21 Jun 2014

Terapi Gantian Metadon



PELAKSANAAN rawatan terapi gantian metadon mula diperkenalkan di negara ini oleh Kementerian Kesihatan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang relevan seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pada tahun 2005.

Ia dilaksanakan di bawah program Pengurangan Kemudaratan (Harm Reduction) untuk mengawal penularan dan mengurangkan impak negatif jangkitan HIV dalam kalangan penagih dadah.

Presiden Majlis AIDS Malaysia (MAM), Datuk Dr. Raj Karim berkata, pihaknya menyokong penuh pelaksanaan rawatan tersebut yang memberi manfaat buat golongan pengguna dadah.


"Kami mengalu-alukan usaha seperti ini yang keberkesanannya telah terbukti secara saintifik bukan sahaja dalam merawat masalah ketagihan, malah memulihkan kesihatan, meningkatkan kualiti hidup dan membolehkan pengguna dadah menjalani kehidupan yang produktif," ujar beliau mengulas mengenai rawatan terapi metadon.

Menurut Raj, metadon ialah sejenis dadah yang diguna pakai sebagai gantian dalam rawatan ketagihan dadah jenis heroin atau opiad.

Mengawal ketagihan

Justeru, sekiranya diambil dengan dos yang bersesuaian di bawah pemantauan pakar perubatan secara konsisten, metadon tidak mendatangkan kemudaratan kepada penagih, sebaliknya dapat membantu mereka mengawal ketagihan terhadap heroin dan dadah jenis opiad yang lebih berbahaya.

"Metadon hanya mengundang kesan negatif jika dicampur dadah lain atau diambil secara berlebihan (overdose).

"Namun, jika pengguna dadah diberikan sokongan dan akses yang sempurna kepada perkhidmatan kesihatan dan pengurangan kemudaratan, kesan sampingan ini dapat dielakkan sama sekali," ujar beliau.

Dalam pada itu, apabila diajukan soalan mengenai pandangan segelintir pihak yang mengatakan rawatan terapi gantian metadon tidak elok untuk penagih, Raj mempunyai pandangan tersendiri mewakili MAM.

"MAM menilai perkara ini daripada sudut kemanusiaan dan berdasarkan bukti saintifik. Ketagihan merupakan krisis kesihatan yang boleh dan sewajarnya dirawat dengan kaedah perubatan yang menghormati hak-hak asasi manusia.

"Menurut satu kajian terbaharu yang menyelidik mengenai keberkesanan pelaksanaan program terapi gantian metadon di pusat-pusat Cure & Care 1Malaysia AADK, lebih 72 peratus daripada 28,663 pengguna dadah yang menerima rawatan metadon tidak lagi ditahan dalam penjara.

"Malah, mereka berjaya mendapatkan tempat tinggal yang kekal dan memulihkan hubungan kekeluargaan yang sebelum ini terjejas," jelasnya.

Selain itu, satu kajian yang lain pula menganggarkan bahawa lebih 12,653 jangkitan HIV telah berjaya dielakkan menerusi program Pengurangan Kemudaratan (Program Pertukaran Jarum Suntikan dan Terapi Gantian Metadon) ini sejak tahun 2006.

Kesan positif

"Jelas sekali, dalam tempoh yang singkat sejak permulaan pelaksanaan program, metadon telah banyak mendatangkan kesan yang positif dalam kehidupan pengguna dadah, bukan sahaja daripada sudut kesihatan malah kebajikan mereka juga turut terbela.

"Lantaran itu, kami menyarankan agar program terapi gantian metadon ini diteruskan dan diluaskan lagi sejajar dengan matlamat Pelan Strategik HIV dan AIDS Kebangsaan 2011-2015 untuk mengurangkan kadar jangkitan baharu HIV kepada 11 bagi setiap 100,000 penduduk menjelang tahun 2015," ungkap Raj yang turut memuji usaha yang dilakukan Pusat Kajian Sains Penagihan Universiti Malaya melalui program Spiritual Enhancement on Drug Addiction Rehabilation (Sedar).

Tambah beliau, statistik survelan HIV terbaharu yang diterima MAM daripada sumber Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan adalah sehingga akhir tahun 2012.

Bagi tempoh tersebut, sebanyak 66,046 atau 47 peratus daripada 98,279 kes HIV disebabkan perkongsian jarum dan alat suntikan.

Tidak ketinggalan, menurut satu kajian berbeza yang dijalankan oleh pihak Kementerian Kesihatan juga pada tahun 2012, hampir 19 peratus daripada pengguna dadah di Malaysia telah dijangkiti HIV.

Oleh: KHADIJAH MOHAMAD NOR
Sumber: Kosmo


PROGRAM Pertukaran Jarum Suntikan dan Terapi Gantian Metadon yang dilaksanakan sejak tahun 2006 membawa kesan positif kepada golongan penagih.

Penagih Optimis Mengubah Diri

MEMBAWA gelaran penagih dadah bukanlah satu impian manusia yang waras fikirannya. Malah, penagih itu sendiri pasti menyesal kerana terlalu mengikut hawa nafsu hingga terjebak dalam kancah penagihan.

Lebih teruk, golongan ini dipandang hina oleh masyarakat dan tidak kurang dibuang keluarga.

"Saya tidak mahu selama-lamanya digelar penagih dadah. Sekurang-kurangnya, biarlah saya dipanggil bekas penagih," jujur harapan yang diluahkan Mohd. Shahbani Mat Din pemuda kelahiran Changlun, Kedah.

Walaupun sudah hampir 18 tahun menagih, Mohd. Shahbani bernasib baik kerana tidak dijangkiti Virus Kurang Daya Tahan Penyakit Manusia (HIV) atau Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS) yang selalu menyerang golongan berkenaan.

Kini, dia nekad berubah dengan mengikuti program Spiritual Enhancement on Drug Addiction (Sedar) anjuran Pusat Kajian Sains Penagihan Universiti Malaya (UMCAS).

Melalui program itu, Mohd. Shahbani yang pernah bertugas sebagai anggota tentera selama empat tahun sebelum diberhentikan atas masalah disiplin, menerima rawatan terapi gantian metadon bagi mengurangkan kecenderungan untuk menagih dadah jenis heroin.

Solat

Selain itu, dia turut diberi kaunseling, psikologi dan bimbingan agama termasuk diajar bersolat untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Selepas hampir lima bulan mengikuti program Sedar tersebut, Mohd. Shahbani mengakui, rutin hidupnya semakin teratur.

"Sebelum mengikuti rawatan ini, saya pernah membeli metadon di klinik luar untuk menghilangkan ketagihan dadah. Namun, disebabkan masalah kewangan, saya tidak mampu meneruskannya sehinggalah saya diberitahu oleh rakan-rakan tentang program ini.


SEBELUM memulakan rawatan, para pesakit akan diminta menunaikan solat sunat Duha sebanyak dua rakaat.

"Selepas mendaftar Oktober tahun 2013 lalu, saya mampu menjalani kehidupan seperti manusia normal lain. Buat masa ini, saya diberi dos metadon sebanyak 120 mililiter (ml) yang perlu diambil setiap hari.

"Di bawah program Sedar, saya akan dibekalkan dos metadon untuk tempoh seminggu selain mengikuti sesi kaunseling dan kelas agama," ujar Mohd. Shahbani yang mengakui kehidupnya semakin tenang.

Walaupun sudah terlambat untuk menyesali nasib diri, tetapi dia berharap Allah menerima taubatnya dan mengampuni dosa-dosanya yang lalu.

Dikendalikan oleh Pakar Psikiatri Komuniti Perubatan Universiti Malaya, Dr. Rusdi Abd. Rashid, program Sedar itu turut mendapat tajaan Bank Rakyat selain tabung geran yang diperuntukkan.

Menurut Rusdi, Sedar mula dilaksanakan di Masjid Ar-Rahman, UM pada tahun 2010. Ketika itu, terdapat kira-kira 100 pesakit. Bagaimanapun, ia terpaksa dihentikan kerana kekurangan dana sebelum dihidupkan semula pada September 2013. Namun, lokasinya dipindahkan ke Surau Ad-Deeniah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

"Uniknya, konsep rawatan yang diguna pakai ialah gabungan perubatan integrasi melalui metadon dan penambahan elemen spiritual psiko berbanding hanya memberi terapi metadon di klinik-klinik kerajaan.

Berganding bahu

"Program ini melibatkan komuniti masjid dan surau untuk sama-sama berganding bahu bagi membantu golongan penagih. Ini merupakan projek perintis dan kami menyasarkan penglibatan satu pertiga daripada kira-kira 6,000 buah masjid di Malaysia," terang Rusdi ketika ditemui Kosmo! di Surau Ad-Deeniah, PPUM, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Melalui program ini, penagih yang dirawat berupaya menjalani rutin harian dan bergaul dengan masyarakat serta kariah masjid.

Rawatan terapi gantian metadon mula diperkenalkan pada tahun 2005 oleh Kementerian Kesihatan. Metadon merupakan dadah sintetik yang berfungsi menghilangkan ketagihan heroin yang dialami penagih.

Berbanding heroin yang diambil dengan cara suntikan, metadon pula hanya perlu diminum oleh penagih. Bagi 100ml hingga 130ml dos metadon yang diambil, ia mampu bertahan sehingga 36 jam.

"Penagihan merupakan satu penyakit kronik dan ia perlu dirawat. Fenomena relapse atau pengambilan semula sukar untuk dielakkan dalam kalangan penagih.

"Jika dahulu, penagih akan mengambil heroin lima hingga enam kali sehari, tetapi menerusi rawatan terapi gantian metadon, mereka sekurang-kurangnya mengambil heroin sekali sebulan.

"Justeru, metadon berfungsi sebagai ubat untuk mencegah komplikasi bukan menyembuh. Ia mampu mengurangkan kemudaratan dan membolehkan penagih berfungsi kepada masyarakat," ujar Rusdi sambil menegaskan program Sedar bertujuan untuk mengatasi masalah kekurangan klinik gantian metadon di negara ini.


DOS metadon yang diberikan kepada pesakit bertahan untuk seminggu dalam program Sedar ini.

Sementara itu, kaunselor program tersebut, Ustaz Mohd. Amirul Hanif Mohd. Nawawi, 28, memberitahu, bagi sesi kaunseling terdapat tiga sesi rawatan yang akan dijalani setiap pesakit atau penagih.

Ia merangkumi sesi perkenalan dan mengenali latar belakang pesakit, mendapatkan respons selepas menjalani program Sedar dan membuat susulan.

"Biasanya, kita akan berbual santai bersama mereka untuk mengetahui sejarah pembabitan dengan dadah.

"Selepas mengikuti rawatan terapi metadon di bawah program Sedar, kita akan dapatkan maklum balas pesakit mengenai perbezaan yang dirasai di samping menerapkan elemen agama contohnya, mengajar mereka bersolat dan sebagainya.

"Akhir sekali, kita akan buat susulan dengan mereka dan selalunya pesakit sendiri akan menghubungi kita untuk meluahkan perasaan dan berkongsi masalah yang dihadapi," terang Mohd. Amirul yang merupakan graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Kaunseling dari Universiti Sains Islam Malaysia.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Pusat Peningkatan Institusi UM di talian 03-7967 6261.

Sumber: Kosmo

0 comments: