04 Jun 2015

Pengasingan Sisa Pepejal Domestik Boleh Kitar Semula


Mampukah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) membawa 'sinar harapan' kepada pemerkasaan kelestarian alam sekitar?

Adakah Kita Sudah Bersedia?

Berkuat kuasa 1 Sept 2015 ini, bermulalah dimensi baharu dalam perjalanan pengurusan sisa pepejal bagi negeri-negeri yang menerima pakai Akta 672.

Dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mengikut jadual ditetapkan ia melibatkan mereka yang menetap di lapan negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah.

Ia mewajibkan setiap isi rumah mahupun pemilik perniagaan melakukan pengasingan sisa bermula dari peringkat awal lagi iaitu di rumah mahupun di premis.


Ini bermaksud, segala penjanaan sisa yang kebiasaannya dicampur dan dilonggokkan kesemuanya ke dalam satu bekas sampah tidak lagi dikutip oleh syarikat konsensi. Tetapi, perlu diasingkan dahulu mengikut kategori ditetapkan sama ada boleh dikitar semula ataupun sebaliknya.

Namun begitu, penguatkuasaan ini yang juga berperanan mentransformasikan budaya masyarakat terhadap kecintaan alam sekitar, turut merungkai persoalan penting. Adakah mereka sudah bersedia menghadapinya?

Pengasingan sisa yang merupakan asas kepada kejayaan kitar semula telah melalui pelbagai proses kesedaran masyarakat yang cukup panjang perjalanannya sejak dilancarkan pada 1996 dan sekali lagi tahun 2000.

KURANG JELAS

"Apa itu pengasingan sisa? Saya langsung tidak tahu mengenai pelaksanaan akta itu September 2015 ini,".

"Betulkah kalau tidak asingkan sisa akan dikenakan tindakan? Saya rasa macam susah dan beban pula,".

"Mengapa tidak ada iklan pun diwar-warkan mengenai peraturan ini. Saya tidak mempunyai masalah mematuhinya kerana amalan kitar semula memang dilakukan di rumah,".

Itu, antara respons diberikan tatkala diajukan perihal kesedaran serta tahap kebersediaan mereka berkenaan pelaksanaan akta tersebut.

Biarpun mungkin tidak menyeluruh demografinya dan tidak mendalam, tetapi tinjauan rambang ini yang meliputi surirumah, pemilik perniagaan mahupun orang lalu-lalang menunjukkan masih ada lagi segelintir pihak keliru mengenainya.

AGRESIF

Selain terkejut dan tergamam sebentar, mereka juga menimbulkan persoalan mengapakah tidak begitu banyak pendedahan berkaitan dengan pelaksanaan Akta 672.

Mengambil contoh publisiti agresif Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilakukan dalam pelbagai saluran, pemilik kedai jahit, KBM Collection, Zulkifli Ismail, 59, berkata kaedah serupa wajar diaplikasikan.

Ini penting kerana hanya tinggal tiga bulan sebelum ia mula dimandatorikan sepenuhnya di lapan negeri terbabit. Dalam masa agak singkat serta merujuk kepada amalan kadar kitar semula nasional yang masih rendah iaitu 10.5 peratus.

Timbul persoalan bagaimana dengan pelaksanaannya yang berkuatkuasa pada 1 Sept 2015 ini?

MASIH RENDAH

Menghairankan, ia masih lagi rendah kalau dibandingkan dengan negara maju lain seperti Jepun dan Jerman. Walhal, istilah itu bukanlah asing dalam kalangan masyarakat.

Kajian Solid Waste And Public Cleansing Management Corporation (SWCorp) yang sebelum ini dikenali sebagai Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) mendapati kesedaran amalan kitar semula adalah tinggi.

"Dijalankan pada 2009, kajian ini menunjukkan 89 peratus daripada 55,000 responden menyatakan kesedaran mereka terhadap amalan 3R. Malangnya, mereka masih tidak membudayakan amalan itu," kata Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Datuk Ab Rahim Md Noor.

SWCorp, adalah perbadanan yang berperanan memastikan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam lebih cekap, bersepadu di samping memberi kepuasan lebih baik kepada pengguna dalam perkhidmatan itu.

Jadi, di mana silapnya?

PELBAGAI FAKTOR

Mengulas perkara ini, Prof Madya Dr Latifah Abd Manaf berkata terdapat pelbagai faktor mengekang pembudayaan pengasingan sisa sehinggakan tidak begitu menambat hati sebahagian besar masyarakat.

Antaranya kedudukan kemudahan tidak strategik, kata pensyarah di Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM).

"Tong sampah kitar semula diletakkan jauh dari kawasan perumahan, seperti pusat membeli-belah dan seumpamanya. Jarang, kita nampak di kawasan perumahan," jelasnya.

Ini, mungkin membuatkan mereka merasakan pengasingan sisa itu sesuatu yang melecehkan. Tetapi, beliau juga tidak menafikan sikap masyarakat yang kurang peka dan ambil mudah mungkin antara faktor tidak menyedari pelaksanaan pengasingan sampah bermula 1 Sept 2015 ini.

Bukan isu baharu, malahan masalah mentaliti kelas ketiga ini turut mendapat perhatian utama Ab Rahim.

Sebagai tonggak utama SWCorp, beliau bersama para pegawainya berhadapan cabaran getir dalam menangani tabiat lepas tangan segelintir besar masyarakat dalam aspek kebersihan.

MENTALITI

"SWCorp telah pun mengambil tindakan bersungguh-sungguh memastikan tahap kebersihan. Bagaimanapun usaha itu belum menampakkan hasil memberangsangkan disebabkan minda belum berubah," kata Ab Rahim.

Biarpun agak pahit untuk diterima, realitinya negara masih lagi belum bebas daripada terikat budaya tidak ambil peduli majoriti besar masyarakat berhubung pemeliharaan alam sekitar.

Pemikiran masih di takuk lama, kerana bagi mereka kerja-kerja pembersihan merupakan tanggungjawab kerajaan. Walhal, hakikat yang harus disedari adalah mereka sebagai 'penjana sisa' tidak dapat lari daripada terlibat sama dalam pelestarian alam ini.

Tetapi, bukan hanya amalan kitar semula rendah bahkan tanpa ada segan silu membuang sampah merata-rata, mengotorkan tempat awam tanpa ada sekelumit pun rasa bersalah.

"Orang cuci kan ada, lagipun kami sudah bayar buat sahajalah," cerita Fatimah Kolop, 61. Dua puluh tahun bekerja sebagai tukang cuci, wanita ini mengakui masih ramai di luar sana bersikap lepas tangan dalam aspek kebersihan.

"Baru sahaja sapu, datang balik tengok ada sampah berlonggok di tangga. Mereka cuma hendak rumah sahaja bersih tetapi kawasan sekitar dibuat sesuka hati. Ini, membuatkan terdedahnya kepada penyakit," katanya.

PENYAKIT

Kewujudan 'leptospirosis' serta demam denggi, penyakit yang dikaitkan dengan persekitaran kotor membuktikan kurangnya keprihatinan masyarakat dalam amalan kebersihan.

Mungkin, sudah tiba masanya penguatkuasaan dilakukan bagi mendidik mereka supaya lebih bertanggungjawab terhadap janaan sisa dihasilkan.

Oleh itu, pelaksanaan Akta 672 yang menguatkuasakan pengasingan sisa dilihat antara kaedah terbaik mendisplinkan masyarakat selain menyemai minda kelas pertama dan budaya sivik cemerlang dalam kalangan mereka.

Bagi tujuan ini, SWCorp tidak hanya tertumpu kepada tindakan semata-mata tetapi mendekati masyarakat dalam pelbagai kaedah.

Antaranya menganjurkan program Jelajah Mata Hati, 3R Marathon and Carnival serta pelbagai bentuk hebahan melalui slot temubual televisyen, radio mahupun akhbar.

PELAN

Publisiti lebih agresif juga akan digiatkan lagi, kata Ab Rahim.

Memandang serius mengenainya, Pelan Transformasi Minda Ke Arah Negara Bersih, Indah dan Sejahtera 2015-2020 dilancarkan baru-baru ini.

Menggariskan enam objektif strategik dan 24 strategi, ia adalah satu pelan komprehensif membentuk minda masyarakat bagi membudayakan amalan kebersihan persekitaran.

Ini termasuk memperkenalkan strategi C4E, iaitu communicate (komunikasi), educate (mendidik) , enggage (melibatkan) dan enforce (menguatkuasa) dan empower (memberi tanggungjawab), jelas Ab Rahim.

Untuk tiga bulan pertama pelaksanaan, notis akan diberikan dahulu bagi mereka yang gagal mematuhinya dan tindakan akan diambil kemudian sekiranya masih lagi ingkar mengasingkan sampah.


AMALAN...
Amalan kitar semula dapat ditingkatkan dengan pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007, yang menguatkuasakan peraturan pengasingan sisa, bermula 1 Sept 2015 ini.


HASIL...
Satu contoh produk yang dihasilkan daripada bahan-bahan terpakai.

Oleh Sakini Mohd Said
Sumber: BERNAMA [Rencana 1]


Berapa banyak tong yang diperlukan? Kaedah yang betul dalam menjayakan pengasingan sampah perlu diketahui secara jelas oleh masyarakat.

Perlukah Sediakan Banyak Tong Sampah?

Dengan keluasan lantai rumah yang sekadar 60.4 meter persegi, Suzana Ahmad, 27, merasakan pengasingan sisa domestik yang bakal dikuatkuasakan pada 1 Sept 2015 ini sebagai menyusahkan.

Ini kerana, lebih daripada satu tong sampah perlu disediakan mengikut kategori sama ada boleh dikitar semula mahupun sebaliknya.

"Rumah besar, tidak jadi masalah. Tetapi, rumah kecil seperti pangsapuri aspek ruang memang menjadi isu utama. Saya pun tidak tahu berapa banyak tong perlu disediakan.

"Tetapi, apa-apa pun ia memang akan menyempitkan. Dengan ruang dapur tidaklah sebesar mana dan perlu berkongsi dengan barang-barang milik saya dan penyewa lain. Kalau keluarga, lagilah banyak barang," katanya.

Masalah ruang, antara satu perdebatan pandangan yang kerap kali diutarakan dalam merealisasikan pengasingan sisa terjana daripada peringkat awal lagi, di rumah atau di premis perniagaan.

Tidak sekadar merungut berkaitan keluasan rumah, bahkan kuantiti tong sampah yang perlu disediakan oleh setiap mereka turut dipersoalkan.

Ini, antara kekeliruan masyarakat yang dihadapi oleh Ismail Mohamed dan rakan sekerja lain setiap kali turun padang untuk menjalankan program kesedaran anjuran Solid Waste and Public Cleansing Management Corporation (SWCorp).

HANYA SATU

"Memang ada yang menimbulkan perihal berkenaan. Mereka gusar dan beranggapan perlu membeli banyak tong sampah. Sebenarnya, pengasingan sisa di sumber tidak memerlukan mereka menambah banyak tong.

"Satu tong sampah sudah mencukupi untuk membuang sisa-sisa makanan dan mana-mana yang sudah tidak boleh dikitar semula lagi seperti lampin pakai buang, pembungkus makanan dan tisu basah," kata Pengarah Bahagian Pengurusan 3R SWCorp ini.

Manakala, barang-barang lain yang boleh dikitar semula boleh mengaplikasikan pendekatan kreatif dan penjimatan kos seperti menggunakan bakul kecil, kotak sebagai tempat pengumpulan.

Persoalannya, berapa banyak perlu disediakan?

Jika setiap isi rumah menyediakan empat kompartmen berdasarkan kategori pengasingan sisa, ia akan memudahkan tuan rumah apabila tibanya hari kutipan.

"Contohnya, satu kompartmen untuk segala produk berkaitan kertas, kemudian begitu juga dengan plastik (bakul lain). Manakala, sisa dalam kategori lain-lain seperti kaca, tin, bahan fabrik, peralatan elektrik dan penyembur aerosol dimasukkan sekali ke dalam satu bekas lain.

"Sampah kategori lain-lain ini kebiasaannya tidak banyak berbanding kertas dan sisa makanan sebab itulah ia dicampurkan. Jadi, ada empat kompartmen termasuklah dengan tong sisa makanan," katanya.

Mendengar ini, maka tidak menghairankanlah apabila Suzana merungut berkaitan aspek ruang. Namun, Ismail berkata ia bukanlah halangan atau isu yang membebankan.

RUANG BUKAN ISU

Merujuk budaya kehidupan masyarakat Jepun yang telah jauh ke hadapan dalam mengadaptasi konsep kehidupan mesra alam dengan pengaktifan pengasingan sisa di rumah, soal ruang tidak jadi masalah.

Ini, berdasarkan pemerhatian Ismail yang berpeluang ke sana untuk melihat sendiri corak dan gaya kehidupan masyarakat negara matahari terbit itu dalam pengurusan sisa.

"Rumah di Jepun lagi kecil, tetapi mereka boleh buat. Sebenarnya, ia bukanlah makan ruang sangat. Kita boleh cari tong atau kotak kecil dan ini menjimatkan banyak ruang," ujarnya.

Pengasingan sisa di punca yang termaktub di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) telah mewajibkan negeri-negeri terpakai akta itu untuk melaksanakannya bermula 1 Sept 2015 ini.

Melibatkan lapan negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah, penguatkuasaan itu bertujuan mengurangkan jumlah sisa pepejal dihantar ke tapak pelupusan.

Selain, mengelakkan pembuangan bahan boleh dikitar semula dan mengurangkan peruntukan wang negara untuk proses pelupusan sisa pepejal.

BEZAKAN

Dengan pelaksanaan Akta 672 yang bermula 1 Sept 2011, ia telah memberikan kuasa untuk kerajaan persekutuan mengambil alih pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Pelaksanaannya dan peraturan-peraturan yang berkaitan dengan pengurusan sisa dan pembersihan awam akan mencetuskan satu perubahan besar dalam modus operandi kedua-dua aspek berkenaan.

Antaranya, anjakan pradigma dalam perkhidmatan kutipan sisa. Sebelum ini, kutipan sisa dilaksanakan dengan kekerapan tiga kali seminggu bercampur dengan semua jenis sisa di dalam satu bekas sampah dengan menggunakan kenderaan sama.

Tiada perkhidmatan kutipan untuk sisa pukal, sisa kebun dan sisa boleh dikitar semula.

Bagaimanapun untuk penguatkuasaan pengasingan sisa di punca, perkhidmatan kutipan 2+1 telah diperkenalkan. Ia bertujuan mewujudkan satu sistem kutipan yang lebih sistematik, kata Ismail.

Bagi tujuan ini, tiga syarikat konsesi yang bertanggungjawab dalam urusan pengurusan sisa pepejal mengikut zon adalah:

a) Zon utara: Environmental Idaman Sdn. Bhd.
b) Zon tengah dan pantai timur: Alam Flora Sdn. Bhd.
c) Zon selatan: Southern Waste Management Sdn. Bhd.

KONSEP 2+1

Menjelaskan lebih lanjut mengenai konsep 2+1, Ismail berkata kutipan dua kali seminggu adalah sisa makanan dan sisa baki manakala sekali seminggu untuk sisa kitar semula, sisa pukal dan sisa kebun.

Sisa pepejal yang diasingkan, dimasukkan ke dalam bekas yang sesuai/plastik sampah dan letak di tepi tong pada hari kutipan.

Bagi tujuan ini, adalah digalakkan untuk menggunakan plastik sampah berlainan warna supaya dapat memudahkan urusan pekerja syarikat konsensi pada hari kutipan.

Misalnya, empat kompartmen sampah yang telah diasingkan berdasarkan kategori tertentu kemudian dimasukkan ke dalam plastik berlainan warna.

"Semua sisa yang boleh dikitar semula termasuklah sisa pukal diambil pada hari sama. Jadi, sebolehnya biarlah warna plastik itu mudah dilihat isi kandungan di dalamnya.

"Contohnya, plastik sampah warna biru untuk sisa kertas, warna putih untuk sampah berkaitan produk plastik manakala warna hijau digalakkan untuk sisa lain-lain yang boleh dikitar semula. Kalau tidak ada (warna plastik seperti digalakkan), tidak mengapa yang penting asingkan dan ia mudah dilihat," katanya.

MATLAMAT

Ini kerana, lori yang akan digunakan untuk pengutipan sisa itu adalah berbeza dengan kenderaan yang digunakan bagi mengangkut sisa dua kali seminggu.

Terbahagi kepada beberapa bahagian ruang lori itu, jelas Ismail segala sisa kitar semula yang pelbagai jenis akan ditempatkan di dalam 'jumbo bag' mengikut klasifikasi ditetapkan supaya tidak bercampur.

Manakala, lori kompaktor pula akan digunakan untuk mengutip sisa makanan dan sisa baki.

"Masyarakat apabila mengetahui kaedah betul pengasingan sisa akan membantu mencapai sasaran menjadikan Malaysia tersenarai di kedudukan 10 negara terbersih di dunia menjelang 2020," katanya.

Oleh Sakini Mohd Said
Sumber: BERNAMA [Rencana 2]

0 comments: