09 Julai 2014

Evolusi Senjata Di Muzium Negara


Muzium Negara

Jika berpeluang ke Muzium Topkapi di Istanbul, Turki, seseorang tentu tidak akan melepaskan peluang melihat sendiri pedang kuno digelar "Zulfakar" yang dimiliki sahabat, yang juga menantu Rasulallah, Saidina Ali.

Ia tercatat dalam sejarah sebagai satu daripada simbol Islam yang cukup dikagumi di dunia.

Tanpa perlu terbang ke Turki, orang ramai masih berpeluang menyaksikan sendiri pedang itu bersama ratusan senjata lain di Muzium Negara pada pameran Evolusi Senjata Dan Kemanusiaan Sedunia yang akan bermula akhir Jun 2014.

Pameran yang bakal menarik ribuan pengunjung itu akan turut mempamerkan sembilan lagi pedang terhebat di dunia yang masih kekal hingga ke hari ini.


Antaranya pedang samurai yang pernah digunakan Jeneral Tentera Darat Jepun, Tomoyugi Yamashita yang mendapat jolokan "Harimau Malaya", pedang milik jeneral perang Argentina, Jose De San Martin yang dikenali dengan nama Curved Saber Of San Martin, pedang Seven Branched Sword dari Korea, Wallace Sword yang digunakan pahlawan dari Scotland, Tizona yang digunakan pahlawan dari Sepanyol, Napolean Sword yang digunakan pemimpin tentera Perancis, Napolean Bonaparte, pedang Sword Of Mercy yang dimiliki raja Inggeris, Edward Confessor, pedang Hanjo Masamune yang mewakili zaman Keshogunan Jepun dan pedang Joyeuse dari Itali.


Pedang Zulfakar

HIMPUN RATUSAN SENJATA

Pameran senjata yang kali pertama diadakan di Muzium Negara ini akan menghimpunkan lebih 360 senjata bermula dari senjata pra sejarah, senjata zaman logam, senjata tradisional sehinggalah ke senjata moden termasuk helikopter, kereta kebal, meriam dan senjata berat.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium Negara Datuk Ibrahim Ismail yang turun padang memastikan kelancaran persiapan terakhir berkata tujuan tema senjata dipilih bagi mendedahkan kepada masyarakat evolusi persenjataan yang bukan sahaja di nusantara tetapi juga melibatkan negara lain seperti China, Jepun, Korea dan Turki.

Antara yang cuba diperlihatkan, perubahan teknologi pembuatan serta kegunaannya terutama dalam kehidupan manusia dan dalam peperangan.

Bermula dengan peranannya yang banyak digunakan ketika memburu, bertani, perhiasan diri dan simbol status, kemudian fungsi senjata berubah kepada alat peperangan dan pertahanan diri.

"Mungkin tidak ramai yang tahu evolusi persenjataan yang berlaku terutama di alam nusantara ini. Kebanyakan kita hanya kenal senjata tradisional seperti keris, parang, tombak dan lembing. Sedangkan ada lagi beberapa jenis senjata yang digunakan sejak ratusan tahun dahulu di sini", katanya kepada Bernama.

Contohnya, dalam Perang Naning mencatatkan bahawa pahlawan Melayu ketika itu sudah menggunakan senjata seperti senapang yang dikenali Pemuras. Begitu juga penggunaan senjata api lain seperti Istinggar (sejenis senapang) yang disebut dalam hikayat lama seperti Salatus Salatin yang turut digunakan tentera Johor-Riau ketika membantu Belanda menyerang Portugis.

Selain senjata yang akan dipamerkan, yang bakal menarik perhatian pengunjung ialah pakaian-pakaian pahlawan dahulu antaranya baju berantai yang menyerupai baju zirah, diperbuat daripada untaian besi.

Tujuan baju besi bagi memberi perlindungan daripada senjata pihak musuh. Pakaian besi ini banyak digunakan terutama di Kalimantan oleh suku Moro di Filipina dahulu.

Pameran yang diadakan di Geleri 1, 2 dan 3 itu akan merangkumi beberapa segmen antaranya evolusi senjata, kaedah penggunaan senjata, senjata-senjata unggul, senjata-senjata popular, senjata Orang Asli di dunia, lagenda dan mitos serta senjata sebagai lambang kuasa dan kedaulatan, katanya.


Pedang Samurai

SENJATA DARI LUAR

Ibrahim berkata pihaknya telah mendapat kerjasama baik daripada pihak muzium luar negara bagi meminjam artifak yang diperlukan seperti 10 pedang terunggul di dunia yang disimpan di beberapa buah muzium antaranya Muzium Tentera (National Army Meseum) di Chalsea, London, Muzium Mendoza dan Muzium Sejarah Argentina (Mendoza Museum & National History Museum Argentina), Muzium Korea (Korea National Museum), Muzium Topkapi, Istanbul (Topkapi Palace Museum) dan Muzium Seni Tokugawa, Jepun (Tokugawa Art Museum).

"Senjata pedang samurai Jepun telah diterima beberapa hari lepas, begitu juga pedang dari Korea yang akan dipamerkan nanti.

"Kita masih menunggu artifak lain yang akan tiba tidak lama lagi", katanya pameran kali ini lebih bermaklumat dengan penggunaan multimedia dan teknik visual yang lebih menarik dan dekat dengan pengunjung.

Senjata-senjata popular yang dekat dengan masyarakat seperti Nunchuku Bruce Lee, Bintang Naga Ninja, pedang Eropah (Viking), pemanah dan busar, kayu silambam dan kapak Red Indian juga akan dipamerkan.

Bukan itu sahaja, watak-watak lagenda dan mitos yang sering ditonton dan dibaca seperti Hikayat Sejarah Melayu, Hikayat Ramayana, Journey To The West akan turut dipamerkan dengan senjata yang digunakan oleh watak-watak popular seperti Robin Hood dengan senjata Cross Bow, Zorro (pedang), Sinbad (pedang Arab), King Arthur (Excalibur), Hang Tuah (Keris Taming Sari), Shogun Minamoto Yoritomo (pedang samurai), Salahudin Al-Ayubi (pedang) dan banyak lagi.

Bagi membangkitkan kesedaran, segmen kesan dan kesengsaraan akibat penggunaan senjata akan turut dipamerkan melalui tayangan video dan ilustrasi gambar daripada pelbagai peristiwa yang berlaku di dunia antaranya peristiwa bom atom Hiroshima, penghapusan etnik di Asia dan Eropah serta konflik keagamaan.

PROSES MENGUMPUL BAHAN

Usaha mengumpul dan mencari artifak untuk dipamerkan pada pameran kali ini dimulakan sejak awal Januari lepas, menurut Penolong Kurator Muzium Negara, Suriati Sulong.

Bertugas di Unit Perkhidmatan Repositori atau bahagian penyimpanan artifak, beliau adalah antara individu yang cukup penting di sebalik setiap pameran yang diadakan di sini.

Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mencari artifak-artifak yang bersesuaian dengan tema pameran samaada ia dalam simpanan Muzium Negara mahupun meminjam dengan muzium-muzium negeri dan muzium dari luar negara.

"Jika untuk senjata moden, kita meminjam bahan-bahan pameran seperti helikopter, kereta kebal, meriam dan beberapa lagi daripada Muzium Tentera di Port Dickson, manakala untuk senjata lain yang tidak ada dalam simpanan, kita pinjam dari muzium negeri dan muzium di luar negara", katanya.

Setiap artifak yang berada di dalam simpanan Muzium Negara, harus dijaga rapi di dalam stor penyimpanan khas dengan cahaya dan suhu yang mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

"Antara yang perlu penjagaan rapi seperti bahan sejarah berasaskan tekstil kerana ia sangat sensitif dengan cahaya.

"Walaupun penjagaan senjata tidak serumit itu, namun ia masih perlu dijaga sebaiknya agar terus kekal sampai bila-bila untuk diperlihatkan dari generasi ke generasi", katanya.

Antara artifak dalam simpanan yang akan dipamerkan ialah Batu Ranjut yang merupakan senjata tradisioal yang digunakan secara meluas oleh masyarakat Melayu kuno bagi menghadapi musuh.

Lembing Diraja Yogyakarta yang digunakan sebagai tanda kekuasaan Keraton, pedang tentera Islam yang digunakan pada kurun ke-16 dengan sarung berperisai tembaga, Keris Madura yang dipercayai mempunyai kuasa luar biasa untuk mematahkan lawan, Keris Bugis dan Keris Surakata Kraton yang cukup unik dengan hulu keris dibentuk mengikut tapak kuda yang dipercayai kepunyaan golongan raja Jawa.

Oleh Kurniawati Kamarudin
Sumber: BERNAMA

0 comments: