11 Mei 2014
Minggu Tanpa Skrin ~ Tutup TV Anda Sebentar!
Luangkan lebih banyak masa melakukan aktiviti fizikal dan kekeluargaan berbanding menonton TV atau menggunakan peranti pintar. - Gambar hiasan
18 April hingga 24 April lalu ialah Minggu Tanpa Skrin (sebelum ini dikenali sebagai Minggu Tidak Menonton Televisyen).
Kempen secara tahunan yang telah dianjurkan semenjak 1995 ini bertujuan untuk menggalakkan ibu bapa dan anak-anak menutup televisyen dan peralatan berskrin di rumah, dan seterusnya meluangkan masa tersebut dengan melakukan pelbagai perkara lain bersama-sama sebagai satu keluarga.
Mengapa tanpa skrin?
Ini merupakan tahun keenam Fomca mengadakan Minggu Tanpa Skrin.
Media berskrin telah menghabiskan banyak masa keluarga, yang sepatutnya digunakan untuk melakukan aktiviti bersama.
Tabiat menggunakan media berskrin untuk tujuan rekreasi secara berlebih-lebihan menyebabkan wujudnya gaya hidup yang suka bersendirian dan tidak banyak melibatkan aktiviti fizikal. Tabiat ini tidak baik dari segi mental mahupun fizikal.
Kanak-kanak dan golongan muda didapati menghabiskan masa antara 4 hingga 6 jam sehari untuk menonton televisyen, bermain permainan video, atau menggunakan komputer untuk tujuan rekreasi.
Minggu Tanpa Skrin bertujuan untuk mewujudkan kesedaran bahawa masa menggunakan media berskrin perlu dihadkan kepada tidak lebih daripada 2 jam sehari.
Menutup media berskrin akan memberi peluang kepada anda untuk berfikir, membaca, mencipta dan membuat sesuatu perkara yang baharu.
Ia membolehkan anda bermesra dengan keluarga anda dan menggalakkan diri anda untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti kekeluargaan.
The American Academy of Pediatrics menyarankan kanak-kanak berusia di bawah 2 tahun tidak didedahkan dengan media berskrin, manakala kanak-kanak yang lebih tua pula tidak lebih daripada dua jam sehari.
Mengurangkan masa menggunakan media berskrin akan:
-Memberi peluang kepada pembelajaran.
-Mengurangkan kesan iklan terhadap kanak-kanak.
-Memberi lebih banyak masa untuk melakukan aktiviti kreatif dan permainan yang aktif.
Hari tanpa media sosial
Kewujudan peranti seperti telefon pintar dan tablet, serta promosi agresif syarikat telekomunikasi tentang pakej internet, menyebabkan penggunaan media sosial, seperti Facebook, YouTube, dan Twitter semakin meluas.
Dalam laporan United Nations, International Telecommunication Union (ITU), Malaysia mencatat kadar keempat tertinggi mempunyai digital natives di dunia.
Digital natives ditakrifkan dalam laporan tersebut sebagai belia berumur 15 hingga 24 tahun yang menggunakan internet secara aktif sekurang-kurangnya selama lima tahun.
Kajian yang dijalankan secara usahasama dengan Institut Teknologi Georgia itu menunjukkan 13.4 peratus atau lebih 3.9 juta rakyat Malaysia sebagai digital natives, menyumbang hampir tiga suku daripada belia negara.
Jumlah rakyat Malaysia kini telah mencecah 30 juta orang (pada Februari 2014).
Menurut laporan statistik penggunaan internet di Malaysia pada 2012:
- Pengguna internet di Malaysia melayari laman rangkaian sosial 14 bilion kali setiap bulan.
- Pengguna internet di Malaysia menghabiskan hampir 20 jam setiap minggu dalam talian.
- 80 peratus pengguna Malaysia suka memuat turun video, diikuti dengan 51 peratus aktif dalam aktiviti YouTube.
- 32.1 peratus memegang bahagian terbesar minit dalam talian adalah dalam kalangan orang di Malaysia, diikuti 11.5 peratus untuk hiburan.
- 87.9 peratus daripada pengguna Malaysia mengakses Facebook.
- 67 peratus video YouTube ditonton oleh pengguna Malaysia.
- Singapura ialah negara di rantau Asia tertinggi bagi penggunaan dalam talian, iaitu menghabiskan 25 jam dalam talian setiap minggu, diikuti Filipina 21.5 jam dan rakyat Malaysia selama 19.8 jam.
- Sejumlah 13 juta pengguna Facebook di Malaysia.
Terdapat sesetengah orang yang mendakwa mereka sentiasa berada dalam talian selama 24 jam. Oleh itu, tidak hairanlah dengan keadaan sekumpulan orang, yang walaupun duduk semeja, tetapi mereka sibuk dengan telefon bimbit masing-masing.
Ini terutamanya terjadi kepada golongan muda dan dewasa. Mereka lebih banyak menghabiskan masa dengan telefon pintar berbanding dengan berbual-bual secara bersemuka dengan kawan-kawan atau ahli keluarga.
Dengan aplikasi seperti WhatsApp, sesetengah orang menghabiskan terlalu banyak masa berbual menggunakan aplikasi tersebut, malah mudah terganggu dengan bunyi isyarat telefon.
Mereka akan memeriksa telefon bimbit dari semasa ke semasa kerana mereka tidak mahu terlepas apa-apa mesej yang dihantar oleh kawan.
Mereka begitu teruja dengan telefon bimbit dan internet. Mereka akan berasa tidak senang sekiranya tidak ada telefon bimbit bersama-sama mereka atau tidak dapat mengakses internet.
Ini membuatkan kita terfikir adakah media sosial merupakan satu cara komunikasi yang baru atau satu lagi bentuk ketagihan?
Jadi, tibalah masa untuk kita tutupkan telefon pintar kita dan mula menjalankan aktiviti yang lebih interaktif dan aktif.
Anda boleh menutup telefon pintar dan menggantikannya dengan telefon biasa.
Ini dapat membebaskan diri anda daripada dunia media sosial, berada di dunia realiti sepanjang hari, membuat sesuatu yang bermanfaat kepada alam sekitar, atau berkumpul dengan kawan-kawan, bermain permainan secara berkumpulan, membolehkan diri anda seimbang antara dunia media sosial dan dunia realiti.
Aktiviti fizikal seperti berjogging atau mendaki bukit bersama kawan-kawan adalah salah satu cara dapat mengurangkan stres anda.
Aktiviti ini lebih menyeronokkan daripada anda sering menundukkan kepala dan menaip mesej di telefon.
Di Amerika Syarikat dan Taiwan, ada satu aktiviti yang semakin popular, iaitu dikenali sebagai ‘Berhenti menggunakan telefon ketika makan’.
Cara aktiviti ini dilakukan ialah, ketika makan bersama-sama kawan-kawan, setiap orang dikehendaki meletakkan telefon bimbit mereka di tengah-tengah meja.
Jika ada sesiapa yang tidak dapat menahan diri daripada menggunakan telefon, maka orang tersebut akan didenda dengan membayar harga makanan untuk semua orang.
Jika anda benar-benar mementingkan kawan-kawan anda, maka anda bukan sahaja perlu mematuhi peraturan ini ketika makan, tetapi juga apabila berjumpa dengan kawan-kawan anda.
Tutupkan skrin anda dan mulakan kehidupan kekeluargaan!
Artikel Oleh:
GABUNGAN PERSATUAN-PERSATUAN PENGGUNA MALAYSIA (FOMCA)
Sumber: Sinar Harian [5 Mei 2014]
Terkini mengenai aktiviti Fomca, layari laman sesawang www.fomca.org.my atau www.konsumerkini.net.my.
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan