TEMA: GURU PENCETUS KREATIVITI PENJANA INOVASI
ISLAM sangat memandang tinggi kedudukan guru sebagai penyampai ilmu dan pembentuk modal insan yang seimbang. Guru yang baik adalah guru yang paling banyak belajar daripada muridnya. Belajar di sini bermaksud memahami apa juga kehendak dan kemahuan murid.
Sebagai guru, jangan sesekali mendenda murid dengan dendaan yang melampau yang boleh menjejaskan imej guru di mata masyarakat. Guru juga perlu memiliki ciri-ciri pemimpin, pendidik dan pengajar yang baik dengan akhlak, sahsiah dan budi pekerti yang terpuji.
Nabi Muhammad SAW berpesan: Tidak ada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan (pada hari kiamat) daripada akhlak yang baik. (riwayat Abu Daud).
Kerjaya sebagai guru adalah sangat mulia iaitu membentuk modal insan dan kerjayanya sebagai ibadah. Al-Ghazali berpendapat bahawa proses pendidikan oleh guru digunakan untuk melatih manusia membuat persiapan bagi kehidupan dunia dan akhirat.
Menurut Mohammad Qatb, guru memainkan peranan penting dalam proses pendidikan untuk membentuk manusia secara menyeluruh dan seimbang. Tujuan utama pendidikan adalah mengembangkan potensi intelek, fizikal, emosi dan rohani manusia ke tahap kesempurnaan.
Etika keguruan
Justeru, sebagai guru yang terlatih mestilah memahami kod etika keguruan dan tidak mencampurkan emosi dengan akal yang waras. Guru sebagai pembentuk modal insan sepatutnya menunjukkan contoh teladan yang baik kepada murid.
Denda yang berhemah dan berhikmah adalah lebih baik bagi menyedarkan murid akan masa depan mereka.
Di Malaysia, Tatasusila Profesion Keguruan yang disarankan oleh Kementerian Pendidikan sangat jelas, merupakan landasan dan garis panduan untuk setiap guru menjaga imej profesionnya yang tersedia di Buku Rekod Mengajar Guru.
Jika diteliti ikrar guru amat jelas antaranya: Kami, guru-guru Malaysia, yakin bahawa tujuan utama pendidikan adalah berusaha menuju ke arah pembentukan warganegara yang berilmu, taat setia, bertanggungjawab dan berkebolehan, menyedari betapa pentingnya usaha menuju ke arah kebenaran dan ke arah pencapaian hasrat yang gemilang, dan yang percaya kepada demokrasi, kebebasan perseorangan dan prinsip-prinsip Rukun Negara."
Melalui pendidikan, guru berperanan membantu murid atau golongan muda memahami kebudayaan mereka, membentuk modal insan, memahami apa yang baik dan buruk, memperoleh pengetahuan yang telah terkumpul sejak zaman-berzaman dan menyediakan mereka untuk menghadapi cabaran pada masa hadapan.
Didik bersyariat
Imam As-Syafie memberi wasiat: Tuntutlah ilmu dan ajarkan ilmu sebanyak mungkin kerana ia akan menjagamu dan membantumu cemerlang di dunia dan di akhirat, di samping ia menjadi amalan para nabi, rasul dan orang-orang soleh."
Dalam hal mendidik anak, Imam Muslim pernah berwasiat: Anak adalah amanah supaya kita menjaga dan mendidiknya sesuai dengan syariat. Kesalahan mendidik anak boleh menyebabkan seseorang itu masuk neraka. Oleh itu, didiklah anak dengan cara Islam."
Dr. Mohd. Athiyah al-Abrasyi menjelaskan, guru dan ibu bapa berperanan mendidik anak murid dan anak-anak dengan baik sebagai pembinaan tingkah laku manusia yang berakhlak tinggi dan mulia di bawah teras ajaran agama Islam.
Kesimpulannya, guru dan ibu bapa berperanan mendidik anak-anak di sekolah dan di rumah bagi mengembangkan potensi mereka dengan seimbang bagi kehidupan di dunia dan di akhirat.
Oleh DR. AMINUDIN MANSOR
Bekas pendidik berkelulusan Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu, UKM.
Sumber: Utusan
Kejayaan murid kebahagiaan guru
GURU PENCETUS KREATIVITI PENJANA INOVASI
KISAH sumbangan dan pengorbanan guru bukanlah baharu. Malah setiap kita ada cerita tersendiri. Ada guru yang diingati dan ada guru yang kita cuba jauhkan diri kerana pelbagai sebab antaranya segan, malu dan mungkin ada kenangan yang kekal dalam ingatan.
Guru-guru berupaya mencetuskan satu sudut pandang hidup yang dipegang dan kekal dalam kehidupan kita dengan cara tersendiri. Pada suatu ketika dahulu sudut pandang tersebut dan kejayaan pelajar bukan atas nama inovasi dan kreativiti, tetapi atas nama keikhlasan dan kasih sayang yang ditunjukkan melalui tindakan dan cara yang berbeza dalam membentuk pemikiran baharu.
Lihat sahaja guru-guru bersara yang berada di sekeliling kita, yang dengan bangga bercerita tentang kejayaan pelajarnya. Kejayaan pelajar adalah kepuasan luar biasa bagi diri mereka.
"Kebanyakan kami guru lama berkhidmat dengan penuh dedikasi dan melihat tugas guru sebagai amanah besar yang walaupun gaji tidak seberapa pada tahun 60-an dan 70-an, tetapi puas apabila melihat murid-murid mencapai kejayaan, malah sebahagiannya rasa malu untuk berdepan jika masih melakukan perkara-perkara yang tidak disenangi guru seperti merokok," cerita Allahyarham Datuk Abdul Razak Abdul Hamid salah seorang yang terselamat dalam Tragedi Hiroshima.
Hari ini, zaman telah jauh berubah. Peranan guru-guru bukan sahaja mengajar malah juga sebagai fasilitator dan pembimbing sekali gus rakan luar biasa kepada pelajar, di sekolah rendah mahupun menengah.
Tepat sekali apabila tema Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi digunakan untuk sambutan Hari Guru 2014 yang sewajarnya dikekalkan untuk beberapa tahun ini.
Guru bukan sahaja membuka ruang fikir dan perubahan set minda anak-anak hari ini, malah perlu mencetuskan kaedah, pengalaman dan inovasi baharu dalam mendidik dan membawa mereka ke mercu kejayaan. Sekali gus perlu berusaha bersama-sama menggerakkan kreativiti untuk membuka pemikiran baharu yang lebih bebas selaras dengan perkembangan teknologi dan lebuh raya maklumat masa kini.
Guru bukan lagi meluahkan apa yang ada dalam buku teks atau semata-mata melihat kepada kurikulum untuk dihabiskan tetapi seharusnya berupaya menggerakkan pemikiran-pemikiran yang dapat membolehkan anak-anak muda kita bermain dengan inovasi dan kreativiti ke arah menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih menyeronokkan.
Mereka perlu mampu menarik para pelajar ke sekolah dan melihat sekolah sebagai syurga untuk bereksperimen dengan pemikiran dalam sains dan teknologi mahupun sastera dan budaya yang sepatutnya berjalan seiring.
Setiap kita terhutang budi kepada guru dan menghargai apa yang telah dilakukan mereka untuk menjayakan proses pendidikan negara. Walaupun terdapat dalam kalangan guru yang merungut tentang bebanan tugas yang dipikul, namun jika mereka cintakan profesion dan kejayaan anak bangsa, maka tekanan itu mampu bertukar menjadi keseronokan.
Malah tentunya lebih bahagia jika bekas pelajar dan murid dapat sesekali kembali bersalaman dan memberikan penghargaan kepada guru dan sekolah di mana kita bermula.
Jika setiap kita dapat menghantar satu kad ucapan penghargaan berserta sebuah buku untuk perpustakaan sekolah saban tahun pada sambutan Hari Guru, tentunya sekolah-sekolah kita akan meriah dengan buku-buku untuk kegunaan anak-anak yang ada sekarang ini di samping membahagiakan hati seorang guru. Lalu akan hilanglah penat-lelah dan tekanan yang dihadapi selama ini.
Oleh Mohamad Abdullah
Timbalan Pendaftar Kanan, Pejabat Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM).
Sumber: Utusan
1 comments:
yaa.. betol, guru haruslah memiliki ciri pemimpin dan pendidik yang baik ..
^_^ datang follow sini :)
Catat Ulasan