08 Mei 2014

Perbetul Sikap Untuk Tangani Krisis Air



Jabatan Meteorologi sudah mengingatkan pengguna bahawa cuaca kering (Fenomena El-Nino) dijangka bermula semula pada pertengahan Mei 2014 untuk tempoh kira-kira lima bulan akan datang berikutan musim monsun barat daya.

Setakat artikel ini ditulis, tujuh empangan yang menjadi nadi penyalur bekalan air mentah di Selangor dilaporkan masih di bawah paras normal di sebalik usaha pembenihan awam dan hujan.

Empangan-empangan berkenaan ialah Batu, Klang Gate, Langat, Semenyih, Sungai Selangor, Sungai Tinggi dan Tasik Subang.


MUDAH LUPA

Kalau hendak diikutkan, cuaca panas dan kemarau bukan perkara baru di Malaysia. Fenomena alam ini adalah sebahagian daripada iklim negara kita yang terletak di garisan Khatulistiwa dengan cuaca panas dan lembab sepanjang tahun.

Begitu juga dengan gangguan atau catuan bekalan air berulang kali memandangkan negara ini pernah dilanda krisis air melampau khususnya sekitar tahun 1997-1998. Cuma sikap kebanyakan rakyat negara ini yang bukan sahaja mudah lupa tetapi juga pembazir.

"Kita tidak belajar daripada krisis lampau. Masyarakat Malaysia pelupa, atau mudah melupakan pengalaman buruk yang pernah menimpa mereka," ini pandangan Prof Dr Chan Ngai Weng, Presiden, Persatuan Pengamatan Air Pulau Pinang apabila ditanya mengenai isu krisis dan catuan air.

Menurut beliau, sikap membazir air rakyat Malaysia boleh dilihat dari segi penggunaan iaitu kira-kira 212 liter seorang sehari (LPD) berbanding piawaian antarabangsa, kira-kira 165 LPD.

Penggunaan air rakyat Singapura sekitar 150 LPD sementara di India dan Afrika, masing-masing 100 LPD dan 50 LPD.

"Kita ini masyarakat pembazir air. Kita perlu beransur-ansur menukar imej ini kepada masyarakat penjimat air," kata Chan yang juga Profesor di Jabatan Ilmu Alam, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Masyarakat di negara ini tidak mengambil berat tentang air sebagaimana mereka memberi perhatian kepada wang pendapatan, pendidikan dan kesihatan.

"Kita fikir alam sekitar termasuk air adalah tanggungjawab kerajaan, bukan tanggungjawab kita, justeru, kita buat tak endah soal pemuliharaan air," tambahnya.

Dengan jumlah hujan yang banyak setahun, memang pelik apabila Malaysia terpaksa berdepan dengan krisis bekalan air sehingga memaksa perlaksanaan catuan bekalan.

"Kelemahan pengurusan air, itu yang saya boleh katakan. Tak ada alasan untuk negara kita yang mempunyai 3,000mm hujan setahun terpaksa berdepan dengan catuan air.

"Dari sudut semula jadi, kita ada banyak hujan, sumber air dan sungai tetapi kita tidak ada model dan sistem pengurusan air yang betul," tegas Chan.

EMPAT KATEGORI

S.Piarapakaran, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) pula membahagikan isu pembaziran air ini kepada empat kategori iaitu pengurusan sumber air, kehilangan air terawat, penggunaan air terawat dan penggunaan semula air sisa.

Menjelaskan kegagalan mengurus sumber air, menurut Piarapakaran, Malaysia mempunyai jumlah air permukaan yang lebih daripada apa yang diperlukan.

"Air permukaan ialah air yang mengalir atau statik di atas permukaan bumi seperti sungai dan tasik.

"Pencemaran dan kegagalan untuk melindungi sumber air serta kawasan tadahan menjadi punca asas kepada krisis air yang berlaku," jelasnya.

Dalam hal ini, tanggungjawab mentadbir urus sumber air terletak kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan kerajaan negeri dan pihak berkenaan perlu memainkan peranan masing-masing.

AIR TERAWAT

Menjelaskan kehilangan air terawat, beliau yang juga seorang aktivis alam sekitar berkata, ia melibatkan air tidak terhasil atau non-revenue water (NRW).

Memetik perangkaan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), NRW kebangsaan pada 2012 adalah sekitar 36.4 peratus.

Piarapakaran berkata, ianya bererti hanya 63.6 peratus air terawat sampai kepada pengguna dan memberi pulangan kewangan kepada syarikat air.

"Jika kita dapat kurangkan nilai NRW, walaupun hanya satu pertiga daripada kadar sekarang dalam tempoh lima tahun akan datang, ini boleh meningkatkan tambahan 12.1 peratus kapasiti pembekalan air kepada pengguna tanpa perlu membina loji perawatan air yang baru," tambahnya.

PENGGUNAAN AIR TERAWAT

Piarapakaran menyarankan usaha dibuat untuk penggunaan air terawat yang lebih cekap. Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), katanya, mengambil inisiatif melancarkan peranti (device)"Tangkap si Hydro" (Catch d'Hydro) di www.water.org.my.

Ia untuk membantu pengguna domestik menjadi lebih cekap air di samping cadangan melabel peralatan.

Jelasnya, sebagai permulaan, pelabelan kecekapan air secara sukarela disarankan untuk mesin basuh, mesin pencuci pinggan-mangkuk, penyiram mandi, kepala paip dan penyiram tandas. Pelabelan ini akan membantu pengguna memastikan peralatan yang dibeli adalah cekap dalam penggunaan air.

Contohnya, terdapat kepala paip di pasaran yang boleh mengurangkan penggunaan air hampir 50 peratus.

"Ini membantu pengguna menjadi lebih cekap air," tambahnya.

AWER menyarankan pelabelan itu dijadikan mandatori dalam masa dua tahun dengan pelaksanaan Piawaian Minimum Kecekapan Air seperti yang dicadangkan oleh pihak AWER.

KITAR SEMULA

Kitar semula lazimnya dikaitkan dengan barangan kertas, kaca atau plastik tetapi air?

Bagi Piarapakaran, air sisa juga boleh dikitar semula memandangkan bukan semua aktiviti industri memerlukan air terawat dengan kualiti air minuman.

Beliau memberi contoh, air sisa kumbahan yang dirawat boleh digunakan untuk tujuan penyejukan mesin, proses yang tidak melibatkan penyediaan makanan, menyiram taman dan tumbuhan di bawah penjagaan kerajaan tempatan.

"Paip khusus boleh disambung ke kawasan yang mempunyai permintaan tinggi. Lori tangki untuk menyiram tumbuhan di bawah penjagaan kerajaan tempatan dapat juga mengambil air di kitar semula dari loji kumbahan dengan mudah.

"Perkara ini juga tertakluk di bawah bidang kuasa SPAN. Dalam situasi sekarang di Lembah Klang, air sisa kumbahan boleh diolah untuk menjadi sumber air terawat bagi kegunaan industri dengan kadar segera," katanya.

Oleh Melati Mohd Ariff
Sumber: BERNAMA

0 comments: