14 Mei 2014
Warybee ~ Alat Keselamatan Peribadi
SUASANA hentian bas berdekatan Pusat Remaja Antarabangsa (IYC), Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur pada tengah hari itu kelihatan tenang. Nor Hazalinda Ismail, 25, menunggu teksi di hentian tersebut yang terletak kira-kira 300 meter dari rumahnya untuk ke stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Tun Razak.
Dia yang mesra disapa Linda ingin bertemu rakannya di pusat bandar raya Kuala Lumpur. Namun, dia tidak menyangka hari tersebut meninggalkan pengalaman pahit dalam hidupnya.
Teksi yang dinaiki melencong ke destinasi lain walhal lokasi yang ingin dituju hanya berjarak kira-kira dua kilometer dari tempat dia menunggu.
Tiba-tiba pemandu teksi warga asing itu memberhentikan teksinya di kawasan perumahan di Salak Selatan dan mengeluarkan pisau lalu menggertak Linda agar menyerahkan beg tangan miliknya. Kemudian, wanita tersebut ditinggalkan di bahu jalan sebelum teksi berkenaan memecut laju.
“Saya tidak percaya bahawa pemandu teksi itu merompak saya. Pada mulanya, saya ingatkan kejadian itu hanya gurauan, mujurlah saya tidak diapa-apakan,” ujarnya sewaktu mengimbau kembali kejadian yang berlaku pada Oktober 2013 lalu.
Pastinya peristiwa sama pernah dialami individu lain. Lantas kejadian seperti ini memberi idea kepada sebuah syarikat perisian tempatan, 1337 Ventures Sdn. Bhd. (1337 Ventures) untuk mencipta alat keselamatan peribadi yang berhubung terus kepada telefon pintar pengguna. Ia direka dengan saiz kecil menggunakan sejenis cip transponder atau Beacon dan mudah dibawa ke mana-mana sahaja.
Penjejak pintar
Ketua Pegawai Eksekutif 1337 Ventures, Bikesh L. berkata, Beacon adalah satu sistem yang menggunakan teknologi bluetooth bertenaga rendah (BLE) yang juga dikenali sebagai bluetooth pintar.
Ia merupakan sistem penjejak kedudukan dalam bangunan yang menggunakan tenaga minimum dan kos rendah yang boleh mengesan alat peranti yang berada berhampiran dengan pengguna. Ia turut terdapat pada telefon pintar iPhone dan Android.
ARSYAN menunjukkan aplikasi Baucar yang boleh dimuat turun pengguna bagi mengetahui tentang promosi terkini dan mengumpul mata ganjaran.
Tahun ini sahaja sudah terdapat 370 juta telefon pintar dijual di dunia yang menyokong sistem Beacon. Ini adalah landasan yang baik untuk mana-mana syarikat memanfaatkannya.
“Tidak lama lagi, Malaysia akan melancarkan alat keselamatan peribadi menggunakan sistem ini yang dipanggil Warybee. Sememangnya ada usaha dari Amerika Syarikat yang berhasrat untuk melakukan perkara yang sama, namun mereka masih belum melancarkannya.
“Ini menjadikan Malaysia bakal negara pertama di dunia yang memasarkan alat tersebut yang dijangka menemui pengguna pada Jun 2014 ini. Spesifikasi penuh produk Warybee akan dipamerkan di Singapura bulan Mei 2014 ini,” jelasnya ketika ditemui di Pusat SME Technopreneur, Cyberjaya.
Beacon menggunakan cip bersaiz mikro yang boleh direka menjadi aksesori kecantikan bersesuaian dengan cita rasa pengguna. Bagi peniaga pula, mereka boleh menetapkan jenis promosi yang hendak ditawarkan kepada pengguna berdasarkan lokasi di mana pengguna itu berdiri dalam premis mereka.
Katakan peniaga pakaian mempunyai beberapa seksyen baju dan seluar di dalam premis mereka, setiap pelanggan akan menerima notifikasi berbeza bergantung kepada lokasi masing-masing. Ia menarik pelanggan untuk meluangkan lebih banyak masa dalam satu-satu premis. Teknologi tersebut bakal membawa teknologi perniagaan di Malaysia ke satu tahap yang lebih maju.
Buat masa ini, 1337 Ventures Sdn. Bhd. sedang bekerjasama dengan beberapa pusat beli-belah negara ini untuk memasang sistem Beacon dalam bangunan termasuk kawasan tempat letak kereta.
Ia bakal memudahkan pengguna mencari kenderaan mereka kerana sistem tersebut boleh menunjukkan arah ke lokasi tempat letak kereta dari kedudukan mereka berdiri.
Sementara itu, pengasas bersama Warybee, Ray Teng berkata, alat tersebut boleh dipakai sebagai aksesori kecantikan seperti jam, gelang atau rantai bagi mengaburi mata penyerang yang berniat melakukan perkara yang tidak diingini.
Maklumat
“Pengguna hanya perlu menekan butang kecil yang ada pada alat ini dan serta-merta telefon pintarnya akan membunyikan penggera kecemasan. Pada masa sama, anggota keluarga dan kenalan akan menerima notifikasi yang memberitahu mangsa dalam situasi bahaya.
“Bukan itu sahaja, ia turut menghantar maklumat lokasi di mana mangsa berada. Kadang-kadang, mangsa terlalu panik sehingga tidak tahu apa yang perlu dilakukan atau bagaimana ingin memaklumkan lokasi mereka kepada kenalan terdekat,” jelasnya.
Alat tersebut yang turut dinamakan Warybee menggunakan teknologi rangkaian kawasan peribadi tanpa wayar di mana pengguna tidak perlu mengecas dengan kerap kerana ia mampu bertahan sehingga enam bulan.
Sekiranya telefon pintar anda dirampas, Warybee sentiasa menghantar isyarat kepada pengguna aplikasi tersebut yang berada berdekatan dengan anda supaya kedudukan anda boleh dijejaki. Selain itu, Warybee boleh digunakan sekiranya berlaku kecurian kereta atau kemalangan jalan raya.
Aplikasi tersebut dibangunkan berdasarkan komuniti sukarelawan di mana para pengguna dapat menghulurkan bantuan segera walaupun tidak mengenali. Rekaan lengkap Warybee akan dilancarkan pada Jun 2014 ini di seluruh negara.
Ia dipercayai bakal menjadi alat keselamatan peribadi pertama seumpamanya yang digunakan di dunia.
Sementara itu, pengasas WWW 1337 Tech Sdn. Bhd., Arsyan Ismail berkata, beliau turut menggunakan Beacon bagi membangunkan aplikasi Baucar yang membolehkan pemilik premis perniagaan melakukan pemasaran berdasarkan lokasi pelanggan, pembayaran tanpa sentuh, kupon daftar masuk, mengesan prestasi jualan dan mempromosikan mata ganjaran kepada pelanggan.
Promosi
Aplikasi tersebut yang sudah berada di Malaysia sejak enam bulan lalu berfungsi untuk menggabungkan iklan dan promosi perniagaan. Ia berdasarkan koordinat premis dan masa sebenar ketika seseorang pelanggan menggunakan aplikasi berkenaan.
PENGGUNA applikasi Baucar akan menerima notifikasi mata ganjaran apabila berada berhampiran premis yang mengambil bahagian.
Selain itu, ia mengesan lokasi pengguna dan memberitahu jenis-jenis promosi yang terdapat berhampiran mereka. Pada masa sama, pelanggan boleh mengubah lokasi premis yang ingin dituju bagi mengetahui tentang promosi menarik yang ditawarkan menerusi aplikasi Baucar.
“Sejenis alat diletakkan dalam premis yang mengambil bahagian dan setiap kali pelanggan melalui premis berkenaan, mereka akan menerima notifikasi tentang promosi terkini dan mata ganjaran. Ini dapat menarik lebih ramai pelanggan ke premis tersebut.
“Pemilik perniagaan pun gembira kerana pelanggan semakin ramai ke premis mereka dan boleh menganalisis corak kegemaran pelanggan terhadap satu-satu promosi,” jelas Arsyan.
Setakat ini, lebih 2,000 peniaga sudah menyertai Baucar dan WWW 1337 Tech Sdn. Bhd. menyasarkan separuh daripada jumlah peniaga di Cyberjaya akan turut menyertai program tersebut menjelang Jun ini. Ia akan diperluaskan lagi ke seluruh negara.
Aplikasi tersebut turut memiliki pangkalan data bagi setiap koordinat premis dan setiap tetapan boleh dilakukan mengikut kehendak peniaga. Setiap peniaga akan dikenakan caj RM1 bagi setiap pelanggan yang berjaya ditarik ke premis mereka, bagaimanapun pelanggan tidak dikenakan bayaran untuk memuat turun aplikasi Baucar ke gajet masing-masing.
Sistem Beacon ini disifatkan lebih mesra pengguna berbanding kaedah imbasan kod respon pantas yang diperkenalkan sebelum ini. Jelas Arsyan, tidak semua telefon pintar dibina dengan kaedah imbasan tersebut yang kadangkala menyulitkan pengguna untuk mengutip mata ganjaran atau promosi daripada premis kegemaran mereka.
Jeda masa yang dikemaskini oleh aplikasi Baucar pula sudah ditetapkan kepada empat minit bagi setiap notifikasi supaya pengguna tidak terganggu dengan kekerapan notifikasi yang diterima. Setiap data yang diterima dihubungkan terus kepada akaun Facebook pengguna bagi mendapatkan maklumat demografik mereka.
Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI
Sumber: Kosmo
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan