03 Julai 2014

Derita Hipoglisemia Penghidap Diabetes Ketika Berpuasa


Penghidap diabetes yang berisiko mendapat serangan hipoglisemia ketika berpuasa.

Apabila gerbang Ramadan al-Mubarak membuka tirainya, maka bermulalah juga ibadah puasa pada bulan Ramadan yang merupakan rukun Islam ketiga buat umat Islam.

Bulan yang sentiasa dipenuhi dengan rahmat dan kasih sayang Allah pada hamba-Nya untuk menyebarkan wangian yang sentiasa dirindui oleh mereka yang mengetahui kebesarannya.

Pastinya, setiap individu Muslim akan berusaha menjalani ibadah puasa dengan sebaik mungkin di samping melipatgandakan amal.

Namun, di sebalik keterujaan melakukan kewajipan ini, ada golongan yang perlu menitikberatkan aspek kesihatan diri agar tidak mengalami masalah komplikasi kesihatan yang teruk ketika berpuasa.


Setiap kali tibanya Ramadan, golongan yang paling teruji adalah mereka yang berpenyakit. Tidak terkecuali bagi pesakit diabetes.

Ini kerana pesakit berisiko mengalami hipoglisemia kerana tempoh berpuasa yang agak panjang iaitu kira-kira 14 jam tanpa menjamah sebarang makanan atau minuman.

Kajian mendapati amalan berpuasa pada bulan Ramadan meningkatkan risiko seseorang pesakit diabetes mengalami hipoglisemia yang serius sehingga 7.5 kali ganda.

Apa itu hipoglisemia? Menurut Persatuan Diabetes Amerika Syarikat, gejala hipoglisemia berlaku apabila paras gula darah jatuh di bawah 3.9mmol/L. Paras gula darah seseorang individu normal ialah antara 4 hingga 8 mmol/L.

Kajian menunjukkan kejadian hipoglisemia yang teruk dalam kalangan pesakit diabetes melitus jenis 2 (T2DM) nyata lebih kerap berlaku pada bulan Ramadan berbanding dengan bulan-bulan lain.

Masih bertahan

Bagi Mohd. Fauzie Baharom, 47, yang menghidap diabetes sejak empat tahun lalu, beliau akan sentiasa memastikan kesihatan dirinya berada pada tahap terbaik bagi menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan.

Meskipun berisiko menghadapi hipoglisemia ketika berpuasa, namun Mohd Fauzie tetap istiqamah melaksanakan ibadah tersebut.

Menurut bapa kepada dua cahaya mata itu, sejak disahkan menghidap diabetes, beliau tidak pernah lagi berbuka puasa disebabkan serangan hipoglisemia.

“Walaupun, pernah mengalami simptom seperti badan menggigil kerana paras glukosa dalam darah terlalu rendah, saya masih mampu bertahan meneruskan puasa sehingga masuk waktu berbuka.

“Apa yang penting, ketika bersahur, saya mengambil makanan yang banyak seperti nasi, lauk, sayur, meminum dua gelas air milo panas dan memakan ubat.


PESAKIT diabetes yang kritikal biasanya tidak mampu untuk berpuasa pada bulan Ramadan.

“Tidak ketinggalan, saya mengambil tujuh biji kurma dan kismis dan meminum air masak dengan banyak,” ujar Mohd. Fauzie.

Secara umumnya, hipoglisemia merupakan satu keadaan apabila kandungan glukosa berkurangan dalam darah dan berada di bawah paras normal.

Ketua Unit Endokrin dan Diabetes Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof. Dr. Nor Azmi Kamaruddin berkata, hipoglisemia boleh berlaku sebagai kesan sampingan sesetengah ubat kencing manis, termasuk insulin dan ubat makan iaitu pil yang meningkatkan pengeluaran insulin.

Biasanya, pesakit yang bergantung kepada bentuk rawatan sebegini sering berdepan masalah kekurangan glukosa dalam darah disebabkan pengambilan makanan yang tidak teratur serta peningkatan aktiviti fizikal.

“Kerumitan pengurusan diabetes telah menjadi lebih jelas dalam kalangan umat Islam sepanjang bulan Ramadan. Ia disebabkan berlakunya pengurangan pengambilan makanan di samping ubat-ubatan yang merendahkan tahap glukosa dalam darah pesakit.

“Pesakit yang berhadapan situasi ini, mungkin mengalami serangan hipoglisemia. Disebabkan itu, kami sentiasa berusaha mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai masalah ini dengan harapan agar pemahaman yang lebih baik terhadap penyakit dan pengurusannya akan dapat mengurangkan risiko komplikasi diabetes dan serangan hipoglisemia sewaktu bulan puasa,” jelas Nor Azmi pada bengkel Pendidikan Diabetes dan Ramadan oleh Novartis Corporation (Malaysia) di Kuala Lumpur.

Menurut Persatuan Diabetes Amerika Syarikat, simptom hipoglisemia terjadi apabila paras glukosa dalam darah jatuh di bawah 70mg/dl. Namun begitu, ramai juga pesakit yang mempunyai bacaan di bawah paras ini dan tidak merasai sebarang simptom hipoglisemia.

Ini digelar sebagai ketidaksedaran hipoglisemia. Golongan sebegini biasanya kurang terjaga dari tidur apabila serangan hipoglisemia berlaku pada waktu malam.

“Ketidaksedaran hipoglisemia berlaku lebih kerap kepada pesakit yang mempunyai banyak siri episod paras glukosa yang rendah dalam darah dan menghidap diabetes dalam tempoh yang lama.

“Keadaan ini menyebabkan mereka tidak menyedari tanda-tanda amaran awal serangan hipoglisemia. Jika anda rasa menghadapi masalah ketidaksedaran hipoglisemia, berjumpalah dengan doktor segera.

“Penyedia penjagaan kesihatan anda mungkin akan mengubah atau meningkatkan sasaran glukosa dalam darah anda bagi mengelakkan hipoglisemia dan risiko pada masa akan datang,” terang Konsultan Endokrinologi PPUKM, Prof. Dr. Norlela Sukor pula.

Tambah Norlela, melalui penyelidikan dan pemerhatian yang dilakukan, pesakit diabetes di Malaysia adalah lebih kerap tidak menyedari bahawa mereka mungkin mempunyai penyakit kencing manis sehinggalah komplikasi yang teruk seperti buta, penyakit buah pinggang, penyakit saraf, penyakit kardiovaskular atau strok berlaku.

Simptom-simptom hipoglisemia mungkin berbeza dari satu episod ke satu episod kerana paras glukosa yang rendah dalam darah mempunyai beberapa tahap seperti ringan, sederhana dan teruk.

Bagi individu yang sihat, paras glukosa dalam darah semasa bulan Ramadan biasanya mencecah antara 70 dan 99mg/dl.

Antara simptom serangan hipoglisemia ini termasuklah badan menggigil, darah gemuruh, berpeluh, cepat marah, denyutan jantung lebih cepat, lapar, mengantuk dan penglihatan terjejas.

Persediaan Sebelum Berpuasa

Pakar Perunding Kanan Endokrinologi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Nor Azmi Kamaruddin berkata, pesakit diabetes jenis 2 yang ingin berpuasa hendaklah membuat persediaan yang rapi sebelum menjelang bulan Ramadan.

“Ini termasuk penilaian perubatan, rundingan dengan pakar kesihatan tentang gerak kerja jasmani, perancangan makanan, pengawasan glukosa, serta dos dan jadual pengambilan ubat.

“Persediaan mestilah dimulakan sekurang-kurangnya satu hingga dua bulan sebelum bulan Ramadan.

“Pesakit diabetes yang berpuasa tidak mengambil makanan, minuman dan ubatan sebelum fajar hinggalah waktu matahari terbenam dan ini boleh menyebabkan hipoglisemia apabila aras gula darah menurun.

Bagi pesakit, kurang makan dan senam, serta tidak mengambil sesetengah jenis ubat diabetes, adalah faktor risiko yang diketahui menyebabkan hipoglisemia.

“Jika tidak dirawat dengan segera, hipoglisemia boleh mengakibatkan masalah perubatan yang serius seperti keadaan tidak sedar dan sawan, yang memerlukan rawatan kecemasan," katanya lagi.

Dr. Nor Azmi berkata, sebagai langkah dan persediaan awal untuk berpuasa pesakit diabetes boleh mengalihkan waktu pengambilan ubat mereka ke waktu sahur dan berbuka.

“Kebiasaannya pesakit mengambil dua dos ubat setiap hari, iaitu dos besar pada waktu pagi dan dos rendah pada petang atau malam.

“Ketika puasa, pengambilan dos ini boleh diterbalikkan, dos rendah ketika sahur dan dos besar selepas berbuka," ujarnya.

Beliau menjelaskan, dos rendah lebih sesuai ketika sahur memandangkan tidak banyak makanan diambil pada waktu itu.

Dos besar pula lebih sesuai ketika berbuka puasa memandangkan kelaziman pengambilan jumlah makanan yang lebih banyak, terutamanya yang manis.

Aplikasi mudah alih

Sementara itu, sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan untuk menyokong pesakit diabetes yang ingin berpuasa, MSD, syarikat perkhidmatan penjagaan kesihatan, telah melancarkan beberapa aplikasi pintar khusus untuk bulan Ramadan.

Antaranya ialah resipi-resipi yang kreatif untuk pesakit diabetes, laman mikro yang memaparkan bahan-bahan kempen bulan Ramadan oleh Msd, dam aplikasi mudah alih Apple yang terkini.

Selain itu turut diperkenalkan kit maklumat yang bertajuk, Fakta-fakta Tentang Amalan Berpuasa Pada Bulan Ramadan, bagi membantu pesakit diabetes jenis 2 menguruskan aras gula dalam darah m dengan lebih baik.

Pengarah Perubatan MSD, Dr. Yeoh Boon Hock, berkata pihaknya ingin menggalakkan pesakit diabetes menguruskan penyakit mereka dengan baik terutama pada bulan puasa.

“MSD ingin mengupayakan pesakit diabetes supaya dapat menguruskan penyakit mereka dengan lebih baik, terutama bagi mereka yang ingin berpuasa pada bulan Ramadan.

"Memandangkan pemakanan seimbang penting bagi pengurusan diabetes, MSD mengambil khidmat seorang pakar diet dari Australia, Sandra Mikhail bagi menghasilkan beberapa resipi untuk pesakit diabetes.

“Selain resipi yang berkhasiat, kami juga telah mengemaskinikan aplikasi mudah alih Apple yang diberi nama, Bulan Ramadan, Diabetes dan Saya dan risalah kit maklumat

"Bagi memudahkan pesakit dan pakar kesihatan mendapatkan semua bahan kempen bulan Ramadan pula, sebuah laman mikro (www.factsaboutfasting.com) juga diaktifkan. Kami berharap alat-alat maklumat pintar ini dapat menambahkan ilmu dan menyediakan sokongan masa nyata untuk pesakit diabetes," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran aplikasi dan kit maklumat di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Aplikasi mudah alih Apple tersebut, mengandungi maklumat penting tentang bulan Ramadan, seperti waktu matahari terbit dan waktu matahari terbenam serta waktu solat, yang disesuaikan mengikut lokasi pengguna, selain kompas bagi menentukan arah kiblat.

Aplikasi ini juga mengandungi penjejak gula darah yang memudahkan laporan dihantar kepada pengamal kesihatan. Aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma melalui Malaysian App Store.

Sumber Asal Artikel:

1. Artikel 1 Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
Sumber: Kosmo

2. Artikel 2 Oleh Nurul Hazren Masitom
Sumber: BHarian

3. Artikel 3 Sumber: Utusan

0 comments: