13 Mei 2014
Kepentingan Memelihara Air Bawah Tanah
Apabila krisis air melanda Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya baru-baru ini, ada pihak yang mencadangkan supaya kerajaan mengguna pakai air bawah tanah (atau groundwater).
Dianggarkan jumlah air bawah tanah negara sekitar 5,000 bilion meter padu dan peratus jumlah yang digunakan setakat ini dikatakan masih kecil.
Bagaimanapun, bagi aktivis alam sekitar khususnya, air bawah tanah bukan alternatif terbaik untuk menangani krisis air.
Presiden, Persatuan Pengamatan Air Pulau Pinang, Prof Dr Chan Ngai Weng memberitahu, meskipun jika Malaysia mempunyai sumber air bawah tanah yang mencukupi, ia lebih elok disimpan untuk keperluan masa hadapan.
"Apa yang lebih penting, kita perlu mengambil tindakan yang tepat dalam melindungi serta memulihkan sungai yang membekalkan 97 peratus keperluan air kita. Lagipun lebih murah untuk mengekstrak air dari permukaan berbanding air bawah tanah," jelasnya.
Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) S.Piarapakaran, juga memberi pandangan yang senada dengan menyatakan sebenarnya tiada kekurangan sumber air di Malaysia tetapi hanya ketidakupayaan menguruskan sumber air.
"Ini sebenarnya punca masalah krisis air di negara ini," tegas Piarapakaran.
AIR BAWAH TANAH
Memang benar banyak negara bergantung kepada air bawah tanah tetapi ini kerana ia adalah satu-satunya pilihan untuk menyelesaikan kekurangan air di negara mereka.
Menurut Piarapakaran, kebanyakan negara berkenaan, bagaimanapun mempunyai sistem glasier yang mengisi air bawah tanah dengan berkesan. Paras air bawah tanah diisi semula menerusi proses aliran masuk.
Ini bermakna, kehilangan air bawah tanah diisi semula melalui air dari luar.
"Di Malaysia, aliran masuk secara langsung adalah melalui hujan. Dengan penebangan dan penggondolan hutan dara yang teruk, keupayaan untuk mengisi semula berkurangan secara mendadak," jelas beliau.
IMPAK NEGATIF
Piarapakaran, yang berkongsi beberapa impak negatif penggunaan air bawah tanah, merujuk kepada Jakarta dan Bangkok yang mengguna banyak air bawah tanah.
"Tanah tenggelam adalah mimpi ngeri untuk kedua-dua bandar besar itu," katanya.
Kebimbangan ini turut disuarakan Prof Chan yang memberitahu kegiatan mengekstrak air bawah tanah yang berleluasa boleh membahayakan bangunan serta struktur lain.
Piarapakaran yang juga seorang jurutera alam sekitar menegaskan bahawa mengekstrak air bawah tanah boleh menyebabkan pergerakan beberapa bahan kimia yang tinggal dorman di dalam air itu dan boleh menyebabkan pencemaran.
"Terdapat banyak kes seperti ini di seluruh dunia. Kita tidak boleh mengambil risiko ini kerana kita mungkin terlewat untuk menghalangnya daripada berlaku," kata Piarapakaran.
Satu lagi masalah yang dikaitkan dengan air bawah tanah ialah penurunan paras air. Jika keadaan itu berlaku, mereka yang terlibat akan terpaksa menggali lebih dalam untuk mendapatkan bekalan air.
"Memandangkan isian semula air bawah tanah berkait langsung dengan hujan dan jumlah litupan hutan di Malaysia, projek berskala besar akan hanya memberi kesan alam sekitar yang teruk pada jangka masa panjang," katanya.
Piarapakaran turut menekankan paras air bawah tanah yang rendah pada musim panas akan memburukkan masalah jerebu dan kebakaran tanah gambut.
Ini, katanya, kerana kegiatan mengekstrak air bawah tanah di kawasan isian semula di hutan simpan akan meningkatkan risiko kebakaran hutan pada musim kering.
JAGA HUTAN
Piarapakaran turut mengaitkan krisis bekalan air dengan kesejahteraan alam sekitar termasuk ekosistem hutan.
Beliau mengambil contoh Bukit Larut di Taiping, Perak. Taiping adalah antara bandar paling banyak menerima hujan di Malaysia tetapi baru-baru ini turut dikenakan catuan air.
"Memang agak janggal keadaan ini. Ramai orang beranggapan memadai hanya menjaga kawasan tadahan air. Di dalam hutan semula jadi yang tidak terganggu, hutan itu sendiri mengawal iklim tempatan sehingga 90 peratus," katanya.
Bagaimanapun, apabila hutan digondolkan untuk memberi laluan kepada pembangunan, pembalakan dan aktiviti lain, fungsi itu akan berkurangan dengan drastik.
"Kawasan tadahan air di Bukit Larut adalah seluas 2,153 hektar. Sebanyak 7,130 hektar diklasifikasikan sebagai hutan simpan pada tahun 1910.
"Pada tahun 1962, seluas 2,747 hektar diwartakan sebagai Hutan Simpan Dara Bukit Larut," Piarapakaran memetik beberapa data yang diperoleh daripada Lembaga Air Perak (LAP).
Menurut beliau, sesetengah kawasan Bukit Larut yang diwartakan dibangunkan untuk tujuan pelancongan. Di samping itu, terdapat sebuah kilang memproses air mineral di sebelah Empangan Air Kuning.
"Dalam beberapa tahun yang lepas, banyak kawasan di sekitar Bukit Larut dibangunkan dan kesannya dapat dilihat sekarang seperti perubahan aliran air yang menyebabkan tanah runtuh dan hakisan.
"Ini adalah antara sebab mengapa kawasan hutan dara yang digunakan sebagai kawasan tadahan air serta kawasan sekitarnya tidak boleh diusik.
"Aktiviti pembangunan kecil-kecilan pun boleh mengganggu gugat aliran air semula jadi dan merosakkan struktur dan fungsi asal kawasan tadahan air," jelas Piarapakaran.
FUNGSI EMPANGAN
Krisis air yang berlaku baru-baru ini sudah tentunya juga membuka mata masyarakat betapa pentingnya fungsi empangan yang dibina khusus untuk menyimpan air bagi memenuhi permintaan air semasa musim kering.
Menurut Piarapakaran, sudah sampai masanya untuk satu kajian menyeluruh dibuat ke atas empangan yang ada.
Antara yang perlu dikaji kesesuaian fungsi empangan sebagai bekalan air mentah, menambah kapasiti empangan air mentah yang sedia ada, mengeluarkan mendapan dan penyelenggaraan empangan bagi memastikan kapasiti reka bentuk tidak terjejas.
Presiden AWER ini juga berkata kajian berkenaan perlu mengambil kira keperluan meningkatkan jaminan air mentah di Malaysia.
Turut perlu dikaji ialah pembinaan empangan baru dengan kapasiti rizab tambahan secara berperingkat daripada 50 peratus kepada 100 peratus supaya fungsi empangan adalah untuk jangka masa panjang.
PENTING REKA BENTUK
Mengambil contoh Empangan Sungai Selangor, Piarapakaran memberitahu ia membekalkan hampir 60 peratus air mentah untuk dirawat dan menghasilkan air minuman. Empangan ini siap dibina selepas negara dilanda fenomena El Nino sekitar tahun 1997-1998.
"Mengapa paras air empangan itu begitu cepat mencapai tahap kritikal? Adakah empangan ini direkabentuk untuk berfungsi dengan betul?
"Bagi empangan yang memberi risiko tinggi kepada bekalan air di Lembah Klang, paras amaran awal juga sepatutnya lebih tinggi. Ini untuk memastikan pembenihan awan dapat dilakukan lebih awal," katanya.
Beliau berpendapat tahap amaran awal patut ditetapkan pada nilai 70 peratus dan jika paras kurang daripada nilai ini, pembenihan awan di kawasan tadahan air patut dimulakan dengan segera.
"Tahap amaran awal Empangan Sungai Selangor patut dikekalkan pada nilai yang lebih tinggi sehingga Loji Langat 2 siap dibina dan beroperasi untuk memastikan jaminan bekalan air terawat.
"Ini boleh memberi ruang yang mencukupi untuk kerajaan negeri memastikan bekalan air mentah mencukupi disamping dapat mengelakkan situasi kelam-kabut akibat krisis air," katanya.
Oleh Melati Mohd Ariff
Sumber: BERNAMA
Labels:
Maklumat Umum,
Semasa
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan