10 Mei 2014

Kisah Kemanusiaan Dr Jemilah Mahmood


Tan Sri Dr Jemilah Mahmood, Pengarah Sekretariat Sidang Kemuncak Kemanusiaan Dunia

Sekeras-keras hati ketua kabilah Taliban, namun beliau berjaya mendapatkan kebenarannya untuk memberi penjagaan perubatan kepada kaum wanita dalam kabilah itu.

Ketika bertugas di sebuah kawasan kampung di Iraq, pinggulnya ditembusi peluru. Dengan pantas beliau menjahit luka tembakan dan meneruskan tugasnya untuk membantu seorang wanita yang hendak bersalin. Bagi wanita yang penuh dengan keberanian ini, semuanya itu adalah rutin hariannya.

Beliau betah berada di zon perang, seperti juga di tempat lain. Beliau ialah Tan Sri Dr Jemilah Mahmood, pakar ginekologi terlatih yang juga pejuang kemanusiaan.


MEMUPUK 'MERCY'

Perang Kosovo meletus di selatan Eropah semasa berakhirnya satu lagi alaf. Di tanah air, bisnes klinik Dr Jemilah dan suaminya, Dr Ashar Abdullah berjalan lancar.

Bagaimanapun, ini tidak cukup untuk memuaskan hatinya. Jauh di lubuk hatinya, ada yang lebih besar yang beliau perlu lakukan. Beliau membuat keputusan untuk ke Kosovo bagi membantu mangsa perang di sana.

Dr Jemilah menghubungi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkenaan untuk menyatakan hasratnya. Namun, tidak ada satu pun yang memberi jawapan, justeru suaminya mencadangkan supaya beliau menubuhkan sebuah badan dan menyusun sendiri pasukan sukarelawannya.

Cadangan suaminya itu menjadi titik tolak kepada penubuhan Mercy (Medical Relief Society Malaysia).

"Satu daripada kelebihan menjadi pejuang kemanusiaan dan membentuk pertubuhan ialah saya boleh menyakinkan rakyat Malaysia bahawa sekiranya kita mahu menjadi negara maju, ia bukan tentang membina bangunan atau lebuh raya.

"Ianya tentang membantu orang, berbelas kasihan terhadap semua orang. Kenapa mesti menghadkan diri kita sebagai orang Asia atau rakyat Malaysia untuk memainkan peranan itu di peringkat global?" beliau memberitahu sebuah forum di Kelab Golf Diraja Selangor sewaktu berlangsungnya kejohanan Tenis WTA di Kuala Lumpur.

Bermula dengan penuh sederhana, beroperasi dari klinik Dr Jemilah, Mercy kini disegani sebagai sebuah badan yang banyak menabur jasa kepada ramai orang dan usaha murni ini masih berterusan.

Selepas Kosovo, tenaga sukarelawannya yang diketuai oleh Dr Jemilah bergerak ke Iraq, Afghanistan, Indonesia (Acheh), Somalia, Kemboja dan banyak lagi negara yang dilanda masalah untuk menghulurkan bantuan.



MENGINGATI IBU

Dr Jemilah mendedahkan bahawa beliau membesar dalam keluarga ibu bapa yang berlainan kaum dengan 13 adik-beradik termasuk saudara tiri daripada pelbagai kepercayaan (Islam, Kristian dan Buddha) membolehkan beliau menyesuaikan diri dengan semua orang.

Bagi beliau, hormat menghormati serta kasih sayang adalah amat penting, tanpa mengira warna kulit, agama atau kepercayaan.

Semasa berusia belasan tahun, ibunya mengajar beliau erti kemanusiaan dengan menyuruhnya melakukan beberapa urusan.

Dr Jemilah berkata ibunya meminta beliau ke Singapura untuk membantu membeli buku sekolah dan keperluan lain untuk diberikan kepada saudara-mara sebelah ayah. Ini berlaku selepas ayahnya meninggal dunia dan ketika itu beliau berusia sembilan tahun.

"Pada mulanya saya memang memberontak. Saya fikir ibu tidak sayangkan saya kerana ibu menyuruh saya pergi semasa cuti sekolah. Pada saya, ibu sengaja mahu saya tidak berada di rumah.

"Fikiran saya kemudian bertukar apabila saya mula berasa ibu menyuruh saya kerana beliau nampak suatu kelainan dalam diri saya.

"Semasa ibu nazak, ibu beritahu saya yang dia amat sayangkan saya dan dia tahu saya ini lain daripada yang lain. Ibu beritahu buatlah ikut kata hati nurani saya. Beliau kata memang saya seorang doktor tetapi beliau tahu apa yang saya cari," Dr Jemilah mengenang kisah silamnya.


WAJAH kanak-kanak yang menjadi mangsa persengketaan kuasa dunia menguatkan lagi semangat Jemilah yang menghulurkan bantuan.

BILA DILANDA KECEWA

Ibu kepada dua anak lelaki ini berkata cabaran paling hebat sebagai pejuang kemanusiaan, juga dalam kehidupan, adalah untuk mengekalkan motivasi.

Beliau berkongsi kisahnya semasa dilanda kemurungan akibat kejadian tembakan di Iraq. Dua pekerjanya terbunuh dan beberapa orang lagi cedera.

"Berkali-kali saya mengenang kembali apa yang telah kami lakukan dan baru saya boleh terima hakikat apa yang berlaku bukan salah saya. Malah pasukan Palang Merah PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) pernah dibom dan mereka itu diberi kawalan keselamatan yang ketat.

"Bagi saya, apa yang terus memotivasi saya ialah mereka yang terkorban dan cedera semasa misi. Saya tidak boleh mengecewakan mereka. Saya lakukan untuk pertubuhan ini dan untuk mereka yang saya cuba bantu dan kami akan teruskan usaha ini," katanya.

Menurut Dr Jemilah, agama memberinya kekuatan dalam menjalankan misinya di samping suami yang senantiasa memberi sokongan. Beliau juga amat bertuah kerana mempunyai keluarga yang sentiasa memahami keperluan untuk beliau berada jauh daripada mereka.

Tidak lupa juga beliau menyatakan penghargaan kepada ramai pihak yang yakin dengan visinya.

TERUS MARA

Pada 2009, iaitu 10 tahun selepas beliau mengasaskan Mercy, Dr Jemilah menyerahkan pertubuhan itu kepada orang lain untuk membolehkan beliau memberi bimbingan kepada para pemimpin muda di samping menulis.

"Kini saya amat teruja dengan kepimpinan, tentang memupuk orang muda. Saya juga ingin menukar pandangan geopolitik dunia.

"Saya mahu kita yang dikenali sebagai global Selatan, mempunyai suara dalam isu global. Saya mahu kita mempengaruhi polisi. Saya mahu kita mampu membentuk masa hadapan," kata Dr Jemilah.

Beliau akan meninggalkan Malaysia kerana ditawarkan jawatan yang membolehkannya melakukan tugas itu. Dr Jemilah telah dilantik bagi mengetuai Sekretariat Sidang Kemuncak Kemanusiaan Dunia (WHS) di ibu pejabat PBB di New York.

PESAN KEPADA ANAK MUDA

Untuk anak muda di luar sana, beliau menggesa mereka mencari apakah sebenarnya yang mahu mereka lakukan. Mungkin proses itu akan mengambil masa kerana beliau sendiri mengalaminya.

Beliau menasihatkan mereka supaya jangan takut untuk menukar karier apabila melakukan sesuatu yang mereka tidak suka.

"Walaupun masyarakat berasa skeptikal, lakukanlah. Dalam kehidupan, anda perlu mengambil risiko, risiko yang sudah difikir dengan semasak-masaknya. Sekiranya anda tidak mengambilnya, sudah tentu anda akan terlepas peluang," kata Dr Jemilah.

Oleh Ainul Huda Mohamed Saaid
Sumber: BERNAMAKosmo



Pelantikan Jemilah Rangsang Misi Kemanusiaan Di Seluruh Dunia

Pelantikan Tan Sri Jemilah Mahmood untuk mengetuai Sekretariat Sidang Kemuncak Kemanusiaan Dunia pada 2016, adalah satu rangsangan kepada misi kemanusiaan di seluruh dunia, kata Penyelaras Residen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Malaysia Michelle Gyles-McDonnough.

Michelle Gyles-McDonnough berkata pelantikan Jemilah merupakan khabar gembira kepada misi kemanusiaan di rantau Asia dan Pasifik.

"Kami gembira kerana Tan Sri Jemilah kembali menyertai pasukan PBB, kali ini di Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) bagi mengetuai persiapan penganjuran buat julung kalinya Sidang Kemuncak Kemanusiaan Dunia di Istanbul, Turki pada 2016.

"Adalah jelas bahawa misi kemanusiaan perlu seiring dengan perubahan nasional, serantau dan global, oleh itu, Dr Jemilah adalah orang yang sesuai bagi membantu menggerakkan proses ini," katanya.

Beliau turut memberi jaminan berhubung sokongan Pasukan Negara PBB di Malaysia terhadap peranan baharu Jemilah menerusi OCHA.

Gyles-McDonnough menganggap Jemilah sebagai seorang pemimpin yang kreatif dan memberi inspirasi selain cukup memahami sistem tindakan kemanusiaan.

"Berbekalkan pengalaman sebagai Ketua Bahagian Tindakan Kemanusiaan dalam Tabung Kependudukan PBB (UNFPA) serta pengasas dan bekas presiden MERCY Malaysia lebih sedekad iaitu satu daripada organisasi kemanusiaan paling berjaya dari bahagian selatan dunia, beliau kaya dengan ilmu pengetahuan," katanya.

Kenyataan itu juga menyebut Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon, akan menganjurkan Sidang Kemuncak Kemanusiaan Dunia di Istanbul bagi mencari kaedah baharu dalam menangani keperluan misi kemanusiaan dalam dunia yang pantas berubah.

Inisiatif tiga tahun ini diurus OCHA dan akan menetapkan agenda baharu bagi misi kemanusiaan di peringkat global.

Sidang kemuncak itu akan memfokus kepada empat tema utama iaitu Keberkesanan Misi Kemanusiaan, Mengurangkan Ketidakpastian dan Menangani Risiko, Transformasi Menerusi Inovasi serta Memenuhi Keperluan Penduduk Terlibat Dalam Konflik.

“Beliau tidak tahu erti penat dalam tugas perubatan dan kemanusiaan untuk negaranya dan dunia, membuktikan peranan besar wanita dan membantu meletakkan nama Malaysia di peta dunia.
Beliau tidak tahu erti penat dalam tugas perubatan dan kemanusiaan untuk negaranya dan dunia seterusnya membuktikan peranan besar wanita dan membantu meletakkan nama Malaysia di peta dunia” komen Datok Seri Najib Razak, Perdana Menteri

Dr Jemilah ialah Pengerusi Lembaga Amanah Teach For Malaysia, bekas Presiden MERCY Malaysia, bekas felo kanan Khazanah Nasional Berhad, felo penyelidik pelawat kanan di Institut Dasar Global King’s College London.

“Saya sentiasa berpegang kepada pesanan rakan saya di Teach For Malaysia yang mengatakan ‘masalah bersifat sejagat, penyelesaian boleh dikongsi’ kata Dr Jemilah.

“Anda perlu bersyukur dilahirkan dalam suasana aman dan kasih sayang. Saya pernah melihat dan bekerja dengan mereka yang kehilangan segala-galanya dan mengajar saya bahawa kita boleh belajar mengenai daya tahan dan ketekunan di mana saja,” katanya.

“Belajarlah mengenai belas kasihan di seluruh kawasan berhampiran termasuk di Jalan Chow Kit, perkampungan di Pantai Timur, pelarian dan yang kurang bernasib baik serta miskin,” katanya.

Katanya, tidak kira apa jua kepercayaan, kita mempunyai warna darah yang sama, ketawa, menangis, rasa sayang dan putus asa dan kita semuanya sama di sisi Allah.

Sumber: BERNAMABHarian

0 comments: