BUAH harumanis kini tidak perlu lagi diperkenalkan. Isinya yang ranum, manis, berjus dan enak menambat deria rasa setiap yang merasanya.
Terkenal di negeri Perlis, permintaan yang tinggi di seluruh negara menjadikannya sebagai buah eksklusif, yang mesti dibawa pulang sebagai cenderamata sekiranya mengunjungi negeri ini.
Walaupun dijual dengan harga tinggi, iaitu sekitar RM25 sekilogram, harumanis tetap menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara, malah ia hanya terdapat di Perlis dan dijual pada penghujung April sehingga akhir Mei setiap tahun.
Menariknya, buah ini bukan sahaja manis tetapi aroma keharumannya akan terasa setiap kali ia dijamah sekali gus menjadikannya lebih istimewa berbanding buah mempelam lain.
Untung berlipat kali ganda
Bagi pengusaha ladang harumanis, Musa Darus, 72, penanaman pokok itu di tapak rumahnya umpama lubuk rezeki, malah setiap tahun keuntungan jualannya meningkat sehingga mencecah 50 peratus.
“Tahun lepas, saya memperoleh untung sehingga RM100,000. Pendapatan dahulu hanya RM10,000 ke RM12,000 tetapi selepas 2012, ia mula meningkat.
“Hal ini disebabkan kerajaan negeri mula memperkenalkan harumanis sebagai ikon Perlis kepada pengunjung luar selain menjadikannya hidangan istimewa pada majlis rasmi,” kata bekas pekerja di Jabatan Pertanian Negeri itu.
Katanya, kutipan hasil untuk sehari mencecah 500 kilogram (kg), manakala jualannya pula sekitar 200kg sehingga 300kg.
Musa berkata, penanaman harumanis itu bermula 1985 sehingga kini, namun hasil tidak seberapa berbanding sekarang selepas pihak pertanian memberi tunjuk ajar cara penanaman dan penjagaan pokok sehingga mendapatkan hasil.
Kini, ladang Musa mempunyai lebih 100 harumanis yang ditanam di sekitar kawasan rumahnya seluas satu hektar dengan usaha sama keluarganya.
Had permit petrol
Bagaimanapun, bermula tahun 2013 lepas, dia menghadapi kesukaran dalam pengurusan tanamannya selepas jabatan pengguna menguatkuasakan permit kepada pekebun kecil dengan mengehadkan kadar pembelian petrol.
Musa berkata, dia hanya dibenarkan membeli petrol sebanyak 100 liter sebulan dan hal itu menyukarkannya yang kini memasang pagar elektrik di keliling ladang.
“Minyak itu banyak kegunaannya, bukan hanya terhad untuk kegunaan mesin racun saja tetapi turut digunakan untuk mengepam air dan kini saya memasang pagar elektrik dan menggunakan generator bagi menghasilkan tenaga,” katanya yang berharap jabatan pengguna meneliti semula pemberian permit itu.
Ujarnya lagi, pemasangan pagar elektrik pada Ogos tahun 2013 lepas itu bagi mengelak kecurian harumanis yang kian menjadi-jadi, malah kejadian itu pernah menimpa dirinya pada 2003 yang menyebabkannya kerugian sebanyak RM1,500.
Menjelaskan mengenai teknologi dan teknik yang digunakannya dalam penjagaan pokok harumanis, Musa berkata, dia mementingkan rawatan khas pokok supaya hasil yang diperoleh besar dan bermutu.
“Seperti manusia, kita memerlukan vitamin untuk membesar dan sihat. Oleh itu, saya memberi bahan yang mengandungi ‘vitamin’ dan ‘kalsium’ kepada pokok bagi menggalakkan penghasilan buah selain mengelak daripada gugur sebelum matang,” katanya.
Musa berkata, selepas pokok mengeluarkan buah, dia akan menyembur racun serangga bagi menghalang serangan penyakit seterusnya membalut untuk menjaga kualiti dan mutu harumanis.
Dua jenis harumanis
Bagi penjual harumanis, Azizah Muhamad, 32, rasa bangga sebagai anak Perlis jelas terasa apabila pengunjung dari luar sering memuji keenakan buah itu.
Tambahnya, keseronokan itu berganda apabila melihat pengunjung gembira dan leka memilih harumanis untuk dibawa pulang sebagai cenderahati, malah dia rasa bangga apabila menjelaskan mengenai perbezaan harumanis dengan buah mempelam yang lain.
Azizah berkata, kini harumanis boleh didapati dalam dua jenis iaitu harumanis emas dan biasa yang mana harumanis emas dibalut menggunakan kertas khas.
“Pengunjung sering bertanya cara mengenali harumanis dan perbezaan emas dan biasa,” katanya.
Pengalamannya yang lebih empat tahun dalam penjualan harumanis memudahkannya mengenali kualiti buah berkenaan sebelum dijual kepada pelancong.
“Mereka sering merungut ditipu dan ia boleh menjejaskan nama negeri dan produk itu yang kini menjadi tarikan utama pengunjung ke Perlis,” katanya yang kini menjual pulut dan jus harumanis di gerainya, Biyan selepas mendapat permintaan tinggi.
Katanya, permintaan harumanis tinggi pada musim cuti sehingga jualan mencecah 200kg sehari berbanding hari biasa iaitu 100kg saja.
Menurut Azizah, harga pasaran dilabel berdasarkan harga yang diperoleh daripada pembekal dan tidak mengikut gred yang ditetapkan.
“Pekebun jual dengan harga RM17 sekilo dan saya akan jual pada harga RM23, manakala bagi harga RM19 pula dijual dengan harga RM25 sekilo.
“Selalunya, harumanis berharga RM23 bersaiz kecil dengan kuantiti 3 biji sekilo. Bagi RM25 pula, kuantitinya sekitar sebiji ke dua biji sahaja,” katanya.
Permintaan luas
Sementara itu, Penolong Pegawai Pertanian, Bukit Bintang, Hasanuddin Awang berkata, harumanis bukan sahaja berjaya meningkatkan ekonomi penduduk malah turut memajukan industri pelancongan negeri.
Katanya, hasil daripada harumanis memberangsangkan sejak usaha pihaknya memberi kesedaran mengenai penanaman, penjagaan dan pemasaran produk itu kepada orang awam berkesan sehingga ia kini mendapat permintaan meluas daripada luar negara.
Bagi pihak pertanian, beberapa proses dilakukan sebelum memasarkan harumanis kepada orang ramai. Harumanis perlu melalui beberapa proses sebelum ia sedia dipasarkan iaitu bermula dengan proses membalut buah itu ketika bersaiz 16 sentimen (cm).
“Kita menggunakan alat sukat bersaiz 16 sentimeter, di sini (Bukit Bintang) putik harumanis dibalut menggunakan kertas putih yang ditanda dengan warna.
“Ia akan membezakan tarikh balutan bagi memudahkannya dikutip apabila cukup matang. Warna yang sama digunakan untuk balutan putik bagi tempoh lima hari,” katanya.
Kutip selepas lapan minggu
Menjelaskan mengenai proses itu, Hasanuddin berkata, selepas lapan minggu buah itu akan dikutip dan basuh dengan air bersih sebelum dirawat dalam air panas yang dicampur racun kulat.
Katanya, untuk rawatan itu, harumanis akan direndam dalam larutan bersuhu antara 48 sehingga 53 darjah Celsius selama lima minit bagi membunuh serangga perosak supaya buah tidak busuk semasa proses peram dilakukan.
“Ia bagi menjaga kualiti dan mutu buah itu ketika diperam selama 48 jam selepas proses pengeringan. Apabila cukup 48 jam, kita akan dedahkannya selama 8 jam pula sebelum gred buah itu mengikut saiz dan beratnya,” katanya.
Sumber: Sinar Harian [10 Mei 2014]
Harumanis Kaya Vitamin C dan E
SELAIN keenakannya, harumanis kaya dengan vitamin C dan E.
KETIKA angin segar membawa aroma harum di Perlis, ia sebenarnya membisikkan petanda bahawa musim harumanis telah bermula.
Seperti musim-musim menuai yang lalu, banyak 'pelancong mempelam harumanis' tiba di negeri paling utara ini sebaik musimnya bermula pertengahan April dan berakhir awal Jun.
Perlis adalah satu-satunya negeri pengeluar harumanis di negara ini dan ia bermusim hanya sekali dalam setahun.
Selepas berakhirnya musim tuaian, para penggemar harumanis terpaksa menunggu setahun lagi untuk menikmati keenakannya.
Antara lokasi utama tumpuan orang ramai setiap kali tiba musim harumanis ialah Bukit Bintang, Paya Kelubi dan Chuping.
Keistimewaan
Keistimewaan harumanis seperti aroma, keenakan dan kaya dengan antioksidan seperti vitamin C serta E membuat ramai orang teruja untuk menikmatinya.
Selain itu, ia juga dikatakan mempunyai serat yang membantu sistem pencernaan, larut dalam air, baik untuk mengawal paras kolestrol dan mencairkan kahak.
Sebenarnya, tidak ramai yang tahu atau bertanya mengenai khasiat harumanis kerana kebanyakan pembeli hanya ingin memburu keenakannya meskipun terpaksa berbaris untuk membeli.
Di restoran dan warung, para penggemar buah itu kadang-kadang terpaksa menunggu giliran yang lama bagi menikmati hidangan harumanis yang disajikan bersama pulut atau dibuat jus.
Ketika permintaan harumanis terus meningkat, masalah yang sedang dihadapi oleh pengeluar harumanis termasuk para pengusaha kebun persendirian ialah untuk memenuhi permintaan para penggemarnya.
Ini kerana, saban tahun permintaan terhadap harumanis begitu tinggi berbanding keupayaan pengeluarannya yang sekitar ratusan tan metrik setiap musim.
Dalam pada itu, harga yang ditawarkan oleh seorang peniaga bagi empat kilogram harumanis yang ditempah secara dalam talian untuk Semenanjung Malaysia ialah RM100 berdasarkan harga RM25 sekilogram.
Jika dicampur dengan kos penghantaran sebanyak RM38 menjadikan kos keseluruhan RM138 dan empat kilogram harumanis hanya sesuai untuk hidangan antara satu dan tiga orang.
PENGELUARAN yang terhad membuatkan para pengusaha berdepan masalah memenuhi permintaan para pengemarnya.
Harga RM25 sekilogram itu dijangka bertahan setakat 15 Mei 2014 sahaja dan selepas itu para peniaga menjangkakan harganya meningkat kepada antara RM30 dan RM35 berikutan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 dan cuti sekolah.
Tinjauan mendapati para penjual harumanis memanfaatkan laman sosial bagi memasarkan harumanis melalui kaedah tempahan dan mereka akan mengirim kepada pembeli apabila tiba waktunya.
Selain saiz kawasan penanaman yang masih kecil, faktor cuaca juga mempengaruhi pengeluaran harumanis kerana buah itu begitu sensitif kepada cuaca basah selain serangan serangga.
Kerajaan negeri meletakkan sasaran untuk membesarkan saiz kawasan tanaman harumanis kepada 1,000 hektar menjelang tahun 2015 bagi membesarkan saiz pengeluarannya kepada kira-kira 1,500 tan metrik semusim.
Sepanjang tahun
Antara langkah membesarkan kawasan penanaman ialah mewujudkan program desa harumanis di kawasan-kawasan terpilih.
Melalui program itu, setiap penduduk digalakkan menanam sekurang-kurangnya lima pokok mempelam harumanis di kawasan lapang termasuk di halaman rumah.
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) diberi tanggungjawab menjalankan penyelidikan berkenaan yang menghasilkan kejayaan apabila harumanis mengeluarkan hasil sepanjang tahun.
Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, harumanis yang ditanam di Institut Agroteknologi Lestari (INSAT) di Sungai Chuchuh berjaya menghasilkan pengeluaran harumanis sepanjang tahun.
Sehubungan itu, UniMAP telah menjalin kerjasama dengan syarikat JBP Asia Pasific Sdn. Bhd. bagi menjalankan projek perintis pengeluaran harumanis sepanjang tahun secara komersial.
Projek perintis itu dilaksanakan di kawasan seluas lebih 14 hektar di INSAT yang menjadi sebahagian daripada komponan Kampus UniMAP Sungai Chuchuh.
Usaha membesarkan saiz pengeluaran turut mendapat perhatian Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang melancarkan penanaman serentak 1,000 pokok harumanis di seluruh Perlis dua tahun lepas.
Sementara itu, Pengarah Pertanian Perlis, Zulkepli Amin Mat Jusoh menjangkakan pengeluaran harumanis musim ini mencapai lebih 1,000 tan metrik berikutan faktor kemarau panjang yang sesuai dengan tanaman itu.
Kemarau yang panjang membolehkan putik-putik mempelam dapat membesar dengan lebih sempurna. - Bernama
Sumber: Kosmo, Utusan
0 comments:
Catat Ulasan