08 Julai 2014

Jenis Bantuan Ditawar JKM Kepada OKU



Apakah jenis bantuan yang diperuntukkan kepada golongan OKU oleh pihak kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)?

Sebenarnya, skim bantuan yang diberikan kepada OKU banyak dan dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu elaun pekerja cacat (EPC), bantuan penjagaan OKU terlantar / pesakit kronik terlantar (BPT), bantuan OKU tidak berupaya bekerja (BTB) dan geran pelancaran (GP).


Elaun Pekerja Cacat (EPC)

Elaun pekerja cacat diberikan RM300 sebulan seorang sebagai insentif untuk menggalakkan OKU bekerja, hidup berdikari dan menjadi ahli masyarakat yang produktif dan meningkatkan taraf hidup OKU di dalam masyarakat.

Antara syarat kelayakan khusus adalah:

* Perlu berdaftar dengan JKM;
* Berpendapatan bulanan pemohon tidak melebihi RM 1,200 sebulan tidak termasuk pendapatan keluarga;
* Berumur 16 tahun ke atas;
* Tidak tinggal di institusi yang telah disediakan kemudahan tempat tinggal, makan/minum dan pakaian percuma; dan
* Pemohon mestilah menyertakan slip gaji/surat pengesahan pendapatan daripada majikan/surat pengesahan pendapatan daripada pemohon sendiri bagi yang bekerja sendiri.

Bantuan Penjagaan OKU Terlantar (BPT)

Bantuan penjagaan OKU terlantar / pesakit kronik terlantar pula diberikan RM300 sebulan seorang bertujuan membantu meringankan bebanan perbelanjaan penjagaan yang dihadapi oleh keluarga penjaga serta menggalakkan penjagaan yang sempurna kepada kumpulan sasar OKU dan pesakit kronik terlantar.

Antara syarat kelayakan khusus ialah:

* Pemohon adalah peniaga yang merupakan ahli keluarga OKU / pesakit kronik terlantar;
* Warganegara Malaysia dan bermastautin di Malaysia;
* Sedang memberi jagaan kepada ahli keluarga yang OKU/ pesakit kronik terlantar sepenuh masa;
* Pendapatan isi rumah tidak melebihi RM 3,000 sebulan; dan
* Keluarga yang berkeperluan dan tidak berkemampuan.

Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB)

Bantuan OKU tidak berupaya bekerja pula diberikan sebanyak RM150 sebulan.

Antara syarat kelulusan khusus bantuan ialah:

* Warganegara Malaysia dan bermastautin di Malaysia;
* Sumber pendapatan individu tidak melebihi PGK semasa. Sumber pendapatan adalah merujuk kepada semua sumber pendapatan yang diterima oleh individu termasuk pencen Ilat, pencen terbitan, pencen bulanan, Perkeso, bantuan bulanan, insurans dan lain-lain.
* OKU perlulah berdaftar dengan JKM;
* Disahkan oleh pegawai perubatan bagi kes-kes yang meragukan; dan
* Bukan penerima skim bantuan bulanan JKM sedia ada;
* Bukan peserta program pemulihan dalam komuniti kelolaan JKM dan program penjagaan /pemulihan kelolaan agensi kerajaan dan NGO Kebajikan; dan
* Bagi keluarga yang menerima bantuan bulanan termasuk bantuan penjagaan OKU terlantar yang berpendapatan di bawah PGK semasa, bantuan ini boleh dipertimbangkan kepada pemohon.

Segala permohonan bagi mendaftar sebagai OKU boleh dibuat di mana-mana pejabat kebajikan daerah, jajahan dan bahagian dengan mengisi borang yang disediakan. Borang juga boleh dimuat turun melalui laman sesawang JKM iaitu www.jkm.gov.my.

Masyarakat yang mempunyai sebarang kemusykilan berkaitan apa-apa jenis permohonan skim bantuan boleh terus ke pejabat JKM yang terdapat di semua negeri dan daerah atau boleh lawati laman sesawang JKM di www.jkm.gov.my atau juga boleh menghubungi talian Nur 15999.

Adalah ditegaskan bahawa, banyak lagi yang kerajaan sediakan untuk membantu OKU. Bagi pasangan ibu bapa yang ingin memberi rawatan pemulihan kepada anak OKU tetapi tidak mampu, mereka boleh mendapatkan perkhidmatan tersebut Pusat Dalam Komuniti (PDK).

Antara aktiviti di PDK yang boleh dinikmati bagi membantu proses pemulihan anak OKU ialah sesi fisioterapi, senaman pagi, latihan sukan paralimpik, kemahiran moto kasar dan moto halus, terapi muzik, terapi air, pengurusan diri, pra-menulis, membaca, mengira dan melukis.

Bukan itu sahaja, malah mengikut surat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 30 Ogos 2004 mengenai waktu bekerja bagi pegawai perkhidmatan awam yang mempunyai anak-anak kurang upaya ada menyatakan bahawa pegawai perkhidmatan awam yang mempunyai anak kurang upaya dibenarkan menggunakan waktu bekerja biasa sebagaimana yang sekarang diamalkan untuk menguruskan kebajikan dan keperluan anak mereka.

Maka kepada orang ramai di luar sana, janganlah membuat kenyataan atau komen tanpa usul periksa sama ada melalui media sosial atau saluran media lain tentang sesuatu isu. Jangan membuat komen berdasarkan komen orang lain atau mendengar cakap orang tanpa usul periksa.

Kepada orang ramai yang menghadapi sebarang kemusykilan, bolehlah berhubung terus dengan JKM untuk mendapatkan maklumat tepat. Pada masa sama, JKM sedia menerima teguran atau kritikan untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Oleh Shahren Yusri
Setiausaha Akhbar kepada Datuk Seri Rohani Abdul Karim,
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,
Sumber: Utusan

0 comments: