Nuff Atas

04 April 2012

Kehalusan Kain Tenun Pahang Diraja


PELBAGAI cenderamata yang diperbuat daripada kain Tenun Pahang Diraja menjadi pilihan pelancong luar dan tempatan yang berkunjung ke galeri Perniagaan Sutera Pulau Keladi.

SAAT menjejakkan kaki di bengkel Perniagaan Sutera Pulau Keladi, Pekan, Pahang, kedengaran bunyi ketukan mesin kek (mesin tenun tradisional) yang menjadi ‘irama’ peneman. Suasana itu memberikan mood kepada penenun untuk lebih tekun dan fokus menghasilkan tempahan kain Tenun Pahang Diraja.

Begitulah rutin harian di bengkel milik Azman Zakaria, 41, yang terlibat dalam pelaksanaan projek Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Kraftangan Malaysia. Kelihatan ada penenun yang sedang melakukan proses mengubung (mengikat sehelai demi sehelai benang), meneguh dan menenun.


“Di bengkel ini sahaja kami mempunyai tujuh orang penenun, namun terdapat beberapa lagi penenun di sekitar Pulau Keladi, Kampung Temai, Kampung Pulau Rumput dan Felda Chini Timur.

“Dengan bantuan alat menenun dan bantuan kewangan daripada Kraftangan Malaysia, kini saya dapat membesarkan bengkel tenunan ini,” katanya yang memulakan perusahaan tenun pada tahun 2003 di bangunan muzium di Kampung Budaya Pulau Keladi.

Menjadi salah seorang pemain dalam industri kain Tenun Pahang Diraja, Azman masih mengekalkan ciri tradisional dalam penghasilan kain tenunnya selain pada masa yang sama menyuntik elemen kontemporari selari dengan permintaan semasa.

Menurutnya, pelancong asing lebih menggemari kain tenun yang mempunyai reka corak tradisional berbanding kontemporari. Dia yang mula menenun pada tahun 1999 mengikut jejak arwah ibunya mengambil masa setahun untuk memahirkan diri.



Kerja rumit

Azman memberitahu, dalam menghasilkan kain Tenun Pahang Diraja, seseorang penenun itu perlu mempunyai minat, ketekunan, kesabaran yang tinggi dan ketelitian sebagai kriteria utama.

“Penghasilan kain tenun melibatkan tujuh proses sebelum memulakan tenunan iaitu proses mewarna, menerau, menganing (mengatur corak), menyusuk, menggulung, mengubung dan meneguh.

“Penenun yang baik perlu menguasai kesemua proses tersebut dan seseorang itu mengambil masa setahun untuk memahirkan diri dalam bidang ini,” ujarnya sambil memberitahu proses menyambung benang merupakan proses yang paling rumit.

Katanya, kain tenun dengan motif tradisional lebih mahal kerana ia memerlukan lebih banyak corak. Oleh kerana itu, kebiasaannya kain tenun tradisional hanya dihasilkan oleh kakaknya iaitu Norakama, 43.

Bekalan bahan mentah pula diambil dari Terengganu dan Kelantan, manakala bekalan benang sutera pula dari China.

“Setiap penenun diberikan elaun sebanyak RM100 sebulan dan pemberian gaji dikira berdasarkan pengeluaran iaitu dalam lingkungan RM600 hingga RM2,000 atas komitmen yang diberikan,” katanya memberitahu penenun wanita lebih tekun dan cekap.

Penenun yang cekap mampu menghasilkan sepasang kain tenunan berukuran dua suku meter dalam masa satu setengah hari. Dalam pada itu, Norakama memberitahu, cepat atau lambat penghasilan kain tenun bergantung kepada panjang kain dan reka coraknya.

“Selain menjual samping dan kain pasang kain Tenun Pahang Diraja, di sini turut menjual pelbagai produk cenderamata daripada kain tenun seperti kotak pensil, kerongsang, sarung kotak tisu dan beg kecil yang dijual antara harga RM10 hingga RM3,000.

“Kain tenun ini ada cara penjagaannya iaitu perlu dibasuh dengan menggunakan kaedah cucian kering, basuh dengan menggunakan pelembut pakaian, tidak boleh diperah kuat dan tidak boleh dijemur di tengah panas,” katanya yang mula menenun pada usia 18 tahun.

Dalam pada itu, Norlianawati Ayob, 22, yang sudah tiga tahun menjadi penenun di Perniagaan Sutera Pulau Keladi memilih untuk berkecimpung dalam bidang tenunan kerana minatnya yang mendalam terhadap seni kraf tersebut.

“Jika bukan orang muda yang menjadi pelapisnya, siapa lagi yang mahu meneruskan warisan ini?” katanya yang mampu menenun sehelai selendang dalam satu hari.

IKTPD lahirkan penenun muda


TIGA pelajar IKTPD asyik menenun untuk mendapatkan fabrik tenunan yang berkualiti.

SEBUT sahaja kain Tenun Pahang Diraja pasti ramai yang mengagumi kehalusan seni pembuatannya. Walaupun harganya boleh mencecah ratusan dan ribuan ringgit, kain Tenun Pahang Diraja mempunyai kelompok peminatnya yang tersendiri.

Bagi yang pernah melihat sendiri cara penghasilannya bermula daripada ribuan helaian benang sehingga menjadi hamparan kain yang dilakukan secara manual, pasti tidak ‘lokek’ berbelanja untuk memiliki sepersalinan busana Tenun Pahang Diraja.

Sebelum menjadi kain tenun yang indah, beberapa proses rumit perlu dilakukan iaitu menerau, menganing, menyusuk, menggulung, mengarap dan menenun.

Tubuhkan institut tenunan

Tidak mahu salah satu warisan berharga negara luput ditelan zaman, Kerajaan negeri Pahang dengan kerjasama Kraftangan Malaysia menubuhkan Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja (IKTPD) yang terletak di Kompleks Budaya Pulau Keladi, Pekan, Pahang Darul Makmur.

“Matlamat institut ini adalah untuk melahirkan lebih ramai generasi muda sebagai pelapis yang mahir bagi mewarisi seni tenunan terutamanya Tenun Pahang Diraja. Institut ini mengalu-alukan mereka yang bujang berumur 18 hingga 35 tahun tidak kira lelaki mahupun perempuan untuk mendalami kemahiran menenun,” kata Penolong Pengarah IKTPD, Rosliza Mukhtar baru-baru ini.

Mula beroperasi pada bulan Julai 2010, institut itu menawarkan Sijil Seni Kraf Tenun Pahang Diraja selama dua tahun atau empat semester.

“Ada beberapa pelajar di sini yang berpotensi untuk pergi jauh dalam bidang ini. Pelbagai promosi giat dijalankan di kampung-kampung dan di daerah-daerah bagi menguar-uarkan kewujudan institut ini untuk menggalakkan lebih ramai anak-anak muda menimba ilmu tenunan,” ujarnya.

Tidak mempunyai syarat kemasukan yang rigid, ia terbuka kepada anak muda yang boleh membaca dan menulis serta mempunyai minat dalam seni kraf tenunan.

“Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sangat digalakkan memasuki institut ini. Mereka hanya perlu membayar RM100 untuk yuran pendaftaran dan kemudahan lain disediakan, malah mereka menerima elaun sara diri setiap bulan,” kata Pegawai Unit Akademik dan Latihan, Fairuz Hafiezal Rosli.

Pengisian pembelajaran bukan berfokuskan kepada kemahiran tenunan semata-mata, malah para pelajar turut mengikuti sesi akademik seperti subjek bahasa Inggeris, agama, kokurikulum iaitu seni mempertahankan diri dan keusahawanan.

Lebih istimewa, para pelajar di IKTPD mendapat tunjuk ajar daripada Adiguru Kraf Tenun Pahang Diraja iaitu Nortipah Abdul Kadir, 66, yang merupakan Generasi ke-12 Keraing Aji.


ANTARA hasil tenunan yang dibuat oleh pelajar IKTPD.

Minat menenun

Walaupun rakan-rakan sebayanya berebut-rebut mengisi peluang melanjutkan pengajian selepas tamat SPM di institusi pengajian tinggi, Norhasliana Musa, 20, lebih cenderung mendaftarkan diri di Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja.

“Minat yang mendalam terhadap tenunan Pahang Diraja membawa saya ke sini untuk mempelajarinya walaupun saya tidak mempunyai asas menenun. Tidak dinafikan bahawa ia tidak mudah dan memerlukan kesabaran dan ketelitian,” katanya yang kini berada di semester ketiga pengajian.

Siti Fatimah Zainol, 20, yang berasal dari Jerantut, Pahang pula berminat mempelajari seni tenun kerana mahu mencuba sesuatu yang baru.

“Selepas tamat belajar di sini, saya mahu menyambung pengajian di Institut Kraf Negara (IKN). Saya bercita-cita mahu menjadi guru tenun dan membuka perniagaan sendiri untuk meneruskan warisan Tenun Pahang Diraja,” ujarnya.

Meskipun majoriti pelajar didominasi oleh pelajar perempuan, ada juga pelajar kaum Adam dan golongan orang kelainan upaya (OKU). Bahkan, mereka juga adalah antara pelajar terbaik di IKTPD.

Mohd. Fazrul Hazril Mohd. Norhamidi, 19, pada awalnya kekok berada dalam kelompok pelajar perempuan, kini sudah serasi dengan suasana tersebut. Pelajar semester ketiga itu sangat meminati bidang tenunan mahu menimba pengalaman kerja sebanyak mungkin bagi menambah ilmu tenunan di dada.

“Tiada salahnya untuk lelaki menjadi seorang penenun yang biasanya pekerjaan ini sinonim dengan wanita kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan,” kata anak kelahiran Kampung Pulau Jawa, Pekan.

Mereka yang berminat untuk mengikuti kursus di IKTPD boleh menghubungi IKTPD di talian 09-4221 612 atau layari laman sosial Facebook di alamat www.facebook.com/iktpd pkkm.

Oleh NURUL IZZA ROSLY
Sumber: Kosmo Artikel 1Kosmo Artikel 2

5 comments:

Ayie Abas berkata...

tenunan pahang memang sgt terkenal..koding

pernah jugak ayie tgok kat tv pasal tenunan pahang nih.

محمد أمين بن أريس berkata...

warisan zaman berzaman... :)

c'axoera ヅ berkata...

tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas

Norgadis Labuan berkata...

Nampak cantik...

LoveBug berkata...

tekun :)