07 Mei 2014
Membaca Buku Sebagai Kerja Rumah Setiap Murid
Jadikan membaca buku sebagai kerja rumah setiap murid
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru sahaja berakhir. Pesta yang berlangsung dari 24 April hingga 4 Mei 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, menawarkan pelbagai jenis bahan bacaan kepada pengunjungnya.
Kehadiran pengunjung juga dilaporkan meningkat dengan baik tahun demi tahun. Menurut laporan, dianggarkan lebih 1.7 juta pengunjung telah membanjiri pesta buku tahun 2014 ini dan ia merupakan perkembangan yang menggembirakan.
Kita tidak dapat menolak hakikat dunia semakin berkembang melalui peralatan elektronik dan e-book yang mewarnai bentuk bacaan dunia alaf baru, namun, masih ramai yang cintakan bahan bacaan bertulis yang boleh dipegang dan diselak helaiannya.
Masyarakat miliki daya fikir tinggi
Bilangan pengunjung menjadi petunjuk bahawa semangat cintakan dan suka membaca berkembang dengan baik dalam masyarakat kita. Semangat cintakan buku dan suka membaca penting jika kita ingin menjadi masyarakat yang mempunyai daya fikir tinggi.
Membaca menambahkan ilmu dan lebih banyak fakta baru diketahui. Banyak membaca buku agama memberikan kita lebih banyak pengetahuan mengenai ajaran agama dan mendorong beramal dengannya.
Banyak membaca buku motivasi akan membuka minda serta menjadikan kita lebih bersemangat mengharungi cabaran hidup ini. Semakin banyak membaca, semakin kuat minda memproses dan menjadikan kita semakin berilmu, matang serta meningkat menjadi insan lebih baik.
Ini menepati pernyataan al-Quran iaitu, “Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna.” (Surah al-Zumar, ayat 9)
Semangat cintakan buku dan suka membaca sebenarnya bermula sejak seorang itu kecil lagi. Ibu bapa sebenarnya pihak pertama yang sewajarnya memperkenalkan nilai murni ini. Membacakan kepada anak sebelum mereka tidur adalah amalan mempercepatkan pembinaan sikap cintakan ilmu.
Apatah lagi, membaca perkara besar yang disebut dalam al-Quran melalui wahyu pertama diturunkan kepada Nabi di Gua Hira’.
Justeru, nilai suka membaca dan cintakan bahan bacaan adalah amalan yang disukai agama Islam. Namun, amalan membacakan buku kepada anak sebelum tidur agak kurang dalam masyarakat kita, tetapi menjadi kebiasaan masyarakat Barat.
Kemudahan perpustakaan awam
Perpustakaan awam di Barat banyak menjalankan bengkel percuma untuk ibu bapa mempelajari teknik membaca dengan anak sebelum tidur. Perpustakaan awam daerah mereka juga membenarkan kanak-kanak meminjam sehingga 30 buku sekali gus dan boleh memulangkannya di mana-mana perpustakaan berdekatan.
Mereka juga memudahkan kaedah tempahan buku untuk peminjaman secara e-mel dan boleh memperbaharui tempoh pinjaman melalui sistem ‘online’.
Sekolah turut menyuburkan semangat cinta membaca dengan menjadikan sesi membaca buku atau novel bersama ibu bapa di rumah sebagai kerja rumah setiap hari. Setiap murid diberikan buku log untuk catatan buku dibaca sebelum tidur bersama ibu bapa dan buku itu ditandatangani ibu bapa.
Mereka yang membaca paling banyak akan diraikan oleh pihak sekolah pada sesi perhimpunan mingguan. Murid dianugerahkan lencana Pupil of the Week oleh guru besar. Usaha ini menyebabkan kanak-kanak teruja dan mendorong mereka membaca 20 hingga 30 buku cerita seminggu.
Pengkaji menemubual guru besar sekolah di Australia yang menceritakan, usaha menggalakkan kanak-kanak membaca novel atau buku cerita akan membantu mereka membina kreativiti serta penguasaan bahasa.
Sekolah di Australia juga mengambil pendekatan tidak begitu memberi kerja sekolah. Kerja sekolah bagi kanak-kanak sekolah rendah (7 hingga 12 tahun) adalah membaca buku cerita, novel dan menuliskannya di dalam buku log.
Jadi amalan harian
Mereka membina sikap cintakan buku dari kecil dan membuatkan ia menjadi sebahagian daripada amalan harian. Justeru, adalah perkara biasa mereka membawa buku cerita bersama dan membacanya di dalam bas, kereta api dan di taman.
Apabila sejak kecil kanak-kanak suka membaca, ia akan menjadi satu tabiat yang akan dibawa hingga dewasa dan membentuk keluarga. Apabila ibu bapa mempunyai sikap suka membaca, ia akan diturunkan pula kepada anak mereka untuk cintakan membaca serta mencari ilmu.
Indonesia memperkenalkan program Kecil-kecil Punya Karya menggalakkan kanak-kanak berumur 8 hingga 15 tahun menulis buku dan akan diterbitkan serta diletak di perpustakaan sekolah. Penerbit bekerjasama dengan sekolah mengenalpasti kanak-kanak berbakat dan membantu mereka menyempurnakan tulisan sehingga menjadi novel kanak-kanak.
Usaha ini menyebabkan kanak-kanak suka membaca dan kemudiannya menghasilkan buku untuk masyarakat. Ini usaha murni yang wajar diikuti ke arah menggalakkan dan membina nilai murni cintakan buku serta suka membaca.
Oleh: Dr Nurhidayah Hashim
Prof Madya di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Shah Alam
Sumber: BHarian [2014/05/01]
Projek Bacaan NILAM
Program galakan membaca yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia adalah Program ‘Nadi Ilmu Amalan Membaca atau Program NILAM yang telah mula dilaksanakan pada tahun 1999.
Pelaksanaan Program NILAM ini dimulakan hasil daripada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Gerakan Tabiat Membaca peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 1998.
Program ini dilaksanakan bermula dengan Tahun Satu bagi sekolah rendah dan Tingkatan Satu atau Peralihan bagi sekolah menengah dan rekod pembacaan murid-murid ini diteruskan sehingga mereka tamat persekolahan.
‘NILAM’ atau Nadi Ilmu Amalan Membaca merupakan penggabungan atau adunan semua aktiviti galakan membaca yang pernah dijalankan di sekolah dengan memberi pengiktirafan yang sesuai. Pelaksanaan program ini meliputi penilaian pembacaan yang berterusan sepanjang tahun dan markah dikumpulkan secara kumulatif sehinggalah mereka tamat persekolahan.
Program ini ialah satu usaha Kementerian Pelajaran Malaysia dengan matlamat untuk membina tabiat membaca di kalangan murid. Bahagian Teknologi Pendidikan ialah urus setia di Kementerian Pelajaran yang ditugaskan untuk menyelaras program ini.
Program ini telah mula dilaksanakan dengan Tahun Satu di sekolah rendah dan Tingkatan Satu atau Peralihan di sekolah menengah dengan rasminya pada 1999, melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pelajaran Malaysia Bil.13/1998: Program Membina Tabiat Membaca bertarikh 22 Mei 1998.
Sumber: Pengurusan Sumber Pendidikan
Labels:
Pendidikan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 comments:
membaca jambatan ilmu.. cikgu anis selalu cakap macam tu dengan anis.. sampai sekarang masih minat membaca.. :)
Catat Ulasan