asma," katanya.

Oleh Siti Aishah Yusoff
Sumber: Utusan

0 comments: