18 Julai 2014
Beberapa Isu Hukum Berkaitan Puasa Dan Ramadhan [Bhgn 2]
Makan dahulu agar solat lebih khusyuk. - Gambar hiasan
Artikel ini adalah sambungan perbincangan berkaitan beberapa isu hukum yang sering ditimbulkan semasa kita berpuasa.
Makan Dulu Atau Solat Dulu?
Ada orang menyangka sekalipun makanan sudah terhidang, yang terbaik itu solat dahulu, selepas itu barulah makan. Sehingga ada yang duduk di keliling hidangan, kemudian bangun meninggalkannya dan pergi menunaikan solat. Amalan seperti itu dirasakan sesetengah pihak sebagai lebih mengikut kehendak agama.
Merujuk kepada hadis Nabi SAW, kita dapati amalan itu adalah silap. Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah makan sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah semasa makan malam kamu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis lain daripada Abdullah bin Umar, Baginda SAW bersabda: “Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jemaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesai.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hikmah arahan Nabi Muhammad SAW dalam mendahulukan makan agar pemikiran kita tidak diganggu ketika solat dengan ingatan kepada makanan yang dilihat terhidang di hadapan mata sebelum bersolat. Ini boleh mengganggu kekhusyukan solat seseorang.
Golongan ulama menyatakan dimakruhkan solat setelah makanan terhidang di hadapan mata. Ini merangkumi semua solat, bukan khusus pada solat Maghrib sahaja. Kata al-Imam an-Nawawi (meninggal 676H) dalam Sharh Sahih Muslim mengulas hadis berkaitan: “Dalam hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk.”
Ini bukan bererti kita mengutamakan makan daripada solat. Sebaliknya kita makan terlebih dahulu kerana ingin menjaga kekhusyukan solat.
Al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) dalam Fath al-Bari memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal dunia 597H): “Ada orang menyangka mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab mendahulukan hak hamba ke atas hak Tuhan.
Sebenarnya bukan demikian, tetapi ini adalah menjaga hak ALLAH agar makhluk masuk ke dalam ibadahnya dengan penuh tumpuan. Sesungguhnya makanan mereka (sahabat) adalah sedikit dan tidak memutuskan mereka daripada mengikuti solat jemaah.”
Oleh itu, makan dahulu setelah makanan terhidang kemudian baru bersolat adalah sunnah Nabi Muhammad SAW. Maka apabila makanan terhidang, ibu bapa hendaklah memberikan anak makan terlebih dahulu ketika berbuka, kemudian barulah bersolat.
Melakukan susunan yang seperti itu, mendapat pahala. Namun makanlah dengan kadar yang diajar oleh Islam, bukan makan sehingga mengah lalu gagal bersolat dengan sempurna.
Cara untuk mengelakkan kemakruhan ini adalah elak menghidangkan makanan terlebih dahulu sebelum solat. Elakkan mata terpandang kepada makanan yang telah dihidangkan.
Selepas solat, barulah dihidangkan. Namun, jika kelaparan itu kuat, bau makanan masuk ke hidung, sehingga ingatan kepada makanan sangat kuat sekali belum melihatnya, hendaklah dia makan terlebih dahulu.
Tidak makruh bersolat sekalipun makanan sudah terhidang jika keinginan kepada makanan tiada. Ini kerana punca (‘illah) larangan bersolat semasa makanan terhidang ialah agar tidak mengganggu khusyuk.
Jika seseorang memang tiada keinginan kepada makanan, sudah pasti tidak mengganggu khusyuk sekalipun makanan sudah terhidang.
Wanita Hamil dan Menyusukan Bayi
Apakah fatwa Ibn ‘Abbas dan Ibn Umar mengenai wanita hamil dan menyusu?
Dua tokoh ilmuwan sahabat Nabi Muhammad SAW, Abdullah bin Abbas dan Abdullah bin Umar berfatwa dengan fatwa yang meringankan bebanan wanita yang mengandung dan menyusukan anak.
Menurut mereka berdua wanita yang mengandung dan menyusu jika buka puasa kerana bimbang keadaan diri ataupun anak hanyalah perlu membayar fidyah (beri makan orang miskin) tidak wajib qada (ganti) puasa.
Dalam riwayat al-Tabari dengan sanad yang sahih Ibn ‘Abbas menyebut: “Jika wanita hamil bimbang terhadap dirinya, wanita menyusu bimbang terhadap anaknya pada bulan Ramadan maka dia boleh berbuka serta ganti setiap hari dengan memberi makan orang miskin dan tidak perlu ganti puasa.”
Dalam riwayat al-Daraqutni dengan sanad yang sahih, Ibn Umar berkata: “Wanita yang hamil dan menyusu boleh berbuka tak perlu qada.”
Dalam riwayat sahih al-Daraqutni juga: “Seorang wanita hamil bertanya Ibn Umar tentang puasanya, jawab Ibn ‘Umar: “Kamu boleh buka dan beri makan setiap hari seorang miskin, tidak perlu qada (ganti puasa)”.
Pendapat kedua tokoh ini sekalipun berbeza dengan pandangan yang dipilih dalam Mazhab Syafie dan selainnya namun ia lebih memudahkan kaum wanita yang mengandung yang biasanya memakan masa selama 9 bulan kemudian kemudian diikuti dengan kelahiran dan menyusukan anak pula selama 2 tahun.
Jika mereka diwajibkan qada tentu satu yang agak membebankan untuk himpunkan semua yang mereka tinggal dalam tempoh tersebut. Apatah lagi jika tahun berikutnya mereka hamil lagi.
Cara Berbuka Nabi SAW
Dengan apa Nabi Muhammad SAW berbuka puasa?
Nabi Muhammad SAW berbuka puasa dengan rutab, atau tamar atau air. Rutab buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis. Adapun tamar ialah kurma yang kering. (lihat: al-Mu’jam al-Wasit 1/88).
Daripada Anas katanya: “Bahawa Rasulullah SAW berbuka dengan puasa sebelum bersolat dengan beberapa biji rutab, sekiranya tiada rutab maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar maka baginda minum beberapa teguk air. (Riwayat al-Imam Ahmad dan al-Tirmizi, katanya hadis ini hasan)
Kata al-Mubarakfuri (meninggal dunia 1353H): “Hadis ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada maka dengan tamar, dan sekiranya tiada maka dengan air... Adapun pendapat menyatakan di Makkah disunatkan didahulukan air zamzam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zamzam adalah ditolak.
Ini kerana ia mencanggahi sunnah. Nabi Muhammad SAW berpuasa (di Makkah) banyak hari pada tahun pembukaan Kota Makkah namun tidak pernah diriwayatkan Baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air." (Al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah).
Mencium Isteri
Bolehkah berciuman dan ‘ringan-ringan’ dengan isteri?
Seorang yang berpuasa boleh untuk mencium dan bermesraan dengan isterinya selagi dia tidak melakukan persetubuhan. Jika dia tahu tidak mampu mengawal diri hendaklah dia mengelak cium dan kemesraan yang lain.
Kata ‘Aishah: “Nabi Muhammad SAW mencium dan bermesraan dengan isteri sedangkan baginda berpuasa. Baginda itu paling dapat mengawal kemaluannya,” (Riwayat al-Bukhari)
Masruq bertanya Aishah: “Apakah yang halal untuk lelaki lakukan kepada isterinya semasa berpuasa?”. Jawab Aishah: “Semua perkara kecuali persetubuhan” (Riwayat ‘Abd al-Razzaq dengan sanad yang sahih).
Bersedekah Makanan
Manakah lebih afdal, menjamu buka puasa ataupun moreh?
Menjamu orang makan adalah amalan yang mulia dalam Islam. Walaupun moreh hanyalah tradisi setempat, tetapi amalan memberi makan kepada orang ramai adalah sesuatu yang mendapat pahala.
Pun begitu, secara perbandingan sudah amalan memberi makan orang yang berbuka puasa (iftar) adalah lebih baik kerana amalan itu disebut secara khusus dalam hadis Nabi Muhammad SAW.
Apatah lagi, berbuka puasa itu satu kewajiban dan keperluan sementara makan selepas solat Tarawih (moreh) hanya satu budaya setempat dan bukan keperluan. Walaupun tidak dinafikan ia juga satu kebaikan namun secara perbandingannya menjamu berbuka puasa lebih besar ganjarannya.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa (iftar), maka baginya (pemberi) pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa dikurangkan sedikit pun pahala orang yang berpuasa tersebut” (Riwayat at-Tirmizi, Ibn Majah dan Ibn Hibban menilainya sahih).
Oleh: PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
Sumber: Sinar Harian [11 Julai 2014]
Labels:
Indahnya Islam
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan