Selfie pun ada keburukannya?
Tidak semestinya. Bagaimanapun akan wujud keburukannya jika individu yang berselfie memikirkan tentang hobi tersebut dan hasil kerja mereka secara keterlaluan ...
Selfie yang merujuk kepada perbuatan mengambil gambar sendiri menggunakan telefon pintar atau kamera web untuk tujuan dimuat turun ke laman sosial seperti facebook, instagram dan twitter, kini menjadi fenomena di seluruh dunia daripada orang biasa hingga kepada pemimpin dunia.
Begitu popularnya trend tersebut sehinggakan perkataan selfie dipilih sebagai perkataan tahunan 2013 selepas penggunaannya meningkat sebanyak 17,000 peratus sejak tahun sebelumnya.
Pemilihan tersebut dilakukan oleh syarikat penerbit, Oxford Dictionaries selepas perkataan Inggeris itu paling kerap digunakan pada tahun tersebut.
Begitupun, sebagai orang Timur lebih-lebih lagi beragama Islam, obses berkongsi gambar sehingga terlupa batas-batas dan had yang sepatutnya diselindung, tidak sewajarnya dilakukan.
Tambahan pula jika perbuatan itu sekadar mahu mencari kepuasan melihat gambar tersebut mendapat puluhan komen atau meraih ratusan atau ribuan like.
Pensyarah di Jabatan Psikologi dan Kerja Sosial, Pusat Pengajian Pembangunan Sosial, Kolej Sastera dan Sains, Universiti Utara Malaysia (UUM), Siti Azura Bahadin berkata, selfie adalah singkatan kepada gabungan perkataan potret diri sendiri (self-potrait).
Sejarah Selfie
Sejarah selfie ini dikatakan bermula sejak 1920 yang mana gambar selfie pertama diambil oleh Joe Byron di atas bumbung sebuah bangunan di New York. Kemudiannya gambar selfie tersebut ditayangkan di Muzium Bandaraya New York untuk dijadikan tatapan orang ramai.
Selfie merupakan budaya baru membabitkan tabiat yang sukar dimengerti. Sebagai contoh, kalau dahulu hanya wanita sahaja yang obses untuk menonjolkan penampilan dan paras rupa mereka, tetapi sekarang golongan lelaki juga berebut-rebut berbuat demikian," katanya.
Menurut Siti Azura, bukanlah menjadi isu besar jika individu mengambil gambar sendiri mahupun bersama-sama kumpulan ketika sedang melakukan aktiviti dengan tujuan menyampaikan maklumat dan berkongsi kegembiraan.
Bagaimanapun, nampak aneh dan jelek di mata kebanyakan orang jika gambar tersebut sengaja diambil dengan aksi mengada-nada, seksi, gaya mulut itik (duckface) dan sebagainya.
Menurutnya lagi, tidak dapat dinafikan bahawa golongan remaja paling ramai berminat dengan tabiat selfie berbanding golongan dewasa dan orang tua.
Dalam ilmu psikologi, remaja diklasifikasikan sebagai golongan yang mudah terpengaruh dan sedang mencari identiti diri untuk membentuk keyakinan.
Mereka adalah golongan yang mudah terikut-ikut dengan kawan dan budaya yang dilihat. Mereka juga adalah golongan yang tidak pandai menangani tekanan dan akan mudah hilang kawalan diri," katanya.
Akibat Selfie
Beliau mengambil contoh, kes yang berlaku kepada seorang remaja lelaki berusia 19 tahun dari England, Danny Bowman, yang menghabiskan masa hampir 10 jam setiap hari untuk mengambil kira-kira 200 gambar selfie menggunakan telefon bimbit.
Dia juga sanggup berhenti sekolah, tidak keluar rumah selama enam bulan dan menurunkan berat badannya sehingga 12 kilogram semata-mata untuk menjadikan dirinya kelihatan sempurna apabila bergambar.
Tabiat pelik yang membelenggu remaja lelaki itu yang berlarutan selama tiga tahun akhir memakan diri apabila keadaan tersebut hampir meragut nyawanya. Dia berbuat demikian kerana tidak berpuas hati dengan gambar yang diambilnya hingga menyebabkan dia mengalami penyusutan berat badan.
Bagi kes ini, saya rasa ibu bapa orang yang paling bertanggungjawab untuk memantau segala aktiviti dan tingkah laku anak mereka. Tidak salah jika ibu bapa mengambil tahu apa yang dilakukan anak-anak dan dengan siapa mereka berkawan sebagai langkah berjaga-jaga," jelasnya.
Pada 3 Mac 2014, berlaku kejadian dua gadis mati lemas ketika mandi di Sungai Lebir Manik Urai Lama, Kuala Krai. Insiden itu berlaku gara-gara kedua-duanya asyik merakam gambar selfie bersama-sama. Menurut kenyataan rakan mangsa, mereka dikatakan bergambar menggunakan telefon bimbit sebelum tergelincir dan dihanyutkan arus sungai.
Selain itu, ada juga segelintir masyarakat yang bergambar selfie tidak kena pada tempatnya. Contohnya merakamkan aksi selfie ketika dikejar kerbau di Texas. Golongan ini tidak mementingkan keselamatan asalkan dapat selfie walaupun perlu berhadapan dengan situasi ekstrem yang boleh membahayakan diri sendiri.
Lelaki maut ketika ‘selfie’ bersama pistol
Pada 5 Ogos 2014, Seorang lelaki di bandaraya Mexico, Oscar Otero Aguilar maut tertembak kepala sendiri ketika sedang ‘selfie’ dengan sepucuk pistol berpeluru.
Ketika kejadian, Oscar Otero Aguilar yang bekerja di kedai haiwan peliharaan, dikatakan sedang minum bersama kawannya di Medero di utara ibu negara, Bandaraya Mexico.
Selaku pengikut kegilaan ‘selfie’, Otero Aguilar juga sering memuat naik gambar dirinya dalam laman media sosial. [Sumber: BHarian}
Kepuasan Bergambar
Menurut Siti Azura lagi, individu yang gemar bergambar secara selfie kebiasaannya mempunyai motif untuk tujuan kepuasan sementara.
Golongan ini katanya, ingin memaklumkan atau berkongsi 'saat itu' atau aktiviti yang sedang dilakukan atas alasan berkongsi pengalaman dan rasa gembira.
Ada sebahagiannya suka berbuat demikian untuk menghiburkan diri sendiri dan menghilangkan tekanan. Ada yang memuat naik gambar sendiri dalam laman sosial untuk tujuan perkongsian tanpa ada motif yang keterlaluan.
Ada pula mereka yang keterlaluan dalam menunjuk sesuatu perkara sehingga berkongsi perkara yang sepatutnya menjadi hak privasi mereka seperti gaya tidur, saat bercinta, malah gambar dalam tandas pun mahu dikongsi dengan orang ramai," katanya.
Masalah Mental
Beliau mengambil contoh di Thailand, budaya selfie yang begitu popular terutama di kalangan remaja, menyebabkan Jabatan Kesihatan Mental negara itu telah mengeluarkan amaran kepada generasi muda yang terlalu obses.
Kerajaan Thailand berpendapat, sikap ini boleh menyebabkan masalah mental pada masa hadapan terutama sekali berkaitan keyakinan diri, di mana ini boleh menyebabkan kesan negatif terhadap kehidupan seharian seseorang, karier dan juga pembangunan negara.
Menurut Siti Azura lagi, memberi terlalu banyak perhatian kepada gambar sendiri yang dimuat naik ke dalam laman sosial dengan harapan mendapat jumlah like paling banyak merupakan satu petanda bahawa selfie boleh menyebabkan pelbagai jenis masalah, termasuk kemungkinan untuk hilang keyakinan diri.
Keyakinan diri adalah penting kerana ia membolehkan seseorang itu berasa berpuas hati, gembira, berupaya menerima kebenaran.
Mereka yang hilang keyakinan akan berasa gementar, teragak-agak dan tidak gembira dengan kehidupan sendiri. Hidup dalam keadaan ini untuk satu jangka masa yang lama boleh menyebabkan gangguan mental dan emosi seperti paranoid, cemburu, penumpuan kepada perkara yang remeh serta kemurungan," jelasnya.
Menurut beliau lagi, salah satu penyakit mental yang selalu dikaitkan dengan perbuatan yang berulang-ulang dan ketidakupayaan diri adalah Gangguan Obsesif Kompulsif (OCD).
Ia adalah perasaan was-was yang melampaui tahap normal dan dikategorikan sebagai salah satu daripada penyakit mental.
Was-was
Ramai sebenarnya yang mengalami penyakit ini, termasuk diri kita sendiri yang kadang-kadang kita tidak sedar, selain di kalangan ahli keluarga, saudara mara dan kawan-kawan.
Apa yang membezakan tahap keseriusan penyakit tersebut, dari tahap ringan hingga ke tahap kritikal, yang mana seseorang itu memerlukan ubat dan kaunseling di hospital.
Penyakit ini boleh dikaitkan dengan selfie jika kita mempunyai simptom seperti was-was dengan diri sendiri seperti penampilan, bentuk badan, riak muka, wajah dan apa-apa aktiviti diri sendiri. Ini dituruti dengan pengambilan gambar dan memuat turut dalam kadar yang sangat banyak.
Jika tabiat selfie menjadi satu penyakit yang tidak terkawal secara terus-terusan sehingga seluruh masa ditumpukan padanya, maka bantuan kaunseling boleh diberikan kepada mereka.
Mereka boleh dibawa berjumpa kaunselor bagi mendapatkan khidmat nasihat berkaitan dengan tabiat selfie yang dialami," ujarnya lagi.
Begitupun, beliau mengakui agak keterlaluan jika mengkategorikan tabiat selfie ini sebagai penyakit mental secara umum. Hanya pakar psikiatri yang layak mendiognasisnya sebagai kecelaruan mental setelah dirawat.
Inginkan pujian
Pakar Perunding Psikiatri dan Psikologi, Dr. Wan Mohd. Rushidi Wan Mahmud berpendapat selfie mungkin menunjukkan ciri-ciri narcisstic (suka diri sendiri) yang ada pada diri seseorang.
Dalam erti kata lain, mereka ingin menonjolkan keistimewaan yang dimiliki yang kadangkala tidak terserlah di mata orang lain jika tidak ditonjolkan secara begitu.
Katanya lagi, orang yang mempunyai kecelaruan personaliti mempunyai sifat-sifat yang perlukan pujian dan sanjungan berterusan daripada orang lain dan menyimpan kepercayaan bahawa mereka ialah seorang yang istimewa dan berhak mendapat tempat di hati masyarakat.
Namun, jika dilihat di negara barat kini terdapat trend terbaharu lebih ekstrem iaitu sellofies yang mana seseorang itu mengambil gambar sambil memakai sellotape di seluruh muka kemudian memuat naik di laman-laman sosial untuk tatapan orang ramai. Individu yang mengikut trend ini sanggup bersusah-payah membalut wajah mereka dengan sellotape sehinggakan wajah kelihatan hodoh semata-mata untuk dijadikan bahan ketawa dan nampak melucukan di mata orang ramai.
Inilah natijah apabila dunia semakin maju, alat elektronik semakin canggih, malah pemikiran manusia semakin jauh ke hadapan yang kadangkala melebihi batas pemikiran seseorang itu.
Sumber Artikel:
1. Artikel Oleh Siti Aishah Yusoff
Sumber: Utusan
2. Artikel Oleh FATHIAH MD. HATA
Sumber: Utusan
0 comments:
Catat Ulasan