18 Julai 2014

MH17 Terhempas Ditembak Di Ukraine

Pesawat penumpang Malaysia terhempas di Ukraine
Ucapan takziah buat keluarga mangsa yang terlibat. Untuk mangsa yang beragama Islam, sama-sama kita sedekahkan kepada mereka bacaan Al-Fatehah.

Sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang dinaiki 295 orang terhempas di Ukraine pada 17 Julai, 2014 selepas dilaporkan ditembak dengan peluru berpandu dari daratan ke udara di Ukraine.

Pesawat Boeing 777-200 milik Penerbangan Malaysia (MAS) ditembak jatuh di perkampungan Grabovo, Donestk, Ukraine, berhampiran sempadan Russia, pada 17 Julai, 2014.

Ketika kejadian, pesawat MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur itu membawa 283 penumpang termasuk 3 orang bayi dan 15 kru. Semua penumpang dan kru yang berjumlah 298 orang itu dipercayai terbunuh dalam tragedi tersebut.

Pesawat Boeing 777 itu berangkat dari Amsterdam, Belanda pada pukul 12.15 petang waktu Amsterdam (17 Julai, 2014) dan dijangkakan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 6.10 pagi waktu Malaysia (18 Julai, 2014).


Serpihan pesawat MH17 dikatakan bertaburan di satu kawasan seluas empat kilometer.

Tragedi ini adalah kejadian kedua yang menimpa pesawat MAS dalam tempoh 132 hari selepas insiden kehilangan pesawat MH370 yang dalam perjalanan ke Beijing pada 8 Mac 2014.



Pihak kawalan trafik udara Ukraine memaklumkan bahawa ia telah putus hubungan dengan pesawat MH17 pada pukul 2.15 petang waktu Ukraine (pukul 10.15 malam waktu Malaysia) di kedudukan 30 kilometer (km) dari pusat navigasi Tamak, iaitu 50km dari sempadan Rusia-Ukraine.

Penasihat kepada Menteri Dalam Negeri Ukraine, Anton Gerashchenko, dalam laman Facebooknya berkata pesawat itu dipercayai ditembak jatuh oleh pemisah di ruang udara Ukraine menggunakan peluru berpandu Buk, sejenis peluru berpandu darat ke udara.

Laporan AFP pula mengatakan pesawat Boeing 777 itu dipercayai ditembak dari darat berhampiran bandar Shaktarsk dalam wilayah pemberontakan Donetsk. Menurut laporan itu lagi, pesawat itu hilang daripada radar pada ketinggian 10,000 meter. Laporan turut memetik, kejadian mempunyai kaitan dengan pemberontak dan krisis politik di negara itu.

Berita itu disahkan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) selepas menerima laporan dari Ukraine.

MAS melalui laman Facebooknya, mengesahkan pihaknya terputus hubungan dengan pesawat itu selepas ia berlepas dari Amsterdam dan ketika kedudukan terakhir pesawat berkenaan di ruang udara Ukraine.

Imej yang dimuat naik di laman YouTube menunjukkan bangkai pesawat tersebut terbakar di Ukraine. Agensi berita Interfax melaporkan, pesawat itu hilang dari radar apabila ia terbang pada ketinggian 10,000 meter.

Sumber: BHarian, Kosmo


Serpihan ekor pesawat MH17 yang ditemui di dalam ladang jagung

Kerakyatan Penumpang

MAS dalam kenyataannya berkata, penumpang Belanda paling ramai di dalam pesawat itu iaitu 192 orang (termasuk seorang yang turut mempunyai kerakyatan AS) diikuti Malaysia 44 orang (termasuk 15 krew dan dua bayi).

Penumpang Australia pula seramai 27 orang, Indonesia 12 orang (termasuk 1 bayi), United Kingdom 10 orang (termasuk seorang yang turut mempunyai kerakyatan Afrika Selatan), Jerman (4), Belgium (4), Filipina (3), Kanada (1) dan New Zealand (1). Jumlah keseluruhan 298 penumpang telah dikenalpasti kerakyatan mereka.

Kira-kira 80 orang daripada penumpang tersebut merupakan bayi, kanak-kanak dan remaja termasuk lapan daripadanya adalah warga Malaysia.

Kebanyakan mangsa adalah mereka yang mahu bercuti atau pulang daripada percutian bersama keluarga. Ada antara mereka dalam perjalanan pulang ke tanah air untuk menyambut Aidilfitri.

Sumber: Utusan, Bharian

Untuk mengetahui senarai nama penumpang dan anak kapal, sila kilik BHarian

Laluan yang dibenarkan

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengatakan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 menggunakan laluan merentasi Ukraine yang sedang bergolak kerana laluan itu diisytiharkan selamat dan diluluskan oleh badan-badan penerbangan antarabangsa.

"Kami telah menggunakan laluan ini banyak kali. Malah, 15 daripada 16 syarikat penerbangan di Asia Pasifik menggunakan laluan ini. Syarikat penerbangan Eropah pun menggunakan laluan ini.

"Kami tidak akan menggunakan laluan itu, kecuali jika ada notis saat akhir untuk mengubah laluan berkenaan tetapi tidak ada sebarang notis,” katanya.

Menurut Tiong Lai, MAS memutuskan untuk menggunakan laluan lain selepas Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) menutup laluan itu dan menyediakan laluan penerbangan alternatif berikutan nahas MH17 tersebut. MAS kini mengikuti laluan jauh ke selatan melintasi Turki.

Sumber: Kosmo

Menukar Laluan Penerbangan

Beberapa syarikat penerbangan antarabangsa termasuk syarikat penerbangan Australia, Qantas Airways, syarikat penerbangan Jerman, Air Berlin dan dua syarikat penerbangan Korea Selatan menukar laluan penerbangan mereka dengan tidak melalui ruang udara Ukraine.

Syarikat-syarikat penerbangan tersebut bertindak demikian sebagai langkah keselamatan walaupun tiada arahan rasmi untuk mengelak ruang udara tersebut oleh pihak berkuasa penerbangan.

Seorang jurucakap syarikat penerbangan Korea Selatan, Asiana Airlines memberitahu Reuters, syarikat penerbangannya tidak melalui ruang udara Ukraine demi keselamatan walaupun terpaksa menanggung kos lebih tinggi dan menempuh penerbangan lebih jauh.

"Syarikat kami melencongkan haluan pesawat kargo sehingga sejauh 150 kilometer dari ruang udara Ukraine sejak 3 Mac 2014 ekoran konflik tercetus di semenanjung Crimea di negara itu," kata jurucakap itu.

Syarikat Qantas Airways pula melencongkan laluan pesawat dari London ke Dubai sejauh 740 kilometer dari selatan Ukraine sejak beberapa bulan lalu.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) pula dilaporkan telah mengeluarkan arahan melarang pesawat negara itu melalui ruang udara di wilayah Crimea, Laut Hitam dan Laut Azov di Ukraine. Arahan tersebut dikatakan berkuat kuasa sehingga 27 April 2015.

Seorang pakar siasatan kemalangan dan keselamatan Universiti CQ di Australia, Geoff Dell berkata, mana-mana pesawat sepatutnya tidak dibenarkan melalui atau menghampiri kawasan konflik seperti di Ukraine.

"Sekiranya perang tercetus atau konflik, anda sepatutnya mengubah haluan supaya tidak menghampiri kawasan bahaya tersebut," katanya.

Sumber: Kosmo

Permohonan Terbang Lebih Tinggi

Kenyataan daripada MAS menyebut MH17 ada memohon untuk terbang pada ketinggian 35,000 kaki ketika melintasi ruang udara Ukraine dan ketinggian itu menghampiri ketinggian optimum.

"Bagaimanapun, ketinggian penerbangan sesebuah pesawat ditentukan oleh menara kawalan. Ketika memasuki ruang udara Ukraine, MH17 diarah oleh menara kawalan trafik udara Ukraine untuk terbang pada ketinggian 33,000 kaki," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pelan penerbangan MH17 diluluskan oleh Eurocontrol yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam mengatur laluan penerbangan di ruang udara Eropah. Eurocontrol merupakan penyedia perkhidmatan navigasi udara bagi Eropah dan ditadbir di bawah Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), kata kenyataan itu.

Sumber: BHarian

MH17 Mempunyai Rekod Penyenggaraan Yang Baik

Pesawat B777-200 dengan nombor pendaftaran 9M-MRD untuk penerbangan MH17 pada 17 Julai 2014 mempunyai rekod penyenggaraan yang baik, menurut Malaysia Airlines.

Syarikat penerbangan negara itu menjelaskan bahawa pemeriksaan penyenggaraan terakhir pesawat itu ialah pada Jumaat lepas (11 Julai 2014) dan pemeriksaan seterusnya dijadualkan pada 27 Ogos.

"Penyenggaraan itu dijalankan di hangar Malaysia Airlines di Lapangan Terbang Antarabangssa KL (KLIA). Pesawat itu dalam keadaan baik," katanya.

Menurut Malaysia Airlines pesawat itu dikeluarkan pada Julai 1997, dan telah memberi perkhidmatan selama 17 tahun. Ia merekodkan 75,322 jam dengan jumlah pusingan 11434. Semua sistem komunikasi di atas pesawat itu berfungsi seperti biasa.

Sumber: Bernama

Kenyataan PM Mengenai Tragedi MH17

Berikut ialah kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang berita mengenai tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, di Hotel Sama-Sama pada 18 julai, 2014.

"Petang semalam, saya dimaklumkan mengenai berita yang amat dahsyat dan sangat mengejutkan bahawa sebuah pesawat Malaysia Airlines terhempas di timur Ukraine.

"Malaysia Airlines telah mengesahkan bahawa pesawat itu adalah Malaysia Airlines Penerbangan 17 yang dalam penerbangan berjadual dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

"Penerbangan itu berlepas pada 12.15 tengah hari, waktu tempatan. Ia dijadual tiba di Kuala Lumpur pada 6.10 pagi waktu tempatan Malaysia. Pesawat itu adalah Boeing 777-200".

"Laluan penerbangan pesawat itu telah diisytiharkan selamat oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa. Dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa telah menyatakan bahawa ruang udara yang direntasi pesawat itu tidak tertakluk kepada sekatan.

"Malaysia Airlines mengesahkan bahawa pesawat itu tidak membuat sebarang panggilan kecemasan.

"Penerbangan itu membawa sejumlah 295 orang - merangkumi 280 penumpang dan 15 anak kapal.

"Malaysia Airlines kini dalam proses memaklumkan kepada waris penumpang dan anak kapal. Semua bentuk penjagaan yang sebaik mungkin akan diberikan kepada waris. Kita akan berusaha sedaya upaya.

"Sekiranya pesawat itu benar-benar ditembak jatuh, kita akan mendesak pihak yang bertanggungjawab melakukannya dibawa ke muka pengadilan dengan segera.

"Pusat-pusat operasi kecemasan sudah pun ditubuhkan. Dalam beberapa jam lepas, pegawai-pegawai Malaysia sentiasa berhubung dengan rakan sejawatan mereka di Ukraine dan tempat lain.

"Dan saya akan bercakap dengan beberapa pemimpin dunia dalam beberapa jam lagi. Saya telah pun beberapa kali bercakap dengan Perdana Menteri Netherlands.

"Saya juga telah bercakap dengan Presiden Ukraine. Beliau berjanji akan menjalankan siasatan penuh, menyeluruh dan bebas, dan pegawai-pegawai Malaysia akan dijemput menyertainya.

"Presiden Ukraine juga mengesahkan bahawa kerajaannya akan berunding dengan pemberontak di timur negara itu bagi menubuhkan satu koridor kemanusiaan di tempat pesawat itu terhempas.

"Sebentar tadi, saya menerima panggilan daripada Presiden Obama. Saya dan beliau bersetuju bahawa siasatan itu perlu dijalankan tanpa sekatan.

"Sebuah pasukan antarabangsa perlu mempunyai akses sepenuhnya ke tempat pesawat itu terhempas. Dan tiada siapa pun patut mengganggu kawasan itu, atau mengalihkan sebarang serpihan, termasuk kotak hitam.

"Ini merupakan hari yang tragik, dalam tahun yang begitu tragik, bagi Malaysia. Sambil kita cuba memahami apa yang berlaku, doa dan harapan kita adalah untuk keluarga dan rakan mereka yang berada dalam penerbangan itu.

"Saya tidak dapat bayangkan apa yang sedang mereka alami pada saat-saat memilukan ini. Penumpang dan anak kapal penerbangan ini adalah dari banyak negara berbeza. Namun, hari ini, tanpa mengira kewarganegaraan, kita semua bersatu dalam kesedihan.

Sumber: Bernama

Spekulasi MH17

Walaupun belum dapat dibuktikan secara sahih bahawa pesawat MH17 terhempas kerana menjadi sasaran peluru berpandu tetapi terdapat beberapa petunjuk yang menjerumus kepada kepercayaan bahawa peluru berpandu adalah punca utama.

Berdasarkan beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh White House, AS agak yakin bahawa MH17 terhempas kerana ledakan peluru berpandu. Keyakinan ini berdasarkan modus operandi pemberontak yang telah menjatuhkan dua kapal terbang milik tentera udara Ukraine beberapa hari sebelum kejadian malang menimpa MH17.

Begitu juga dengan amaran yang dikeluarkan oleh pemberontak kepada kerajaan Ukraine bahawa mereka akan menembak jatuh jika pesawat milik Kiev menggunakan ruang udara Ukraine Timur, menjadi sandaran utama mengapa faktor penggunaan peluru berpandu tidak boleh diketepikan.



Terdapat juga andaian bahawa sasaran sebenar peluru berpandu adalah pesawat Presiden Rusia iaitu Vladimir Putin yang melalui laluan yang sama dengan MH17 pada waktu yang lebih kurang sama. Kontur pesawat, dimensi linear serta warna antara kedua-dua pesawat itu hampir serupa.

Jika benar analisis ini maka besar kemungkinan peluru berpandu itu berpunca dari Kiev dan bukannya pemberontak.

Sumber: Utusan

Jangan sebar gambar mangsa

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan kandungan mahupun gambar mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang terhempas di Ukraine.

Pengerusi SKMM Datuk Mohamed Sharil Tarmizi juga meminta orang ramai supaya tidak berkongsi, meletakkan pautan atau memaparkan kandungan menyayat hati itu dalam laman-laman sosial.

"Kami ingin mengingatkan orang ramai supaya menghormati jasad mereka yang kehilangan nyawa serta anggota keluarga waris dalam tragedi MH17 tersebut. Kami semua turut bersedih dan mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan mangsa," katanya dalam laman Facebook SKMM.

Sumber: Utusan

Penemuan Kotak Hitam?

Pakar penerbangan berkata, kotak hitam pesawat yang mengandungi rakaman suara dan data kokpit boleh memberikan keputusan jelas sama ada ia ditembak jatuh atau dari arah mana misil peluru berpandu dilancarkan.

Memetik laporan The Telegraph menyebut alat rakaman suara dan data dalam pesawat Boeing 777 seperti dimiliki MH17 adalah antara yang tercanggih dalam kelas penggunaan pesawat awam.

Bagaimanapun, ia mungkin sudah terlambat untuk mendapatkan semua kotak hitam berkenaan walaupun ada gesaan daripada pemimpin seluruh dunia seperti Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama yang mahukan penyiasat antarabangsa diberikan akses sepenuhnya kepada lokasi nahas.

Agensi berita Interfax melaporkan puak pemisah Russia di Ukraine sudah menemui kotak hitam itu dan bersetuju untuk menyerahkannya kepada pihak berkuasa keselamatan udara Russia.

Timbalan Perdana Menteri Republik Donetsk yang diiktiraf sendiri oleh pemisah, Andrei Purgin memberitahu Interfax; “Sudah tentu, kami sudah tentu akan memberikan (kotak rakaman) kepada Jawatankuasa Penerbangan Antara Negeri (IAC) di Moscow”.

Jawatankuasa itu menempatkan pakar bertaraf tinggi yang boleh menentukan dengan tepat punca kemalangan.

Mana-mana pakar yang mempunyai akses kepada kotak hitam mampu memanipulasi maklumat yang terkandung di dalam alat berkenaan daripada saat-saat akhir penerbangan dan boleh menghalang penyiasat daripada melakukan analisis yang telus.

Perlu ada akses sepenuhnya

Sementara itu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak berkata; “Sebuah badan antarabangsa mesti mempunyai akses sepenuhnya kepada lokasi nahas dan tiada sesiapa pun boleh masuk ke dalam kawasan itu, atau memindahkan mana-mana sisa nahas termasuk kotak hitam.”

Beliau berkata, pihak berkuasa Ukraine berjanji untuk memasukkan pasukan Malaysia menyertai pasukan siasatan nahas selain mengadakan rundingan dengan tentera pemisah untuk mewujudkan ‘koridor misi kemanusiaan’ di lokasi nahas.

Bekas Pengerusi Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional Amerika Syarikat (NTSB), Deborah Hersman yang juga salah seorang penyiasat kemalangan utama dunia, memberitahu NBC; “Dalam tempoh 24 hingga 48 jam seterusnya, perkara utama ialah untuk mencari empat bahagian pesawat dan yang paling penting ialah rakaman data pesawat serta rakaman suara kokpit.”

“Dua alat itu akan memberikan maklumat paling berguna mengenai apa yang sebenarnya terjadi pada saat-saat akhir sebelum nahas berlaku.”

Hersman berkata, konflik di Ukraine sedikit sebanyak akan menjejaskan proses siasatan. Katanya, adalah penting supaya tiada bahan bukti yang diusik dalam apa cara sekali pun di lokasi nahas.

Sumber: BHarian [19/2/2014]


SEORANG anggota penyiasat Malaysia memeriksa serpihan pesawat MH17 dekat Grabovo, Ukraine

Kotak hitam hak Malaysia

Kotak hitam MH17 adalah kepunyaan Malaysia berdasarkan peruntukan di bawah Akta Penerbangan Awam 1969, kata bekas Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman yang juga seorang pakar undang-undang.

Abdul Aziz ialah antara individu yang turut membantu menggubal Akta Penerbangan Awam 1974 dan Peraturan Penerbangan Awam 1996.

Menurutnya, akta itu juga mematuhi panduan undang-undang penerbangan awam antarabangsa yang meletakkannya sebagai hak milik Malaysia.

“Setiap negara dalam dunia ini telah menjadi ahli kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) termasuk Malaysia, malah Ukraine juga adalah anggota badan itu dan mereka tertakluk kepada peraturan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, dari segi perundangan, apabila kapal terbang terhempas di dalam negara sendiri, ia dikawal oleh undang-undang negara itu yang juga berasaskan aturan antarabangsa.

“Dalam situasi sekarang, pesawat MH17 terhempas di Ukraine, dan negara itu bertanggungjawab bagi memulakan siasatan punca nahas itu.

“Jika terhempas di negara lain, Malaysia tiada kuasa lagi untuk menyiasat. Pihak yang berkuasa menyiasat adalah negara di mana pesawat berkenaan terhempas,” katanya.

Menurut Abdul Aziz, walaupun Malaysia mempunyai hak ke atas kotak hitam itu, kerjasama siasatan dengan negara luar khasnya dari segi kepakaran boleh dilakukan.

Katanya, dalam konteks ini Malaysia juga boleh melantik kepakaran luar termasuk penglibatan ICAO bagi menyiasat punca insiden.

“Dalam hal ini, MAS terkecuali kerana mereka sebagai pihak yang berkepentingan. Pesawat itu juga kepunyaan MAS. Apa yang boleh dilakukan adalah melantik Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mewakili Malaysia dalam penyiasatan itu,” katanya.

Mengulas dakwaan kotak hitam pesawat MH17 yang dikatakan berada di Moscow, Rusia, Abdul Aziz berkata, negara lain tidak mempunyai hak ke atas siasatan itu melainkan kerajaan Ukraine.

“Ini adalah soal hak, bukan soal kepakaran. Melainkan kerajaan Ukraine melantik pihak lain untuk turut sama berkongsi kepakaran penyiasatan,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Aziz turut menggesa campur tangan antarabangsa melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengawal lokasi insiden itu yang kini dikawal oleh puak pemisah.

Katanya, Malaysia boleh guna sistem antarabangsa bagi mendesak penyiasatan rapi daripada PBB untuk bawa pihak bertanggungjawab ke atas insiden ini dibicara ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Sumber: Sinar Harian [20072014]


Pemimpin kanan pemberontak pro-Rusia, Alexander Borodai (tengah kanan) menyerahkan kotak hitam MH17 ketika penyerahan kotak berkenaan kepada pasukan anggota penyiasat Malaysia di Donetsk, Ukraine.

Ketua pemisah serah sendiri kotak hitam MH17

Kumpulan pemisah Ukraine dilaporkan telah menyerahkan dua kotak hitam MH17 kepada pakar Malaysia pada 22 Julai, 2014, lapor ABC. Penyerahan dua kotak hitam itu  dibuat sendiri oleh ketua pemisah Ukraine, Alexander Borodai.

Turut berlaku ketika penyerahan, gencatan senjata di zon 10 kilometer sekeliling itu bagi membolehkan pasukan penyiasat antarabangsa masuk dengan selamat ke lokasi nahas MH17 di timur Ukraine.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata hasil persetujuan dengan Borodai juga, pasukan penyiasat bebas antarabangsa diberi jaminan untuk memasuki kawasan nahas untuk melakukan siasatan penuh terhadap tragedi MH17.

Sumber: Sinar Harian [22 Julai 2014]

Dua syarat sudah dipenuhi

Datuk Seri Najib Razak gembira selepas dua daripada tiga syarat dalam persetujuan dengan kumpulan yang menguasai kawasan pesawat MH17 jatuh ditembak di timur Ukraine telah dipenuhi.

Perdana Menteri juga mengalu-alukan kemajuan yang dicapai berikutan persetujuan antara Malaysia dan kumpulan yang diketuai oleh Alexander Borodai itu.

Beliau turut menghargai tugas yang dilaksanakan pasukan Malaysia dalam menyelaras proses membawa pulang mayat mangsa dan mengambil hak jagaan kotak hitam.

Persetujuan membabitkan tiga perkara telah dicapai, iaitu mayat mangsa dipulangkan, kotak hitam diserahkan dan akses penuh ke lokasi kejadian diberi supaya siasatan dapat dimulakan.

Perdana Menteri rasa gembira apabila dua syarat sudah dipenuhi. Kereta api yang membawa mayat mangsa sudah tiba di Kharkiv, di mana persiapan akan dibuat untuk memindahkan mereka ke Amsterdam (Belanda).

Kotak hitam selamat 

Kotak hitam kini dalam jagaan pasukan Malaysia dan kelihatan berada dalam keadaan baik. Ia akan disimpan dengan selamat sebelum diserahkan kepada pasukan penyiasat antarabangsa untuk analisis lanjut, katanya.

Najib juga berkata, krisis luar biasa itu memerlukan pendekatan yang luar biasa dan mengakui wujud risiko dalam usaha mencapai persetujuan itu.

Namun, kita merasakan sudah menjadi kewajipan untuk meneroka semua kemungkinan bagi memecahkan kebuntuan dan memastikan mayat dan kotak hitam kembali ke tangan kita.

Sumber: Kosmo [23072014]

0 comments: